CARI BAHAN

Saturday, January 21, 2017

Melestarikan syukur

Bangun pagi, rupanya aku masih sihat. Aku masih punya anak dna isteri. Aku teringat ucapan nabi Sulaiman ketika baginda merasa syukur dapat memahami bahasa semut yang berbicara. Baginda berkata:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ   
(Surah An-Namlu: Ayat 19)
 
Baca berita pagi ni di FB dan Portal-portal. Ada insan malang yang dipenjara kerana tuduhan  jenayah. Aku cuba memikirkan kalau aku yang ditimpa malang tersebut. Memang rasa gelap dunia. Mungkin rasa putus asa. Syukur Allah tidak uji aku dengan hal yang sedemikian. Rasa sangat bersykur. 

Tadi, masa keluar rumah, nak pergi solat subuh di masjid Ghairu Jamek Nurus Sa'adah, lihat keretaku dua biji depan rumah, bawah garaj, semuanya selamat. Tidak ada kejadian pecah cermin  kereta atau gril pagar terkeluar daripada roller angkara pencuri yang menceroboh, aku rasa bersykur. Allah selamatkan harta bendaku. Ini pun nikmat yang perlu disyukuri. Allah sebaik-baik penjaga. 

Kehidupan masih selesa. Masih punya kehormatan diri di kejiranan. Di surau masih dihargai dan dihormati sebagai sang ustaz.  Belum ada pembenciku seperti mana pernah terjadi sewaktu di Sandakan dulu. Ini pun aku syukuri. Ia adalah nikmat Allah SWT yang tidak terhingga.

Aku sedar bahawa aku perlu biasakan untuk menyebut doa kesyukuran yang sering manjadi ungkapan para nabi-nabi. Juga ungkapan Abu Bakar As-Siddiq setelah umurnya menjangkau 40 tahun sebagaimana dinyatakan dalam ditafsirkan oleh para mufassirin dalam Surah Al-Ahqaf, ayat 15.


وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Monday, January 09, 2017

Kejutan Januari 2017

KSU (Ketua Setiausaha) yang ditahan oleh pihak SPRM kerana disyaki rasuah dan menemukan wang tunai dan jongkong emas bernilai 3 Juta itu ialah:

Datuk Mohd Arif Ab Rahman.



Beliau adalah KSU Kementerian Luar Bandar dan Wilayah(KKLW). Menteri berkenaan yang berada pada porfolio tersebut ialah YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob.


Saturday, December 24, 2016

Mencerminkan kematangan

Hari ini, dalam usia yang sudah menjangkau lebih 40 tahun, aku tidak tahu apakah aku telah dimatangkan oleh pengalaman atau masih diserkup kedungguan akal.

Wednesday, December 21, 2016

Kesilapan Tokoh ditampung jasanya.

Tokoh mungkin silap. Bahkan pasti ada silap. Semua tokoh sepanjang sejarah telah berbuat sama ada benar atau salah. Tiada yang maksum dalam ertikata bersih dari salah dan silap. Mereka telah dikritik oleh tokoh lain sezamannya dan yang datang sesudah zamannya. Kemudian tokoh yang mengkritiknya juga dikritik oleh orang lain.

Kalangan tokoh, ada yang ulama dan ada yang umara. Masing-masing dengan keragaman sendiri. Namun itu tidak menjadikan mereka jatuh tidak bernilai ke peringkat 'nil'.

Dunia ini memang begitu. Tiada yang sempurna. Tiada yang maksum melainkan yang dimaksumkan oleh Allah pencipta kemaksuman. Itulah para nabi-nabi sepanjang zaman.

Menyelak sejarah, kita akan menemui nama seorang tokoh umara iaitu gabenor di zaman Abdul Malik bin Marwan, penguasa dari dinasti Bani Umayyah. Beliau adalah Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi yang menjadi gabeor di Iraq. Sejarah banyak menceritakan sisi kezalimannya. Dia digambarkan sebagai orang yang berdarah dingin dan mabuk darah. Banyaklah nyawa melayang di tangannya termasuk nyawa ulama Tabi'in yang masyhur iaitu Said bin Jubair.

Kritikan terhadapnya bukan sedikit bahkan melambung sampai ada yang tega melaknatnya di hujung namanya.

Namun, sedarkah kita bahawa sejarah yang sama juga mencatatkan jasanya yang bukan kepalang. Pada zamannya, dia telah menggerakkan pasukan "futuhat" ke Tanah India berawal dari langkah menyelamatkan seorang muslimah yang ditawan oleh raja India yang bernama Dahir. Demikian prihatin dan tegasnya Hajjaj membela wanita tertindas itu.

Dipilihnya panglima pilihan yang telah membuktikan jasa besarnya kepada tertancapnya Islam di tanah Benua Asia Selatan iaitu Muhammad bin Al-Qasim. Di tangan Muhammad Al-Qasim, Allah berikan kemanangan sehingga dengan itu Islam dapat berkerajaan ratusan tahun di tanah India

Kata orang yang mengenang jasa Hajjaj bin Yusuf As Tsaqafi melantik Muhammad bin Al Qasim, tidak ada seorang yang masuk Islam dari Benua India sejak zaman futuhat itu hingga kini, melainkan ada bahagian pahalanya untuk Hajjaj.

Dalam laut jenayahnya, ada mutiara jasanya.

Itu Hajjaj, apatah lagi para ulama yang menjadi pewaris ilmu nabi. Jika mereka khilaf, apa yang mereka taburkan untuk membela agama akan menjadi sebab maghfirah Allah SWT.

Hari ini kita lihat ramai yang memperlecehkan ulama dahulu dengan sebab kekhilafan yang mereka lakukan. Kekadang ia hanya berdasarkan syak wasangka dan terjahan kabur dari tulisan mereka dalam kitab maupun tindak tanduk mereka.Lihatlah dan perhatikanlah sederet ulama pembela ummat yang ditajrihkan dengan gelaran mujassimah, jahmiah bahkan dikafirkan.

Tentang Hajjaj itu, kita serahkan kepada Allah SWT. Kita tidak perlu meniru kelompok Syiah yang meratapi zaman lalu, lalu tega mencela para sahabat dan isteri- isteri Rasulullah SAW. Kita katakan bahawa Allah mungkin mengampunkannya dengan sebab jasanya itu.

Kita tidak rugi apa pun jika dia masuk syurga.

Ruginya adalah kalau kita tidak dapat masuk syurga! Itu paling rugi.

Thursday, December 08, 2016

PEMANDIRAN POLITIK

Aku memilih sikap untuk tidak mempercayai congakan politik pandir yang cuba ditanamkan ke dalam minda orang Melayu. Bahawa, kuasa politik orang Melayu sedang terancam. hal itu dikumandangkan dalam PAU 2016. Kambing hitam yang diangkat adalah parti DAP.  Sebagaimana yang termaklum, logiknya adalah mustahil sebuah parti yang secara rekodnya masuk bertanding sekitar 50 kerusi boleh memerintah Malaysia. Namun, pemandiran pemikiran politik mengharuskannya dengan teori dominasi. 

Hakikatnya pun, di Malaysia ini, dominasi politik bukan di tangan bangsa Melayu. Ia adalah di tangan sekelompok elit Melayu yang menjarah keringat dan air mata marhaen segenap lapisan. Mereka itulah yang berdusta atas nama Melayu.

Sementara, dominasi ekonomi telah pun lama di tangan bangsa lain. Bukan kerana hebatnya bangsa itu tetapi kerana pengkhianatan elit Melayu tersebut terhadap bangsanya sendiri.

Tuesday, November 22, 2016

Politikus perlu membuktikan

Aku sukar menelah kesan dari ragam politik hari ini. Sebagai warga sebuah negara bernama Malaysia, aku keliru membaca riak politik yang sedang berlaku. Aku percaya, ramai juga yang keliru. Bagi yang berpura-pura yakin, aku curiga. Sebenarnya orang yang rasional akan keliru. Orang yang berfikir akan keliru. Lagak para politikus tidak memberangsangkan. Mereka tidak memberika keyakinan dan membuka ruang kecuriagaan buat khalayak.

Telah muncul Amanah, serpihan daripada PAS. Muncul pula PPBM serpihan daripada UMNO. Bukan ornag kecil yang membina dua parti tersebut. Kemudian parti induk kedua-duanya menunjukkaqn riak yang sukar difahami. Riak yang membuka pertanyaaqn dan kecurigaan.

Dalam dunia hari ini, dunia maklumat dihujung jari, kecuriagaan dan persoalan-persoalan tidka cukup untuk didamaikan dengan doktrinasi "wala" atau "tsiqah". Khalayak menuntut kepuasaan minda dan pemikiran.

Friday, November 04, 2016

Pemimpin berbohong.

Mereka yang jadi pemimpin dan berbohong kepada rakyat, tidak sama dengan bohong-bohong kaki temberang di kedai kopi simpang tiga kampung. Tidak sama dengan bohong tukang cerita yang berceramah menyedapkan halwa telinga.


Mereka yang jadi pemimpin dan berbohong kepada rakyat adalah satu jenayah yang payah untuk dimaafkan.


Bukan sahaja rakyat tidak patut maafkan, Allah SWT pun sukar hendak maafkan.


Satu waktu dahulu, masa kempen pilihanraya janji akan buat projek itu dan ini, tetapi kemudian lepas pilihanraya, mungkir janji. Itu namanya bohong!


Dulu sebelum GST dilaksanakan, rakyat diyakinkan bahawa GST akan menurunkan harga barang, tetapi bila GST sudah berjalan, harga barang jadi naik dan malambung-lambung. Ini pun satu pembohongan.Minyak masak 5kg berharga sekitar RM13.00 boleh naik melebohi RM20.00.


Dulu, masa mahu naikkan harga minyak petrol dan disiel, katanya ia akan naik turun ikut harga pasaran dunia. Waktu harga minyak dunia jatuh, harga minyak dalam negara masih naik juga. Ini juga bohong.


Masa angkat sumpah jadi pemimpin, janji jaga amanah negara. Jaga khazanah negara, Tapi bila sudah jadi pemimpin, pecah amanah.Bohong.


Dulu masa kempen, kata nak jadi pemimpin rakyat. Hidup macam hidupnya rakyat. Amalkan syariat dan ikut nubuwwat. Tidak akan bermewah-mewah di atas derita rakyat. Tapi, bila sudah diangkat, bertukar jadi ningrat. Rumah besar dan kereta mewah penuh sampai luar garaj. Pemimpin macam ini juga pembohong.


Pemimpin berbohong diberikan amaran oleh Rasulullah SAW dalam hadis:


ثلاثة لا يكلّمهم الله يوم القيامة، ولا يزكيهم ولا ينظر إليهم ، ولهم عذاب أليم: شيخ زانٍ، وملكٌ كذاب، وعائلٌ مستكبر


Tiga jenis manusia yang Allah tidak akan bercakap dengannya, tidak membersihkan dosanya serta tidak pandang kepadanya di akhirat kelak. Bagi mereka azab pedih menanti. Mereka ialah:
1-Orang tua yang berzina
2-Pemimpin yang berbohong
3-Orang miskin yang sombong.
( Hadis Riwayat Muslim)

Kalau nak selamat, rasa tak mampu jadi pemimpin yang amanah dan jujur dalam khidmat, baik tolak daripada jadi pemimpin. Dunia singkat, akhirat sana takut merempat.

Monday, October 24, 2016

Mengelakkan diri daripada pertelingkahan.

Pertelingkahan selalu membuat kita menjadi rungsing. Kerana itu aku tidka suka bertelingkah. Nikmat ketenangan dan kedamaian amat mahal untuk dikorbankan dalam sebuah episod pertelingkahan. Biarlah orang bertelingkah. Aku tidak mahu campur tangan.

Kerana itu aku menyisih diri bila melihat orang bertelingkah. Tidak dinafikan, antara yang bertelingkah itu, ada yang lebih dekat denganku dari segi kebersamaan. namun, aku lebih suka menyisih diri. Aku tidka suka membazirkan ketenanganku.

Monday, September 12, 2016

AIDIL ADHA 1437

Pagi ini hari raya Adha. Sudah dua tahun lebih aku pindah balik Kedah. Terasa rindu saat di Sandakan. Kalau di sana, Hari Raya Qurban kami guru-guru Semenanjung yang tinggal di Taman Fajar sibuk. Sibuk sejak seminggu sebelum hari raya tiba. Cari lembu di laldang sawit. Bawa duit orang ramai puluh ribu untuk bayar kepada pengusaha ternakan lembu. Hinggalah hari korban dijalankan. Semuanya berjalan dengan sokong menyokong.

Saat itui antara terindah dalam hidup. memang satu kehilangan masa-masa demikian. Sejak balik Kedah ini, tidak lagi kutemui suasana itu. Malah sudah dua tahun ini aku gagal berkorban. Astaghfirullah...semoga Allah SWT menemukan akan jalan hidup yang lebih baik.

Wednesday, September 07, 2016

Jalan nabi-nabi

Menjadi syarat untuk kebenaran di atas jalan para nabi, para pendakwah perlu mendapat ujian. Ukuran dekatnya dengan jalan nubuwwah adalah pada tingkat cubaan dan bala yang menimpanya. Semakin teruk bala yang menimpa, maka itu menjadi ukuran ketepatan dengan jalan dakwah nabi SAW.

Para pendakwah yang tidak menghadapi ujian patut malu dengan para pendakwah yang berdepan dengan pelbagai ujian dan mehnah demi dakwahnya. 

Inilah cermin yang perlu menjadi suluh budiman buat mereka yang mengaku mengikut jalan nabi-nabi.

Tuesday, July 26, 2016

Razeki yang selalu kita dapat.

Razeki bukan sekadar mendapat sejumlah harta.
Lebih besar daripada mendapatkan harta, ketenangan rohani dan kesihatan jasmani, juga merupakan razeki. Bahkan ia adalah razeki yang lebih besar dan diharapkan.
Anak yang mendapat doa ibunya
ada suadara-maranya yang menyayanginya
hilai tawa anak serta isteri yang menyejukkan mata
semua itu juga adalah razeki.

Kita berdoa: Ya Allah berikan aku razeki

lalu kita bayangkan hidup bertambah kaya, duit melimpah ruah, dapat kereta baru atau rumah besar. Namun kita tidak diberikan semua itu. Lalu kita pun menyangka Allah belum memakbulkan doa kita.

Patutkah kita menyangka demikian?

Padahal kita mendapat bermacam-macam nikmat dalam hidup yang kita tidak tafsirkan ia sebagai razeki. Sedangkan itulah razeki yang lebih kita perlukan daripada harta dan wang ringgit!

Sunday, July 17, 2016

Erdorgan dan Gulen

Musuh Erdorgan pelbagai. Golongan Kemalis memang tidak menyuakainya. Namun golongan Islamis juga ada yang tidak menyukainya. Khabarnya ada krisis antara Erdorgan dan Gulen, seorang tokoh disegani asal Turki.. Itu biasalah dalam dunia politik. Sedangkan dalam dunia ualama pun saling bersengketa. Apa yang mahu direbutkan dalam dunia ilmu oleh para ulama? Kita fikir, antara ulama patut bersatu dan berbaik-baik. Namun, itu tidak berlaku. Ulama-ualama yang bergelumang dalam lautan ilmu pun ada percakaran.


Apatah lagi politik. Politik adalah alat merebut tahta. Manusia memang sanggup berbunuh kerana merebut hal yang satu ini. Tahta. Korban perebutan tahta lebih banyak daripada korban perebutan wanita. Juga lebih banyak daripada korban perebutan harta. Sepanjang sejarah manusia, telah banyak sangat orang yang menjadi korban perebutan harta.

Itulah pergaduhan politik merebut tahta! Merebut posisi dan kedudukan dalam kekuasaan atau pemerintahan.

kalau Erdorgan yang berkuasa dimusuhi oleh golongan Islamis seperti pengikut Gulen, itu juga biasa. Sejarah sudah menunjukkan semisalnya sepanjang lembaran zaman.

Macam-macam alasan orang yang menyepetkan mata kepada Erdorgan. Ada yang yang beralasankan kerana dia tidak cukup Islamis. Dia tidak melakukan sepertimana yang diharapkan, Menegakkan daulah Islam di Turki atau menerapkan Syariah di tanah warisan khalifah itu. Ada yang memusuhinya kerana bimbang melihat kebangkitannya yang dijangkakan akan menuju ke arah kediktatoran.

Hairan juga melihat orang yang membayangkan demikian. Erdorgan bakal menjadi diktator jika dibiarkan terus berkuasa. Barangkali dia lupa bahawa Turki telah diperintah secara diktator oleh tentera bersilih ganti dalam era republik ini. Kini bangkit Erdorgan atas suara rakyat, lalu dibayangkan Erdorgan akan menjadi diktator.

Biarlah dia menjadi diktator jika itu caranya melawan diktatorship yang sedang membelenggu Turki dalam era pasca khilafah runtuh. Biarlah. Itulah pertembungan politik. Itulah kebijakan politik yang sedang dibawanya. Ia telah banyak menuai hasil. Bahkan Turki telah manjadi harapan kalbi ramai mustad'afin yang ada seantero dunia.

Jangan bawakan masalah Gulen yang punya khilaf dengan Erdorgan. Gulen bukan pemegang kuasa. Dia hanya berpengaruh. Yang akan mencorakkan Turki adalah yang memegang kendali kuasa.

Sebuah laman web portal "Al-Arabi" menuliskan Gulen sebagai "Sofiy Khumaini Turkiy". Erdorgan tidak digemari otak Syiah tetapi orang seperti Gulen, otak Syiah meraikan!.

Ini hanya sebuah tulisan persepsi sepintas lalu.

Friday, July 15, 2016

AGENDA TUN DR. MAHATHIR

Mulanya aku cukup curiga dengan Tun Dr. Mahathir. Bila dia mengembeling entiti pembangkang untuk disatukan melawan DS Najib Tun Razak, aku seperti angkatan muda yang berfikiran pembaharuan yang menyimpan belah bagi. Terus terang, aku tidak faqih dalam ilmu politik. Aku bingung menetapkan pendirian. Bila Tun Dr. Mahathir membayangkan akan menubuhkan Pakatan Pembangkang yang lebih jitu bagi menentang kerajaan pimpinan DS najib, aku mencongak-congak sikapku. Bolehkan dipercayai orang tua ini.

Cikgu Bad masuk TV. Dia komen dan katakan Tun Dr. Mahathir todak boleh dipercayai. dia beri amaran kepada blog pembangkang agar jangan terpesona dengan Tun dr. Mahathir yang disifatkannya hanya untuk menjaga survival legasi politiknya dan anaknya Mukhriz yang terbuang. Cikgu Bad juga masih muda dalam politik dan aku tidka bersedia untuk menyandarkan sikapku terhadap persepsi politiknya.

namun, boleh keluar kenyataan DS Anwar Ibrahim dari penjara, sebagaimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini, aku macam lebih percaya kepada DS Anwar. Dia memang seornag mujtahid politik yang berpengalaman. Bila dia memberikan signal positif terhadap ura-ura Tun Dr. Mahathir untuk bentuk parti baru dan memperkukuhkan pakatan pembangkang, ia memberikan aku keyakinan untuk menanbahkan belahan sikap. Aku rasa menyokong Tun Dr. Mahathir adalah satu ijtihad politik yang lebih bijaksana.

Thursday, July 07, 2016

Rancu

Kita dalam kerancuan agama
carilah ketulinan
tapislah dan buanglah bid'ah dan rekaan.
jalan selamat adalah jalan salafus soleh
cerminkan kepada mereka.


Kita kalut dalam kerancuan politik
antara tamak haloba sang penguasa
dan kedungguan rakyat jelata
sementara sengketa para pembela
tidak bertemu titik seiya.

Kita dalam kerancuan ekonomi
antara islami dan ribawi

Kita dalam kerancuan sosial
nilai Timur dan Barat bersimpang siur

Kita dalam kerancuan pemikiran
antara kejumudan dan geliat leberalan

Kita dalam kerancuan serba serbi
hati-hatilah menetapkan persada
tempat berdiri menadah harap
daripada kesucian tanpa rancu
Yang Maha Satu.

HARI RAYA PUASA PERTAMA.

Ramai sekali orang kirimkan kad ucapan "SELAMAT HARI RAYA" laman muka buku masing-masing. Aku tidaklah. Pertama tidak tahu nak design kad raya macam mereka. Keduanya, aku tidak suka post gambar sendiri. Apa lagi keluarga. Aku cuma suka post tulisan.

Hari raya pertama ini, aku mulakan dengan solat hari raya di masjid Salamah, Kg Barokhas. Tahun ini aku malas solat Hari Raya di Kg Datuk kerana aku tidak berapa suka dengan kebiasaan di buat di masjid Kg, Datuk iaitu membaca Yaseen selepas selesai acara Solat Hari Raya.


Dulu-dulu, zaman tok nenek. lepas solat hari raya, mereka akan pergi kubur dulu. Adalah diikuti oleh anak cucu beberapa lama. Sekarang, anak cucu pun sudah tidak lagi meneruskan. Bila sudah tidak teruskan, dicipta lagi satu cara supaya oorang bersedekah pahala kepada arwah-arwah pada hari raya, iaitu dengan buat majlis baca yaseen beramai-ramai di masjid lepas solat hari raya

Aku tidak menolak sedekah pahala. Boleh buat masa lain. Yang dibuat malam jumaat itu, ikut sukalah. Tapi yang dibuatnya pada hari raya, apasal? Ada keutamaan ke?

Manusia memang suka mencipta. Tapi yang silapnya bila mencipta sesuatu yang berkaitan dengan ibadat dan cara taqarrub. Kalau mahu cipta hal ehwal dunia, oklah. Memanmg bagus jika ia baik pada pandangan mereka. Tapi, cipta adat kebiasaan yang berkaitan ibadat dan sesuatu yang difahami sebagai ibadah, ini boleh memberi kesan buruk kepada keluasan Islam yang telah dibawa oleh Kanjeng Nabi!
 
Dipost dalam " Travelog Musafir"

Menyeru genta petaka

IS itu lahir di sana
di bumi yang dulu disebut Babil
melebarkan cakarannya ke tanah rebutan
Syam yang bertuah.

Tapi...
di Tanah Permata Nilam ini
ada yang menyerunya
marilah ke sini
kalau berani
tunjukkan diri!

Bersilat belum khatam
sudah berdiri di tengah gelanggang
menjulang badik mengundang lawan!

Baca kitab lembaran muqaddimah
cepat membelek mukasurat tatimmah!

Kedungguan apa
mahu mengujikah jurus tapa
di tengah golak membara
menyeru genta petaka
memercik api ke tanah nenda.

Tuesday, July 05, 2016

Orang terbuang

Kita sedang membilang
bertambahnya orang terbuang
dulu mereka ditunggang
kini bingkas mahu berjuang
dulu sama berdendang
kini berputus arang.


Orang terbuang
dulu memugar ladang
kini bertani di tanah gersang.


Orang terbuang
dulu bintangnya terang
kini tersungkur bagai karang.


Orang terbuang
dulu sahabat kini ditentang
dulu didokong kini dihalang
dulu dibela kini dicincang
dulu dipuji kini diganyang
dulu disuci kini dijalang
dulu selari kini disilang
dulu dibelai kini diterajang


Orang terbuang
negeri telah hilang
sudah menjadi pelarian di tanah gersang
sehari akan didendang
kemudian akan dilupakan orang
seribu orang genggam menjulang
pada hari dituduh petualang
akhirnya sendirian melanglang.


Kecuali jika benar pejuang
seperti harimau tetap berbelang
setelah mati pun sejarah dipancang
tetap disebut berulang-ulang.

KORBAN POLITIK.

Hidup itu putaran roda. Telah lama pun pujangga silam bermadah demikian. Putaran itu nampak jelas dalam dimensi hidup yang pelbagai. Paling ketara dalam sepak terajang politik.

Kelmarin, ada orang merasa selamat ketika olak dan ombak politik membadai. Hari ini, rupanya dia sendiri juga karam. Ada kembiri politik yang sedang ketawa dan bertepuk tangan pula. Satu saat, mereka juga mungkin akan terbungkam dalam arus ganas politik.

Telah tumpas jaguh-jaguh yang tangguh. Ketika rebah watak-watak kecil biasa, apalah hendak diherankan. Itulah hukum permainan sandiwara politik.

Tiada yang namanya setiakawan. Tiada yang namanya tulus dan lurus. Ketika peluang menampakkan ruang, ia segera direbut. Khianat dan bengkok adalah asam garam. Hari ini kawan, esok adalah musuh. Berpolitik dengan setiakawan menempa kecundang. Jika tulus dan lurus, akan dihumban arus.

Telah karam ramai orang kerana kebuasan dunia politik!

Pernahkah anda dengar bagaimana halnya seorang Khalifah Bani Umayyah, Abdul Malik bin Marwan ketika dilantik menjadi khalifah. Ketika datang khabar lantikan, dia sedang dalam gelutan dunia ilmu dengan kitab-kitabnya dan merupakan ulama besar di Kota Madinah. setelah itu dia telah menanggalkan pakaian fuqahanya kerana sibuk menjunjung mahkota umara.

TSMY, Shafie Afdal, Mukhriz Mahathir adalah sedikit petunjuk kecil untuk kita melihat keganasan sandiwara politik yang turun naik. Sebelumnya telah kita lihat yang lebih jaguh daripada mereka dimungkiri dalam permainan sadis serakah politik.

Jangan ketawa dan usah menangis!

Friday, June 24, 2016

TULISAN BERDOSA BERANGAN PAHALA.

Tulisan kita atau ucapan kita yang di"viral"kan tidaklah hanya meraih pahala hasil daripada caci nista orang kepada kita. Ia juga menjadi "sayyiaatul jariah" yang menumpukkan timbunan dosa buat kita apabila setiap kali orang mendengar atau membacanya.

Setelah melemparkan duri ke tengah jalan, lalu orang yang lalu lalang mencemuh sang pelempar duri itu, patutkan dia berkata:


" Terima kasih kerana berikan pahala kepada saya",

Kenapa hanya tamakkan pahala dari orang lain. Tidakkah pula terfikir kita menebarkan dosa menerusi ucapan atau video kita. Jika 100 membaca atau menonton tulisan dan video kita berjenis dosa, maka apakah kita boleh berpeluk tubuh sambil tersenyum menyucikan diri?

Tidak. Tidak ada yang terlepas setelah berbuat angkara. Dunia maya yang menyebarluaskan kejahatan kecil kita membuatkan ia jadi besar dan mega. Jika sepatah kata "laknat" yang kita ungkap dan dibaca ribuan orang, apakah kita hanya dapat satu ucapan dosa? Apakah bila kita menulis satu fitnah adu domba, syak wasangka, tajrih, tuduhan tanpa asas dan menggugat nilai murni islami, lalu dibaca puluhan ribu orang kita hanya membilang pahala kutukan orang ke atas kita? Apakah kita menerima puluhan ribu dosa pula atas capaian orang bagi tulisan kita yang berdosa?

Lalu...masihkah kita mahu berkata:

"Terima kasih kerana berikan saya pahala!".

Bimbangilah banyaknya dosa kerana tulisan tidak berpahala yang terbit daripada kita. Takutilah ucapan dan video yang mengguris luka membelah ufuk timur dan barat hingga kita tidak mungkin mampu mencuci lukanya dan terus bersiponggang seantero dunia.

Wednesday, June 22, 2016

Kisah sang guru solat 100 rakaat

Ada cerita yang menakjubkan. Murid-murid menceritakan kehebatan gurunya. Kononnya, gurunya solat taraweh 100 rakaat dalam satu malam. Gurunya beramal sebagaimana para salaf beramal. Cerita muird itu mengangkat darjat gurunya luar dari kebiasaan orang awam. Cerita-cerita kehebatan gurunya itu adalah untuk halwa telinga yang mendengar. Ia bukan untuk dicontohi. Baik oleh murid yang bercerita maupun yang mendengar cerita. Apabila ada orang menidakkan cerita luar biasa itu, orang itu dikatakan cuba menafikan amalan orang soleh.

Cerita kehebatan guru itu lebih kepada mengangkat nama guru. Ia membawa kepada taksub . Banyak ornag, lantaran kerana taksub suka mereka-reka cerita. Cerita itu dirasakan sebagai luahan rasa cinta kepada guru sedangkan sepatutnya rasa cinta itu dijelmakan dalam bentuk mencontohi guru. Murid-murid yang bercerita mengenai kehebatan ibadat guru, tidak pula cuba melaksanakan seperti mana ibadat sang guru.

Salahnya cinta jika hanya membuat hikayat  tentang hebatnya sang guru sedang tidak mengikut apa yang guru buatkan. Jika benar ceritanya, lakukanlah solat 100 rakaat semalam. Kalau tidak mampu setiap malam pun, cubalah untuk semalam sahaja. Buktikan cerita dengan ittiba'. Buka semata-mata lipur lara yang diragukan orang.

Di kala rasa marah bila orang pertikaikan, nyatalah cerita itu hanya kerana dorongan ta'asub untuk meletakkan point-ponint yang boleh dilihat ornag lebihnya sang guru.  

hal demikian telah pun terjadi kepada Rasulullah SAW. Orang yang kononnya cinta rasul, buat cerita-cerita luar biasa mengenai rasul sehingga banginda dilihat sudah bercirikan bukan manusia biasa. Bahkan sudah melangkau alam malaikat. Nabi SAW digambarkan sebagai satu yang mustahil dicontohi. Tidak oleh sang pencerita dna tidak juga oleh khalayak yang mendengar cerita.

Kalau benar bagai dicerita, buatlah sepertimana yang Rasul buat. barulah cerita-cerita luar biasa itu ma'qul.

Apatah lagi guru-guru biasa.