CARI BAHAN

Friday, June 02, 2017

ILMU SUNNAH

Ada orang memuliakan ilmu sunnah. Apa sahaja pegangan agamanya, mahu disandarkan kepada nas Al-Quran dan Sunnah. Apa yang tidak disokong oleh nas, maka dianggapnya tiada hujjah. 

Ada orang tidak peduli soal itu. Ilmunya disandarkan kepada perkataan syeikh. Perkataan syeikh baginya menjadi hujjah. Perkataan syeikh itu diambil daripada kitab-kitab alirannya sepanjang zaman. Miskipun amalan tersebut tidak disokong oleh nas, asalkan kerana ia menjaid amalan para masyayikh, cukuplah baginya.

Secara ringkas, inilah garis besar yang memisahkan antara ilmu sunnah dan bukan sunnah. Kerana mengikut garis besar inilah muncul dua kelompok utama dalam masyarakat. Satu dibid'ahkan dan satu lagi diwahabikan.

Tuesday, May 30, 2017

BAZAR RAMADHAN

Setiap tahun bazar Ramadhan dikerumuni orang ramai. Sejak lepas Zohor sudah ada yang berjualan. Ada pula yang membelinya. Di sesetengah tempat, sebelum Zohor sudah mula berniaga. Ada juga celapak awal membelinya. Hanya Allah yang maha mengetahui rahsia di sebalik semua itu.

Aku menjengok juga Bazar Ramadhan di Kuala Nerang. Orangnya ramai macam tahun-tahun lepas juga. Ke hulu hilir menengok gerai jualan, akhirnya aku beli kuih RM3.00 dan buah laici RM10.00. Aku kurang gemar makan makanan yang dijual di bazar Ramadhan. Kerumuanan ramai orang menyebabkan aku rasa ualiti makanan itu tidak terjaga. Pada hematku, penyediaan makanan di bazar dibuat demi mengautkan keuntungan dan dalam situasi tersebut, tentunya mutu makanan tersebut tidak berapa baik.

Aku lebih suka beli bahan mentah dan bawa balik. Isteri masak di rumah lebih baik daripada memburu jualan di bazar Ramadhan.


PANGLIMA

Pada satu tahap, dalam sejarah negara Malaysia yang merdeka, ada satu jawatan yang dinamakan panglima. Pada sangkaanku, panglima itu seornag pahlawan dalam kampung yang handal bersilat. Namun, kata bapa mentuaku, Yahaya bin Saud, tidka semua panglima tahu bersilat. Beliau menyebut contoh seorang panglima di kampung Barokhas, kampungnya sendiri. Iaitu Panglima Syed Omar, bapa kepada Syed Ibrahim. Beliau bukanlah seorang tahu ilmu silat. Namun, dia menjadi panglima.

Jawatan Panglima  adalah di bawah penghulu. Susun atur hierakinya ialah Panglima bertanggungjawab kepada penghulu, manakala penghulu bertanggungjawab kepada DO. DO pula bertanggungjawab kepada Menteri Besar dan Menteri Besar kepada Sultan.

Jawatan Panglima muncul hanya satu kali dan tidak pernah muncul lagi setelah pemegangnya meninggal dunia. Pada zaman Ustaz Azizan menjadi MB Negeri Kedah, belia berhasrat untuk mewujudkan jawatan panglima tetapi cadangannya itu tidak terlaksana. Lalu diwujudkan MCKK menggantikan JKK yang menjadi jawatan proaksi kepada kerajaan persekutuan dalam kerajaan negeri yang diperintah oleh parti pembangkang.

Monday, May 29, 2017

PAK NGAH MUSA MENINGGAL DUNIA.

Malam kelmarin, aku menyolati jenazah Pak Ngah Musa di masjid Kg Masjid. Pak Ngah Musa meninggalkan disebabkan penyakit penat dan khabarnya komplikasi jantung. Namun, apapun, demikianlah suratan takdir. Beliau juga sudah tua. Kalau tidak silap, umurnya lebih kurang sebaya almarhum bapaku. Jika bapaku masih hidup, umurnya  pada tahun ini adalah 76 tahun. Walaupun masih ada yang lebih tua daripada bapaku yang masih menongkah hayat, kian tahun mereka menyambut panggilan ilahi. Jika yang masih ada dan hidup, sedikit sekali yang masih sihat dan bertenaga.

Demikianlah kehidupan. Bila zaman muda belia telah pergi, datanglah zaman tua dan renta. Allah maha mengetahui pada saat mana Dia patut menjemput seseorang mengadapNya.

Pak Ngah Musa adalah kerabat yang bukan jauh daripada keluargaku. Dia dan ibuku berada pada pangkat sepupu. Bapa ibuku dan ibunya  adalah saudara kandung, anak kepada TG Haji Saleh. Bapa ibuku bernama Ismail. Ibu Pakngah Musa pula bernama Tok Piah. Ismail adalah abang kepada Tok Piah. Ismail adalah Tokwan aku. Dia sudah meninggal. samalah juga dengan Tok Piah. Tok Piah menikah dengan panglima Saleh dan melahirkan 5 orang anak. Satunya pak Ngah Musa. Yang lain-lain ialah Mak Tih Midah, Pak Anjang Man Tolak dan Satu orang yang disebut mak Andak yang tinggal di Selangor tetapi balik kampung masjid pada satu tahun dan meninggal di tanah kelahirannya itu. Pada masa aku masih lagi belajar di Universiti Malaya, ketika majlis Konvokasyen aku, seingat aku, Pakngah Musa juga hadir sama dan bersama ibu bapaku mereka ke rumah mak Andak itu. Aku tidak kenal dan anak-anaknya pun aku tak kenal.

Pak Ngah Musa telah kembali dan dia bergabung dengan para leluhurnya. Semoga semua leluhurku berada dalam rahmat Allah SWT. Satu masa, aku juga akan menyusul dan menemui leluhurku di alam sana. Aku berdoa sentiasa agar bapaku, datuk nenekku semuanya dalam rahmat Allah. Masa hidup tidak cukup panjang. Hitungan hari dalam dunia sangat pantas. Akhiran menjadi sangat cepat.


Sunday, May 21, 2017

Kita sentiasa berubah.


Telah aku lihat
Seseorang marahkan seseorang
kemudian bila bebilah hari menjadi tahun
kemarahan pun reda
kebencian bertukar kekaguman.

Telah aku lihat juga
seseorang kasihkan seseorang
kemudian bila bebilah hari menjadi tahun
kasihpun sirna
kekaguman menjadi kebencian
Manusia seperti putaran musim
manusia seperti kembang bunga
manusia berubah dan bisa berubah
lebih pantas daripada mega merah ufuk maghrib
Ketika kasihmu berbunga
beritahulah yang empunya
sebelum bencimu menerpa
merebut segala.
Kita semua
tidak memiliki hati sendiri
seperti kita tidak memiliki tangis
sebagaimana kita tidak memiliki tawa

Friday, May 12, 2017

Goyang sampai jatuh.

Hari ni nak buat kiasan sikit. Siapa faham, fahamlah. Siapa tak faham, sudahlah. Baca dan lupakan sahaja. Berbahasa kiasan ni hanya sekadar menpertajamkan otak. Kalau yang otak tajam, dapat faham. Tapi kalau beritahu orang bahawa dia faham, jadilah pula tumpul. Sebab itu, ada perkara yang bila kita faham, kita diamkan sahaja. Biar ia menjadi nota hati yang disimpan.

Ada seorang sedang duduk celah dahan pokok. Hari itu ada permainan rakyat. Permainan ini dianjurkan 2 tahun sekali sahaja dalam negeri. Dalam permainan ini, orang yang duduk celah dahan itu perlu dijatuhkan ke bawah dengan usaha gigih pencabar menggoyangkan pokok itu dengan kudratnya. Kalau berjaya, orang itu akan mendapat hadiah piala pusingan. Dua tahun kemudian, dia pula akan dicabar dengan hal yang sama.


Namun, sekali peristiwa, dalam satu pesta permainan rakyat itu, telah berlaku khilaf daripada kebiasaan. Ketika juara menanti itu sedang berkapok celah dahan, memegang erat cabang kiri dan kanan, seorang pencabarnya pun memulakan aksi. Tetapi aksinya sangat misteri. Waktu dipegangnya batang pokok untuk menggoyang, keluarlah semut kerengga berjejeran dari bawah lengan bajunya. Semut kerangga itu merayaplah ke atas pokok dan mengerumuni serta menggigit sang juara menanti. Ketika itulah sang pencabar menggoyang sekuat hatinya. Lalu jatuhlah si juara menunggu itu.

Saking tidak puas hati, juara menunggu yang jatuh itu pun merajuk dan pergilah dia meninggalkan negeri yang mereiah dengan pesta permainan rakyat itu. Dia tidak puas hati kerana ia dijatuhkan dengan helah anak kerengga sedangkan belum pernah kaedah itu digunakan dalam permainan rakyat itu sebelumnya. Orang ramai mentertawakannya. Sang pencabar bercekak pingang bangga kerana berjaya.

Para penonton tidak tahu cerita anak kerengga itu. Hanya ada bisik-bisik yang berlegar. Apa yang penonton tahu, juara menanti sudah jatuh dan dia kalah. Ketika sudah tekalah dengan cara itu, juara yang tewas itu pu pergilah meninggalkan kelompok itu dengan malu. dan terhina.

Lain tahun, dibuat lagi pemainan rakyat seumpama itu.Juara lepas kekal tidak bercabar. Tak siapa mahu mencabar. Selain pokok tempat dahannya duduk itu makin kukuh, para pencabar tidak yakin dengan kudrat masing-masing. Tetapi, agar kemeriahana pesta permainan rakyat itu terasa, dibukalah cabaran yang lebih kecil. Satu pokok yang lebih kecil, ada tiga orang johan menunggu di atasnya berkapok menunggu dijatuhkan. Seorang tampil menggoyang pokok tapi tidak jatuh.

Sang pencabar yang gagal pun tersenyum. Dia teringat sang juara yang terjatuh beberapa tahun lepas semasa permainan rakyat. Muka masam dan merah muka kerana geram dan marah.

" Aku bukan seperti juara yang tewas...aku masih boleh tersenyum walau gagal...", kata sang pencabar yang gagal itu.

" Aku tidak akan tinggalkan negeri ini...".

Tuesday, May 02, 2017

Bersuluh diri

Selagi rumahmu Banglo tersegam
atau keretamu mahalnya ratusan ribu ringgit
diberitakan pula pelanconganmu sekeluarga ke kota besar luar  negara
tiada perit ditanggung
tiada sakit disigung
seruanmu akan berlalu dipuput angin.

إبدأ بنفسك ثم غيرك

Rimba penasaran

Dalam rimba misteri itu
dia sesat penasaran
hutan yang disangka kecil
rupanya rimba banat merentas banjaran
jalan yang dicari
tidak membawa destinasi
makin jauh dari jalan pulang.

Pahlawan-pahlawan tak tangguh
hilang upaya menongkah sungguh
sejak  hari masih subuh
hingga kini mentari kian jatuh
daya tubuh kian lusuh.

Wahai pengembara
berhentilah sejenak jangan meraba-raba
langkahmu kian jauh tengah rimba
menempa ragam bahaya
sedang kamu masih percaya
bersamamu limpah kurnia!

Rimba misteri yang telah menelan ramai peneroka
juga penghuni yang berpengalaman lumayan
jangan merasa hebat
kerana memiliki pusaka makrifat
dari leluhur yang terselamat.

Mereka telah menancapkan nama
sedangkan kamu masih digoda
oleh dedemit rimba....

Tuesday, April 11, 2017

Sekilas kata

Siapa menanam lalang, tak akan padi yang tumbuh.
Jika suka mencari salahnya orang, salah diri kian tumbuh.

Kemarin sibuk membilang peri
hari ini letih menangkis srangan bersiri

Telah aku fahami maksud
karma berputar makin serabut

Bukan manusia tanpa cela
jika bersenda dengan serigala.

Tuesday, March 28, 2017

Bicara megikut kadar akal.

Berbicara hendaklah mengikut kadar akal pendengar. Kesalahan yang ramai lakukan, tanpa sedar adalah bercakap dengan bahasa yang tidak digapai oleh akal orang yang mendengar. Kerana itu, daripada bicara tersebut akan terbitlah prasangka, perbalahan, bantahan membuta tuli dan boleh membawa kepada permusuhan.

Kadar ilmu seseorang berbeza-beza. Walaupun sama ulama, ilmu tidak sama. Sama-sama kerjaya, akal tak sama. Sebab itu, bila hendak membuka satu isu untuk direnungkan, perhatikan kadar pemikiran seseorang.

Ada orang tidak ilmiah. Bila dibentangkan satu isu ilmiah, dia tidak dapat memahaminya. Malah dia akan membantahnya kayak orang jahil.

Sebab itu, bila ingin bicara dengan orang lain, perhatikan dulu kadar akal mereka.

Friday, March 03, 2017

ANTARA DR. ZAKIR NAIK DAN HINDRAF

Bertembung Dr. Zakir Naik dan Hindraf
Siti Kassim pilih Hindraf
Ada peguam muslim sebelahi Hindraf
Soldadu Sisters in Islam bersama Hindraf

Anehnya sebuah keislaman lahiriah
yang menyimpan bitonah berbeza.



Sunday, February 19, 2017

Kebesaran diri

Jika sudah lama bersila di atas langit
bumi di bawah nampak kecil sekali.

wahai...
apa salahnya turun ke bumi
lalu mendongak lihat kebesaran langit
atau rasakan sahaja keluasan bumi...

PEMBUNUHAN KIM JONG NAM



Perkembangan berita sedunia sangat pesat. Aku tidak sempat untuk ikuti dan fahami semua. Isu Donald Trump yang melarang orang Islam masuk ke US pun aku tak sempat dan' check up', timbul pula isu pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri Kim Jong Un.

Kim Jong Nam telah tinggal dalam buangan.

Siapa Kim Jong Un? Dia Pemimpin Korea Utara.
Timbul pula nama Kim Hyon Hui, Bekas Perisik Korea Utara yang pernah mengebom Korea Air pada tahun 1987.

Bapa pemimpin Korea Utara itu namanya Kim Jong iL.

Muncul juga nama Siti Aisyah

Ada desas desus mengatakan Kim Jong nam dibunuh atas arahan Kim Jong Un kerana selalu mengkritik Korea Utara.

Dari rakaman CCTV, di KLIA, ada dua wanita yang mencegat Kim Jong Nam sebelum beliau didapati mati akibat keracunan di sana.

Isu berkenaan telah berbelit-belit sekarang ini. Tidak mudah untruk diselesaikan. Barangkali ada konspirasi peringkat tinggi, seperti kes pembunuhan Altantuya yang hingga hari ini tidak selesai.


Saturday, February 18, 2017

Sukar Menduga Hakikat

Akal telah menjadi tepu
saat itu kita pun perlu berseru
wahai Tuhanku...

Perlihatkan kepadaku yang benar itu benar,
yang batil itu batil.

Siponggang kata yang sama tara
sudah sukar untuk diteka
manu satu turun dari sidratul muntaha
mana satu datang dari ilham durja

Aku perlukan tunjuk jalan dari yang maksum
bukan...bukan dari para mesum
bukan juga daripada para malaun....

Saturday, January 21, 2017

Melestarikan syukur

Bangun pagi, rupanya aku masih sihat. Aku masih punya anak dna isteri. Aku teringat ucapan nabi Sulaiman ketika baginda merasa syukur dapat memahami bahasa semut yang berbicara. Baginda berkata:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ   
(Surah An-Namlu: Ayat 19)
 
Baca berita pagi ni di FB dan Portal-portal. Ada insan malang yang dipenjara kerana tuduhan  jenayah. Aku cuba memikirkan kalau aku yang ditimpa malang tersebut. Memang rasa gelap dunia. Mungkin rasa putus asa. Syukur Allah tidak uji aku dengan hal yang sedemikian. Rasa sangat bersykur. 

Tadi, masa keluar rumah, nak pergi solat subuh di masjid Ghairu Jamek Nurus Sa'adah, lihat keretaku dua biji depan rumah, bawah garaj, semuanya selamat. Tidak ada kejadian pecah cermin  kereta atau gril pagar terkeluar daripada roller angkara pencuri yang menceroboh, aku rasa bersykur. Allah selamatkan harta bendaku. Ini pun nikmat yang perlu disyukuri. Allah sebaik-baik penjaga. 

Kehidupan masih selesa. Masih punya kehormatan diri di kejiranan. Di surau masih dihargai dan dihormati sebagai sang ustaz.  Belum ada pembenciku seperti mana pernah terjadi sewaktu di Sandakan dulu. Ini pun aku syukuri. Ia adalah nikmat Allah SWT yang tidak terhingga.

Aku sedar bahawa aku perlu biasakan untuk menyebut doa kesyukuran yang sering manjadi ungkapan para nabi-nabi. Juga ungkapan Abu Bakar As-Siddiq setelah umurnya menjangkau 40 tahun sebagaimana dinyatakan dalam ditafsirkan oleh para mufassirin dalam Surah Al-Ahqaf, ayat 15.


وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Monday, January 09, 2017

Kejutan Januari 2017

KSU (Ketua Setiausaha) yang ditahan oleh pihak SPRM kerana disyaki rasuah dan menemukan wang tunai dan jongkong emas bernilai 3 Juta itu ialah:

Datuk Mohd Arif Ab Rahman.



Beliau adalah KSU Kementerian Luar Bandar dan Wilayah(KKLW). Menteri berkenaan yang berada pada porfolio tersebut ialah YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob.


Saturday, December 24, 2016

Mencerminkan kematangan

Hari ini, dalam usia yang sudah menjangkau lebih 40 tahun, aku tidak tahu apakah aku telah dimatangkan oleh pengalaman atau masih diserkup kedungguan akal.

Wednesday, December 21, 2016

Kesilapan Tokoh ditampung jasanya.

Tokoh mungkin silap. Bahkan pasti ada silap. Semua tokoh sepanjang sejarah telah berbuat sama ada benar atau salah. Tiada yang maksum dalam ertikata bersih dari salah dan silap. Mereka telah dikritik oleh tokoh lain sezamannya dan yang datang sesudah zamannya. Kemudian tokoh yang mengkritiknya juga dikritik oleh orang lain.

Kalangan tokoh, ada yang ulama dan ada yang umara. Masing-masing dengan keragaman sendiri. Namun itu tidak menjadikan mereka jatuh tidak bernilai ke peringkat 'nil'.

Dunia ini memang begitu. Tiada yang sempurna. Tiada yang maksum melainkan yang dimaksumkan oleh Allah pencipta kemaksuman. Itulah para nabi-nabi sepanjang zaman.

Menyelak sejarah, kita akan menemui nama seorang tokoh umara iaitu gabenor di zaman Abdul Malik bin Marwan, penguasa dari dinasti Bani Umayyah. Beliau adalah Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi yang menjadi gabeor di Iraq. Sejarah banyak menceritakan sisi kezalimannya. Dia digambarkan sebagai orang yang berdarah dingin dan mabuk darah. Banyaklah nyawa melayang di tangannya termasuk nyawa ulama Tabi'in yang masyhur iaitu Said bin Jubair.

Kritikan terhadapnya bukan sedikit bahkan melambung sampai ada yang tega melaknatnya di hujung namanya.

Namun, sedarkah kita bahawa sejarah yang sama juga mencatatkan jasanya yang bukan kepalang. Pada zamannya, dia telah menggerakkan pasukan "futuhat" ke Tanah India berawal dari langkah menyelamatkan seorang muslimah yang ditawan oleh raja India yang bernama Dahir. Demikian prihatin dan tegasnya Hajjaj membela wanita tertindas itu.

Dipilihnya panglima pilihan yang telah membuktikan jasa besarnya kepada tertancapnya Islam di tanah Benua Asia Selatan iaitu Muhammad bin Al-Qasim. Di tangan Muhammad Al-Qasim, Allah berikan kemanangan sehingga dengan itu Islam dapat berkerajaan ratusan tahun di tanah India

Kata orang yang mengenang jasa Hajjaj bin Yusuf As Tsaqafi melantik Muhammad bin Al Qasim, tidak ada seorang yang masuk Islam dari Benua India sejak zaman futuhat itu hingga kini, melainkan ada bahagian pahalanya untuk Hajjaj.

Dalam laut jenayahnya, ada mutiara jasanya.

Itu Hajjaj, apatah lagi para ulama yang menjadi pewaris ilmu nabi. Jika mereka khilaf, apa yang mereka taburkan untuk membela agama akan menjadi sebab maghfirah Allah SWT.

Hari ini kita lihat ramai yang memperlecehkan ulama dahulu dengan sebab kekhilafan yang mereka lakukan. Kekadang ia hanya berdasarkan syak wasangka dan terjahan kabur dari tulisan mereka dalam kitab maupun tindak tanduk mereka.Lihatlah dan perhatikanlah sederet ulama pembela ummat yang ditajrihkan dengan gelaran mujassimah, jahmiah bahkan dikafirkan.

Tentang Hajjaj itu, kita serahkan kepada Allah SWT. Kita tidak perlu meniru kelompok Syiah yang meratapi zaman lalu, lalu tega mencela para sahabat dan isteri- isteri Rasulullah SAW. Kita katakan bahawa Allah mungkin mengampunkannya dengan sebab jasanya itu.

Kita tidak rugi apa pun jika dia masuk syurga.

Ruginya adalah kalau kita tidak dapat masuk syurga! Itu paling rugi.

Thursday, December 08, 2016

PEMANDIRAN POLITIK

Aku memilih sikap untuk tidak mempercayai congakan politik pandir yang cuba ditanamkan ke dalam minda orang Melayu. Bahawa, kuasa politik orang Melayu sedang terancam. hal itu dikumandangkan dalam PAU 2016. Kambing hitam yang diangkat adalah parti DAP.  Sebagaimana yang termaklum, logiknya adalah mustahil sebuah parti yang secara rekodnya masuk bertanding sekitar 50 kerusi boleh memerintah Malaysia. Namun, pemandiran pemikiran politik mengharuskannya dengan teori dominasi. 

Hakikatnya pun, di Malaysia ini, dominasi politik bukan di tangan bangsa Melayu. Ia adalah di tangan sekelompok elit Melayu yang menjarah keringat dan air mata marhaen segenap lapisan. Mereka itulah yang berdusta atas nama Melayu.

Sementara, dominasi ekonomi telah pun lama di tangan bangsa lain. Bukan kerana hebatnya bangsa itu tetapi kerana pengkhianatan elit Melayu tersebut terhadap bangsanya sendiri.

Tuesday, November 22, 2016

Politikus perlu membuktikan

Aku sukar menelah kesan dari ragam politik hari ini. Sebagai warga sebuah negara bernama Malaysia, aku keliru membaca riak politik yang sedang berlaku. Aku percaya, ramai juga yang keliru. Bagi yang berpura-pura yakin, aku curiga. Sebenarnya orang yang rasional akan keliru. Orang yang berfikir akan keliru. Lagak para politikus tidak memberangsangkan. Mereka tidak memberika keyakinan dan membuka ruang kecuriagaan buat khalayak.

Telah muncul Amanah, serpihan daripada PAS. Muncul pula PPBM serpihan daripada UMNO. Bukan ornag kecil yang membina dua parti tersebut. Kemudian parti induk kedua-duanya menunjukkaqn riak yang sukar difahami. Riak yang membuka pertanyaaqn dan kecurigaan.

Dalam dunia hari ini, dunia maklumat dihujung jari, kecuriagaan dan persoalan-persoalan tidka cukup untuk didamaikan dengan doktrinasi "wala" atau "tsiqah". Khalayak menuntut kepuasaan minda dan pemikiran.