CARI BAHAN

Saturday, April 21, 2012

Raja tidak lebih mulia dari para nabi.

Raja dan Rakyat, Berpisah Tiada...

Demikian bunyi slogan muluk yang diperkenalkan untuk tatapan rakyat sejak kebelakangan ini. Kewujudan raja-raja Melayu dalam institusi pemerintahan di Malaysia cuba ditampilkan sebagai institusi yang merakyat. Seorang raja yang selama ini hidup dalam medan aristokratnya digambarkan oleh media sebagai berjiwa rakyat. Bahasa mulus dilakar untuk menggambarkan betapa dekatnya antara raja dengan rakyat.

Di Malaysia ini amat ramai rajanya. Setiap berganti seorang raja untuk menjawat jawatan YDPA, maka akan lahirlah kata-kata muluk menggambarkan hubungan erat antara raja dan rakyat dan menggambarkan betapa cinta kasihnya rakyat kepada raja dan demikianlah sebaliknya.

Namun, apakah benar raja dan rakyat berpisah tiada? Rakyat marhain makan nasi berlauk garam sedangkan raja bersantapan diraja. Pakaian raja tetap kuning sejak dulu sedangkan rakyat nelayan dan petani berpakaian cabuk luntur warna. Kereta, rumah, sukan kegemaran, rakan-rakan pergaulan dan gaya hidup antara rakyat dengan raja masih jauh terjurang. Bagaimana boleh diungkapkan raja dan rakyat berpisah tiada?

Seorang raja...seharusnya hadir solat berjemaah di masjid bersama rakyat. Juga seharusnya turun ke pasar berjalan-jalan. Tidak perlu protokol yang dicipta hanya untuk menjarakkan antara raja dan rakyat. Raja tidak lebih mulia dari nabi. Sedangkan  nabi makan makanan rakyat dan berjalan di pasar-pasar, maka mengapa tidak para raja?

Allah berfirman:

وما أرسلنا قبلك من المرسلين إلا إنهم ليأكلون الطعام ويمشون في الأسواق

“ Kami tidak utuskan para Rasul melainkan mereka adalah jenis manusia yang makan makanan dan berjalan di pasar-pasar”.
(Surah Al-Furqan: Ayat 20)

MAIZAH

Orang beriman hendaklah ada maizah berbanding orang yang tidak beriman. Kalau sudah beriman, seorang yang berjuang pula yhendaklah ada maizah berbanding dengan orang beriman yang tidak berjuang.Maizah ini tererlah dalam rutin hidup hariannya.

Pada hari akhirat nanti, Allah SWT akan menyeru orang yang berdosa agar duduk dalam kelompok mereka agar dapat dilihat maizah mereka. Firman Allah SWT:


وامتازوا اليوم أيها المجرمون
" "Ayuhlah, pada hari ini  tinggal dalam maizah kamu wahai para pendosa!",

Kalau orang mujrim pun ada maizahnya di akhiratnya, maka demikian di dunia. Semasa di dunia, maizah mereka tidak zama dengan hamba Allah yang taat dan soleh. Manusia dikenal dengan maizahnya. Melihat maizahnya, kita mengetahui siapa dia. Apakah dia mukmin yang taat atau sebaliknya. Apakah pula dia mukmin yang berjuang atau yang qa'id!

Kalau rutin harian penuh dengan jadual persendirian, dari main futsal, main badminton sehingga acara memacing hujung minggu, sementara masa untuk kerja Islam tiada hatta ke masjid untuk solat berjemaah cuma, maka sudah tentu itu menjadi maizah bahawa dia bukan pejuang agama Allah SWT. Seorang pejuang agama Allah hendaklah ada jadual yang berbeza daripada orang lain.  Dalam rutinnya ada usrah, tamrin, kulian, tafaqquh, mesyuarat dan sebagainya.

Semua itu menjadi maizahnya!

Friday, April 20, 2012

Ceramah PKR dan kedatangan Najib.

Malam ini ada ceramah PKR yang akan diadakan di rumah seorang penduduk Taman Fajar.  Ketika awal pagi tadi, sewaktu aku keluar kerja, ada banyak bendera PKR sepanjang jalan keluar dari Taman Fajar. Namun, ketika pulang dari kerja menjelang tengahari, bendera PKR telah hilang dan yang berjejeran di sepanjang jalan pula adalah bendera BN. Khabarnya DS Najib Tun Abd Razak dan bininya Rosmah akan tiba di Sandakan petang ini kerana ada program tertentu. Mungkin kerana itu, petugas BN membersihkan bendera PKR dari pandangan mata.

Sewaktu pulang dari rutin mengambil isteri, jalan pulang ke Taman Fajar tidak berapa lancar. Kereta berbaris panjang. Semuanya gara-gara polis trafik yang membuat sekatan untuk menyambut ketibaab DS Najib.

Ceramah PKR malam ini khabarnya diteruskan. Dua penceramah PKR dibawa dari Selangor. Mereka merupakan pimpinan PKR peringkat Selangor. Waktu solat jumuat tadi, Oting ada memberitahuku. Tetapi aku terlupa namanya. Apapun, malam ini aku ada usrah. Maka, aku tidak akan menghadirinya. Biarpun tiada usrah, aku mungkin tidak akan hadir.

 Tahun lepas, sewaktu aku melintas di depan rumah yang akan diadakan ceramah PKR itu, waktu itu dia buat kenduri kahwin anaknya, aku melihat ada acara tarian lambak dibuat di depan rumahnya. Aku tidak suka budaya tari menari sempena acara perkahwinan. Pada anggapanku, ia bukan cara Islam. Pengalaman itu membuatkan aku tidak begitu suka berkunjung ke rumahnya sekalipun hanya untuk mendengar ceramah.

Khabarnya, tuan rumah itu sedang melobi untuk dicalonkan sebagai calon PKR dalam pilihanraya akan datang. PKR memang ketandusan pemimpin yang berwibawa. Kebanyakan pemimpinnya adalah opurtunis dan kesetiaan mereka sangat rendah kepada parti. Mencari pemimpin yang berkualiti juga amat sukar dalam PKR.

Seorang pemimpin PAS dari Keningau baru-baru ini menggambarkan senario tersebut dalam ucapannya dengan mengambil kawasan Keningau sebagai contoh. Menurutnya, calon yang mahu betanding asat tiket PKR di sana dan ingin melawan calon BN adalah seorang yang randah moralnya. Sementara calon BN tersebut seorang yang biasa berkhutbah di atas membar pada hari jumuat. Maka, bagaimana hendak menang?

Saya mengenali serba sedikit peribadi tokoh PKR di Taman Fajar ini. Tuan rumah tersebut bukan seorang yang suka ke masjid sekalipun rumahnya hanya sepelaungan dari masjid. Oting pula rajin ke masjid tetapi kelemahannya ialah dia bukan seorang orator. Ahli politik haruslah petah berbicara kerana itulah modal untuk menarik sokongan orang. Kalau malas ke masjid, bagaimana pemimpin sedemikian mahu menjaga agama?

Pemimpin yang diperlukan di Sabah ini adalah pemimpin yang berjiwa agama. Di mana akan datang pemimpin yang sedemikian?

Menimbun kebencian

Sekumpulan samseng Melayu, khabarnya diketuai samseng Jalan Kebun telah menyerang mahasiswa yang sedang berdemo di Dataran Merdeka dengan cara berkhemah di sana. Samseng tersebut telah datang dan menyerang para mahasiswa terbabit dan meroboh khemah serta merampas banner yang di letakkan di sana. Lagak samseng seperti itu adalah dari pemuda haprak yang tidak sedar diri bahawa kekuatan tenaga mereka hanya sekelumit yang dimainkan oleh rasa syok sendiri.

Kalau rasa sangat kuat, bawa kekuatan tersebut pergi berperang di Palastin. Kalau rasa di Palastin  itu perjuangannya Mulia dan tidak sesuai dengan diri yang haprak, lawanlah dengan gangster penagih dadah Honduras yang berdarah dingin. Baru tahu tinggi rendahnya langit.

Apapun yang dilakukan oleh samseng-samseng tersebut, mereka perlu tahu bahawa zaman sekarang bukan lagi zaman Hang Tuah yang bila marah mengisar hulu keris.  Kehebatan bersilat tidak menjadi jawapan kepada penyelesaian masalah di zaman ini. Zaman ini, siapa yang berjuang dengan akal, dia akan mendepani dokongan rakyat terbanyak.

Sebenarnya, semua yang dilakukan itu tidak menambahkan sokongan rakyat kepada penguasa. Rakyat sedang memerhati. Mereka menimbun kembencian di hati rakyat!

Mujujrlah orang bodoh mendokong kezaliman penguasa sementara orang cerdik berada di pihak rakyat!

Thursday, April 19, 2012

Kesedaran baru...

"Baru ku sedar, pemimpin UMNO di Sabah ini bukan membela Melayu, sekarang kontraktor Melayu sukar nak hidup, projek pun susah, pemberian beberapa projek kepada kontraktor Melayu sebelum ini hanya gula-gula, padahal banyak peniaga Cina Sarawak yang dikayakan di Sabah...", keluh seorang sahabat sejawatan tatkala kami meluangkan masa bersarapan pagi tadi.

Aku diam sahaja kerana mahu mendengar ulasan-ulasan politiknya yang agak berbeza nadanya berbanding sebelumnya. Dia sangat menyanjung kemasukan UMNO ke Sabah yang disifatkannya membela hak-hak orang Melayu. Namun, komennya pagi ini menunjukkan bahawa dia seperti hilang kepercayaan kepada para pemimpin UMNO tersebut.

Dia bercakap mengenai MaxLand, sebuah syarikat kroni CM. Aku kurang memahami persoalan Maxland. Secara ringkasnya, dia mengatakan bahawa jutaan ringgit telah diserap ke dalam akaun CM dengan cara yang halus dan seni melalui peguam CM. Aku pernah membaca isu peguam CM tersebut tetapi kurang memberi perhatian. AKu kurang berminat kerana majoriti rakyat Sabah masih berada pada tahap tidur mati. Apapun yang dilakukan CM dapat ditutup dengan imbuhan sedikit menjelang pilihanraya.

"Sekarang aku sudah sedar bahawa selama ini Melayu Sabah hanya digula-gulakan!", keluh sahabat itu. Nampak amat kecewa sekali.

"Sebenarnya adalah gula-gula yang banyak ditaburkan seluruh negara....", aku menyampuk.

"Bayaran RM500 dan RM 100 kepada rakyat hanyalah gula-gula. Tajudin Ramli mendapat lebih RM500 juta...", lanjutku. Isu Tajuddin Ramli mendapat RM500 juta itu telah banyak dibahaskan oleh blogger hebat. Rakyat yang rajin membaca sudah masak dengan isu-isu sebegitu. Sudah tidak terdaya mencari jawapan lagi. 

Apa yang dimahukan hanyalah kesimpulan. Kesimpulan itu hanya ada pada hak mengundi dalam pilihanraya yang adil dan bebas!

Wednesday, April 18, 2012

Melayu herot otak.

Rupanya ada juga melayu berotak herot. Umpamanya pengerusi Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd Rahman. Dia bimbang jika AP dihapuskan dan menjadikannya sebagai hak istimewa orang Melayu yang dijamin oleh perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.Padahal, selama ini AP itu bukan menjaga hak orang Melayu terbanyak. Ia menjadi jambatan menghisap darah bagi segelintir lintah Melayu yang bejat. Bayangkan, kereta yang dijual di luar negara dengan harga yang murah, di Malaysia ia melambung tinggi.

Para pengusaha Melayu yang lemah akal perniagaan itu hanya mengaharapkan persaingan di padang yang mereka kawal. Mereka menindas rakyat dan mengatakan pula apa yang mereka lakukan itu memberi pekerjaan kepada lebih daripada  70 ribu pekerja di sektor automobil. Padahal, mereka meraih untung berlipatganda sedangkan rakyat dibebani hutang kerana hendak memiliki kereta yang lebih baik.

Mereka sangat herot otak!

MAHATHIR PELUPA

Mahathir kata Anwar lupa bahawa diala yang bertanggungjawab terhadap penubuhan PTPTN?  PTPTN ditubuhkan sewaktu Anwar masih lagi Timbalan Perdana Menteri. Maka Anwarlah yang terlibat. Tetapi, rupanya Mahathir pun jenis pelupa amat. Mungkin dia terkena karma cemuhannya terhadap bangsa Melayu yang dilebelkannya sebagai haprak dan pelupa. Pada masa PTPTN dibentangkan di parlimen pada tahun 1997, Menteri Pendidikan pada masa itu adalah Ds Najib Tun Abd Razak.

Kelupaan Mahathir amat ketara kerana dia menyangka Anwar yang terlibat menubuhkannya. Seharusnya dia juga perlu sedar bahawa dialah Perdana Menteri dewasa itu.Jadi, dialah orang yang paling bertanggungjawab mencipta beban buat para pelajar akibat tekanan hutang PTPTN.

Tuesday, April 17, 2012

Ulama berpolitik

" Ustaz...apakah Nik Aziz itu ulama", pagi itu tiba-tiba seorang teman sejawat bertanyaku. Entah dia benar-benar tidak tahu bahawa Nik Aziz itu ulama itu sengaja mencetuskan perbincangan politik, aku tidak tahu. Namun, aku pasti Nik Aziz yang dia maksudkan itu tidak lain adalah TG Nik Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan dan sekaligus Mursyidul Am PAS.

"Soalan itu amat tidak wajar kamu lontarkan...", aku memberi respons.

Apakah patut ada orang meragui keulamaan Nik Aziz. Kalau ragu-ragu mengenai keulamaan aku, itu dikira bolehlah. Demikian aku mengoceh teman sejawat itu.

Media kerajaan selama beberapa waktu membuat penternakan fikrah bahawa Nik Aziz bukan seorang ulama tetapi seorang ahli politik. Kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang dunggu dipetik untuk menegaskan bahawa Nik Aziz hanyalah seorang ahli politik. Ulama menurut pemimpin dunggu tersebut adalah seorang yang tidak berpolitik. Paling ulama kalau menurutnya adalah orang seperti para sawahibus samahah muftayat yang hidup mereka lebih kepada menjaga keperluan bahimiah sendiri.

Apabila orang alim berpolitik, itu adalah salah. Begitu peninggalan penjajah dalam pemikiran kaum bangsaku. Seharusnya diketahi bahawa para ulama wajib berpolitik kerana politik itulah membawa kepada imamah di bumi. Nabi SAW sendiri berpolitik, maka apakah namanya ulama kalau cuci tangan dari ragam politik?


Monday, April 16, 2012

Mereka membina dulah

Apa salahnya dengan tuntutan sekumpulan mahasiswa yang berdemo menuntut agar pendidikan percuma diberikan kepada rakyat dan PTPTN dimansuhkan. Para pemimpin UMNO mengemukakan pelbagai alasan mengapa PTPTN perlu diteruskan. Dengan penuh bimbang, mereka menyatakan pelbagai kesan buruk yang akan timbul jika PTPTN dimansuhkan. Paling lucu ialah apabila ada suara muluk yang memyatakan bahawa bayaran yuran di universiti adalah untuk komitmen para pelajar belajar bersungguh-sungguh. Mengandaikan bahawa pendidikan percuma akan membuatkan para pelajar hilang komitmen pelajar, dinyatakan bahawa pendidikan percuma tidak baik untuk dilaksanakn.

Alasan sebegitu samalah dengan alasan kenapa harga gula dinaikkan dalam pasaran sebelum ini. Ia disandarkan kepada alasan bodoh iaitu agar rakyat kurang makan gula dan dengan itu penyakit diabetis dapat dielakkan.

Kenapa buat membina tenaga manusia kita perlu berkira. Padahal, berapa bilion wang rakyat disalahgunakan untuk kepentingan individu yang telah sedia kaya raya? Inilah sikap yang kita katakan cubaan pihak yang tamak membina dulah di kalangan orang kaya. Tentu ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan walau setahun lagi.

Sunday, April 15, 2012

Cerita pelik

Seorang remaja bertemuku dan bertanya soalan. apakah pendirianku mengenai cerita mengenai Rasulullah SAW keluar dari kubur dan bertemu ulama tertentu. Ada cerita dari habib yang didengarnya bahawa tangan Rasulullah keluar dari kubur dan bersalam dengan ulama tertentu. Aku kurang ingat nama ulama tersebut. Seingatku, dia menyebut imam Rafi'i. Cerita sebegini telah diulas dan dijelas oleh Dr. Asri sebagai cerita karut. Ketika ditanya kepada ustaznya di sekolah, ustaz tersebut juga menyimpulkannya sebagai cerita karut.  Namun, ada kawan-kawannya dan ada juga ustaz yang meriwayatkan cerita tersebut dengan membenarkannya.

Aku berkesimpulan mudah sahaja. Dalam Islam tiada cerita ajaib sebegitu. Logik mudahku untuk memperkuatkan ketidakpercayaanku terhadap cerita sebegitu adalah, kalau itu boleh berlaku kepada Imam Rafi'i, mengapa tida ada riwayat sahih para ahli hadis bahawa ia telah berlaku kepada sahabat dan salafus Soleh. Hebat mana Imam Rafi'i kalau mahu dibandingkan dengan Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Banding sahaja dengan 4 ulama besar  mazhab terutama, tentu sekali dia tidak lebih baik. Justeru, atas dasar apa cerita pelik sebegitu hendak diandalkan?

Cerita sebegini hanya datang melalui riwayat para ahli sufi dan tariqat....

Lelaki Suluk orang PEKIDA

Rupanya PEKIDA itu pertubuhan yang menjadi kebanggaan "taiko" Melayu. Bukan sahaja di Semenanjung Malaysia ia dianut oleh ahlinya, tetapi juga sampai ke Sabah. Agak tergaman apabila ketika kunjungan sambil lalu aku bersama TPJ Pas Sabah bersama Ust. Zaidi ke rumah En Jumadul di Tanjong Batu, beliau menyatakan bahawa dirinya adalah ahli PEKIDA. Malah, KK Kulaling juga ahli PEKIDA. Ternyata pengaruh PEKIDA sampai hingga ke perairan sisir Sabah-Filipina.

Kenapa mereka minat kepada PEKIDA? Aku kira ia adalah kecenderungan kebangsaan dalam diri manusia yang membuak-buak, itulah penyebab penglibatan dalam PEKIDA. Sentimen kebangsaan itu memang mudah diobor dalam diri. Tetapi, mengapa seorang lelaki Suluk masuk PEKIDA? 

Aku tensenyum sembari menggeleng kepala memikirkan penggabungan dirinya dalam PEKIDA.

Friday, April 13, 2012

Islam Mahjub

"Tariqat itu menyebabkan Islam pendokongnya berhenti pada syeikh...tidak sampai kepada nabi Muhammad SAW, " aku membuat kesimpulan itu ketika membahaskan persoalan toriqat untuk seorang anak muda yang dipagut dilema antara tariqat dan gerakan Islam massa.

Sememangnya, demikianlah yang berlaku. Seorang pengikut sesebuah tariqat akan nampaknya haibahnya syeikhnya sangat besar sehingga tenggelam haibah Rasulullah SAW sendiri. Dalam khayalnya, figur syeikh lebih banyak bermain berbanding figur Rasulullah dan pencentus Islam di persada dunia itu sendiri.Apatah lagi figur para sahabat dan salafus soleh serta mujahid sepanjang zaman.

Dalam tariqat amat banyak bid'ah. Rekayasa dalam cara berdoa, berzikir dan teori-teori agama. Saya menyebutkan secara umum. Pendetailannya boleh dicermati pada setiap tariqat yang tumbuh dan berkembang. Ada yang sangat melampau dan ada yang sangat kecil kecerobohannya. Namun, amat sukar menemui keaslian Islam dalam sebuah nama besar tariqat.

Sebab itu, apa perlunya bertariqat. Galilah sahaja khazanah Islam itu dari Al-Quran dan Hadis. Kalau tidak mampu memahami dengan baik dua sumber tersebut, bukan telah lahir sepanjang ulama terbilang yang telah mengarangkan kita-kitab yang pelbagai. Sungguhpun mereka sangat hebat, merujuki kitab mereka hendaklah menggunakan daya akal dan fikir, bukan sebagai muqallid yang meraba-raba.

Hargai anugerah akal kurniaan Allah SWT.


Monday, April 09, 2012

Cerita sesuka hatimu.

Kalau mereka berhikayat, biarkan aku juga berhikayat. Hikayat mereka bernama hikayat Perjuangan Kemerdekaan. Dalam hikayat tersebut, ada pejuang sejati dinafikan. Ada pembela penjajah dianggap pejuang. Kerana hikayat itu hak diri sendiri agaknya, maka mereka berhikayat. Kalau begitu, mempercayai sesuatu hikayat itu juga adalah hak sendiri. Seseorang tidak boleh dipaksa menerima satu hikayat dan tidak boleh pembuat hikayat juga tidak boleh dimarahi.

Maka, biar aku berhikayat mengenai diriku. 

Dulu, moyangku yang entah ke berapa di atasku, adalah bangsawan muqarrabin dalam daulah Uthmaniah di Turki. Kira-kira, dari segi kelayakkan menjadi khalifah ummat Islam, adalah juga pada moyangku tersebut. Kemudian, salah seorang leluhurku yang berketurunan moyang bangsa Turki itu telah berhijrah meninggalkan Turki. Alkisah, perkara itu berlaku selepas jatuhnya kerajaan Turki Othmaniah ke tangan Mohd Kemal At-Tarturk. Dia berkelana ke negeri Hadramaut dan disama bersemenda dengan puteri seorang ulama Hadhramaut dari keturunan Alawiyyin. Kerana minat dalam pengembaraan, salahs eorang anak lelakinya telah naik kapal sehingga sampai ke sebuah negara Islam di Asia Tenggara. Kerajaan itu dulunya dinamakan orang negara Champa. Pada zaman komunis telah menguasai Vietnam , kerajaan Champa telah lupus dari muka bumi diserang oleh kerajaan komunis tersebut. Maka, raja terakhir Champa itu namanya Che Man bersama ramai rakyat Champa telah lari berhijrah meninggalkan tanah air yang telah diperkosa. Dari keturunan Che Man itu, lahirlah pula moyang datukku yang bernama Che Mat. Datukku telah menetap di kampung yang menjadi kampung asalku di Kedah dan dari salasilah itu aku dilahirkan. 

Cerita auta! Kata seorang pendengar setiaku. Aku tersenyum lalu berkata bahawa ceritaku, hikayatku dan lipurku adalah milikku. Mereka yang lain bebas merangkai cerita sejarah, maka apa salahnya aku menceritakan cerita sejarahku. Aku menambahkah bahawa ceritaku adalah hakikat. Sama seperti pendakwa cerita sejarah mereka sebagai hakikat.

Apa buktinya? Mereka yang menceritakan sejara itu bukan punya bukti mantap. Sekadar catatan dalam buku sejarah bukan bukti. Mana sanad perawinya untuk diandalkan kepercayaan kita? Maka, aku pun tidak perlu membuktikan sejarahku. Cukup aku sebagai buktinya. Kalau mahu bukti, aku pun boleh membuat bukti.

Aku adalah cucu seorang yang punya kekayaan hartanah besar dulu. Sifat itu adalah sifat orang bangsawan. Aku pun sering ditaklifkan jadi pemimpin pada peringkat yang sesuai dengan keberadaanku. Itu pun boleh jadi bukti kebenaran sejarahku.

Anda menang sudah gila. Ceritamu memang auta dan diada-adakan. Tuduh pendengar setiaku itu. Kataku, aku punya suka kerana itu ceritaku. Adakah aku boleh ditangkap kerana cerita sejarahku? Kalau aku perlu ditangkap, pencalit sejarah pengorbanan polis-polis penjajah yang terbunuh oleh serangan komunis itu juga perlu ditangkap. Para pelakar sejarah tokoh pejuang kemerdekaan yang lewat itu juga perlu ditangkap kerana tahap ceritanya tidak juga jauh daripada ceritaku. Bezanya, mereka banyak duit dan ada kuasa untuk membukukannya menjadi silibus sejarah di sekolah.

Aku meilik ceritaku. Cerita kita semua tidak perlu senarai rawi. Ceritaku bukan hadis. Siapa nak percaya silakan. Siapa tidak mahu percaya pergilah cari cerita lain. Alang-alang bercerita, biar kita cerita semahunya. 

Biar caca marba sejarah lalu dan orang hari ini menapis kebenarannya dengan akal sendiri!

Kembali kepada Islam

Aku meluangkan masa mendengar sesi tasykil oleh seorang anggota Tabligh di masjid selepas maghrib tadi. Dia menceritakan tentang dakwah para nabi-nabi untuk menyelamatkan akidah manusia dan mebawa manusia mengungkapkan kalimah La Ilaha Illallah. Menurutnya, setiap orang daripada kita mempunya tanggungjawab untuk keluar fi sabilillah demi mengajak manusia kembali kepada Islam.

Aku amat bersetuju dengan seruan-seruannya itu. Sememangnya kita perlu mebawa manusia kembali kepada Islam. Siapapun dia, dia perlu kembali kepada Islam. Baik pemerintah maupun kalangan yang paling rendah dalam susun lapis masyarakat, mereka perlu kembali kepada Islam. Cuma, pemahaman tentang kembali kepada Islam itu yang perlu diperjelaskan.

Terdapat ramai orang UMNO atau yang mendokong perjuangan UMNO berada dalam tabligh. Mereka merasa telah menjalani kehidupan nabi apabila dapat keluar 3 hari atau empat bulan mengikut jamaah tabligh. Namun, kebersamaan mereka bersama jamaah Tabligh selama itu tidak menukar "ta'abbud" nya kepada parti yang banyak menebar sekularisme itu. Sementara, teramai sekali adalah mereka yang tidak mempunyai kepedulian terhadap hal ehwal politik negara dan pemilihan pemimpin. Inilah masalah dalam Jama'ah Tabligh. Permasalahan inilah yang membuatkan aku berpersepsi bahawa Jama'ah Tabligh bukanlah taifah yang dimaksudkan dalam Al-Quran dan Hadis. 

Nabi SAW bersabda mengenai Taifah tersebut dengan ketanya:


لَنْ يَزَالَ قَوْمٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى النَّاسِ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ

“ Akan sentiasa satu kaum dari ummatku yang akan sentiasa menang di atas manusia sehingga datang ketentuan Allah padahal mereka kekal menang”.
(Hadis Sohihain)

Kembali kepada Islam bukan segampang kembali kepada masjid. Sementara kita tidak boleh menafikan bahawa kembali ke masjid, dalam ertikata melazimi solat berjemaah, merupakan ciri penting kembali kepada Islam, ia tidak cukup. Kembali kepada Islam hendaklah difahami dengan penegasan perlunya kembali tunduk di bawah pemerintahan Islam. Islam bukan datang untuk manusia menjalani hidup sebagai abid tetapi Islam datang untuk menjadi penganutnya memerintah manusia lain dan membawa orang lain mematuhi perintah Allah SWT.

Inilah kerja gerakan Islam!

Apakah gerakan Islam pilihan anda?
 

Kerana hak diri tergugat...

Seorang guru marah kerana KWSP hanya membenarkan dia mengeluarkan sejumlah kira-kira 40 peratus carumannya selepas 7 tahun berkhidmat. Kemarahan itu membawanya menjadi marah kepada kerajaan, sementelahan terdapat berita mengatakan kerajaan menggunakan dana KWSP untuk tujuan-tujuan seperti bail out syarikat kroni yang bermasalah.

Sewaktu kerajaan berura-ura mahu melaksanakan SPBA, sebilangan kakitangan kerajaan begitu terpesona dengan tawaran anjakan gaji baru yang memberangsangkan. Namun, kemudiannya disedarkan mengenai kerugian SPBA apabila Ceupacs mendedahkan ketempanngannya. Heboh juga para kakitangan awam membahaskannya. Ketika itu, tidak sedikit kakitangan awam yang melemparkan kemarahan terhadap kerajaan yang memerintah.

Kemarahan dan kegembiraan yang dibolakbalikkan oleh permainan penguasa tidak menimbulkan apa-apa simpati buatku untuk mereka. Ia hanya kerana kepentingan peribadi. Telah berapa lama rakyat terbanyak yang menjadi mangsa kerakusan penguasa. Ketika minyak naik dan memberi inpak besar kepada harga barang dan kos sara hidup rakyat, mereka yang mengeluh kerana soal-soal peribadi tersebut masih membisu.

Ledakan protes mereka hanya terbit saat kepentingan peribadi digugat atau kemahuan peribadi tidak dipuaskan. Kita tidak menginginkan masyarakat kelas cerdik yang hanya mencermin diri sendiri. Kita mahu rakyat kelas cerdik yang ada hati nurani yang sentiasa memikirkan nasib rakyat terbanyak. Nasib kaum buruh, petani, nelayan dan orang-orang kampung yang hidup miskin.

Biarkan orang kaya dengan masalahnya. Orang miskin yang pelu dibela. Kita tidak harus menjadi responsif hanya pada isu-isu yang berkaitan diri sendiri!

Sunday, April 08, 2012

Hikmah kehidupan.

Liku-liku perjalanan yang terpaksa kita lalui pada masa lalu itu merupakan jalan kita menemui hikmah hari ini. Demikian aku simpulkan setelah menceritakan bagaimana asam garam percintaanku. Pada masa rasa dipagut cinta, liku-liku perjalanan itu ditempuh dengan keluh kesah. Kegagalan menggapai impian cinta membuatkan kita sering kecewa. Namun, setelah melepasi semuanya, percayalah bahawa kita akan dapat melihat hikmahnya.

Kataku, banyak perkara yang tidak terbayang di masa lalu, hari ini kita lakukan. Saat berdiri dan kembali merenung masa silam, barulah kita nampak hikmah Allah SWT.

Sebab itu, yakinlah bahawa Allah punya sebab tersendiri mengapa kita dipaksakan menurut satu jalan kehidupan!

Friday, April 06, 2012

Tawalla Yauma Zahfi

Begitu berat kesalahan lari dari medan perang sehingga  sehingga nabi sebutkan ia sebagai salah satu tujuh dosa yang meruntuhkan. Pada zaman nabi, sewaktu Islam sedang dibangunkan, perbuatan lari dari medan perang adalah satu pengkhianatan kepada Islam dan juga sahabat seperjuangan. Perbuatan khianat kepada rakan seerjuangan dengan meninggalkannya saat-saat kritikal adalah sangat besar dan buruk sekali makarnya. Dalam sejarah selain Islam sekalipun, individu yang menyisih daripada gerakan yang digerakkan bersama saat kritikal mendapat hukuman yang berat.


Istikharah selepas Musyawarah.

Apabila sesuatu telah diputuskan dalam mesyuarat, apa perlunya lagi istikharah. Keputusan musyawarah itu adalah lebih tinggi darjatnya daripada hasil istikharah. Beristikharah sesudah musyawarah itu akan menjadi pintu daripada pintu tipudaya syaitan untuk meragukan kita daripada keputusan yang dicapai secara syura.

Istikharah sesudah musyawarah adalah maksiat!

Aku melontarkan hukuman itu ketika seorang sahabat seperjuangan menyatakan keraguannya untuk ikut serta dalam satu program jama'ah. Katanya, dia akan beritikharah pada malamnya. Padahal sehari sebelumnya telah diputuskan dalam mesyuarat bersama rakan-rakan jama'ah agar dia ikut serta dan dia pun bersetuju dengan keputusan musyuarah itu. Maka, istikharah setelah musyawarah adalah maksiat kerana ia merupakan satu upaya membuat keputusan lain bertentangan dengan syura.


Thursday, April 05, 2012

Menyebar kekacauan pemikiran

Satu seminar akan diadakan oleh pihak Hizbut Tahrir hujung minggu ini di Sandakan. Tajuknya "Negara Islam". Seorang sahabat membawa poster mengenai program tersebut untuk ditampalkan di masjid kejiranan Taman Fajar. 

"Anta Hizbut Tahrir ke?", aku sengaja melontarkan pertanyaan tersebut kepadanya. Aku tahu dia adalah penyokong PAS.

"Eh, tidaklah, ada anak murid kat sekolah minta tolong...", balasnya.

"Tak perlulah ditampal...perlulah kita menjadi pembantu kepada penyebar kekacauan pemikiran dalam gerakan Islam?", aku mengingatkan.

Sesungguhnya aku sudah nampak niat serong Hizbut Tahrir ini. Sekarang, apabila PAS tidak lagi menjadi jaguh juru bicara istilah Negara Islam, HIzbut Tahrir tampil dengan cubaan menjadi jaguhnya. Pengguguran PAS daripada menggunakan terma Negara Islam bukan bermakna PAS tidak lagi memperjuangkannya. Istilah Negara Berkebajikan yang digunakan sebagai ganti menjadi serangan puak Hizbut Tahrir dengan menyifatkan PAS sudah tidak memperjuangkan Negara Islam!


Sebab itu, apabila seminar tentang negara Islam mahu dibuat, sudah dapat dibayangkan, ke manakah peluru serangan itu secara "tumbuk rusuk" mahu dihalakan.  Membawa pemikiran ummat untuk menjadi nostalgik, adalah manhaj ketara dalam Hizbut Tahrir! Anjakan perjuangan perlu dilakukan sebagai strategi kemenangan. Musuh akan tersenyum lebar apabila kita berjuang tanpa kebijakan strategi.

Telah nyata bahawa menggunakan istilah negara Islam tidak menguntungkan banyak untuk perjuangan Islam. Bukan Islam di Malaysia telah berjaya ditakut-takutkan oleh UMNO selama bertahun-tahun terhadap istilah Negara Islam. Ia banyak memberi kecederaan kepada perjuangan Islam. Sementelahan, ia bukan istilah wajib yang datang bersama Islam. Pada zaman Rasulullah SAW pun istilah itu tiada. Apa yang penting isi kandungan negara Islam itu. Apa guna bergendang dengan nama Negara Islam seperti mana yang diumumkan oleh Dr. Mahathir untuk Malaysianya, tetapi apakah itu menjadikan Malaysia negara Islam?

Jangan jadi penyebar kekacauan pemikiran dalam gerakan Islam!


Wednesday, April 04, 2012

Ulama sebagai rujukan

Raja Nazrin dari Perak semalam menggesa agar ulama dijadikan rujukan. Aku beritahu isteriku bahawa ulama yang hendak dijadikan rujukan itu hendaklah ulama yang terlibat dalam politik. Pemimpin UMNO tidak mahu mengakui keulamaan para ulama yang terjun ke dalam politik. Aku percaya, apabila dikatakan ulama sebagai rujukan, tentu bukan orang seperti TG. Nik Aziz, TG. Hj. Hadi dan TG Harun Din. Mereka adalah ulama politik. Sudah tentu yang tergambar dalam kepala mereka dalah para mufti.

Menurut hematku, para mufti itu bukan ulama. Mereka adalah kakitangan kerajaan. Sebahagian para mufti itu pula tidak cukup mahir dalam ilmu Islam secara keseluruhan. Sebab itu, institusi Fatwa di Malaysia berada pada tahap yang sangat lesu.

Seorang ulama wajib berpolitik kerana itulah jalan nabi Muhammad SAW. Ulama bukan hanya membahaskan hukum yang berkaitan Fardhu Ain. Bukan juga pakar dalam hukum dan mengajar sejumlah pelajar. Ulama adalah alim dan mujahid.

Oleh itu, bila dikatakan ulama sebagai rujukan, jangan disalahfahami. Ulama yang hendak dirujuk adalah para ulama yang praktis, bukan teoris!