CARI BAHAN

Saturday, November 30, 2019

Simptomatik Masyarakat Yang Lemah Jatidiri

Masa kita masih budak-budak, ibu bapa dan datuk nenek menakut-nakutkan kita dengan hantu, pantang dan siap miyal yang pelbagai. Kerana itu, paganisme pernah berkuasa dalam mayarakat kita dan ia terus meninggalkan tunggul gerigis walau kita telah masuk Islam.

Kemudian sekarang ini, kita ditakutkanb oleh perkara-perkara lain yang sebahagiannya prasangka dan mitos belaka. Orang Melayu khususnya ditakutkan dengan Cina. Orang Melayu diancam dengan komunis. Sehingga pasal abu mayat Chin Peng pun naik pucat muka. 


Wednesday, November 27, 2019

Abu Chin Peng.

Chin Peng dah mati. Mayatnya dah dibakar jadi Abu. Jangan jadi bodoh melahirkan kegusaran tentang abunya dibawa balik ke Malaysia. Keluarganya yang mahu bawa balik. Mereka mahu sempurnakan mayat Chin Peng ikut kepercayaan agama mereka. Abu itu khabarnya ditabur ke laut dna juga Banjaran Titiwangsa. Lantaklah nak tabur kat mana pun. Bukan ada kesan pun. Kalau kita takut nanti kalau abu itu menebarkan semula fahaman komunis di Tanah Melayu, itula ketakutan yang tidak berasas. Khurafat! Manusia mati sudah tiada kuasa apa-apa walau masa hidupnya berkuasa. Sudah tutup buku.

Pasal abu mayat Chin Peng, kalau kita tidak pukul gendang, tidak ada siapa yang peduli. Menyimpan dendam tak berkesudahan itu, bukan perangai dan laku orang beriman. Orang yang sudah mati, apa nak peduli. Move on!. Chin Peng itu, masalah keluarganya. Jika ada ahli keluarga yang jahat, tidak semua kaum keluarga perlu dihukum.

Tak adil kalau anak tok iman hisap dadah, tok imam disuruh letak jawatan.  Dosa anak tok imam, dia sendiri yang tanggung. Tok imam tidak boleh disalahkan. Namun, anak tok imam jangan dihina sampai terasa hati tok imam. Buruk macam manapun, darah dagingnya juga.

Begitulah kita memahami isu Chin Peng dan keluaranya ini.

Jangan pukul gendang menyambut kepulangan Abu mayat Chin Peng. Masa hidup dia ditakuti, tak kan bila dah jadi abu masih takut lagi? Peh...hebat sangat kah dia?

Satu lagi, jadi komunis itu pilihannya. Ramai juga yang bukan Cina yang jadi komunis. Macam Rashid maidin, Syamsiah Pakeh dan Mat Indera. Namun, jangan kerana itu kita menutup pintu buatnya. Masa hidup, jika mereka mahu kembali ke pangkal jalan, pintu sentiasa terbuka. Kalau sesudah mati, apa nak diherankan!

Friday, November 01, 2019

Ketiadaan Kemutlakan

Tiada yang mutlak
yang halal bukan mutlak halal
yang haram bukan mutlak haram

ada angkubah yang mengubah

sama ada angkubah itu benar-benar sebuah angkubah
atau ia cuma cetusan bedebah!

Tuesday, October 22, 2019

Antara Antithesis dan Legitimasi

Bila anda membaca sebuah karya yang menelurkan satu pemikiran, lantas anda tidak menyetujuinya, anda pun menulis karya lain yang mengulas dan membangkangnya, maka anda dikatakan telah antithesis. Namun, terdapat pula, kalangan sarjana yang membuat tajuk tesis yang memperkukuhkan satu karya yang lain, maka sarjana itu dinamakan tabriri atau legitimasi kepada karya tersebut.

Sunday, October 20, 2019

ANTARA KALAM ULAMA DAN SEMBANG KEDAI KOPI

Ulama berbicara dengan ilmu. Mereka ada sandaran nas Al-Quran maupun hadis. Sementara kaki sembang kedai kopi, walaupun banyak maklumat dalam kepala mereka, sembang bicara mereka banyak bersandarkan emosi. Emosi tidak memerlukan sandaran nas Al-Quran maupun Hadis. Kerana itu, bicara ulama jangan dibantah oleh kaki sembang kedai kopi.

Orang yang berakal akan menelaah kalam ulama. Kalam para kaki sembang kedai kopi tidak usah ditelaah. Kalau terdengar, dengarlah seperti deruan ombak. Ombak, kekadang menderu syahdu. Kekadang membadai ganas dan suaranya bergemuruh. Dengar dan abaikan sahaja.

Bicara ulama ibarat hujan, menumbuhkan tanaman yang subur dan memberi makan kepada makhluk Tuhan. Namun, bicara kaki sembang kedai kopi, cuma menebarkan kebodohan dan kedungguan. Ia malahan, memercikkan api yang membakar hutan belantara.

Dengarlah kalam ulama dan ambillah pengajaran, sementara kalam kaki sembang kedai kopi, tinggalkan. Ia tidak memberi manfaat buatmu.

Friday, October 18, 2019

MISKIN BUDI KERING AKHLAK

Orang, kalau miskin budi, tidak akan tahu berbahasa. Kalau orang memberi, tidaklah tahu merasa. Walau dapat segunung intan, kalau miskin yang bernama budi, tidaklah mahu mengucapkan terima kasih, apa lagi syukran. Sementelahan, kalau cuma mendapat secebis bucu tikar, para masakin budi hanya akan menjueh bibir, bahkan mungkin meludahi si pemberi.

Demikian, sifat yang melambangkan keringnya akhlak dan cemarnya perangai. Jika yang sedikit, sama-samalah mencecah. Kalau banyak, lapahlah bersama. Itulah lambang melimpahnya akhlak yang terpuji.

Friday, October 04, 2019

Pantun:Salah sendiri segera baiki

asah parang bersama beliung
ikan tenggiri dibahagi-bahagi
Salah orang  jangan dihitung
Salah sendiri  banyak lagi

Pantun: Dengar nasihat ayah

Bukan payah menanam getah
jika sabar dapatlah ganjaran
Nasihat ayah jangan dibantah
Silalah dengar buat pedoman

Esok bakal gerhana

Jika begini
esok gerhanalah
rebahlah pokok-pokok bersujud
bukan kerana lailatul Qodar....

Sunday, September 29, 2019

Seloka Kasih Ayah

Aduhai anak belahan jiwa
dengarlah nasihat seorang ayah
di kala engkau masih kecil
kau disayang separuh mati

Dibelai kasih setiap masa
tiadalah dibenarkan bahaya bertandang
ayah membela dengan kasih sayang
sehingga kini kau dewasa sempurna

sungguhlah besar kasihnya ayah
segala kemahuanmu ayah tunaikan
tangismu menyemai gundah
tawamu membawa rasa bahagia

janganlah lupa penat dan lelah
ayah membelamu di kala kecil
mengajarmu erti hidup dunia
sehingga menjadi orang berguna

Saturday, September 28, 2019

Pantun: Jangan membazir

TIKAR PUCUK TIKAR MENGKUANG
ALAS NIKAH RAJA MELAYU
IKAN BUSUK JANGAN DIBUANG
BUAT PERENCAH SI DAUN KAYU

Pantun 6 Kerat: Bila dapat orang baru

Sarat bermuat ikan cencaru
tidaklah gelama berumpan lagi
kail tersangkut di tepi batang
sudah dapat orang baru
yang lama tidak berkenan lagi
ibarat melukut di tepi gantang

Monday, September 16, 2019

Muwafakat Nasional

Berdekad berlalu
sama-sama melayu sengketa menjadi tepu
kerana politik yang rancu
digamit kuasa palsu

Ketika Melayu berpadu
membuang dendam berdedalu
di pohon bangsa yang satu
katakanlah yang kamu setuju
demi membina masa depan baru.

Mereka yang berpolitik
jangan biarkan akal terus putik
tidak masak-masak ke hujung detik.

Politik itu sayembara pintar
silat pencak siapa lebih  lancar
dialah yang dapat gelar
menjadi juara tuan diyar.

Tiada yang selamanya benar
kerana benar itu berputar
dari satu gelegar ke gelegar

Sunday, September 15, 2019

Sajak Kemerdekaan: Khianat Para Bedebah.

Melaka jatuh
Kerana khianat si Kitol

Banyak riwayat sejarah
menceritakan kisah-kisah kerajaan yang rebah
kerana angkara para bedebah
malam menjelma jadi rubah
sedang siang berpura sebagai merbah

Matinya para para pahlawan
para pejuang sepanjang zaman
kerana ada duri yang ditanam
dalam urat  perjuangan
dari cucu cicit bedebah yang bergentayangan

Sajak Kemerdekaan: Malaysia Negara Bertuah

Betapa bertuahnya negara ini
Negara Malaysia tanah pertiwi
Negara pusaka leluhur kami
Negara Anugerah ilahi Rabbi.

Buminya subur dengan tanaman
Tanaman tumbuh di atas banjaran
Tumbuh sampai ke dalam laman
Hutan dan dusun bagaikan taman.

Buminya lembab dibasahi hujan
Tahi burung bertunas tumbuhan
Makan buah biji dibuangkan
Tumbuh menjadi pohon buahan.

Negara orang dilanggar bencana
Tanah runtuh bumi gempa
Gunung berapi sunami melanda
Negara ini aman sentosa.

Negara orang asyik berperang
Rakyat derita nyawa melayang
Harta benda dirampas orang
Negara ini damai tenang.

Negara orang gurun terbentang
Cuaca panas pagi ke petang

Negara orang ditutup salji
Cuaca sejuk berlaga gigi

negara orang  buminya kontang
Tiada simpanan galian didagang

Negara kita cuacanya saksama
Tiada panas hangat membara
Tiada sejuk bagai Tundra

Negera ini menyimpan galian
Aneka logam dilombong berzaman
Minyak pula muncul di lautan
Dilombong dijual tambah kekayaan
Flora fauna tarik pelancongan
Terlalu banyak anugerah Tuhan
Buat negara kasih junjungan



Saturday, September 14, 2019

Sajak Kemerdekaan: Sumpah Gapura Merdeka

500 tahun negara kita dijajah
sejak empayar Melaka tersungkur rebah
negara kita dicatur bangsa Eropah
kekayaan negara terkuras dijarah
bangsa kita dihina jatuh maruah.

Kini kita bangsa Merdeka
tiada lagi dijajah terhina
kita memerintah mengatur negara
kita membangunkan negara tercinta

Terima kasih para leluhur
atas jasamu yang telah kau tabur
mewariskan kami negara makmur.

Kami generasi pewaris merdeka
sumpah kami sebagai gapura
warisan pertiwi kami jaga
kepada anak cucu sebagai pusaka

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!


SAJAK KEMERDEKAAN: 500 tahun negaraku dijajah

500 tahun negara kita dijajah
oleh bangsa bangsa Eropah
bangsa kita dipandang rendah
hilang harga diri dan juga maruah.

Ketika Melaka jatuh rebah
Itulah awal negara dijajah
Pertugis membina Kota Megah
A Fomosa kubu bersejarah !

Portugis kalah diganti Belanda
dengan Inggeris menyusun peta
Rantau kita di bahagi mereka
Belanda berkuasa di tanah Indonesia
di negara kita Inggeris berkuasa.

Penjajah Inggeris tamak harta
kekayaan negara dijarah mereka
buat membangun negara Mahkota
Hingga mereka maju dan kaya.
Bangsa mereka hidup berada
bangsa kita miskin derita

Ketika dunia meletus perang
datang Jepun  menjual temberang

datang mengaku sebagai abang
membantu adik bangkit berjuang
melawan Inggeris durjana petualang!

Jepun menang Inggeris pun cabut
Balik Eropah sebagai pengecut
Jepun berkuasa rakyat diugut
kehidupan rakyat makin dijerut
rakyat dipaksa jadi pak turut
jika tidak , daripada kepala leher terlucut.

Tahun 1945 Jepun kalah

Hiroshima dan Nagasaki hancur musnah
Jepun tinggalkan tanah yang dijajah

Komunis pula datang mencelah
keluar hutan menunjuk megah
kononnya merekalah penghalau penjajah.

Inggeris kembali mengaku tuan
Komunis takut, lari ke hutan,
angkat senjata timbulkan ketakutan
hidup rakyat tidak aman
banyaklah orang jadi korban

Inggeris mahu hapuskan Sultan
Orang Melayu membuat bantahan
warisan pertiwi zaman berzaman
tidak rela dijadikan taruhan
biar kekal disirna jangan


Leluhur kita menyusun perjuangan
menyambung juang pahlawan terkorban
lena bangsa mereka sedarkan
agar bangkit menuntut kemerdekaan.


Penjajah Ingeris tahu sempadan
bangsa sedar tak dapat diumpan
kehendak usah usah dilawan
akhirnya Merdeka terpaksa direlakan

31 Ogos 1957
Laungan Merdeka jadi kenyataan
Inilah Negara Pusaka warisan
Di pundak kita dipikul beban
membina sebuah negara Impian
negara maju diberkati Tuhan
kekal Merdeka sepanjang zaman.


Merdeka! Merdeka! Merdeka!






Friday, September 13, 2019

Sajak Kemerdekaan:Tanah Pertiwiku Tercinta

Terima kasih buat leluhur
Yang telah berjuang tanpa gentar
Melepaskan tanah pertiwi ini
Dari cengkaman para penjajah.

Tanah pertiwi ini
Dengan kemerdekaannya
Adalah pusaka termahal
Buat kami warisi.

Sejak zaman bahari
Negeriku ini tiada tandingannya
Tanahnya subur menghijau
buminya kaya dengan galian
hidupan liar membiak di hutan
ternakan mengkayakan para gembala

Tanah pertiwiku ini
semoga kekal merdeka
selama-lamanya.


Thursday, September 12, 2019

Sajak Kemerdekaan: Mengutip Kerikil Berdarah

Di lorong  ini
yang bernama jalan perjuangan
mari dikutip kerikil berdarah
dicuci sehingga disusun jadi batu laman.

Sajak Merdeka: Para Berdebah Dalam Negara Bertuah

Di kala orang menabur padi
para berdebah melepaskan merpati

Di kala orang menanam jati 
para berdebah meracun kembali

Dikala orang menegakkan pertiwi
Para Berdebah jual  IC

Ces...para Berdebah!