CARI BAHAN

Friday, October 25, 2013

BERAPA RAMAI MUSUH ISLAM MENEMUI HIDAYAH?

Arnorl Van Doorn

Kekadang, pembela Islam itu berlebih-lebihan dalam menyatakan cintanya kepada Islam. Dalam berlebihan itulah, mereka melewati akhlak seorang pendakwah yang menjadi hakikat kepada kecintaan kepada Islam. Tugas seorang pembela Islam hanyalah berdakwah menyelematkan Islam. Islam tidak memerlukannya untuk diselamatkan kerana Allah sahaja yang menentukan di mana duduknya Islam dalam persada zaman. Amat salah jika seorang pembela Islam merasakan kerja buatnya itu sangat penting dan menentukan survival Islam.

Wahai....para pembela Islam!

Kalian hanya pengemis pahala dalam kerja membela Islam. Kalian bukan penjaga kepada Islam. Kalian hanya meraih taburan pahala yang ada dengan kerja untuk Islam itu.

Justeru, jangan sampai menghina musuh Islam sehingga tidak pernah membayangkan bahawa satu ketika kelak, musuh yang dihina itu akan menjadi muslim yang lebih kuat dari diri anda sendiri. Kerana Islam itu kepunyaan Allah, Dia juga akan menentukan siapakan kalangan hambaNya yang terdekat dengannya. 

Maka, berpada-padalah dalam menyatakan semangat pembelaan terhadap Islam yang anda kobarkan. 

Dulu, seorang kafir bernama Arnorld Van Doorn telah membikin filem yang menhina nabi Muhammad SAW, seterusnya menghina Islam. Umat Islam bangkit menentangnya. Baguslah menentangnya. Tetapi jangan berlebihan. Tiba-tiba, Allah berikan hidayah kepadanya dna dia masuk Islam. 

Akan datang, mungkin dia akan bertambah baik Islamnnya dan bakal menyumbangkan sesuatu yang lebih bererti daripada apa yang disumbangkan oleh sekalian banyak ornag Islam yang dulunya mencemuhnya.

Allhu..waliyyut taufiq.

Wednesday, October 23, 2013

Kaum yang lemah dan kalimah Allah.

Kaum yang lemah selalu mencari alasan. Jika dia tewas, akan disandarkan ketewasan itu kepada faktor-faktor yang tidak ada kautan dengan kelemahan dirinya. Akan dikatakannya musuh terlalu ramai, musuh ada kelengkapan senjata yang canggih, musuh di posisi yang berkelebihan dan sebagainya.  Sementara diri tiada apa-apa kesalahan.

Tabiat kaum yang lemah ini dapat dilihat dalam gejolak rasa setengah ekstremis perjuangan kalimah Allah. Antara alasan pokok mengapa mereka mahu mengeksklusifkan nama Allah adalah untuk menjaga akidah ummat Islam. Kononnya, ummat akan keliru dan terjebak ke dalam akidah menyimpang agama lain, khasnya Kristian, jika nama Allah digunapakai oleh masyarakat Kristian.

Tanggapan kaum yang lemah sahaja membimbangi hal ini. Selama mana ummat mahu dijaga dan dipelihara dengan cara itu? Itu bukanlah penawar bagi mengubati kelemahan akidah ummat. Ketika belum lagi isu penggunaan kalimah Allah dikumandangkan, masalah kemurtadan telah menghantui. Itu menunjukkan bahawa mereka murtad bukan sebab agama lain cuba menggunakan kalimah Allah. 

Kaum yang kuat akan berani mendepani cabaran dengan positif. Apa yang disangka merugikan diri, akan ditukar menjadi keuntungan bagi diri sendiri. Musuh akan terkulat-kulat di depan kaum yang kuat. Kuat bukan bereerti berjaya menghalang musuh menyebarkan agamanya atau musuh menggunakan kalimah Allah dalam ibadah mereka.

Kuat ertinya mampu menentang dogma mereka dengan kesantunan akidah Islam. Di mana mahu dicari kebijakan ini di kalangan kaum lemah yang sentiasa defensif?


Tuesday, October 22, 2013

Zapin Pembangunan



Zapin pembangunan berlagu lagi
demikianlah saban kali
bila pencak tari
pilihanraya kecil kembali

Setengah abad berlalu
masih bermain lagu itu
masih menyalakan lampu buat kalkatu
masih bersimpang nawaitu
masih menanam tebu
di balik senyum sepahit hempedu.

Zapin pembangunan
sampai bila akan dimainkan?

Thursday, October 17, 2013

SILAT HARIMAU DI KANDANG KAMBING



Ini negara kita
Malaysia diberi nama
fatwa tentangnya kita yang punya
ulama antarabangsa
tidak tahu maslahah kita.

Telah bersabda mufti raja
murtad kafir hamba jelata
yang ingkar keputusan yang telah diwarta
kalimah Allah milik muslimin semata.

"demikianlah fatwa hamba"
menjunjung titah duli baginda
batu jemala menyembah daulat
ampun tuanku beribu ampun
patik pacal ke bawah duli
menyatakan hukum buat rakyat bawahan.

Pencak bersilat sang harimau
mengaum galak tingkah meningkah
bertukar mengembik di kandang kambing

Ini Malaysia negara kita
kita lebih masak suasana
kita membaca masalahah agama
hukum diterbit menimbang tatakerama

Semenanjung mengikut hukum maslahah
Sabah Sarawak mengikut hukum adat
Beluran, Tongod, Telupid hingga ke Kudat
kita melompat ke hukum tabiat
kampung kecil di ulu darat
kita siasat ikut firasat.

Wednesday, October 16, 2013

MUFTI BERFATWA BERPICING MATA

Kata mufti Noh Gadut, murtadlah sesiapa yang masih mempertikaikan keputusan mahkamah rayuan yang memutuskan larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Fatwa sedemikain mengundang komentar panas dari kalangan ilmuan Islam. Sebagaimana yang telah termaklum, isu penggunaan kalimah Allah oleh ornag bukan Islam, khasnya penganut Kristian berdepan dengan dua sikap yang berbeza kalangan tokoh ilmuan Islam. Ada yang melarang dan ada yang tidak.

Apabila mufti Noh Gadut berfatwa sedemikian, ia seolah-olah mengkafirkan semua yang membolehkan penggunaan kalimah Allah oleh ornag bukan Islam. Sebenarnya, Noh Gadut memperlihatkan keadaan terdesaknya dan mahu memaksakan pendapatnya ke atas semua orang.

Seornag mufti bukan penutur wahyu. Pendapat mufti adakalanya bernanah dan berbau. Mufti hanya manusia yang mudha dipengaruhi oleh sentimen. Di Malaysia, ada mufti yang tebal sentimen kemelayuannya. Ada pula mufti yang taat habis kepada tuannya,sang raja negeri biarpun raja negeri itu bersekongkol dengan ajaran sesat yang difatwakan sendiri olehnya. Pendek kata, mufti yang ada kian celaru. Pendapat bersimpang siur.

Rakyat awam makin tersasar.

Saya sendiri pernah dihukum murtad oleh seorang algojo UMNO gara-gara berpegang dengan pendapat seorang mufti yang memurtadkan sesiapa yang mencetuskan perpecahan dalam masyarakat. Malang pula, sesiapa yang cenderung fikrah pembangkang dituduh sebagai pemecah masayarakat. Justeru, murtadlah semua pembangkang kerajaan menurut algojo dunggu itu.

Mufti ....mata  kian sempit. Glaukoma dan katarak melapisi kekuatan fekah sendiri.

Thursday, October 10, 2013

Ancak-ancak Salibi

Ancak-ancak Salibi

Ancak-ancak salibi
mengatur sengketa di tanah nabi
pancutan minyak dalam bumi
dibazir kerabat sesuka hati
warisan Romawi tumpang sekaki
menyusu kera di hutan
anak dibuaian gigit jari.

Usah terpesona panggilan salafi
dendang dari Ibnu Saudi
walau mencetak mashaf Usthmani
diberi pecuma mencuci rohani
tapi  negeri diancak Salibi
jadi markaz para Samiri
putera puteri yang lupa diri.

Sandiwara di siang bolong
ke tanah Syria menjaja tolong
berpayung sunni menumpas alawi
di bumi Kinanah membela As-Sisi
zaman Morsi menyepi diri
Hamas di Gaza dibiar sendiri

Menaja pembelot mengunci Rafah.

Menjaga Haramain
membunuh haramal insan
setiap titisan darah yang tumpah
menajisi wajah salafinya

Menungkat inqilaq
menafi intikhab
itu bukan perangai salafi.

Tuesday, October 08, 2013

MENANG TUJAH ALAH MARUAH


Sungguh tangkas pencak silatmu
jurus memacar kilat di ufuk
guruh berdetum bersama tempikan
Sayangnya alah dek percikan meriam
ledakan dari Alfonso de albuqaerque

Sungguh lumayan ilmumu
hafal matan segala thurath
hujjah mendongak menggapai baitul makmur
menghujam sedalam laut kalzum
sayangnya mencemuh aslaful awwalin
murid seorang payah dihitung.

Walau menanam padi sebendang
apalah guna jika tumbuhnya lalang
walau menjala selaut terbentang
sayangnya pukat robek berlubang!

Jika zaman telah berubah
rentak tidak sama dengan madah
jangan dimain rentak Mak Yong
jika bernyanyi lagu keroncong.

Jika dicela warga bawah tanah
tidak kan bangkit mereka menggepal amarah
mereka mutiara di kala hidup
sedang kita lumpur sekalipun sudah mati.

Mengenang sahabat yang hilang.



Pernah kau katakan
sungai ini luas
arusnya deras
kita sama menongkah
berdayung biarpun lelah.

Pernah kau katakan
rimba ini buas
Isinya ganas
kita sama redah
tanpa takut sang bedebah.

Pernah kau katakan
sahara ini panas
sukar sekali untuk direntas
kita sama bina kafilah
berpantang kita menyerah.

Katamu itu kuanggap azimat
sebagai energi buat harakat
di kala resah dalam zulmat
ia menjadi sabda keramat...

Tapi...sahabat
kini di mana kau berkhulwat
hilang sebut sirna riwayat
bagai kini mengenang hikayat...

Saturday, September 28, 2013

LAGAK ORANG POLITIK.


Ketika dia memimpin negeri
Mereka kata dia tak reti
dia tebang hutan sesuka hati
peruntukan negeri tidak diberi.

Kini bila dia pergi
mereka datang menunjuk seri
berwajah sahabat sarat memuji
dia dikata orang berbudi
hilang sukar dicari ganti.

Sungguh hebat lagak telunjuk
membisik kelingkin supaya bengkok
ada untung dapat dicedok
ke kandang orang rela menjenguk.

Bukan salah menunjuk budi
terlebih lagi sesudah mati
tapi apalah ada erti
jika masa hidup menebar cemeti...
Setelah mati datang berlari
masa hidup bermain aci
politik bagai menarik tali
dilepas direnggut sesuka hati.

Aku bukan Ayatullah!

Aku memetik hikmah yang hilang
dari kelompok orang-orang sumbang
ketika para wali banyak temberang
kerana rela ditunggang belakang
oleh para penguasa jalang.

Aku meniru cakar harimau
ketika kucing hanya pandai mengiau.

Aku memetik muzik Sunan Kalijaga
pada saat lagu Solawat menambah lena.

Membaca karya Goldziher
bukan menjadikan aku meremehkan karya As-Syafie.

Jika aku menyebut Bin Baz
Orang kata aku Wahabi
Jika Aku memuji Syazili
Orang kata aku Sufi
Jika aku kagumi Ossama
Orang kata aku Teroris.
Jika aku doakan Mat Indera
Aku dituduh komunis pula
Aku Sebut Khomeni
Aku dikata Syiah.

Mereka yang menyanjung Henrey Gurney
Tidak dituduh penjajah celaka
Mereka yang memetik teori Machiavelli
tidak dikatakan sekular
Orang yang mendengar titah Barack Obama
tidak pula dinista agen Amerika.

Aku bukan Ayatullah
menyanyikan syair ratha' Hasanain
Kagumi selendang toyalisah Asfahan

Taqiah!
Begitu pula melantun kesimpulan
setelah letih mengorek dalil
tiada umpan mengena kail.

Tuesday, September 24, 2013

LORONG-LORONG PANDIR


Kereta banyak
jalan sesak
naik harga minyak
agar kereta mudah bergerak.

Rakyat makin berpenyakit
pengidap diabetes bukan sedikit
naik harga gula
demi kebaikan rakyat semua
agar sihat sejahtera.

Kurangkan subsidi barangan
Supaya rakyat rajin bekerja

Ada orang suruh naikkan harga kain kafan
Supaya kurang orang mati

Naikkan harga susu
supaya banyak kelahiran baru

Yuran Universiti biar mahal
baru mahasiswa belajar kental
tidak asyik demontarasi jalanan.

Tambang pengangkutan awam dinaikkan
supaya kurang kejadian kelamalangan.

Laksanakan AES seluruh negara
supaya rakyat cermat memandu.

Ketika bas kemalangan di selekoh tajam
tayar tiruan jadi alasan.

Dalam manangguk lukah di pergentingan
ikan tidak dapat
kuala sungai dikata lebar sangat.

ceh!
Lorong-lorong pandir
cuba memandirkan akal.




Thursday, September 19, 2013

Pantun kebugisan

Tebang buluh dibelah nipis
buat lantai dialas jerami
hancur luluh jiwa bugis
dianggap sebagai bukan bumi

Kain bernajis marilah dibasuh
dibasuh bersabun si gadis ayu
Kenapa Bugis dianggap musuh
satu rumpun keluarga Melayu

Benang dijalin sang puteri
sambil berlagu senda loka
Bugis rajin membangun diri
salahnya kamu malas berusaha

Hebat persis Dr. Mursi
Tiada tara di mana-mana
Asal Bugis Tanah Sulawisi
seluruh nusantara Bugis ada

Kubur bukan maqam

Tatkala menatap plat sebuah glori
di maqam pahlawan negeri
seorang bertaraf menteri
kini sedang bersemadi.

Aku tertanya
apakah Mungkar Nakir peduli?
kubur di bawah maqam ini.

terkenang aku
mereka yang gugur
jasad hilang tidak berkubur
atau dikebumikan tanpa nesan
tiada belasungkawa diucapkan.

Aku tertanya
apakah mungkar Nakir peduli?
kubur tanpa maqam tinggi.

Apa aku peduli
Maqam Firaun di bawah Piramid
mereka yang berduit
membina memorial buat bersemadi
di puncak Genting Highland
apalah ada pada maqam pahlawan
di pinggir sebuah masjid besar.

di mana maqam para nabi?
sejak Adam hingga Muhammad.
maqam Muhajirin Ansar
terdampar di baqi' tanpa nama
di tanah pulau dalam rimba
bersemadi da'i di kubur lama
di atas usang di bawah lenang.

Ossama terbenam di dasar laut
At-Tarturk bersemadi dalam muzium
semua menghuni kubur sendiri
maqam di atas bukan bayangan.

Kelak...
Di depan Tuhan menagih kedudukan...

SAJAK A.SAMAD SAID-DALAM LIBRARI

Dalam librari
aku tersengguk
seorang tua
tersenyum menegur:
Tak guna
membuka buku
menutup mata.


Kan elok
menutup buku
membuka mata?
Mulai esoknya
dalam librari
ku tak pernah
tersengguk lagi
walau orang tua
sudah lama
tiada kusua


Dalam librari
kini ku membaca,
mataku sering
ke kerusi orang tua
yang sudah tiada

Wednesday, September 18, 2013

Karat Otak

Patutkah Ossama bin Laden disamakan dengan Chin Peng? Sungguh berkarat pemikiran orang yang tidak tahu membezakan antara pejuang Islam dengan pejuang komunis. Memang kalau kiblat adalah Barat, ke baratlah menghala tawajjuh. Barat sangat anti komunis dan Barat juga sangat benci perjuangan jihad Islam seperti yang diterajui Ossama.

Kalau kubur Ossama di laut jadi masalah, apakah kubur di memorial pahlawan itu menentukan bahagia di akhirat. Tiada lebihnya kubur di puncak gunung berbanding dasar lautan. Bukan satu kehinaan kalau kubur tidak di darat. Bukan kemuliaan kalau kubur maqam bertingkat.

Bumi Setiawan di Malaysia tidak afdhal berbanding bumi bumi Bangkok di Thailand. Kalau Chin Peng tidak boleh ditanam di Malaysia, dia disimpan di memorial di Bangkok. Semuanya bumi Allah. kita yang hidup ini pun beuim tahu di mana akan dikebumikan. Entahkan yang bercakap itu kelak matinya tidak berkubur. Siapa tahu.

Ossama adalah pejuang yang telah berjasa di bumi Afghanistan dan lain-lain wilayah yang bergolak. Apakah jasa sang menteriku buat Islam? Menghina pejuang Islam (walau manhaj jihad qital) tidak layak dan tidak patut, apatah lagi menyamakan dengan komunis.
 

Tuesday, September 17, 2013

CHIN PENG

Berita kelmarin melaporkan Chin Peng telah meninggal. Beliau meninggal pada usia 90 tahun di Bangkok, Thailand. Ada upaya pihak tertentu untuk membawa bali jenazahnya untuk disemadikan di Malaysia. Ini kerana Chin Peng adalah anak kelahiran Perak. Namun, suara-suara daripada beberapa menteri kanan kerajaan  menolak cadangan membawa balik Chin Peng kerana beliau merupakan pemimpin komunis, pengganas dan bukan juga warganegara Malaysia.

Kebencian kepada Chin Peng mengatasi segala kebencian. Lebih benci daripada Yahudi. Cerita-cerita kekejaman komunis menjadi ispirasi untuk mengobarkan kebencian kepada Chin Peng. Membenci Chin Peng dilihat sebagai patriotisme. Siapa tidak bencikan komunis, dia tidka menjunjung semangat patriotisme.

Kisah komunis itu kisah masa lalu. Macam juga kisah terbunuhnya Saidina Hussin di Karbala. Ornag Syiah, dalam menunjukkan cinta mereka kepada Saidina Hussin, mereka perlu mempamerkan kebencian kepada Muawiyah dan kaum keluarganya.  Malah mereka perlu mengkultuskan keturunan Saidina Hussin. Mencintai dan menunjukkan cinta dianggap sebagai ibadah. Demikianlah halnya dengan membenci komunis, dilihat sebagai patriotisme.

Apa yang diperolehi dengan membenci komunis sedangkan komunis bukan lagi ancaman negara dewasa ini. Negara asal komunis itu pun telah meleraikan fahaman mereka satu demi satu. Mengapa lagi kita mengobarkan kebencian kepada komunis? Kita mengobarkan kebencian pada satu yang telah menjadi sejarah. 

Apakah ini juga perangai Syiah yang ditiru panut orang kita?

Kalau perlu benci komunis, bencilah sama penjajah Inggeris. Gali dan bakar sahaja kubur-kubur penjajah yang berserakan di bumi Malaysia.

Kilas politik pendeta dan bendahara.

Bijak Tun Perak
kerana tidak membunuh Tuah
hanya disorok di Ulu Melaka
miski sultan telah mememerintah
agar Tuah disingkir segera.

Kalau bendahara harganya setia
taat perintah membabi buta
tidaklah Tun Perak disebut bijaksana
tidaklah Melaka melakar sejarahnya.

Tahu Siam bukan lawan
Tun Perak memimpin pasukan obor
nyalakan api di waktu malam
Siam melihat datang gementar
akhirnya mundur batalkan hasrat.

Kalau politik selurus bendul
tiada sejarah mampu dibina

bijaksana bukan menyelak kitab
bukan dari hafal matan.

mencapai alim menapak harakat
meraih faqih sukarnya berlipat.

Setia Tuah bukanlah bijaksana
derhaka Jebat tidak ke mana
politik Tun Perak itulah saksama
lambang akal cukup sempurna.

Kalau lahir jadi pendeta
baik bertapa di gunung Ledang
pakai nama Aria Putra
guru Tuah lima saudara
jadi hulubalang pertahankan Melaka.

Masakan pendeta jadi bendahara
melahirkan jundi mampulah dia.

Jika ulama bahas hukum
dari alim dhabit kitab
dari hafal nas ayat
lahirlah fatwa menjunjung setia
seperti Hang Tuah si hamba raja.
lahirlah fatwa menjulang merdeka
seperti Hang Jebat si penderhaka raja.

Jika politik bersama malaikat
barulah cuma lurus belaka
pahala berjela tanpa dosa
maya pada bertukar syurga.

Jika berpolitik kalangan manusia
akan ada pertembungan pilihan
mudarat hama atau manfaat serigala
hidup mulia  atau mati dipuja
tidak mungkin mengharung kumbahan dunia
sedang pakaian putih terjaga.

Pendeta Aria mendengar letupan meriam
dikatanya guruh membawa hujan
Bendahara Tepok mengajak pahlawan
dikatanya musuh menyerang kawasan.

alim pendeta hasil tapa
faqih bendahara buah syura
pendeta berdewa menunjuk langit
bendahara pengawa menggalas bumi.

"perteguhkan tahalluf siyasi".





Monday, September 16, 2013

Pemimpin Telunjuk Dewa


Di dataran kayangan damai
bernama Keramat Ummat Sang Ulama
turun sabda kusut masai
jangan berpijak rumput gahara

Dari daerah dodoian muzik samba
datang arahan mengangkat senjata
buat dipikul pengikut setia
darah tumpah tan sampai ke sana.

Wahai pemimpin telunjuk langit
tidaklah hujan menyimbah bumi

Wednesday, September 11, 2013

Dunia bukan syurga loka.

Mazlum tidak terbela
si zalim bermaharaja lela
pejuang agama dipenjara
dibunuh dinista nama
manusia hina diangkat bertahta
ahli maksiat dikatakan malaikat
ahli ibadat dituduh sesat

Keadilan tinggal mimpi
orang bijak termanggu mati hujjjah.
yang kaya berdewa qarun
penguasa durja menjejak Firaun
Makar Hamman ikutan menteri

Mengapa dunia menzalimi kami
keluh kesah sang kedidi
rintih tangis hamba abdi
si miskin bergelut ranjau berduri.

Kerana dunia bukan syurga
Dunia medan menguji laga
bukan hakikat sekadar fana

"Bisik pendeta tidak ternama".

Monday, September 09, 2013

MENEGUK KERAMAT ILMU ULAMA



Tidak perlu mencari khulwat
dalam konflik khilaf pendapat
antara baik dan bejat
antara pembela aristokrat
dengan pembela citra rakyat.

Dikenali ilmu pada sinarnya
ulama tampil membela mazlum
bukan menjadi andil zalim
ulama berhujah demi pemerintah
meninggalkan derita rakyat terjajah
Usah dipanggil pewaris nubuwwah.
jangan bertahalli pembela sunnah.

Ulama bukan petapa bersila
bukan brahma utusan dewa
bukan beramal memanjat karma
atau membela bangsawan ternama.

Ulama amilin wal mujahidin
derita susah rakyat marahaen
dia merasa bangkit memimpin
itu pewaris sunnah nabi.

Bukan ulama menyebar lalai
rakyat khayal ditambah belai
diajak lenggok tari gemalai
tidur jaga bangun mamai.

Bukan ulama banyak bicara
hukum hakam feqah lama
dikupas sebagai lipur lara
terputus dari warta semasa.

Ulama itu mestinya sungai
mengalir dari legeh pergunungan
tidak berhenti dalam takungan
merentas rimba juga desa
walau ke kota bergelumang nista
ulama bergerak bersama ummat.

Barulah bernama pewaris ambiya
barulah kita bersimpuh tawadhuk
cinta hormat kasih bertingkat
meneguk dari keramat makrifat.