CARI BAHAN

Monday, April 27, 2015

AKIBAT BERCANDA DENGAN ISTILAH

Dalam tulisan ini, apa yang saya mahu katakan bahawa kebiasaan kita selama ini bermain dengan istilah telah menyebabkan kita terperangkap dalam lingkarannya. Istilah-itilah yang saya maksudkan adalah sekular, plural, liberal dan yang lain-lain seumpama denganistilah-istilah tersebut. Pada satu masa dahulu, ahli gerakan Islam meletakkan lebel tersebut kepada puak-puak yang menentang agenda gerakan Islam. Penentangan mereka terhadap agenda gerakan Islam memang benar-benar berlaku dan ada masanya sangat gencar. Maka, dalam menanggapi penentangan tersebut, lahirlah istilah-istilah itu yang dilekatkan kepada mereka supaya ahli dan pendokong perjuangan menjali jelas permainan musuh.

namun, lama-kelamaan, apabila zaman sudah berubah, sikap dan persepsi yang mula mengalami perubahan. Istilah sekular sudah tidak lagi menyengat. Watak sekular juga mula kabur dan dipersoalkan. Pemahaman juga sudah berubah tentang makna sekular. Demikian jugalah istilah-istilah lain.

Saya tidak cukup menguasai ulasan ini untuk menrang secara tuntas. Namun, saya berpandangan istilah yang dulunya kita sedbagai ahli gerakan Islam berikan kepada musuh perjuangan, ia sudah membakar kampung halaman kita. Hari ini, dalam jamaah sendiri pun sudah ada kelompok yang dilebelkan sebagai sekular, liberal dan plural. Setelah letih menyerang musuh, atau mungkin musuh sudah pandai mengelak daripada dikesan, akhirnya sahabat sendirilah yang diserang.

Perkara inilah yang terjadi dalam Pas sebagai sebuah wadah gerakan Islam. Gelaran-gelaran yang satu waktu dulu dihalakan kepada musuh luar gerakan Islam, kini ia ditujukan kepada rakan dalam jemaah. Bermain dengan istilah ini umpama bermain dengan senjata tajam. Jika permainan tidak diiringi dengan gerak yang tersusun berpaksikan ilmu bela diri, maka pada saatnya, senjata tajam itu akan emmakan diri.

Zaman memang sudah berubah. Pemikiran kita perlu menginjak dan meluaskan ruanglingkupnya. Generasi muda hari ini punya pandangan yang tidak lagi serupa dengan generasi tua. terutamanya dalam pencak politik yang berpaksikan pemikiran. 

Rasanya, kita perlu menamatkan syair lama kita yang banyak membicarakan soal sekularisma, plurakisma atau liberalisma. Kita sedang menapak zaman baru dan haiwan buas dalam belantara batu tidak lagi serupa haiwan buas dalam belantara rimba.


Saturday, April 11, 2015

Bersiullah di kala tangis rakyat.

Ketika gaji rakyat diminta naikkan, riuh diperdebatkan. Banyak perkiraan perlu diperhatikan. Kekadang, ia berkesudahan dengan "tak jadi" naik. Ekonomi negara dalam kondisi yang tidak mengizinkan.

Tetapi, kelmarin diumumkan gaji ahli parlimen dinaikkan. Ramai orang, termasuk aku, hanya tahu bahawa ia telah diluluskan dan dinaikkan. Tiada perdebatan riuh gempita macam ketika gaji rakyat terbanyak diminta naikkan.

Ahli parlimen pun manusia. Walaupun pada saat tertentu kelihatannya seperti sebahagiannya menjuarai suara rakyat, ketika persoalan perut sendiri disuapkan, giranglah mereka. Ketika rakyat didukalarakan oleh siatan GST ke atas poket nipis mereka, tanpa silu para MP boleh tertunduk syukur lega kerana gaji mereka dinaikkan.

Mana suara berjati diri yang sudi berkata:

"Usah naikkan gaji kami saat rakyat sedang membayar lebih untuk GST!"

Tiada terdengar. Sunyi. Sepi. Masing-masing menelaah survival kantong sendiri.

Begitulah aku menilai para MP sebuah negeri yang berdebah. Maafkan aku jika tersilap dalam menanggapi.

Friday, March 20, 2015

Hudud lebih aula

Ilmu politikku tidak sampai untuk menyongsang daripada pendirian yang Pas yang disuarakan oleh mursyidul amnya, Tg Harun Din. Menurut  Tg Harun Din, melaksanakan hukum hudud itu lebih penting daripada menjaga keutuhan Pakatan Rakyat. Dengan kata lain, dapatlah difahami bahawa Pas tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hudud. Peringkat permulaan ini adalah di Kelantan. Apa nak jadi dengan Pakatan Rakyat, pedulikanlah. Biar pecah berkecai Pakatan Rakyat tak apa, asalkan hudud dapat dilaksanakan.

DAP tidak habis-habis menyuarakan penentangan terhadap hudud. Sungguhpun usaha Pas dilaksanakan menurut lunas-lunas demokrasi berparlimen yang diamalkan, penentangan DAP nampaknya tidak reda.  Penentangan tersebut memperlihat sikap permusuhan terhadap Islam secara tidak langsung.

Sepatutnya DAP mengawal kelancangannya. Setiap parti ada maruahnya. Lebih-lebih lagi Pas sebagai sebuah parti yang telah tua dan lama membina kerajaan di Kelantan. Kelihatannya seolah-olah DAP sedang mendabik dada dengan kekuasaanya yang masuk penggal kedua di Pulau Pinang.

Apakah menjaga Kelansungan Pakatan Rakyat itu lebih aula daripada melaksanakan hudud, sekurang-kurangnya buat masa ini, itulah yang ilmu politikku tak sampai. Kerana itu, aku bersimpuh sahaja kepada sabda sang mursyidul am. Semoga ijtihadnya betul dan Allah merestuinya dalam ijtihad tersebut.


Wednesday, March 18, 2015

Cerita GST di sebuah pekan kecil.

Orang-orang yang waras akan merumuskan. Bila GST mula bulan April nanti, harga barang akan naik. Memang pening kepala orang-orang yang berotak dan mampu berfikir dengan otaknya, bila dikatakan bila GST berkuatkuasa, harga barang akan turun. Ia samalah bila seseorang menyatakan bila kita naik basikal ditukar kepada naik motosikal, penggunaan minyak akan semakin jimat. Kemudian, datang seorang yang belajar di atas awan, kalau beli kereta, lebih jimat minyak berbanding guna motosikal.


Ketika aku singgah membeli sebuah meja plastik di kedai Cina di pekan Kuala Nerang, aku mengujinya dengan pertanyaan.

"Bagaimana taukey, sudah daftar GST?

" Ya, sudah..." jawabnya. Wajahnya kelihatan mencuka dan mencebir.

"Nanti barang-barang di kedai taukey akan makin murahlah!"Aku mengeceh.

"Lagu mana nak murah, cuba kamu tengok peti ais yang saya jual tu, sekarang hargnya RM1000.00, bulan depan saya kenal jual RM1060.00..."

"Wah, kenapa makin mahal, menteri kata makin murah", aku mengumpan sambil tersengeh.

"Itu menteri, cakap dengan orang bodoh bolehlah", Cina taukey itu melepaskan geramnya.

Aku berlalu dengan sedih. Bangsaku banyak percaya omongan itu. Sang Cina itu, orang yang berniaga, pun tidak boleh percaya omongan GST memurahkan harga barang....

Penceramah atau pendakwah?



Ummat tidak rugi hilangnya penceramah,
tetapi alangkah besar kerugian kala hilangnya pendakwah.

Ada orang dilihat seperti pendakwah. Namun, dia cuma penceramah. Tujuannya yang utama adalah untuk mendapat pamrih melalui ceramah. Ceramahnya bukan bertujuan tulus mengubah posisi masyarakat yang bobrok, melainkan hanya untuk menjadikan masyarakat sebagai pelanggan yang boleh membeli produknya.


Mungkin hasrat sang penceramah murni, ingin membangunkan sabilillah menerusi pamrih dan produk yang diperolehi. Akan tetapi, ia diperolehi dengan menginjak kedahagaan masyarakat.

Aku dengar, ada penceramah yang ragu-ragu untuk berhenti berceramah kerana hasil saguhati ceramahnya penting untuk membangunkan pondok pengajiannya. Kalau berdakwah melalui ceramah, tidak akan ada istilah berhenti. Dakwah itu sampai mati.

Macam juga politik, kalau politik dakwah, tidak ada istilah dinasour. Sampai mati, kekallah berpolitik dan terlibat dalam pencak sitaranya. Kerana politik dakwah tidak penghujungnya.

Ini ceramah. Paling dekat dengan dakwah. Paling mirip dengan kerja dakwah. Maka, jika niat untuk dakwah, tidak ada rancangan untuk berhenti. Bukan jadikan ceramah sebagai loncatan untuk yang lain. Ia seharusnya tulus membetulkan masyarakat. Menegur kepincangan dan bukan mengambil jalan ' mudahanah' demi survival pasaran dalam dunia jemputan.

Ummat tidak menanggung rugi dengan sirnanya penceramah, akan tetapi besarlah kerugian jika hilangnya pendakwah.

Monday, March 02, 2015

Kebaikan dan keburukan.

Manusia acap tersilap dalam menilai sesuatu sama ada ia baik atau buruk untuk dirinya. Pada satu ketika, dia membenci satu perkara kerana pada anggapannya perkara itu buruk untuknya. Sedangkan, hakikatnya perkara itu baik untuknya. Hakikat kebaikan itu hanya dapat dilihat setelah berlalunya satu tempoh masa. Tempoh masa itu mungkin makan masa lama. Satu generasi atau beberapa generasi.

Sebaliknya pula, satu yang disangka baik oleh fikiran manusia, hakikatnya perkara itu adalah buruk untuknya. Hakikat keburukan itu akan terserlah setelah berlalunya satu tempoh masa, satu generasi atau beberapa generasi.


Kerana itulah manusia berkhilaf. Satu pihak berkata apa yang dilakukannya baik. Dan satu pihak lagi katakan ia buruk. Mencari petunjuk nas dalam menentukannya, bukan sentiasa muktamad ada. Banyak perkara ditinggalkan menjadi perdebatan dan pencarian.

Hujahlah yang akan menjustifikasikannya. Perkataan semata-mata tidak menjadi justifikasi penentu. Hujah yang sarat akan membongkar hakikat baik buruk sesuatu perkara. Untuk berhujah, seorang yang mahir dalam bidang itulah yang perlu terlibat.

Seumpma dewasa ini, orang memperdebatkan apakah tahalluf siyasi itu MASIH menguntungkan Islam atau tidak. Nak tahu ia MASIH untung atau tidak, ia perlu diperdebatkan dengan hujah-hujah. Ia tidak boleh diputuskan dengan sepatah latah yang mungkin dipandu emosi kemarahan. Oleh kerana tahalluf siyasi itu adalah sebuah ranjau rumit politik Islam, maka ahli politik yang mahirlah yang layak menghujahkannya. Ia bukan makanan ahli hukum, ahli kalam maupun ahli tasauf. Juga, ia bukan bahan gomolan ustaz fajar dini yang belum pernah melihat mega merah senja berdarah.

Sekian daku melontar pandangan...

Sunday, March 01, 2015

Menghargai Pendahulu

Ketika Hatib bin Balta'ah dapat disergap kerana mengirimkan surat peringatan kepada saudara maranya yang kafir di Makkah sebelum penyerangan Kota Makkah oleh tentera Islam, Umar Al-Khattab meminta izin untuk memenggal lehernya.

"Biar kupenggal leher si munafiq ini wahai Rasulullah!"

Demikian Umar Al-Khattab bingkas.

Namun Rasulullah tidak mengizinkan. Rasulullah SAW memaafkan Hatib bin Abi Balta'ah dan menyatakan bahawa dia ( Hatib) adalah dari kalangan ahli Badar.

Ada apa dengan Ahli Badar?

Ahli Badar adalah pendahulu perjuangan. Nabi menghargai pendahulu dalam perjuangan. Kendati tindakan Hatib bin Abi Balta'ah adalah sebuah pengkhianatan, keberadaannya sebagai pendahulu perjuangan meletakkan dirinya patut dimaafkan. Sementelahan, apa yang dikatakan pengkhianatan oleh para sahabat lain itu, bukanlah menjadi niat Hatib bin Abi Balta'ah dalam mengutuskan surat makluman pergerakan tentera Rasulullah SAW itu.

Demikian iktibar kecil dari episod sirah. Dalam perjuangan PAS memacu perjuangan politik Islam di Malaysia, ada segolongan yang boleh dikenali sebagai pendahulu perjuangan berdasarkan senioriti dan pengorbanan mereka. Kalau hendak dicerminkan dengan kisah Hatib bin Abi balta'ah tadi, kalaulah benar mereka dianggap pengkhianat dalam perjuangan, tuduhan khianat itu tidak layak datang daripada para pejuang belakangan. Pejuang yang muncul setelah zaman getir dan sulit berlalu.

Pendahulu perjungan yang pernah melalui titik-titik penting dalam gelombang perjuangan tidak wajar diperlecehkan oleh yang datang kemudian. Mereka perlu dihargai. Sekupang yang mereka korbankan pada zaman susah dulu adalah lebih mahal dari beribu ringgit yang disedekahkan oleh orang kemudian yang datang menyertai perjuangan.

Pejuang-pejuang muda yang semangat berapi-api untuk membela perjuangan Pas, kesuciannya dan kemurniannya, jangan merasa lebih besar kedudukan di mata Allah daripada para pendahulu. Sesungguhnya, pendahulu yang yang kerjanya gurkha cuma, lebih mahal harganya di sisi Allah daripada pejuang kemudian yang datang, walau jawatan dan gelarannya nampak utama dan besar.

Inilah sikapku dalam melayani kerenah dunggu lewat terakhir ini....

Menyahkan igauan silam.

Dulu-dulu, waktu remaja menginjak era kepemudaan, aku sangat anti dan benci komunisme. Bukan kerana apa-apa. Hanya kerana namanya kumunisme. Guru yang mengajarku memberitahu komunis itu jahat. Ia adalah sebuah isme yang diciptakan untuk menafikan wujudnya Tuhan dan mencandukan agama. Ditambah pula riwayat buku sejarah dan paparan filem yang menggambarkan kejahatan pejuang komunis.

Maka, aku membenci komunisme. Aku rasa begitulah ramai anak bangsaku merasakan hal yang sama. Membenci komunisme dan tidak boleh terima kewujudan komunis dan komunisme sama sekali dalam negara, sama ada dalam bentuk manusia atau pemikiran.

Demikian, pemikiran dibentuk. Ia seperti sebuah doktrinisasi. Kebencian diterapkan juga kepada sosialisme, sekularisme, pluralisme, liberalisme dan berbagai-bagai lagi. Keadaannya tidak jauh daripada apa yang diupayakan oleh pihak Barat hari ini yang cuba menanam kebencian kalangan warga jagat raya terhadap terorisme, fundementalisme, jihadisme, daulah, hudud dan seumpamanya.

Dalam komuniti kecil, saya masih ingat bagaimana kebencian terhadap UMNO di pasakkan dalam jiwa kader-kader sekolah agama yang aku dibesarkan. Ia Bukan dasar sekolah, tetapi inisiatif guru-guru yang membuak-buak semangatnya. Kebencian itu tidak disandarkan kepada apa-apa selain hanya kerana namanya UMNO. Begitulah pemikiran dicanai dan sebahagian membesar dengan kebencian itu dan sebahagian ditunggang terbalikkan oleh keadaan mendatang. Segelintir dirasionalkan oleh kematangan.

Saya mengimbau hal tersebut untuk menyatakan bahawa zaman sentiasa berubah. Bahasa zaman ibu bapa kita dulu sudah tidak sama dengan bahasa zaman kita. Apa yang menjadi ancaman di zaman mereka, zaman kini sedang dalam proses rasionalisasi.

Sebab itu, kita hendaklah waras dan mendengar dengan tekun dan sabar bila hari ini kita dengar ada orang memuji komunis dan tokoh-tokohnya. Jangan cepat melatah dan memurtadkannya. Demikian, cemuhan halalintar terhadap sekularisme, liberalisme dan pluralisme yang menjadi pegangan ibu bapa kita dulu, tidak lagi menjadi pegangan sebahagian generasi muda kita. Tidak hairan jika hari ini kita dengar ada pemuda Islam yang berjuang dalam kancah Islam mengaku diri sebagai seorang liberalis dan pluralis.

Mereka generasi baru yang sedang memacu akal. Warisan pemikiran leluhur kita perlu berani diadun dengan tafsiran baru dan tajdid. Ia bukan buruk untuk kita, malah ia baik untuk membuahkan generasi yang lebih gagah dari nenek moyang kita yang pastinya telah gagal memacakkan kemenangan di persadanya.

Mungkin generasi inilah yang akan memacak panji di kota kemenangan. Mungkin....

Saturday, February 28, 2015

Faqih...

Jika kamu di jagat persilatan
fahamlah segala pencak dan jurus
Dinamalah kamu faqih silat.


Jika kamu di medan siasah
fahamlah segala permainan musuh
tahu membeza tipu dan sungguh
tinggi seni bijak mengolah
Dinamalah kamu faqih politik

Jika pandai hukum feqah
menjawab tanya sebarang masalah
hukum hakam ketentuan Allah
menerangkah batal dan sah
wajib, haram, makruh dan mubah
dinamakanlah engkau faqih feqah.

Jika bermain di padang datar
tidak serupa dalam belukar

Jika mahir menari samba
lain cara menari zumba
Jika memilih jadi gembala
tidak berguna kemahiran menjala
jika biasa mengajar kitab
tidak sama melatih kuttab

Faqih ketua menjadi syarat
bukan bermakna menghafal ayat
tapi faham medan siasat
bijak mengatur tipu muslihat.

faqih Khalid di medan perang
faqih Bukhari di medan riwayat
faqih penyair malam mengambang
faqih pencuri di malam zulmat.

Thursday, February 26, 2015

Sekutil nasihat buat yang berlidah.

Nenek moyang telah berpesan
Kerana pulut binasanya santan
Kerana mulut celakanya badan
Mengapa cucu tak ambil ingatan?


Siapa banyak tutur bicaranya
banyaklah berlaku silap salahnya
banyak salah jenuhlah dosanya
jenuh dosa, nerakalah balasannya.

Lidah siapa rajin bicara?
sekalipun mengajar ilmu agama
jangan bercakap ikut suka
telajak lidah hati terluka.

Antara sekian banyak manusia
Para ulama diperhati katanya
hendaklah lidah sentiasa dipelihara
kerana lidah binasalah empunya

Sang guru dan murid.

Guru memperingatkan murid agar menjaga adab murid terhadap guru. Namun, siapa yang akan memberikan adab guru terhadap murid?

Dalam banyak hal, pihak yang di atas melupakan apa yang perlu dilakukan olehnya. Hanya disebut tanggungjawab bawahan. Kerana itulah tergelincirnya penguasa lebih banyak dari rakyat.


Umpamanya, diperingatkan tentang adab-adab dalam memberi teguran kepada pimpinan. Namun, adab-adab pemimpin bila menerima teguran tidak diperkatakan. Padahal, kedua-duanya ada ikatan yang wajib dipatuhi....

Edan

Zaman ini
zaman edan

Sang Qori tidak lagi mengaji
lebih suka menyanyi
lagu para gipsi


Para wali tidak lagi berzikir
lebih suka berdikir
lagu pak pandir.

Bahasa pendeta tidak lagi bijaksana
lebih bermakna bahasa pengembala.

Air di puncak legeh.

Air sejuk dan jernih
dari mata air gunung
memancut dari legeh tinggi


turunlah mengalir ke lembah
melatalah ke celah rimba
tembusilah desa dan kota
baru dikenal adanya jasa

Deruan syahdu
deburan atas batu
tidak membawa erti
jika tidak bergabung di kuala
hujung sebuah kali....

Aku termenung sugul di tepi kali...

Fikiranku berkocak mengalun memikirkan perangai segolongan para ustaz yang cuba memposisikan diri sebagai ulama di zaman ini. Ilmu belum penuh dalwa, karya tulis pun tiada dan amal soleh sekecil hama, di muka zaman telah mengaku ulama mulia. Menjadi ulama lebih mudah daripada menjadi jutawan. Padahal jutawan itu debu dunia sahaja. Aneh sekali jika debu dunia sukar digapai, tetapi mutiara akhirat melanai pula untuk direbuti dan dimahkotakan atas kepala sendiri.


Orang berlumba mahu digelar ulama. Bila nama ulama sudah dijinjing, terasa sudah dikendong. Dari kendongan itu timbul rasa mahu didokong. Maka hadirlah cinta gelaran ulama pada diri. Di situlah merebaknya "hubbul jah". Kedudukan sebagai ulama telah menjadi sebuah batu "Jah".

Ulama bukan pada nama. Digelar ulama kerana feel yang saksama seiring dengan ilmu yang saujana.

Monday, February 16, 2015

Sucikan hati (1)

Hati kita telah menjadi kotor dengan sebab dosa-dosa kita.

Kita sering memandang orang lain kurang darjatnya dalam kebaikan berbanding kita. Kita memicing mata kepada insan lain dan kita merasa hebat untuk diri sendiri. Kita mungkin menyangka kita paling mencintai kebaikan dan orang lain mencintai kejahatan. Inilah maksiat buat hati kita dan ia mencemarkan dan menambah kotor jiwa.


Ayuhlah kita bersihkan hati dan berbaik sangkalah kepada orang lain. Buangkan rasa ujub, takbur dan sum'ah, kerana ia merosakkan amal kebaikan kita.

Jadikan rahsia kita lebih bersinar daripada apa yang terdedah tentang diri kita.


‪#‎catatan‬ subuh yang bening.

Saturday, February 14, 2015

Pencak waspada.

Setelah memasang umpan
barulah tahu rupanya kail

Dalam senandung zikir wali
rupanya terselit mantera syaitan

Masakan musuh datang bersimpuh
kalau tidak menyimpan selingkuh.

Tewas pendekar kerana leka
disangka lawan cuma bersenda.

Setelah galak menebar padi
sawah bendang kelak dicuri.

Masa hayat asyik disebat
setelah tiada baru dinobat
tentu ada yang tersirat
dikenal hanya si tajam makrifat.

Friday, February 13, 2015

Buana pucat.



Pejuang rakyat
dalam masyarakat
sebagai ubat
untuk jagat
dialah berkat.


Telah gerhana ufuk siasah
kala aktornya dihukum bersalah
atau bertukar jadi gemulah
buana pucat tidak berdarah.

Telah direnggut mutiara negara
seorang dihumban ke dalam penjara
setelah berbuat banyak perkara
merubah lanskap politik negara

Seorang dijemput ke langit tinggi
meninggalkan harum semerbak setanggi
di bawah langit selaku murabbi
dunia siasah menanggung rugi.

Walau ketawa dubuk lapar
atau menangis segala camar
mutiara hilang yang disambar
jadi musibah meninggalkan calar

Buana ini bertambah pucat
kemarin mega merah di langit barat
semalam gerhana di balik awan larat
hari ini kami terduduk menanggung sarat
esok menunggu jalan berselirat.

Lunas,
13.02.2015

Thursday, February 12, 2015

Dedikasi pilu kehilangan TGNA.

Berpulanglah sudah
Seorang ulama terbilang
Guru siasah nan cemerlang
Hati ini berkeluh walang
Mendepani  kemelut hari mendatang.

Memang demikianlah hamba pilihan
Bila habis tugasan Tuhan
Memimpin negeri bernama Kelantan
Hidup berbaki dalam bilangan.
Pahala memimpin sudah berkurangan
Maka hayat bertemu kesudahan.

Adapun manusia bukan pilihan
Walau telah lepas jawatan
Umur masih lagi berlanjutan
Baki hidup menambah beban
Dosa bertambah siang dan malam.

Dia ulama berakal cemerlang
Cermat ijtihad menambah terang
Gelap ragu dapat dibuang
Dapat menambah yakinnya orang

Kehilangan ini di waktu berkabus
Sukar dicari seorang penerus
Sebuah legasi setegak turus
Tegak simbul bijak urus.

Esok belum dapat dipasti
Apakah kabus  sirna sebelum dini
Atau berlanjut hingga pagi
Tiba-tiba kita hilang seorang  murabbi

Semoga Allah  bawakan pengganti
Pacakkan harapan walau seratus tahun lagi.
 


Kita miskin sosok hebat.

Hakikatnya, tidak seorang pun pemimpin muda kita yang dapat berpencak dengan bergaya di pentas politik. Lebih malang lagi, kalangan yang menampilkan wajah penerus gerakan politik Islam, masih corot berbanding mereka yang bercakap dengan bahasa politik nasional maupun sekular. Khalayak sedang menonton dan menyaksikan gelagat serta mengukur kebijakan para pemuka yang sedang beraksi. Sayang sekali, ramai kalangan yang mendokong suara Islam dan agama  sebagai perjuangan masih mempamerkan kepongahan dan kedungguan.

Islam jauh dari kepongahan dan kedungguan. Islam mendidik para aktornya menjadi bijak laksana, sabar dan sentiasa berpandangan jauh. Para pendekar Islam bukan robot-robot yang dikaderkan untuk berfikir dan melaksanakan apa yang dicorak dan diwawaskan oleh para pendahulu. Seharusnya sosok-sosok yang membawa selogan perjuangan nabi adalah mereka yang mengkagumkan rakyat dari segi keperibadian dan wawasannya. 

Memang akan ada yang memusuhi dan memperlecehkan. Namun permusuhan dan perlecehan yang datang dari orang-orang yang waras dan ideal adalah satu kejanggalan buat pejuang hebat yang menjulang nama Islam. 

Muhasabahlah diri dan jangan merasa diri sebagai kaswari yang terbang bebas mulia di bawah langit dan atas awan gemawan.

Tuesday, February 10, 2015

17 tahun sudah berubah.

Aku telah tua
lelah kian terasa
17 tahun lalu bersilih masa
aku mendengar kicau margastua
kini diganggu perkelahian serigala
malam aman hilang sirna
pejam mata tak juga lena.

Kembali bersenandung rintihan ungka
dari kebuasan perut belantara.

telah sirna merdunya sintar
masjid agung bertukar menjadi pasar
rumah dibina lantainya gelegar
panah meluncur tidak dari busar.

Hinggusan merangkak kini sudah berpencak
sudah bersilat berdika jalak
pasang kekuda di bumi terpacak
ke langit tinggi telunjuk tegak.

Aku lelah membilang bilah
17 tahun lalu...kini berubah
tingal memori indah
mengenang kenangan bersama gemulah.

Kampung lama kini berubah
kacang gila tumbuh menjalar sudah...