CARI BAHAN

Friday, June 14, 2013

Berimamkan ustaz yang dikafirkan.



"Apakah hukumnya seorang yang telah menghukumkan kafir seseorang, lalu pada satu ketika dia solat dibelakang  orang yang dikafirkan itu sebagai makmum? Sahkah solat orang tu?", sebuah soalan dilontarkan dalam Daurah beberapa hari yang lepas.  Soalan tidak menyebutkan siapa yang terlibat, tetapi aku cukup mengerti terhadap isu mana yang dikisarkan soalan itu

Terdahulu, beberapa bulan yang lepas, aku dikhabarkan mengenai tuduhan kafir yang diceluparkan oleh seorang  terhadap para ustaz yang menyokong pembangkang. Saking marahnya  terhadap pembangkang, maka dengan amarah yang membara, dikatakannya para ustaz yang menyokong pembangkang adalah kafir. Itulah tuduhan kemuncak di atas tuduhan-tuduhan lain seperti sesat, khawarij, bughat dan sebagainya. 

Lantas, tiba-tiba orang itu boleh solat di belakang ustaz yang dikatakan kafir itu. Apakah hukumnya solatnya? Demikian soalan yang dilontarkan dalam Daurah. 

Aku menjelaskan hadis nabi yang melarang tuduhan kafir dan nifaq dilemparkan secara semberono. Andai orang yang dituduh kafir atau munafiq itu tidak sebagaimana yang dituduhkan, maka sifat kafir dan munafiq itu akan kembali kepada si penuduh. Tuduhan tersebut hanya boleh dijatuhkan dan tidak berputar balik seandainya yang dituduh itu jelas kekafiran dan kemunafikannya. Malah, dalam hadis nabi SAW juga disebutkan bahawa tidak mengkafirkan orang kafir akan menyebabkan orang yang berkenaan itu menjadi kafir. 

Rasulullah SAW telah bersabda:

 
إذا قال الرجل لأخيه: يا كافر، فقد باء بها أحدهما
" Apabila seseorang berkata kepada saudara seislamnya: Wahai kafir, maka tuduhan itu akan terpalit kepada salah seorang daripada keduanya".
(Hadis Muttafaq Alaih)

Mengenai individu yang mengkafirkan para ustaz yang menyokong pembangkang tersebut, aku katakan sukar untuk difahami kesudiannya menjadi makmum di belakang ustaz yang dikafirkan. Barangkali, itulah bahananya jika kail hanya sejengkal , pergi memancing di tengah laut yang dalam.  Selain memperlihatkan kebodohan diri, hasilnya pun tiada.

No comments: