CARI BAHAN

Tuesday, April 30, 2013

Rahmat bukan si burung hering

Kerana kami bisa bertahan
lebih 50 tahun menungkat kuasa
itulah tanda rahmat Yang Maha Kuasa
untuk kami pejuang bangsa.

Dulu...
Namrud lebih lama
Firaun beribu tahun berkuasa
bukan sebagai tanda
rahmat buat mereka.

Kini...
telah ratusan tahun
negara Barat menguasai dunia
mereka membina empayar kuasa
apakah rahmat Allah bersama mereka?

antara rahmat dan istidraj
dua kembar tidak sedarah
rahmat bukan si burung hering
yang turun memakan bangkai di puncak gunung.
rahmat laksana sungai mengalir
dari legeh menyapu awan
ke laut lepas menjadi satu.


Monday, April 29, 2013

Rahmat dan Istidraj


Jika umur panjang
tubuh sihat tidak sakit
kaya harta pangkat mulia
banyak pula pengikut setia

Sedang diri menabur angkara
dosa noda ingkar derhaka
bukan Tuhan jadi idola
jalan syaitan di teroka

Saturday, April 27, 2013

UNDIKU

Undiku mahal
tidak cukup zink berkeping
bukan bernilai papan lapis
tangki biru bukan ganti
RM500 bukan nilainya
walau beribu menjadi bayaran
tidak kujual di pasaran politik
untuk perencah pelacur kuasa
sebagai penerus hasrat durjana.

Undiku mahal
walau datangmu menyembah rayu
atau diugut bertalu-talu
aku tetap seorang aku
tidak berdagang hak yang satu
biar undiku berlumut dalam saku
atau ke dinding melekat terpaku
namun menjual tidak sekali.

Undiku mahal
buat politikus kayangan
turun berdewa di musim PRU
baru sehari menjadi malaikat
puluhan tahun berlagak syaitan

Undiku bukan secoret garisan
lalu di akhirat tanpa pertanggungjawaban!

BULAN

Bulan terang di malam purnama
pungguk berlagu sayu merindu
bulan lambang terang cahaya
Kenapa nyiru dibuat lampu

Orang menghitung bilangan hari
dari bulan mencecah tahun
mana untung mana rugi
hari bulan diramal susun.

Tiba Ramadhan bulan agung
ke tempat tinggi meninjau mega
anak bulan lalu diteropong
mencari hari Ramadhan bermula.

Hari raya menjelang tiba
bulan juga jadi timbangan
supaya sempurna hari berpuasa
tidak diguna kati warisan.

Perempuan dilanda uzur syar'i
dikata orang datang bulan
masjid di bina dalam negeri
kubah berbintang dihias bulan.

Roket dibina harga berjuta
buat menjelajah mendarat di bulan
kenduri kendara kuih aneka
turut ditempah kuih bulan.

Mata celek menatap langit
malam hari mencari bulan
sungguh molek untuk dicatit
Roket menuju bulan di awan.

bulan dan manusia sudah lama
sejak dahulu kala sering bersama
nyanyi seloka di bawah purnama
kepada bulan hati bergulana.

Kalau sudah demikian adanya
mengapa bulan bukan pilihan
mengapa resah masih bertanya
tetaplah teguh tangan menanda.



Gurindam:Buatlah pilihan.


Jika anda tinggi pelajaran
baru jumpa mencari jalan.

Baru mampu menentu pilihan
mana satu gerombolan ikutan.

Antara barisan juga pakatan
mana medan orang budiman.

Jalan mana banyak ulama?
itulah dia pilihan utama.

Mana kumpulan orang durja?
orang mulia jangan bersama.

Ke mana mengalir para cendikia?
di sanalah zahir jalan bercahaya.

di mana berkumpul manusia bejat
itulah simbol gerombolan maksiat.

di mana tempat orang berjaya?
di sana kuat Pakatan berkuasa.

di mana orang senang berharta?
di sana orang susah diperdaya.

Nun jauh di ulu desa
masih jenuh rakyat buta

Di sana jahil menyerkup warga
masih terkabil di takuk lama.

Gerombolan mana jika berkumpul
melompat terkenja bergoyang inul?

Gerombolan mana jika berhimpun
menjaga budaya melayu serumpun?

Para pemimpin mencegah maksiat
pendokong rajin menegak solat!

Jika di dunia berteman syaitan
di akhirat sana menjadi teman.

Jika di dunia berwali ulama
nanti di syurga bersama mereka.


Friday, April 26, 2013

Jangan untungkan orang kaya

Kenapa harga minyak mahal?
Supaya orang kaya tidak untung

Kenapa bagi BRIM?
Supaya orang miskin untung.

Orang kaya banyak kereta
orang miskin berjalan kaki.
naik kereta isi minyak
orang miskin tak pakai minyak.

Ulama pewaris nabi

Memanglah ulama pewaris nabi
tapi mengapa jadi begini
Ilmu di dada tidak berfungsi
mudahnya ilmu mati dikasi

Walaupun nama hebat disebut
depan penguasa hatinya kecut
memburu harta pangkat direbut
keluarlah fatwa minda serabut.

Ulama dulu pernah berwasiat
orang berilmu janganlah bangsat
dunia diburu maruah disebat
janganlah ilmu diam berkarat.

Ulama itu bersama rakyat
bersih nawaitu menggerak harakat
bukan berteleku membaca riwayat
duduk di bangku mengayam hikayat.

Bukanlah tabiat ulama nabi
asyik munajat sepanjang hari
derita rakyat tidak peduli
politik siasat sentiasa dihindari.

Hidup ulama bukan petapa
bukan pendeta bijak bicara
bukan perantara Yang Maha Kuasa
bukanlah idola kelompok buta.

Dalam dunia dialah da'i
berdiri dia umpama nabi
bukan ulama sebagai paderi
tempat pendosa bersihkan diri.

Ulama itu tauladan rakyat
menyebar ilmu menggerak harakat
membersih kalbu merungkai karat
sebagai lampu orang melihat.




Prinsip

Berprinsipkah?
pada saat diri terpinggir
baru bangkit melaung takbir
sedang dulu berkubang hanyir
dalam kelompok politik makir.

Konon dia orang berprinsip
miski berkubang kolam najis
harumkan diri atar direnjis
walau bersidang bersama iblis
watak malaikat dia persis.
harta rakyat tidak dihabis
menjadi pemimpin tidak mengemis
salah laku rakan sebaris
ditegur keras berhunus keris
tidak takut diri ditangkis.

Apa guna sebuah prinsip
jika tegak di dataran khianat.
masakan tumbuh semaian padi
jika ditanam di atas ombak
masakan rumah tegak berdiri
jika tiang bilahan lidi
masakan ada gerombolan malaikat
bersimpuh zikir di rumah bejat!

Tiada guna menanam bunga
untuk dipetik menghias kera.

Masa lalu dicalon parti
setelah diri tidak diperhati
bangkit bingkas calonkan diri
walau bebas tidak berparti
apakah itu langkah berani?
Itukah dinamakan pemimpin sejati?
atau hanya memimpin diri?

Pemimpin muda idea bernas
berani menyongsang pemimpin atas
Tidak gentar diri dicantas
orang kata prinsipnya jelas
aku kata prinsipnya hampas
kerana menanam bunga kertas
mengharap tumbuh dalam bekas...

Gemalai Tari dimuziki si bodoh


Tentang hudud...
untuk apa dibahaskan?

Tentang kalimah Allah...
buat apa didendangkan?

Apakah Islam itu hanya perbahasan?
apakah Islam itu hanya dendangan?

bukan maqam orang cerdik
menari gemalai di medan tempur
diruntun muzik orang bodoh.

Thursday, April 25, 2013

Aku seorang ulamak

Ayahku seorang ulamak
seorang Tok Guru Pondok
Lahir aku didodoi salawat
zikir Shahadah ibuku nyanyikan
dari kecil mencecah pemuda
aku menimba ilmu agama
dalam negeri ke luar negara
meningkat sarjana demi sarjana
selaut ilmu aku kuncinya

Akulah juga seorang ulamak
Aku melilit serban nabi
aku menyarung jubah nabi
aku bicarakan kalam nabi
aku menitip firman ilahi
aku pewaris ulama sejati

Kini musim laga kuasa
Aku berdiri bersama penguasa
aku membela singgahsana mereka
aku mencari hidup selesa
aku mahu rakyat berpada
rela mencicip sehirup cuma
Qana'ah redha bahagian mereka
Asal rukun hidup bernegara
tiada sengketa sesama kita.

Akulah ulama sejati
pewaris nabi
tidak mabuk kuasa
rela hidup sebagai darwis

lebih baik menjadi biksu
bersunyi diri di puncak gunung
tapa yoga meditasi puncak pagoda.

UNDIKU

Undiku mahal
tidak cukup zink berkeping
bukan bernilai papan lapis
tangki biru bukan ganti
RM500 bukan nilainya
walau beribu menjadi bayaran
tidak kujual di pasaran politik
untuk perencah geladangan kuasa
sebagai penerus hasrat durja.

Undiku mahal
walau datangmu menyembah rayu
atau diugut bertalu-talu
aku tetap seorang aku
tidak berdagang hak yang satu
biar berlumut dalam saku
atau ke dinding melekat terpaku
namun menjual tidak sekali.

Undiku mahal
buat politikus kayangan
turun berdewa di musim PRU
baru sehari menjadi malaikat
setahun sudah berlagak syaitan

Undiku bukan secoret garisan
lalu di akhirat tanpa pertanggungjawaban!

Kerana rekod buruk, apakah pintu taubat terkunci rapat?

Kenyataan Karpal Singh memperkecilkan kemasukan Tan Sri Muhammad bin Mohd Taib, bekas MB Selangor ke dalam Pas atas alasan orang yang punya rekod buruk di masa lalu sebenarnya adalah kenyataan yang berbaur dendam dan mungkin cemburu. Walau bagaimanapun, Salehuddin Ayob mennegaskan Pas tidak akan berkecil hati dengan kritikan Karpal Singh itu. Sememangnya Karpal Singh itu meruapakan seorang tua yang sering mengeluarkan kenyataan yang semberono dan tidak berhati-hati. Kelancangan beliau itu hendaklah difahami oleh para pemimpin Pas kerana dia adalah seorang yang tidak beriman dim hujung usia tua renta.

Kalau atas alasan rekod buruk semasa berkuasa dulu, maka Tan Sri Muhammad  bin Mohd Taib  tidak sesuai bersama Pas, itu menunjukkan bahawa Karpal Singh mempunyai persepsi yang cukup hormat dan tinggi terhadap Pas. Beliau berasa keberatan untuk melihat Pas menjadi persinggahan taubat orang berdosa. Baginya, orang yang masuk Pas adalah orang-orang baik sahaja. Kritikannya itu juga hendaklah difahami bahawa dia sangat mengambil berat terhadap Pas. Melihat dari sudut kecemburuan Karpal Singh atas pencapaian Pas, ia adalah takah terakhir.

Soal orang berekod buruk menyertai Pakatan Rakyat melalui kompenennya, ia bukan sahaja ke dalam Pas. Dalam PKR paling banyak manusia seperti itu. Namun pimpinan PKR sangat longgar dan berlapang dada. Terlalu longgar dan berlapang dada pun tidaklah bagus untuk survival parti. Sekurang-kurang Pas lebih cermat. DAP sendiri ada meb"DAP"kan beberapa individu yang sebelumnya berekod buruk. Namun, hal itu sering dipejam mata, miskipun yang menyertai DAP itu ada udang di sebalik batu.

Apa pun, kita menyakini aura para ulama pemimpin gerakan.


Berdongeng ulama

Siapakah kaldai menanggung kitab?
Siapa anjing menjelir lidah?
Siapa syaitan bisu tak berkata?
Siapa pohon tidak berbuah?
Siapa terompoh di dalam tandas?
Siapa kangkung di tepi longkang?
Siapa pokka di turus pagar?

Ilmu memuncak ke pintu langit
kalau menjunam di dasar dalam
tidak berharga bawah seringgit!

Jangan hanya berdiri di pintu.

Orang memacak bendera
Kau memencak sandiwara?

Orang menggantung poster calon
Kau mematung di alun-alun?

Orang menyiram menyemai kebangkitan
Kau bersemayam berayun jungkitan?

apa nak jadi dengan kamu
gempita riuh guruh bertalu
masih kamu bertogkat dagu
menunggu langit mencurah madu.

Sejarah dibaca anak cucu
biar namamu tercatat dibuku
kelak terukir di atas batu
atau menjadi tugu di kalbu.

Jangan kekal menunggul kayu
bertunaslah buah sekalipun batu
usah bersinggahsana dalam pongsu
tumbuhlah sayap sekalipun kalkatu.

Motivasi buat Gerombolan Ababil.

Kami gerombolan Ababil
di tangan kami batu dari Sijjil
akan kami gempur Ashabul Fil
hancur Abrahah tegakkan Islam nan adil

Kami bukan banjingan ditunggang
bawalah harta penuh segudang
mata kami tidak nyalang
perjuangan kami tidak menyimpang.

kami berimam kandil agung
Al-Quran Hadis sentiasa disenandung



Kami ikhlas menabur peluh
mengharap pahala akan tumbuh.

Lillahi Ta'ala berlagu zikir
terbenam kemas di dasar dhamir
liriknya meniti menghias bibir
azam teguh tidak mungkir

Kami zuriat putera Habil
Walau berdepan bengisnya Qabil

Kami rela menerjuni Mu'tah
walau musuh banyak jumlah

Sungguh kami dihasut tewas
kami teguh tidak cemas.

Jika hilang satu peluang
kami percaya seribu yang datang
berjuang kami bukan sekangkang
kami menanti bulan mengambang
biar beribu tahun bersilang.

Akan hancur  dedaun jahiliah
dihambur lontaran Sijjil Allah
kamilah Ababil tidak akan menyerah
Menumbang Abrahah merata jalan Fathul Makkah!

Buat Pemuda yang berteleku di gerbang perjuangan

Kau bukanlah adik Khalid
miski ayahmu adalah Al-Walid
tiada darah pahlawan mengalir
tiada hembusan nafas panglima
pencakmu bukan silat pendekar
lenggokmu adalah tari primadona.

Sungguh mati harimau meninggalkan belang
mati ulama meninggalkan ilmu
mati murabbi meninggalkan jundi
mati raja anaknya bertahta
sayang Tun Perak tiada gantinya

Bukan pendekar pencaknya nasab
ayah ulama hebat ternama
kekadang anak gangster tak bernama
abg pejuang adik seluang
daftar syurga bukan bertinta darah
leluhur sama berbeza loka

Lakar sendiri lukisan hidupmu
rungkaikan simpulan kebanggaan keturunan
Kerana Khalid Al-Walid wafat tidak meninggalkan adik.

Wednesday, April 24, 2013

Pengikut mengikut pemimpin

Anda sendiri boleh tahu pemimpin anda itu jenis ahli syurga atau ahli neraka. Memang bukan kerja kita untuk hukumkan seseorang itu ahli syurga atau ahli neraka. Soal syurga neraka adalah soal ghaib dan apabila disebut soal ghaib, maka tidak ada sesiapa yang boleh membuat kepastian. Namun, sebagaimana hal-hal ghaib yang pelbagai, Allah bekalkan tanda agar manusia dapat mengenalnya. Soal bila hari kiamat, itu soal ghaib. Namun, Allah berikan tanda agar kita boleh mengetahui jangkaannya. Maka, demikianlah soal siapa yang akan masuk syurga atau neraka.

Tak  kan nak dikatakan seorang kaki perempuan, kaki botol, taukey judi, perasuah, jenis tak suka menutup aurat, suka hiburan dan tari menari, sombong dengan kekayaan diri, songlap duit negara dan berbagai-bagai jenayah lagi, sebagai ahli syurga. Orang begitu ahli neraka dari segi tandanya. Soal hakikat jangan cakaplah. Itu bukan ruang yang boleh dicapai manusia.

Maka, jika sesiapa yang berpemimpinkan ahli neraka, jangalah duduk bermimpi di siang hari bila mati nanti masuk syurga!

Khatimah

Aku anak seorang pejuang
lahir sebagai Usamah bin Zaid
menempuh liku getir penuh ujian
seperti anda bukan bandingan!

50 tahun abdiku buat perjuangan
demi agama menegak jemaah
menancap kalimah Allah
mengota daulah Islamiah!

Sayangnya bahtera perjuangan itu
kini menyasar dari nawaitu
tergelincir dari pendahulu
aku mufaraqah mencari wadah baru

Baru kutahu
yang kumusuhi dulu itulah benar

Pada saat aku menemui jalan baru
musuhku mula menggapai masa laluku

akukah yang sesat
atau bekas musuhku itu yang mendapat hidayat?


Sukar difahami

Memang sukar untukku fahami beberapa perkara yan melanda dunia politik tanah air lewat terakhir ini. Tindakan DS Najib melantik Zulkifli Nordin mewakili Umno sebagai calon Palimen Syah Alam seperti sengaja membunuh diri. Insan Zulkifli Nordin yang mempunyai rekod cemar dalam parti yang dianggotainya dulu, dikutip oleh Presiden UMNO itu untuk menjadi pahlawan di Syah Alam. Perkara yang menjadi andaian logikku adalah, orang Umno Syah Alam tentu tidak boleh menerimanya. Tapi, itu yang DS Najib lakukan.

Sementara itu, keciciran calon UMNO bagi Parlimen Pasir Mas menghadirkan diri pada hari mencalonan juga luar biasa. Ia seperi disengajakan sebagai taktik untuk memberi jalan kepada Ibrahim Ali bertanding di sana. Ibrahim Ali, walaupun calon bebas, dia cenderong menyokong BN.Namun, memberi laluan kepada Ibrahim Ali memberi rekod buruk kepada UMNO. Itu yang berlaku dan aku tidak faham siasat ini. Bagiku ini satu tindakan bodoh atau desperado.

Sehari dua ini Umno tentu terkejut beruk dengan pengisytiharan bekas Menteri Besar negeri Selangor masuk Pas. Sekali fikir, memang payah untuk difahami mengapa orang yang mengabdikan dirinya hampir seluruh hayat politiknya dalam UMNO boleh membuat pertukaran arah begitu besar. Berfikir dengan otak biasa, aku tak faham. Tapi, mengingatkan takdir hidayah Allah, apalah hendak dihairankan? Kalau kemurtadan Hasan Ali dan konco-konconya dari Pas itu boleh kita fahami, maka demikianlah kembali ke landasan perjuangan Islam oleh bekas- bekas algojo jahilliah.

Sememangnya kita tidak fahami banyak perkara. Namun, semua itu adalah pelajaran yang diberikan Allah untuk kita berfikir mengenainya.

Tuesday, April 23, 2013

In Sya Allah

Aku pasti menang
aku yakin 101 peratus
tidak ada istilah jika kalah
kerana aku pasti mengalahkan

Sungguh takburnya melebihi Azazil
Yakin melonjak di atas arasy
melepas kata sebuas dubuk liar
tidak tertambat In Sya Allah

Jika ada iman
tutur kata beradab
rasa hamba di depan Khaliq
lepaskan yakin bertambat tawakkal
usah mendahului takdir Rab
biar esok itu pasti ada.

In Sya Allah
itu mutiara kalam orang beriman
jika ditinggal nantikan balasan.
semoga dapat pelajaran