CARI BAHAN

Tuesday, August 15, 2023

Orang ramai umpama domba

Orang ramai seumpama domba
dikawal oleh para gembala
ada masanya dipimpin serigala
jika gembala menjadi maula
maka tongkat sebagai petanda
jika serigala menjadi kepala
maka rakyat menajdi mangsa.

Bagi yang punya jiwa hamba
jadilah diri mengikut segala
ucapan tuan dianggap sabda
diri tertambat dipegang kepala
taat pemimpin setiap masa
jika mati hidup semula
telunjuk pemimpin tetap sebagai hala
ke timur dan barat ke mana sahaja
arahan pemimpin tidak diderhaka
perbuatan melawan sangatlah langka.

Namun jika berjiwa merdeka
tiadalah mengikut membabi buta
arahan pemimpin ditanggap berpada
jika dilihat manfaatnya ada
diikut dengan penuh waspada
jika mudarat bakal menoda
arahan disanggah taat tiada

Taat pemimpin percikan asobiyyah
kerana dorongan semangat ananiyah
demi kerana sama kabilah
atau bersatu dalam wadah
kebenaran datang lalu disanggah
kebatilan apapun tetap disembah
walau gelap dikatakan cerah
walau susah dikatakan mudah
walau goyah dianggap gagah
sanggup ditelan miski air ludah.

Pemimpin menyinga puncanya jelata
kala mereka menjadi satwa
hidup buas memburu laba
yang kuat menguasai rimba
yang lemah jadilah mangsa

Jika rakyat menjadi musleh
naiklah pemimpin kalangan yang soleh
keadilan tegak menjadi legeh
mengalirkan sungai kemakmuran nan jernih







Wednesday, August 09, 2023

Kemelut politik sebagai karya seni agong daripada Allah SWT

Beberapa waktu terdahulu, kita diperdengarkan dengan istilah Perpaduan Ummah dan juga Muwafakat Nasional. Ketika itu, Pas dan UMNO sedang menyemai kesepakatan politik yang menjadikan kesatuan bangsa sebagai ramuannya. Tentunya bangsa Melayu. Namun, masa sangat cepat berubah. Liuk lintuk politik tidak menentu. Ada keragaman yang menimbulkan kesukaran. 

Sementelahan, maslahat kesatuan ummah dalam bentuk tersebut mengikut keperluan Malaysia sangat meragukan. Apakah ia mampu membawa negara ini menerjah kabus kemandoman ekonomi atau akan meninggalkan keterpingaan kepada rakyat jelata?

Percayalah, bahawa apa yang berlaku adalah susunan Sang Pencipta yang Maha Bijaksana. 

Dalam keadaan yang semikian, yakni ada kalangan mengajak kepada bersatu padunya rakyat di bawah payung perpaduan ummah dan muwafakat nasional, Allah SWT datangkan dalam bentuk yang lain yang tidak diharapkan oleh para aktornya.

Kalau masih dapat diingatkan, beberapa tahun lau kita didendangkan dengan istilah Unity Goverment oleh Presiden Pas TG Haji Hadi, Waktu itu, ada ketidaktentuan politik. Pas berkonflik dengan DAP dalam Pakatan Rakyat. Pada pada masa itu belum lagi berkencan dengan UMNO. Bersatu pula belum lahir. 

TG Hj Hadi menyuarakan dalam ucapannya di Muktamar Pas tahun 2008. Ketika itu, telah bertiup angin istilah Kerajaan Perpaduan. Orang belum boleh menerimanya. Tg Hj. Hadi dan beberapa individu dituduh kalangan pendokong Pakatan Rakyat sebangai barua UMNO kerana merancang untuk idea Unity Government dengan UMNO yang saat itu masih berkuasa .

Boleh baca sau artikal yang diterbitkan pada tahun 2015: https://theedgemalaysia.com/article/%E2%80%98hadi-wanted-unity-government%E2%80%99

Tentang cadangan Unity Goverment oleh TG Hj Hadi itu, Syed Ali Al-Habshee dari Umno Bahagian Cheras pernah menulis:

Rujuk: http://umnobahagiancheras.blogspot.com/2009/06/cadangan-kerajaan-perpaduan-jangan.html

Kalaulah anda masih ingat. Aku masih ingat detik-detik itu...

Kini, pada tahun 2023, muncul menjadi realitu sebuah kerajaan yang dinamakan Kerajaan Perpaduan yang mengumpulkan 19 parti di dalamnya. Apa yang diangankan oleh Presiden Pas satu masa lalu telah menjadi realiti tetapi tidak sebagaimana yang beliau kehendaki. Alah memang begitu dalam mentakdirkan. Dia tidak mengikut kehendak makhluk tetapi mengikut kehendakNya.

Ironinya dan entah apa rahsianya, Pas tidak dimasukkan dalam kerajaan perpaduan itu. Pas tersisih daripada berkongsi idea besar yang pernah diangkat oleh presidennya. Malah, Pas muncul sebagai penentangnya pula. Menentang apa yang pernah menjadi dendangannya satu masa dulu.

Aku melihat dan menekur makar Allah SWT ini. Apa sebenarnya yang Allah ingin ajar manusia? Lebih tepat lagi, apa yang Allah mahu ajar orang-orang Pas dalam perkembangan terkini ini?

Menjadi bahan renungan bagi yang berfikir...

Pas adalah parti pertama yang mencantumkan sperma dan ovari sebuah idea yang bernama Unity Government. Tapi bila terbentuk, ia tidak menyertainya. Kerajaan perpaduan yang terbentuk itu pula bukan sebagaimana konteks waktu lontaran Presiden Pas. Waktu itu antara PR yang didalamnya ada Pas dengan UMNO yang merupakan kepala kepada BN. 

Pas melaungkan muwafakat nasional, kini ada permuawafakatan besar parti-parti politik nasional, Pas tidak menyertainya , sebaliknya membentuk kelompok penentang yang menghimpunkan 3 parti sahaja. Pas menyeru perpaduan ummah tetapi ummah yang Allah satupadukan kini adalah Ummah Istijabah dan Ummah dakwah! Bukan sekadar Ummah Islamiyyah yang disasarkan Presiden Pas dalam siasat poltik terakhirnya.

Kita tidak akan faham sefaham-fahamnya liku-liku makrullah sehinggalah beberapa tahun mendatang. Dua atau tiga tahun lagi, kita akan dapat memahami sesuatu yang lain. Sesuatu yang baru. Bagaimana Allah menetapkan sesuatu dan melenyapkan sesuatu!

Tunggu dan saksikanlah.

Sunday, July 30, 2023

NAFSU KEKUASAAN

Dulu, masa Pas asyik kalah dalam pihanraya, belum pernah mencicipi madui kekuasaan, tidak ramai yang mahu jadi calon dalam pilihanraya. Sejak beberapa penggal ke belakang ini, keadaan sudah banyak berubah. Mencalonkan diri atau dicalonkan dalam pilihanraya bukan lagi menjadi satu lambang pengorbanan dan jihad. Ia bukanlah lagi sebuah perjuangan yang suci mulus. Di hujung tujuan menjadi calon, tersemat kemilau kekuasaan yang menjanjikan jawatan dengan pulangan harta dan kesenangan hidup. Sebab itu, rata-rata yang menjaid YB selepas menang pilihanraya bertukar gaya hidup dan penampilan diri. 

Dulu pakai Perodua Kembara, lepas menang beberapa bulan sudah mula berkereta Mazda X5. Ada yang sudah mula bertukar kepada Vellphire atau Alphard. Termasuk pakai Mers dan Toyota Harrier yang harganya ratusan ribu. Pendek kata, perubahan kereta yang dipakai menunjukkan lonjakan pelampiasan nafsu yang selama ini terkekang. 

Maka, mana pemimpin yang meniru gaya Umar Abdul Aziz? Walau dalam kempen dan ceramah sering menyebutkan kepimpinan Islam ala Umar Abdul Aziz. Bila sudah meraih kerusi kepimpinan, datanglah manipulasi hujjah.

Kerana itu, rakyat bawahan jangan lagi terindoktrinasi dengan asakan agama dalam memilih seseorang YB. Jika calon itu orang yang baik , pilihlah dia kerana baiknya dia. Kerana ada harapan yang disandarkan. Jika dia bertukar arah, tinggalkan dia dan pilihanraya mendatang, pilih yang lain. Orang yang dilihat lebih baik. Baik jahat adalah sebuah ukuran relatif dalam konteks politik.

Sehari dua ini, di Kelantan pecah isu. Nik Abduh anak TG Nik Aziz tidak dicalonkan dalam PRN. Bapa saudaranya Nik Din marah dan keluarkan kenyataan agar jangan undi Nik Amar, TMB Kelantan sekarang. TMB itu dianggap watak yang mendalagi konspirasi mematikan hayat politik keluarga TG Nik Aziz. 

Mengamati dan merenung pergelutan dalam parti itu, aku mencapai satu faham. Dalam PAS juga penuh dengan watak-watak yang dahaga kuasa.  Walau sudah banyak penggal berpegang pada jawatan, perasaan sayang pada jawatan sudah menebal. Kalau ikhlas untuk Islam, persiapkan pelapis muda untuk itu. Itu satu lambang tawadhuk dan ketidaktamakan kepada kuasa. Namun, siapa yang sanggup? Hanya yang ikhlas yang sanggup. Adapun Nik Abduh yang merintih dalam diam ketidakpuasan hatinya, juga sedang dipengaruhi oleh ananiyyahnya. 

Kedua-dua pihak ada silapnya. Kedua-duanya adalah ahli politik. Usah dikaitkan dengan Islam dalam hal ini. Ini adalah persaingan peribadi. Bukan persaingan demi Islam!

Demikianlah dalam negeri. Begitu juga dalam negara. Para ahli politik yang bersaing, tuduh menuduh dan cemuh mencemuh, untuk apa? Untuk diri sendiri. Bukanlah demi bangsa. Jauh sekali demi agama. Kalau demi bangsa, lawannya adalah satu bangsa. Kalau demi agama, lawannya juga seagama. Kalau rasa agama diri sendiri lebih baik, itu sudah memiliki sifat yang dicela oleh agama. Sifat tazkiyyah diri. Orang lain lemah iman dan takwa dan diri sendirilah lebih iman dan bertakwa.

Seharusnya, kita selalu berlapang dada. Kalau ada orang lain hendaklah membela agama dan bangsa, kita sokong. Andainya dia khianat agama dan bangsa, kita nasihatinya dan betulkan. Jadi pemimpin bukan mudah. Kalau kita sendiri jadi pemimpin, fitnah yang sama akan menimpa kita.

Hal ini telah terbukti tatkala siri kerajaan bersilih ganti begitu kerap dalam tempoh penggal lepas. Sesiapa yang memerhati, boleh faham bagaimana kuasa menajadi fitnah atas diri. Waktu di luar kandang kuasa, kita pertikaikan orang. Bila sudah di tampuk kuasa, kita tidak dapat buat apa yang kita bisingkan. 

Maka, lebih baik jadi penasihat dalam agama daripada jadi pemimpin. Pemimpin tanggungjawabnya besar. Ramai yang nak jadi pemimpin dewasa ini dikeranakan nampak kemilau harta!


Friday, June 23, 2023

Daging ulama adalah beracun

Catatan marah buat Tok Guru Jadian.

Beberapa hari ini ada seorang Tok Guru Jadian memperlecehkan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Selain mempertikaikan fatwa-fatwanya, dia mengatakan kembang tengkok bila dengar nama Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.

Saya tak heran kalau ada orang merasa kembang tengkok bila dengar nama Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Memang begitu rasanya kalau makan daging orang mati. Lebih-lebih lagi kalau daging itu daging ulama. Daging ulama itu beracun. Makan daging beracun manakan tidak kembang tengkok?

Demikian disebutkan dalam satu ibarat yang masyhur dan sandarannya kepada kata-kata seorang ulama yang bernama Al-Hafiz Abu Al-Qasim Ali bin Al-Hasan Hibbatullah Ibn Asakir Ad-Damsyiqi.

لحوم العلماء مسمومة
"Daging-daging para ulama adalah beracun"

Terlebih parah lagi kalau ulama itu telah meninggal dunia. Cacian dan nista kepadanya tidak lagi dapat dijawab balas olehnya. Selain sang penista menanggung akibat kemuflisan, dia akan mendapat fitnah dawair. Kita telah saksikan banyak contoh para penista ulama mendapat akibatnya. Ada orang, lidahnya banyak mencemuh Ibn Taimiyyah yang keulamaanya diakui oleh ramai tokoh ulama baik masa lalu maupun masa kini. Khazanah peninggalannya dalam dunia ilmu tidak terhitung keluasan manfatnya. Lalu, sang pencemuh itu kemduiannya melahirkan anak yang dicemuh dan buruk akhlaknya. Betapa besar kedudukannya dalam masyarakat, kemuliaannya direnggut hilang oleh sikapnya. 

Justeru, awaslah! Jangan makan daging beracun. Daging ulama sangat beracun. Ulama itu bukan lebai dan bukan ustaz kecil-kecilan. Ulama itu nama besar dalam dunia ilmu. Bukan, asal jadi penceramah lalu disebut ulama. Bukan jadi da'i, pencetus ummah, disebut orang Tok Guru, maka diangkap sebagai ulama.Bahkan. menjawat jawatan mufti belum tentu layak disebut ulama. Ulama bukan lebel semurah itu. Jadi ulama meletakkannya sebagi PANUTAN UMMAT.

Kau makan daging babi lagi selamat dari kau makan daging ulama. Kau makan daging babi, itu dosa, tapi kalau dalam keadaan darurat, tidak menjadi dosa. Namun, makan daging orang, apalagi ulama tidak pernah menjadi halal.

Keilmuan hanya pada tahap ruwaibidhah tapi mengaku sebagai Tok Guru. Mengaku mengaji kitab dari kulit ke kulit. Apa nak hebat kalau hanya buka kulit depan dan kemudian kulit belakang! Isi Kitab satu pun tak hadam. Tak terjelma dalam diri. Sementara, tak ada satu kitab pun  yang diterbitkannya untuk jadi rujukan ummat. Jauh sekali untuk berada di tangga ulama sekalipun anak tangga yang pertama dari ratusan anak tangga. Sedangkan kitab Dr. Yusuf Al-Qaradhawi memenuhi kutubkhanah seluruh dunia. 

Orang itu hidupnya tidak memberi manfaat dan matinya tidak akan diingat. Dia hanya anjing menyalak bukit. Ulama seperti Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah menjadi bukit dalam dunia ilmu. Penyalaknya tidak akan memberikan apa-apa kesan, Hanya kasihanlah buat sang penyalak. 

Agama tidak memetik jasa Tok Guru jadian itu sekelumit pun. 


Thursday, June 22, 2023

Hikayat: Wanita yang diselamatkan Allah

 Telah menukilkan kisah ini oleh Ibn Al-Jazari dalam kitabnya yang bernama:

الزهر الفائح في ذكر من تنزه عن الذنوب والقبائح

Satu hari ada seorarang wanita dilihat oleh seorang yang soleh bertawaf di keliling Kaabah sambil berkata:

يا كريم عهدك القديم! 



Maka orang soleh tadi pun bertanya, apa sebabnya dia mengulangkan kalimah itu. Apa ceritanya?

Maka wanita itu pun menceritakan kisahnya. Satu ketika dia belayar di laut bersama anaknya yang masih kecil. Malangnya kapal yang dia tumpangi itu peah dipukul ribut dan ombak. Dia menyelamatkan diri dengan berpaut pada sebatang kayu dan dia memegang anaknya. Ketika itu, ada seorang penumpang lelaki yang juga terselamat datang berpaut sama di batang kayu itu. Lelaki itu menggodanya lalu diingatkan oleh wanita itu kepadanya dengan katanya:

ياعبدالله نحن في بلية لانرجو السلامة منها بطاعة فكيف بالمعصية؟

Wahai hamba Allah, kita dalam musibah, kita mengharapkan selamat dengan ketaatan, maka bagimana maksiat boleh menjemput keselamatan?

Lalu lelaki tidak mempedulikan peringatan sang wanita. Malah, dia mencapai anak kecilnya dan dilemparkan jauh dari mereka.Maka wanita itu pun berdoa dengan katanya:

يا من يحول بين المرء وقلبه حُل بيني وبين هذا الرجل بحولك وقوتك إنك على كل شيء قدير

wahai Tuhan yang menguasai apa yang ada antara seseornag dan hatinya, jaihilah antaraku dengan lelaki ini dengan kekuatanmu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa atas segala sesuatu.

Lalu, tiba-tiba ada seekor ikan besar muncul dan menelan lelaki itu. Wanita itu dihanyitkan dan selamat sampai ke sebuah daratan . Di sana dia ditemui orang dan dikisahkan kisahnya yang ajaib itu. Tetapi orang di daratan itu menceritakan kisah yang lebih ajaib lagi. Kisah bagaimana mereka didatangi oleh satu haiwan laut yang di belakangnya ada seorang anak kecil dan mereka disuruh menjaganya.

Rupanya anak kecil itu adalah anak perempuan tadi. Dia pun dikembalikan kepada ibunya.


Download Kitab:


Monday, June 19, 2023

HIKAYAT SAMPAH BANJIR

Sampah banjir, hanyut di bawa arus. Sampah banjir bercampur aduk segala macam. Ada serpihan kayu dan ada bangkai. Sungai yabng indah mata memandang bila sudah amsuk sampah banjir, hilanglah serinya. Airnya tentu keruh pula.

Ke mana analogi ini hendak dibawa?

ianya sampai kepada hadis nabi SAW:


عن ثوبان رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((يوشك الأمم أن تداعى عليكم، كما تداعى الأكلة إلى قصعتها. فقال قائل: ومِن قلَّةٍ نحن يومئذ؟ قال: بل أنتم يومئذٍ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السَّيل، ولينزعنَّ الله مِن صدور عدوِّكم المهابة منكم، وليقذفنَّ الله في قلوبكم الوَهَن. فقال قائل: يا رسول الله، وما الوَهْن؟ قال: حبُّ الدُّنيا، وكراهية الموت  ))

 


Wednesday, June 07, 2023

Pendakwah perlu letak diri di tempat mulia

Ada ustaz pergiu ceramah di masjid dan surau, minta sumbangan orang ramai. Sumbangan tersebut ada macam-macam jenis. Ada minta sumbangan nak bangunkan madrasah. Ada sumbangan nak sambung belajar. Ada sumbangan nak lestarikan kerja dakwahnya. Perbuatan ustaz yang sedemikian sekali pandang tak menajdi apa-apa masalah. Namun, jika diamati dengan teliti dan dimuhasabahkan setulusnya, akan nampaklah pada basiirah kita kejanggalannya.

Pertama, dakwah tidka boleh disertai dengan minta upah. Hal ini banyak disebutkan dalam Quran.
Kedua, orang yang meminta sumbangan lebih rendah daripada yang menerima sumbangan. Dalam hadis dinyatakan bahawa tangan yang memberi lebioh baik daripada tangan yang menerima.

Maka, janganlah ajdi ustaz yang meminta kerana jika demikian, dia sudah jadi lekeh dan rendah berbanding mad'unya.

Wednesday, May 24, 2023

Perangai orang berhutang

 Orang berhutang

Masa nak minta hutang

walau tidak ada masa lapang

sanggup mencuri masa untuk jumpa pemiutang

masa nak bayar hutang 

mahu minta tangguh tunggu kalau ada masa lapang.


Orang berhutang

mula-mula hutang bayar lancar

supaya pemiutang percaya ketulusan dan kejujuran

bila sudah dipercaya 

hutang pun susah nak bayar.....


Orang berhutang

masa nak minta hutang 

sebutkan pasal tolong menolong sesama Islam

Siapa lepaskan kesulitan saiudara Islam akan digantikan keluasan

bila sampai masa nak bayar hutang

tidak pula fikir kesusahan pemberi hutang!


Orang berhutang

kalau sudah hutang keliling pinggang

dapat duit bukan  nak bayar hutang

tapi fikir nak lepas gian

nak tukar hp baru dan pergi jalan-jalan melancung.


Orang kaki hutang

hidup tak akan senang

dapat razeki terbang melayang

kerana sehari-hari disumpah orang!


Wednesday, February 15, 2023

KEBEBASAN DAN HAK

 Kita tentu suka diberikan kebebasan kerana kebebasan melambangkan kemerdekaan. Siapa tidak mahu merdeka? Merdeka ertinya lawan kepada hamba. Menjadi hamba adalah satu kehinaan sedang merdeka adalah satu kemuliaan. Sebab itu, negara-negara yang terjajah berjuang dengan darah, keringat dan air mata untuk merdeka. Mendapat kemerdekaan adalah dambaan bangsa dan negara yang terjajah. Itu kerana merdeka adalah menifestasi maruah dan kemuliaan.


Maka, orang mahu dirinya bebas. Tapi sejauh mana bebas itu? Apakah bebas semahu-mahunya? Apakah kalau seseorang itu bebas semahunya, orang lain juga bebas? Jika satu orang bebas mengatakan apa sahaja hatta berbohong, fitnah dan adu domba, bagaimana pula kebebasan orang lain yang menjadi mangsanya? Jika orang lain yang jadi mangsanya bertindak balas melakukan hal yang sama atas nama kebebasan mengucapkan kata fitmah, adu domba dan bohong, itulah jalan kebebasan sejati yang kita ingin tegakkan dalam kehidupan manusia?

Kita fikir sejenak. Bukan sahaja bebas bercakap. Kita masukkan juga bebas bertindak. Setiap orang bebas melakukan apa sahaja. Bebas merogol , membunuh dan melakukan apa sahaja sekehendak hatinya. Jika begitu berikan juga kebebasan kepada orang lain melakukan hal yang sama ke atasnya.

Apa akan jadi kepada kehidupan jika sedemikian bebasnya orang?

Leburkan sahaja peraturan. Agama juga tidak perli sebab semua agama sekat kebebasan penganutnya.Negara yang dibina tidak perlu perlembagaan sebab dalam perlembagaan ada sekatan kebebasan.

Kerana itu kita perlu sedar bahawa yang nama kebebasan itu ada batasannya.

Jika kita mengadu tidak bebas disebabkan sekatan orang atas kita, kita perlu muhasabah, apa sebab kita disekat. Barangkali orang yang sekat kita itu juga mahukan kebebasan. Barangkali kita terlebih bebas hingga merampas kebebasan orang lain itu.

Mengadili kebebasan ini, perlu ada juru tengah yang mengadili. Siapa yang terhalang kebebasannya dan siapa yang hilang kebebasannya? Namun, juru tengah pun perlu dipantau. Apakah dia pula salah guna kebebasannya menengahi orang lain!

Friday, January 13, 2023

Jangan buat kerja-kerja Abu Amir Al-Fasiq

Abu Amir Al-Fasiq sebelumnya di Kota Madinah dikenali sebagai Abu Amir Ar-Rahib. Dia  banyak ilmu tenang ajaran para nabi ketimbang penduduk Kota Madinah pada masa sebelum kedatangan nabi SAW. Dia sering memperingatkan kepada penduduk Madinah tentang hampirnya kedatangan nabi akhir zaman. Namun, bila nabi SAW tiba di Kota madinah, dia tidak mahu percaya. Dia, malah menentang nabi SAW dan mencabar baginda. Bila sokongan kepada nabi SAW makin teguh, dia lari ke luar negara dan menyusun siasat politik licik dari luar negara. Nun jauh di negara Rom, di wilayah Syam, dia mencucuk jarum permusuhan ke atas negaranya. 

Kerana Perdana Menteri negaranya adalah Muhammad dia tidak boleh terima. Kerana Orang Madinah kian sayang ekpada nabi Muhammad, hatinya sakit. Dari jauh dia menyalurkan dana untuk dibina sebuah markas yang menyerupai masjid orang-orang Islam. 

Sesiapa yang buat kerja menggali fondasi negara agar runtuhnya sebuah pemerintahan, dialah Abu Amir Al-fasiq. Tidak kira siapapun dia dan apa pun kedudukannya. Manusia tidak suci dari dosa dan kecenderungan mungkar.

Monday, December 12, 2022

What goes around comes around

 Orang putih kata: What goes around caomes around.

Apa yang kau lakukan kat orang lain, itu yang yang akan menimpa kamu.


Mungkin ia sama seperti apa yang disebutkan dalam bahasa Arab: الجزاء من جنس العمل

Balasan mengikut amal perbuatan.

Buat baik dibalas baik, buat jahat tunggulah balasan jahatnya.


Banyak kata pujangga, cerdik pandai yang mengambarkan situasi ini.

1) Siapa menyemai badai, taufanlah yang akan dituai

2) Kalau lalang yang ditanam, janganlah padi yang diharap.


Aku menyaksikan, seorang yang pernah khianat, akhirnya dia dikhianati. 

Seorang yang pernah menfitnah orang, dia kemduiannya difitnah.

Seorang yang menzalimi orang, dia kemudiannya dizalimi!

Lihatlah dna renunglah putaran roda yang berpusing....Allahu akbar!


من غدر سيغدر فيه ومن خان سيخان لاتحزن ياصديقي فهي مسأله وقت لا اكثر


https://www.almrsal.com/post/1139518


Saturday, December 03, 2022

Beriktisadlah dalam menulis di media sosial

 Ramai orang sangat boros. Boros dalam membelanjakan tulisannya di media sosial  ke jalan yang menempah defisit pahala di akhirat. Jika dibaca tulisan mereka , tidaklah nampak menurut citra agama atau akal waras sekalipun, menyuburkan pahala. Tidak mungkinlah Allah SWT sebagai Tuhan yang menganugrahkan pahala dan membalas dosa , akan mengurniakan pahala buat tulisan yang berbaur kebencian, perlecehan, menjatuhkan maruah, adu domba dan umpat keji. Tak mungkin!

Samada mereka yang suka membuat tulisan sedemikian merasakan ia berpahala atau gagal menahan diri sendiri. Jika disangka berpahala, nyatalah bahawa tahap kefahaman agama mereka berada pada tahap yang rendah. Kalau gagal menahan diri, itu tandanya kelemahan diri dan menjadi dalil bahawa diri tidaklah lebih baik daripada orang yang dinistakan.

Mungkin mata-mata yang membuat tulisan sedemikian tidak putus memerhati berapa banyak "like" yang diperolehinya. Alangkah seronaknya kalau like menjadi ribu riban. Dirasakanlah bahawa dia hebat di media sosial. Dia jaguh dalam menjadi influencer di tiktok, insta, FB dan sebagainya. Namun,  satu hal yang dia lupa, dia bakalan muflis di akhirat sana!

Banyaklah berdiam diri dewasa ini. Mungkin kita tidak mampu menghalang diri daripada membaca dan mendengar segala tulisan dan ocehan di media sosial. Namun, berjaya menahan diri dari membuat komen atau mengongsikannya, itu adalah kekuatan yang yang menguntungkan khirat anda.

Nilailah hamburan dan semburan anda, apakah ia berdosa atau berpahala. Tepuk dada tanya iman!


Ikutlah DS Anwar Ibrahim nak lantik siapa pun...

Riuh rendah dalam media sosial, orang memperkatakan tentang kabinet kerajaan pimpinan YAB DSAI. Sindiran yang dipertajamkan ditumpukan terhadap perlantikan DS Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri. Presiden UMNO itu yang disifatkan sebagai Kluster Mahkamah dan dikatakan sebagai satu najis yang busuk dalam kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh DS Anwar Ibrahim. Sepatutnya DS Ahmad Zahid tidak dimasukkan dalam senarai Menteri Kabinet!



Kritikan-kritikan yang marak itu datang daripada musuh politik DS Anwar Ibrahim secara khusus dan Pakatan Harapan secara umumnya. Tidak kurang juga musuh-musuh politik DS Ahmad Zahid Hamidi sendiri yang bersenandung  penuh "comouflage" dalam Parti UMNO itu sendiri.

Sejak awal perlantikan DS Anwar sebagai Perdana Menteri lagi, kita saksikan ada sebahagian pihak yang tidak boleh menerima suratan takdir itu. Seakan-akan mereka lupakan firman Tuhan bahawa Dialah yang memiliki "mulk" (Kerajaan) dan Dialah yang memberikan kerajaan kepada siapa yang dikehendaki. Ketika berteori tentang takdir, memang mudah. Namun, bila dicabar oleh takdir, ramai yang melatah. Ilmu bukan jawapan untuk sebuah sikap. Sikap ditentukan oleh hati dan latihan serta tarbiah nafsiyyah yang panjang.

Pihak yang mempertikaikan keabsahan lantikan tersebut, seterusnya menunggu hari pengumuman kabinet. Sebelum hari itu pun, sentimen mengenai Ahmad Zahid Hamidi telah dipercikan apinya. Akhirnya, apabila DS Anwar Ibrahim mengambil keputusan melantiknya sebagai Timbalan Perdana menteri, api pun dinyalakan. Ia dimodali untuk sebuah kempen dan sentimen memburuk-burukan kerajaan yang telah dan sedang dibina itu.

Aku tidak berminat dengan politik kebencian seperti ini. Aku letih melihat sengketa para politikus. Tidak adakah satu senggangan masa untuk berehat dan bertafakur wahai para pengobar haba politik? Rakyat sudah terhimpit lama dalam kemelut ekonomi. Biarlah kerajaan yang ditauliahkan oleh DYPA itu bekerja. Nak lantik siapa, ikut suka dialah. Nanti, kalau sampai pusingan hari dan masa, bertukar kuasa ke tangan pihak yang lain, lantiklah pula siapa yang disukainya. Sekarang giliran DS Anwar Ibrahim memilih pasukannya. Dia yang nak bekerja dan dialah yang memilih pasukannya. Mengapa orang lain pula menyibuk?

Saya menyisih diri daripada menjadi soldadu para politikus sudah lama. Saya menyedari bahawa sayembara mereka lebih kepada pamrih kuasa. Demi bangsa dan agama itu hanya sebuah melankolik bahasa. Saya memerhati gelagat mereka dari jauh. Telah muncul dan beranak satu bentuk kemelampauan. Saya tidak suka overdose dalam politik sebegini. Hingga PRU sudah selesai, masih bercakap pasal perlumbaan kuasa. Masih bercakap tentang cubaan merampas kuasa dengan jalan-jalan yang makar. Ini sangat tidak bermoral dan bukan sikap "taifah" yang menyeru ke arah kebaikan.

Sikap peribadi terbaik buat masa ini adalah berdiam diri. Hentikan melakar dosa menuduh orang itu ini dengan gelaran dan perlebelan yang kita sendiri tidak suka ditempelkan kepada kita. Hentikan mengejek orang dengan ejekan "sakau". PRU Sudah tamat. Untuk apa lagi ejekan itu. Simpan untuk PRU akan datang. Hentikan juga lebel orang munafiq, liberal, fremanson , taliban, pengganas dan sebagainya.  Kita tidak tahu siapakah yang lebih mulia di sisi Allah. Allah sendiri dalam nas Quran melarang kita membersihkan diri sendiri dan dalam msa yang sama mencemarkan orang lain. Allah tidak suka siapa yang mengakui dirimya orang baik dan menjahatkan orang lain. 

Hiduplah aman damai dan buangkan sengketa.

Rakyat mahu keadilan dalam pembahagian kek ekonomi negara. Perut kenyang adalah perjuangan nombor wahid dalam pembinaan sebuah negara! Bukan idelisme, semangat dan isme-isme yang direkakan orang.

Takdir akan berjalan sama ada kita suka atau tidak suka. Banyaklah berdiam daripada asyik mengobar dosa.





Wednesday, November 30, 2022

Redhakan kuasa ke tangan orang lain

 Pilihanraya kali ke 15 telah selesai. Perdana menteri telah pun dilantik. Pakatan Harapan mengetuai satu bentuk kerjasama politik yang dipayungi arahan YDPA. Kerjasama politik itu melibatkan parti-parti yang mempunyai calon MP yang menang. Hanyak Parti PN, MCA dan MIC yang mengambil sikap tidka mahu bersekutu dalam gabungan politik tersebut. 

Rakyat sudah letih dengan cekcok para politikus. Kini rakyat tiada minat lagi melihat persengketaan para politikus. Rakyat mahu melihat negara aman dan makmur. Ekonomi berkembangan dan bebanan hidup rakyat menjadi ringan. Itu yang rakyat inginkan. Rakyat tidak lagi makhsyuk dengan sentimen perkauman dan agama yang menjadi kupasan berselera sebelum hariu pengundian. Rakyat terbanyak hari ini lebih cenderung mengambil sikap memerhati bagaimana perdana menteri baru membawa negara menongkah masa depan.

Namun, para penagih politik, ada yang tidak pernah dapat tidur lena. Dendam kesumat masih membuak dalam dada. Saban hari, ada sahaja kenyataan yang memarakkan api permusuhan dan kebencian serta memancing lawan. Ini bukan sikap yang baik dalam demokrasi sebuah negara. Seharusnya, ribut taufan apabila sudah reda, hendaklah kita berganding bahu bangunkan negara. Jika kuasa yang didamba milik orang lain. maka relakan sahaja. Allah SWT pemilik kuasa, dia memuliakan sesiapa yang dia kehendaki dan menghinakan sesiapa yang Dia kehendaki. 

Hari-hari di pundak kuasa adalah bergantian. Jika kemarin kuasa di tangan sekumpulan orang, maka jika bergantian ke tangan kumpulan yang lain kemduiannya, redakanlah. Kuasa bukan punya kita. Ia pinjaman sahaja. Kita tidak hebat dalam menguruskan kuasa. Allah yang hebat. Jika kita redha, Allah muliakan kita. namun, jika kita gelisah, resah, kewalahan mengungkit kuasa, Allah akan menambahkan kehinaan kita.

Allahul musta'an!

Monday, October 31, 2022

Parti-parti yang dahagakan kuasa.

Kritikan ini ditujukan kepada sebuah parti yang bernama PSM (Parti Sosialis Malaysia). Pada musim mendekati garis akhir penamaan calon pada 5hb ini bagi PRU15, kita lihat bagaimana PSM memperlihat ketidakselesaannya dengan PH. Berikutan masalah kerusi yang patut mereka tandingi belum diberikan kata putus oleh para pemimpin PH, mereka mula mempersoalkan tentang hak mereka. Mereka mengungkit tentang janji yang diberikan buat mereka.

Saya yang kurang minat dalam politik, tidak terlepas dalam memerhatikan gelagat beberapa parti yang kecil seperti PSM ini. Mereka nampaknya sedang mencari dahan untuk berpaut. Selama ini, mereka kekal bukan sebagai komponen PH. Namun bila menjelang PRU15, mereka beraksi seolah-olah mereka komponen PH. Bila tidak diperuntukkan kerusi, mereka berang. 

Kita rakyat yang bukan dalam hagemoni politik tidak tahu apa yang berlegar kalangan para tuan politik. Mungkin PSM mahu kerusi-kerusi boleh menang yang sudah ada penyandang sebelumnya dari PKR atau lain-lain komponen PH. Bila rundingan ke arah itu gagal mencapai natijahnya , mereka tidak ditawarkan kerusi. 

Nasiblah, PSM tidak pernah menang dan tidak diminati serta bukan pilihan ramai. Kalau mereka bertanding sendiri pun sekadar bertanding dan mungkin hilang deposit. Apa yang kita boleh lihat, tujuan parti sebegini hanya pamrih kuasa. Kalau ada seorang ahli parlimen mereka, mereka mungkin berkira boleh membuat beberapa tuntutan sesuai dengan ideologi sosialis mereka. Antara penyokong parti adalah Siti Kasim, musuh ramai orang Melayu.

Seharusnya, parti sebegini tidak perlu dibawa berbincang. Ada tak menambah, tiada tidak mengurang!

Saturday, October 29, 2022

Makar yang tidak habis

Umno dilaporkan menolak cadangan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu di Tambun untuk menewaskan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan menamatkan kerjaya politiknya.

Laporan Free Malaysia Today memetik Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata bahawa BN akan meletakkan calonnya sendiri di sana dan mereka yakin berpeluang memenangi saingan pelbagai penjuru di Tambun.

"Kita tidak mempunyai sebarang pakatan (untuk BN) untuk memberi laluan (kepada mana-mana parti lawan) di mana-mana kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15)," katanya dipetik sebagai berkata.

Ahmad dilaporkan berkata demikian sebagai menjawab cadangan ahli jawatankuasa PAS pusat Zuhdi Marsuki, yang mencadangkan kerjasama antara Umno, PAS dan Bersatu untuk mengalahkan Anwar bagi kerusi parlimen Tambun pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Zuhdi dilaporkan berkata Anwar adalah penyumbang utama kepada "krisis politik yang tidak berkesudahan" di Malaysia dan mengalahkannya di Tambun akan menamatkan kerjaya politiknya.

"Sebagai balasan, Umno boleh meletakkan calon untuk kerusi DUN Hulu Kinta mana
kala PAS boleh melakukan perkara yang sama di Manjoi," katanya.

(Petikan: Sumber FMT yang dipetik Malaysiakini)


Politik seperti ini adalah "telunjuk lurus kelingkin berkait". Dalam degar ceramah menyatakan kebobrokan UMNO sebagai parti perasuah, mengajak rakyat menolak UMNO dan mengundi Perikatan, boleh ada usul daripada seorang Ahli Jawatankuasa Pusat Pas untuk berpakat dengan UMNO dalam rangka untuk mengalahkan DS Anwar. Politik ini tidak tulus. Tidak jujur dan tidak adil. Kata tidak dikota. Depan para penyokong dinyatakan bahawa UMNO parti kelptokrat. Menang UMNO negara akan musnah. Tapi, dalam senyap-senyap cuba melakukan perbincangan untuk mencapai matlamat yang cuba disamakan antara dua gabungan itu. Matlamat menewas seorang politikus yang sekian lama dimusuhi.


Allahu...akal sihatku tidak boleh menerima permainan kotor sebegini. Hati Zuhdi Marsuki lebih berkabus, berbelang dan berceloreng berbanding Ahmad Maslan. Dalam soal ini, penolakan Ahmad Maslan adalah berprinsip. Idea Zuhdi Marsuki untuk memasukkan ramuan politik " kita sepakat di sini dan bergaduh di tempat lain" adalah sebuah nifak politik. Politik memperbodohkan rakyat. Politik belakang tabir yang tidak pernah padam dan menjadi bidak catur sebahagian politikus Pas sejak al-Marhum TG Nik Aziz masih hidup.


Kita tidak lupa episod lepas yang belum tamat dan to be contunued. Episod yang pecah tembelang ini adalah salah satu sambungan cerita makar politik dalam episod lepas. Rakyat yang cerdik dan celik maklumat tidak menyukai mainan bersimpang siur seperti ini. Tidak mustahil dan amat mungkin sekali, selepas PRU15, akan ada lagi mainan kotor yang akan dipalu.


Semua itu demi sebuah kemahuan. Menjatuh seseorang dan menaikkan seseorang. Tidak lain, tujuan daripada falsafah itu , hanyalah demi memburu al-jah serta haloba kuasa.


Allahul musta'an...Aku berlindung dari siasah!(memetik kata-kata Said An-Nursi)

Thursday, October 27, 2022

Fitnah-fitnah para politikus

Politik yang dimainkan orang (para politikus) membawa kepada  banyak dosa. Ketika perebutan kuasa sedang memuncak dalam sebuah sistem demokrasi, lihatlah bagaimana upaya para politikus meraih kepercayaan massa. Penampilan watak suci menjadi-jadi. Jiwa elit bertukar menjadi jiwa rakyat marhaen. hati singa menjadi hati domba. Busana iblis menjadi busana malaikat!

Saksikan, bagaimana fitnah meluncur laju bagai panah terlepas dari busurnya. Tidak kira siapa. Apakah politikus itu seorang leberalis, chauvinis, sosialis, komunis,  nasionalis, agamis, fundamentalis atau akademis. Terjebak dalam politik, menyebabkan semua warganya mencecah kancah berkumbahan.

Aku kasihan melihat mereka semua. Tapi apakan daya. Politik dan kehidupan tidak dapat diasingkan. Dari soal masuk tandas hingga terbang para roh menuju Mala'ul A'la, pengaruh politik menentukannya.

Tidakkah pernah kita alami dulu, sewaktu PKP, kisa solat berjaraj di masjid-masjid? Siapa di belakang arahan itu? Mufti? 

Bukan!

Di belakangnya adalah ahli politik!

Jika belum jelas, tanyalah dirimu, mangkuk tandas yang ada di Malaysia, samakah dengan mangkuk tandas yang ada di wilayah selatan Thailand??

Berbeza bukan? Kenapa berbeza?Siapa punya kerja yang menyebabkan perbezaan itu wujud?

Tentu peranan para ahli politik tidak dapat dinafikan! Merekalah yang akan membuat undang-undang, perniagaan eksport dan import yang menentukan mangkuk tandas bagaimana yang boleh masuk dan dijual di pasaran dalam negara!

Semua politikus yang menebarkan fitnah akan menuai hasilnya bila tiba musim panennya!

Tuesday, October 25, 2022

3 TPM

Tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kembali bersipongang di musim pilihanraya ini.UMNO tawarkan buat penduduk Sabah dan Sarawak.Apakah ini umpan UMNO atau tuntutan pemimpin politik di Sabah? Apakah ini kehendak sebenar rakyat Sabah? Apa untungnya jawatan TPM buat rakyat Sabah?

Rakyat Sabah seharusnya lempar buang pemimpin-pemimpin yang hanya memikirkan jawatan. Berapa banyak wang negara disia-siakan untuk jawatan yang fungsinya tidak seberapa. Para pemimpin politik akan makan gaji buta sedangkan rakyat disuruh bekerja penuh didikasi.

Inilah kebobrokaan para ahli politik. Mendapat jawatan dan tiada pekerjaan yang boleh dibuat!

Saturday, October 22, 2022

Exit Door

Exit door adalah jalan keluar saat diperlukan. Kalau sudah habis pintu dan tingkap dipalang, ada exit door. Exit door kena dirahsiakan. Jangan bagi ornag tahu. Kalau nak sebut pun kena kias sahaja. Itulah Exit door.

Dalam politik, kita akan nampak ada pihak yang simpan exit door. Waktu bergaduh dan berperang bagai nak rak dengan seteru politik, ada bahagian yang didamaikan. Bak kata orang, pukul lawan jangan sampai luka. Nanti bila habis sayembara, lawan boleh maafkan. Itu exit door namanya. Apabila rancangan nampak gagal, harapan tinggal pada exit door sebagai penyelamat.

Itulah Exit door dalam politik. Perhatikan baik-baik permainan yang menyimpan exit door itu. Ia dapat difahami dari perkataan dan tidnakan para politikus.

Siapa Ahzab?

 Dalam pertembungan politik, ada pihak menuding jari. 

Kalian adalah pasukan Ahzab! Pasukan Ahzab akan dikalahkan!

Ahzab adalah sebuah pengalaman sejarah. Saat Nabi SAW dan kaum Muslimin terkepung dalam negara Madnah, datanglah pasukan Ahzab menyerang Madinah. Pasukan itu terdiri daripada tentera kafir Quraisy dan juga gabungan kabilah-kabilah yang pelbagai. Ditambah pula oleh musuh dalam selimut Yahudi Bani Quraizoh.Keadaan umat Islam memang getir saat itu. Mujur ada idea penggalian parit sebagai jalan pertahanan oleh sahabat Nabi bernama Salman Al-Farisi. Maka kemaraan pasukan Ahzab dapat disekat. Rancangan mereka menyerbu Kota Madinah dapatlah digendalakan. Kemudian, dengan siasat Nuaim bin Mau'sud. seorang pemuka kabilah Bani Ghtafan yang masuk Islam secara rahsia, persekutuan Bani Quraizoh dalam gerombolan Ahzab dapat diretakkan. Sehinggalah pasukan Ahzab dikalahkan dengan bantuan Allah berupa angin ribut yang membadai khemah dan peralatan mereka. 

Bila berlaku pergaduhan politik antara kaum muslimin, ada pihak yang dituding sebagai Pasukan Ahzab?Tudingan ini adalah kiasan yang menutup makna-makna tersirat yang tidak diucapkan. Di sebaliknya, ada anggapan bahawa masuh politik adalah kafir, musuh Allah dan akan dikalahkan dengan bantuan Allah! Ini tentu membawa kepada situasi yang merbahaya kerana lama-kelamaan ia akan menyubur budaya kafir mengkafirkan antara sesama muslim.

Alangkah baik jika peristiwa Ahzab dikenang sebagai sejarah dalam ruangnya lingkupnya. Ia tidak harus dipolitikkan sehingga membawa makna yang salah dan sarat dengan kepentingan hizbiyyah. 

Kepentingan Hizbiyyah tidak mewakili Allah dan Rasulnya. Ia adalah kecenderungan mansiawi yang tidak pernah usai sejak berzaman berzaman dan sentiasa bartajaddud mengikut lokal dan zaman. Sesiapa yang meneyelak lembaran sejarah fasa pemerintahan khilafah, terutama selepas terbunuhnya Khalifah Uthman dan berterusan hingga tumbangnya khilafah Othmaniyyah pada tahun 1924, sentiasalah ada partisan di kalangan ummat Islam. Ia wujud dalam bentuk pembangkang, pemberontak, penentang dan musuh kerajaan yang memerintah. 

Ia berlangsung dan nampaknya tidka akan menemui noktahnya.