CARI BAHAN

Monday, November 05, 2012

Kerjaya Haram di TV 3

Dulu, antara sekian banyak slot TV3, slot beritalah dikatakan bagus. Slot lain banyak yang haram kerana mendedahkan aurat, hiburan melampau dan sebagainya. Tapi, itu dulu. Sekarang, banyak-banyak slot TV3, beritalah yang banyak dosa. Terutama Buletin Utama jam 8 malam. Corak pemberitaan yang penuh maksud jahat, menggubar fitnah, memetik tulisan-tulisan orang fasiq dari blog tanpa usul periksa, menyebabkan rancangan berita itu bergelimang dosa. Maka, malang sekali bagi tenaga kerja TV3 yang terpaksa menelan razeki dari kerjaya nista itu. Dari penerbit hinggalah pembaca berita, semuanya berkongsi bahagian dalam pemberitaan dosa seperti itu.

Orang jahil agama dalam berita dengan petah, bercakap agama kondem para alim ulama dan orang-orang baik.

Pemberita yang tidka pun menutup aurat membaca berita menista wanita yang dikenali masyarakat sebagai solehah. Malam ini, Nurul Izzah Anwar yang dikenali orang sebagai muslimah yang terpelihara, dikaitkan pula dengan menyokong agenda memurtadkan Melayu. Berita nista memetik Ibrahim Ali an Zulkifli  Nordin, dua manusia yang hatinya bernanah dan penuh makar membuat komen tanpa usul periksa. Pengetahuan mereka tentang isu pun lintang pukang, tetiba tumpang sekaki dengan isu Bulitin TV3 yang mengaut sampah maklumat dari blog pencacai.

Bagaimana nak hukumkan orang-orang seperti ini. Bagaikan, pembaca Berita TV3 yang jenis free hair itu lebih faham Islam daripada Nurul Izzah. Mungkin orang kata dia hanya baca sahaja berita . Tapi ia menampilkan kepada khalayak betapa orang yang tidak layak diletakkan untuk bercakap mengenai apa yang tidak layak, lebih-lebih lagi terhadap orang yang dikenali baik oleh masyarakat.


Sunday, November 04, 2012

Hobi berkokok

Kala ayam bertina berketok,
kubalingkan tongkol kayu,
marah kerana buat bising
tak senang untuk istirehat
lelap mata di saat qailulah
ayam betina lari jauh
lau terus berketuk di hujung padang,
ambil lastik aku tube
ia lari berketuk tepi hutan dara
biarlah....
ketukannya hanya sayup kedengaran

Kalau kucing betina piaraan
tengah naik gatal mengawan
cari jantan
mengiau tak tentu
pun bising menganggu lena
ambil rotan aku cemuk
kucing lari bawah rumah
suaranya sayup di berselinap
di belakang rumah balik pokok kelapa

Murai berbunyi tak kira masa

Kenapa buat bising?
Kenapa aym betina berketuk?
kenapa kucing betina gian mengiau?

Kenapa ahli politik tua itu berkokok lagi?

Biarkanlah...kerana kokokan itu memberinya nikmat.

Memisahkan suami isteri

Apakah patut pihak yang bertanggungjawab dalam soal perpindahan mengatur perpindahan guru-guru atau mana-mana kakitangan awam memisahkan antaranya dengan isteri dan anak-anak? Seharusnya, demi kerukunan rumahtangga rakyat, sebarang perrtukaran dan perpindahan hendaklah mengambil kira kemudahan suami isteri untuk kekal bersama. Biar betapa sukar membuat pengaturan tersebut, ia menjadi kewajipan bagi pihak diberi amanah. Kalau tidak mampu, tarik diri daripada jadi pengatur dan serahkan kepada orang lain yang mampu.

Memisahkan antara seseorang dengan isterinya adalah tabiat ilmu sihir yang dipelajari dari harut marut di zaman dahulu. Itulah tujuan para pemburu ilmu sihir yang sebenarnya diajarkan Harut dan Marut sebagai pembeda antara mukjizat dan sihir.

Allah berfirman:

فَيَتَعَلَّمُون َمِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ


" Lalu mereka pelajari daripada kedua-duanya ilmu sihir yang tujuannya memisahkan seseorang dengan isterinya".

(Al-Baqarah: 102)

Saturday, November 03, 2012

KUNCI KEAMANAN NEGERI

Mengapa negeriku aman?
negeri orang kacau bilau.
tiada peperangan di negeriku
Tiada gempa bumi
atau letusan gunung berapi
tidak pula jadi mangsa Tsunami
atau kebeluran kelaparan
banjir atau kemarau pun tiada

 Kata para penguasa  riak itu
pandainya mereka tadbir negeri
hubungan kaum terjalin bersemi
negara kaya makmur
kerana bijak bistari mereka

sebenarnya apa sebab negeriku aman?

lalu...Al-Quran bercerita
amannya negeri kerana ada para da'i
yang melarang mungkar menyuruh ma'ruf
mewarisi kerja nabi-nabi

Gerakan Islam dalam negeri
menjadi rahmat buat warga
menolak bencana langit
murka dari ilahi rabbi...

Bukan masalah politik?

Aku masih berat untuk percaya bahawa kerajaan mengutamakan akidah dalam tindakannya terhadap Al-Arqam. Terbaru ialah serbuah ke atas program anjuran Global Ikhwan yang menyaksikan pula penangkapan pemimpin penting PKR, Ust Badrul Amin Baharum. Memberi reaksi terhadap penangkapan tersebut, Tim. Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin manasihatkan agar isu tersebut jangan dilihat dari kaca mata politik. Ia adalah persoalan akidah yang seolah-olah sangat diperhatikan oleh kerajaan.

Banyak ajaran sesat di Malaysia yang tidak dibanteras kerana tiada kepentingan politik. Malah, kefahaman sesat yang menggugat akidah juga tidak diendahkan kerana ia tidak punya nilai politik. Arwah Ashaari Muhamamd dulu, diburu hanya setelah dia mendakwa bakal menjadi Perdana menteri Malaysia. Selama bertahun-tahun sebelum keluar dakwaan politik itu, pertubuhannya tidak pernah digugat.

Bagaimana harus dipercayai bahawa isu ini isu akidah? Kalaupun ya Global Ikhwan itu adalam masalah akidah, maka bagaimana dengan pertubuhan lain yang juga punya konflik akidah? Orang perseorangan dan perkumpulan yang mempertikaikan hukam hakam Allah itu juga punya masalah dari sudut akidah. Kenapa hilang kesungguhan pihak berkuasa agama membanteras percambahan idea yang merosakkan akidah seperti itu?

"Tidak tumbuh tidak melata!"

Siapa suamiku di syurga?

Antara soalan yang ditimbulkan dalam sesi usrah semalam adalah mengenai suami bagi seorang perempuan yang berkahwin dengan beberapa lalaki di dunia. Antara lelaki-lelaki tersebut, siapakah yang akan menjadi suaminya di syurga (bagi kes suami dan isteri masuk syurga semuanya)?

Menjawab persoalan tersebut, aku mengingatkan bahawa syurga itu bukanlah sebagaimana yang kita khayalkan. Dalam sebuah hadis Qudsi diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sohehnya melalui Abu Hurairah, dinyatakan oleh Rasulullah SAW telah bersabda:

قال الله تعالى أعددت لعبادي الصالحين مال عين رأت ولا أذن سمعت ولاخطر على قلب بشر واقرءوا إن شئتم

" Berfirman Allah SWT: Aku sediakan kepada hamba-hambaku yang soleh apa yang mat tidak pernah lihat, telinga tidak pernah mendengar dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia dan bacakanlah jika kamu inginkan".

Dalam sebuah hadis nabi SAW menyebutkan kepada seorang lelaki yang bertanya kepada baginda mengenai bilakah berlakunya kiamat ketika baginda hendak mendirikan solat. Selepas selesai solat Rasulullah mencari lelai itu dan bertanya kepadanya mengenai persediaannya untuk kiamat. Lelaki itu mengatakan bahawa persediaannya tidaklah dengan solat dan puasa yang banyak. Hanya dia sangat mencintai nabi. Lantas Rasulullah SAW  bersabda:


المَرْءُ معَ مَنْ أَحَبّ، وَأَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ

" Sesorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya, dan kamu akan bersama dengan siapa yang kamu cintai".

Daripada hadis ini, bolehlah juga difahami bahawa isteri yang berkahwin dengan beberapa suami masa hayatnya dan semuanya pula masuk syurga, dia akan menjadi isteri kepada suami yang paling dicintainya ketika di syurga.

Namun, ada pandangan yang menyatakan bahawa isteri yang bernikah dengan beberapa suami di dunia dan jika semuanya masuknya syurga, isteri itu akan menjadi pasangan bagi suaminya yang terakhir. Ini berdasarkan sebuah riwayat yang dinyatakan oleh Baihaqi dalam sunannya bahawa sahabat rasulullah SAW bernama Huzaifah telah berpesan kepada isterinya sebelum matinya:


إن شئت تكوني زوجتي في الجنة فلا تزوجي بعدي، فإن المرأة في الجنة لآخر أزواجها في الدنيا. فلذلك حرم الله على أزواج النبي صلى الله عليه وسلم أن ينكحن بعده، لأنهن أزواجه في الجنة.


" Jika kamu ingin menjadi isteriku dalam syurga, maka janganlah kamu berkahwin sesudahku. Sesungguhnya seorang perempuan itu akan menjadi pasangan kepada suaminya yang terakhir di dunia. Kerana itu Allah mengharamkan ke atas para isteri nabi SAW daripada berkahwin lagi sesudahnya kerana mereka akan menjadi isterinya dalam syurga". 


Walau bagaimanapun, mengambil perkataan Huzaifah tersebut bukanlah satu dalil yang boleh dimuktamadkan. Ia adalah perkataan seorang sahabat yang berlaku perbezaan pula dengan perkataan sahabat yang lain  serta tindakan beberapa di antara mereka. Kalangan sahabat, ada yang berkahwin dengan janda sahabat yang lain. Lagi pula, alasan kenapa isteri nabi diharamkan menikah lagi sesudah Rasulullah tidaklah boleh disandarkan kepada suami terakhir akan menjadi suami di syurga. Para isteri nabi sebenarnya adalah ibu orang beriman, maka bagaimana ibu hendak dikahwini oleh anak-anak?

Apapun, ingatlah firman Allah SWT mengenai nikmat syurga:

 
وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الأَنْفُسُ وَتَلَذُّ الأَعْيُنُ وَأَنْتُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

" Dan di dalamnya apa sahaja yang diingini oleh syahwat dan enak dipandang mata serta kamu kekal di dalamnya.".
(Surah Az-Zukhruf: Ayat 71)

 Ahli syurga punya keluasan yang tidak dapat dibayangkan dengan akal dan minda dunia. Apa yang diingini berdasarkan keinginan mereka, Allah akan tunaikan. Maka, apalah mahu dirungsingkan mengenai siapakan suami seorang wanita dalam syurga kelak. Suami mana yang dia mahu, Allah SWT akan tunaikan keinginannya. Bukankah itu janji Allah SWT. Tentu sekali semua keinginan warga syurga kelak adalah keinginan yang sesuai dengan watak para syurgawi. Jangan pula dibayangkan keinginan yang bukan-bukan.

Memberi pesanan atau wasiat kepada isteri supaya jangan berkahwin lagi, menurut hematku, adalah tidak wajar. Ia merupakan satu wasiat yang cuba menghalang perkara yang dihalalkan Allah SWT.  Juga merupakan wasiat yang menzalimi wanita tersebut. Terlebih lagi jika wanita itu masih dalam kondisi memerlukan suami baru dan berkeinginan kepada keperluan seksual dan pembelaan hidup. Isteri tersebut tidak terikat dengan wasiat yang seumpama itu. 

Hendaklah kita berlapang dada dan buangkan kerungsingan tentang dengan siapa kita akan berkahwin di akhirat sana. Tetapi, yang perlu kita rungsingkan, apakah kita ini layak dan akan masuk menghuni syurga Allah SWT!



Friday, November 02, 2012

Syeikh Dr. Muhammad Al-Arifi

Bagi kalangan yang anti Wahabi, mungkin tidak gemar ulama ini. Namun, mendengar siri ceramahnya di youtube, menampilkan corak penyampaian yang menarik dan mudah difahami. Saya suka memetik ilmu dari kalangan ulama yang menyampaikan Islam secara mudah dan tidak berbelit-belit. Ilmu yang bersandarkan dalil Al-Quran dan hadis memberikan kelapangan kepada minda dan menambahkan yakin dengan diri sendiri. 

Beliau adalah Syeikh Dr. Muhammad Al-Arifi.

Syeikh Dr. Muhammad Al-Arifi


Tidak perlu buang masa dengan polimik anti wahabi yang didendangkan sesetengah orang sehingga kita menyiakan kesempatan mendengar ilmu dari kalangan ulama muda Arab Saudi yang berbakat dan tersohor namanya di belahan dunia yang lain. Baru-baru ini, laman Al-Meshkat.net melaporkan program ziarah Syeikh Muhammad Al-Arifi ke Sudan dan di sana dikatakan sambutan ke atasnya hangat sekali.

Sementelahan, jika difikirkan, ulama dari Arab Saudilah yang paling dekat dengan kefahaman Islam yang sebenar. Di sanalah Islam terbit dan pertama dianut sebelum tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Maka, kebodohan apakah untuk kita menafikan kredebiliti ulama di bumi bertuah tersebut lalu menjadi penyanjung keterlaluan ulama dari belahan bumi yang lain yang tidak menghirup udara Makkah dan Madinah?

Semoga Allah memberikan daku hidayah dan membuang "ghillan" dari dalam hati terhadap orang-orang yang beriman.





Thursday, November 01, 2012

Siapa menepuk air di dulang?

Hanya seperti ayam betina, kokokan berderai-derai, tetapi bontot berlumuran najis. Sehari dua ini, dalam berita TV3 timbul isu mengenai manifesto pilihanraya oleh parti-parti politik. Kerana dikatakan ada parti yang menabur janji dalam manifesto tetapi tidak dilaksanakan, maka rakyat teraniaya. Justeru, dicadangkan untuk mewujudkan satu badan yang memantau manifesto parti-parti politik agar ia dilaksanakan.  Arah tujuan cadangan tersebut dapat ditelah dengan mudah. Secara tersirat, kerajaan Pakatan rakyat yang memerintah beberapa negeri, khususnya negeri Selangor, Pulau Pinang dan kedah dikatakan tidak menunaikan janji manifesto.

Dalam ucapan di Kedah, DS najib dengan langtang menyenaraikan 4 ciri munafiq yang ditempelkan ke wajah pembangkang.Tidak menunaikan amanah, cakap bohong, janji tidak ditepati dan melampau bila bergaduh. Seolah-olah, ia bukan sifat kerajaan yang memerintah sekarang. Sifat itu dituduhkan ke atas pembangkang.

Kita hanya mahu tanya tentang beberapa amanah yang rakyat berikan kepada kerajaan hari ini. Semanah mana kerajaan menguruskan RM250 juta wang rakyat yang diberikan kepada NFC untuk menjana bekalan lembu dalam negara? Apahal pula dengan isu kapal selam Scorpene yang  sampai sekarang tidak selesai? Amanah sangatkah kerajaan UMNO-BN menguruskan wang rakyat?

Setiap rakyat boleh menilai sejauh mana amanahnya kerajaan dalam menjalankan sistem bernegara, khususnya dalam pengurusan ekonomi. 

Janji? Mana janji nak hapuskan ISA? Mana janji nak pulihkan sistem pilihanraya? Mana janji nak bela hak raykat bumiputera?

Melampau dalam bergaduh? Siapa yang bertindak ala gangster dalam kempen-kempen yang rancak sekarang ini? Siapa yang melampau sampai buat operasi lalang menangkap ahli politik pembangkang tahun 90-an dulu?

Janji ditepati? Janji nak bagi wang sana sini untuk projek sekolah, jambatan, jalan dan sebagainya, dah ditunaikan?


Saturday, October 27, 2012

Majlis Qurban 1433

Hari ini, majlis korban akan diadakan majlis Qurban untuk 7 ekor lembu dan seekor kambing di Masjid Al-Fajr.  Setelah semua persediaan ke arahnya diteliti, mesyuarat penyusunan tugas dan pelestarian gerakerja dibuat, maka pada pagi ini keberhasilannya akan dibuktikan. Semoga semuanya berjalan lancar.

Saturday, October 20, 2012

Bila falsafah mewarnai ibadah dan akidah

Ada kalangan sufi yang mendakwa bahawa sesiapa yang beramal untuk dapatkan pahala dan syurga adalah syirik. Sesungguhnya dakwaan ini adalah satu kemelampauan dalam mentafsirkan konsep agama khususnya ikhlas. Apabila Ikhlas dihuraikan dari dimensi falsafah, maka demikianlah jadinya. Sepatutnya ikhlas itu hendaklah dijelaskan mengikut kacamata al-Quran dan hadis dan bukan mengkit kaedah falsafah. Hal-hal berkaitan ibadah dan akidah hendaklah dipasakkan di atas landasan nas dan bukannya teori falsafah.

Kalau kita disuruh beribadat tidak mengharapkan pahala dan syurga, maka apalah maknanya sekian banyak  gesaan Allah SWT dalam Al-Quran agar kita memburu ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT dan syurga yang disediakannya. Nabi SAW juga mengajarkan sebilangan doa agar kita memohon syurga daripada Allah SWT dan meminta disishkan dari siksaan neraka.

Nas-nas Al-Quran dan Hadis membayangkan kepada kita jalan fikir orang yang beramal mengikut kaedah Islam. Burunnya adalah pahala. Allah tidak menyuruh kita melampau dalam kesufian sehingga berbuat amal selain mengharapkan cinta Allah SWT itu ditolak.

Ksimpulannya, apabila sufi diwarnai teori falsafah kebatinan, maka demikianlah yang diungkapkan oleh para pengamalnya.  KIta juga lihat hal yang sama terjadi dalam hal-hal berkaitan ilmu akidah. Apabila falsah menjadi sandaran, maka lahirlah ilmu kalam yang bukan membuat orang makin mengenali Allah, sebaliknya makin kebingungan dalam mengenali Allah SWT.

Monday, October 15, 2012

Korban para Yang Berhormat

Lembu-lembu korban habis disapu menjelang hari raya aidil adha  kali ini. Sebahagiannya adalah oleh ahli politik yang sednag giat meraih perhatian rakyat. Seperti sudah menjadi kemestian, apabila menjelang hari raya korban, ahli-ahli politik tersebut akan mendermakan lembu untuk dikorbankan oleh penduduk di kawasannya. Dengan cara itu, YB tersebut  akan disebut sebagai seorang yang suka berkorban untuk rakyat. Malahan, dengan berkorban juga YB tersebut akan mendapat kredit agama. Almaklum, korbn itu merupakan ibadah dalam agama.

Sembilan ekor lembu yang ditempah oleh pihak jawatankuasa penaja kurban amsjid al-Fajr telah dijual kepad aorang lain. Hal tersebut sungguh mengecewakan. Sikap tidak berpegang dengan janji adalah perangai munafik dan pada masa mendatang, pengusaha ladang yang sebegini tidak lagi boleh dipercayai. Puas mencari lembu-lembu di ladang lain, banyak yang memberi jawapan mengecewakan. 

Ladang Malangking yang jauh terperosok 30km ke dalam dari jalan utama ke Sukau pun memberi jawapan bahawa 30 ekor lembunya telah ditempah oleh Datuk Syafie Afdhal. Apalah motifnya datuk-datuk ini berkorban dengan jumlah yang banyak? Cukuplah berkorban untuk diri sendiri atau beberapa ahli keluarga. Paling celaka kalau wang korban tersebut diambil daripada wang rakyat. Inilah yang mencurigakan. Demi pamrih politik, ada pemimpin yang menjual nama di sebalik korban lembu dengan duit rakyat.

Allah tidak akan menerima korban yang dilakukan dengan khianat. Awaslah dari sumber mana anda mendapat wang untuk menjalankan majlis korban.

Sunday, October 14, 2012

Nasib pengkhianat

Tidak semena-mena, Hasan Ali yang telah ditalak oleh PAS menggesa agar TG Nik Aziz menyerahkan jawatan Mursyidul Am kepada Dr. Haron Din.  Alasannya ialah kerana akar umbi sudah rimas dengan TG Nik Aziz. Demi masa depan PAS, jawatan Mursyidul Am Pas harus diserahkan kepada Dr. Haron Din. Gesaan Hasan Ali itu memang melucukan, malah menjelekkan. Bagaimana seorang yang telah ditalak masih lagi terkenang-kenang parti yang mentalakkannya dan mencadangkan jalan menyelamatkan masa depan parti itu?

Akar umbi PAS mana yang dirujuk? Umum akar umbi PAS mendokongb TG Nik Aziz sebagai mursyidul Am Pas. Hampir tidak kedengaran akar umbi PAS yang menolak kepimpinan TG Nik Aziz. Dakwaan Hasan Ali itu memang sasau dan buta hati. Barangkali rasa dengki terhadap sanjungan tinggi warga PAS terhadap TG Nik Aziz menyebabkan Hasan Ali habis ikhtiar sehingga menerbitkan cadangan bidih seperti itu.

Dalam PAS tidak ada lagi yang memandang mulia kepada Hasan Ali. Rata-rata sudah mengenepikannya dan sebahagian besar tidak lagi sudi menerimanya sekalipun dia bertaubat dan mahu kembali kepada perjuangan Islam. Jenayahnya besar dan tangannya serta lidahnya bersalut najis khianat.

Hasan Ali sedang meniti hari-hari kelam penuh resah gelisah.

Negara Bankrap

Mana satu negara dunia
jatuh bankrap kerana bantu rakyat jelata?
kerana berikan pendidikan percuma,
kerana turunkan harga
barang keperluan utama

Negara kita kaya raya
dalam bumi terbit minyak
permukaannya subur tumbuhan melata
rimba sawit dan juga tanah balak
limpahan makmur tidak terkata

Itulah kurnia Tuhan semesta
bukan kerana bijaknya penguasa
tak perlu mendabik dada
konon pandai mengurus negara

Kalau ada sikaya berjuta
beristana syuga di puncak maya
sedang rakyat hidup melarat
berumah usang di tanah menumpang
itu tanda negara tempang
harta negara dikaut ke gudang
buat si kaya makan seorang
si miskin mengutip yang terbuang.

Negara bankrap bencana Tuhan
untuk penguasa tidak berbudi
setelah diberi nikmat  limpahan
kufur kepada tuntutan ilahi

Sumber razeki pelbagai lapangan
habis dipagari dengan halangan
rumput panjang dalam pagar
rakyat meragut dari luar.
mereka makan dalam kepuk
lebihan ditabur rakyat mematuk

Khazanah negara hak bersama
jangan dibuat milik sendiri
jika hilang berkat Tuhan
tanah subur jadi kontang
negara tropika jadi sahara
minyak hilang dari bumi
ternakan dipelihara penyakit melanda
kontrak diberi nilainya juta
projek dilaksana tidak seberapa
lahir manusia temboloknya sahaja dibela
orang lain peduli apa
penguasa derhaka rakyat hina
hidup hanya mengejar dunia.

Negara bankrap kerana khianat
negara bankrap kerana rasuah
negara bankrap kerana tamak
negara bankrap kerana boros
bukan kerana bantu rakyat
bantu rakyat bawa berkat
negara berkat akan selamat
dikasihi Allah juga malaikat.

Saturday, October 13, 2012

Hikmah dalam kemelut perjuangan

Kes Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas yang kini menembak ke arah Pas besar rahmatnya kepadanya ahli Pas. Berakibat daripada pelbagai kerenahnya yang sebenarnya telah didahului oleh Dr. Hasan Ali yang sudah pun dipecat dari Pas, para pemimpin besar dalam Pas telah melontarkan pelbagai nasihat secara umum. Nasihat-nasihat para pemimpin utama itu telah menaut kembali fikiran ahli pas kepada asas fikrah politik Islam yang mungkin telah atau sedang dilupakan. Malah, ia juga menfaqihkan ahli yang masih jahil terhadap fikrah politik Islam.

Tulisan Presiden Pas, TG Haji Abd Hadi Awang sebagaimana yang disiarkan dalam harakahdaily adalah sarat dengan nasihat mengenai fikrah perjuangan Islam. Ia bukan tulisan politik yang hanya mahu mempertahankan diri tetapi adalah tulisan bersandarkan sirah nabawiyyah. Ahli yang membuat onar, menentang agenda tahalluf siyasi seperti yang dibuat oleh Nasharuddin Mat Isa perlu meneliti butiran nasihat Tg Presiden tersebut. Jika hendak terbang, terbanglah jauh-jauh. Jika mahu kembali ke pangkal jalan, masih ada sisa nafas yang dapat dipergunakan.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub juga turut menerbitkan nasihat pujangga untuk perjuangan dengan menggariskan tiga prinsip dalam perjuangan Islam dalam Pas iaitu:
a) Menghormati Majlis Syura.
b) Berpegang dengan keputusan Muktamar.
c)Mentaati keputusan kolektif para pemimpin.

Ketua Penerangan Pas, Tn Ibrahim Tn. Man banyak mengungkap falsafah perjuangan dan nasihat simbolik untuk orang seperti Nasharuddin Mat Isa. Antara lain, dia menasihatkan agar kalau ada senapang, jangan dihalakan kepada sahabat. Halakan ia kepada musuh. Kalau malas tolong angkat rumah, jangan pula bergayut di alangnya sehingga membebankan orang lain yang bertungkus lumus mengangkatnya.

Semua nasihat perjuangan ini menambahkan lagi koleksi pujangga yang memperkayakan fikrah. Untuk para pemuda yang sedang meledeni perjuangan Islam, ambillah nasihat mereka semua ini dan jadikanlah apa yang terjadi kepada ahli Pas yang malang itu sebagai iktibar. Kekalkan bersama jamaah dan jangan bergayut di dahan rapuh perjuangan yang direka oleh pemimpin-pemimpin kecil yang lemah dan yang kecewa.

Friday, October 12, 2012

Janji dan masjid baru.

Boleh aja cerita apa sahaja kalau sudah dekat pilihanraya ni. Orang yang berakal boleh menilainya. Mengapa selama bertahun tidak timbul soal bina masjid? Berapa banyak masjid yang dibina dengan kekuasaan yang dipinjamkan Tuhan? Dulu, masa PBS perintah Sabah, banyak sekali gereja dibina. lantas sepanjang perjalanan antara Sandakan-KK boleh dilihat adanya gereja sepanjang jalan. Sekarang, perkara itu jadi modal politik untuk menanamkan rasa takut rakyat terhadap PBS. Kalau PBS buat gereja, itu memang wajar. Tapi, kalau UMNO tidak buat masjid, itu apa maknanya?

UMNO tidak serancak PBS yang mengambil kesempatan tempoh pendek kekuasaannya untuk perbanyakkan gereja. Membina sebuah masjid amat sukar sekali. Sebahagian masjid yang terbina di Sabah ini adalah dari kudrat rakyat. UMNO camputangan di belakang hari kemudiannya. Tumpang nama.

Sekarang bercerita mengenai pengorbanan bina masjid. Masa musim pilihanraya cerita jasa UMNO buat masjid timbul. Kalau sesiapa mahu masjid, sekarang UMNO tunjukkan kesungguhan. 

Sungguh aku tidak percaya janji nak buat masjid itu...

Negara Kristian

Isu yang cuba dimainkan, DAP mahu tubuhkan negara Kristian di Malaysia. Seingatku, isu ini mula dimainkan oleh kalangan yang kecewa akibat kehilangan kuasa di Selangor. Lalu, Isu ini ditarikan lagi oleh Nasha, bekas pemimpin no. 2 PAS yang tidak berbudi. Dulu semasa dalam saf tertinggi kepipmpinan PAS, ucapannya berapi-rapi menjunjung perjuangan, tetapi kini menjadi parti sebagai "pumping bag".

Aku hanya ingi sebutkan beberapa perkara alam hal menubuhkan negara kristian ini iaitu:

1) Apakah sekarang ini Malaysia negara Islam. Ada sesiapa berani mengesahkan dengan dalil-dali syarak yang kuat mengatakan Malaysia negara Islam. Kalau memang Malaysia negara Islam, memang tidak bolehlah tukar jadi negara Kristian. Namun, negara Kristian lebih baik daripada negara Majusi.

2) DAP itu besar mana? Berapa jumlah prlimen yang dipegangnya?  Paling banyak sekalikah? Apakah kalau PR menang, DAP duduk di aats sekali dan menentukan segala-galanya? Bodoh amat untuk mengatakan DAP boleh buat sesuka hati kalau PR menang. 

3) Kenapa marah sangat DAP tetapi tidak menghalakan kemarahan yang sama kepada MCA. Padahal kedua-duanya Cina. Mungkin dikatakan DAP Cina Kristian sedangkan MCA bukan. Habis, MCA itu Cina apa? Budha? Antara Budha dan Kristian mana lebih baik? Susah nak faham? Baik, antara Kristian dan Majusi mana orang Islam sokong? Tak tahu? Baca surah Ar-Rum.

4) Orang Kristian berdoa agar Malaysia jadi negara Kristian? Salahkah berdoa? Bagus ba berdoa? Kenapa orang Islam tak lawan berdoa pulak? Kenapa asyik marah orang lain buat baik sedangkan diri tak mahu buat baik. Rasa-rasanya Allah akan makbul ke doa agar Malaysia jadi negara Kristian?

Ada akal kah?

Wednesday, October 10, 2012

Dua jenis bangang.

Dalam keadaan kebangkitan PAS dewasa ini, ada yang sibuk pasal Syiah dalam PAS. Kalangan lain bercakap tentang PAS mahu menawan Puterajaya bersama PR dan mengubah negara Malaysia menjadi sebuah negara yang berkebajikan. Tetapi, ada beberapa kerat "bangang" yang mempersoalkan PAS kerana ada individu yang dikenali Syiah dalam PAS. Malah, ada yang lebih "bangang" apabila mempersoalkan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR dan DAP sedangkan dalam masa yang sama tidak pernah pula dipersoalkan kerjasama UMNO lebih 50 tahun dengan MCA dan MIC.

Aku menduga bahawa kedua-dua jenis "bangang" ini adalah utusan UMNO sendiri. Kalaupun bukan UMNO yang menaja dua jenis "bangan" ini, ia adalah simpatisan UMNO atau juga walijah yang datang dari UMNO.

Tentang Syiah masuk PAS, itu realiti zaman dan mana-mana parti politik tidak terlepas dari dimasuki oleh manusia yang pelbagai. Amat melucukan kalau ada yang sanggup mengatakan bahawa dalam UMNO hanya ada ahli sunnah wal-Jamaah. Kemasukan Syiah dalam PAS hendaklah ditangani denganm bijaksana dan PAS itu parti Tarbiah. Ia bukan macam UMNO. Kalau Syiah masuk UMNO, Syiah akan menukarkan UMNO. Namun, PAS tidak sebegitu. Mekanisma tarbiah PAS tidak mudah itu ditelan oleh Syiah.

Mengapa sibu pasal Syiah sekarang? Kenapa musim gendang perang sedang dipalu, ada pula cekcok pasal Syiah? Ini adalah kebanganngan nombor wahid.

Pasal kerjasama dengan DAP pun dipertikaikan oleh para bangan jenis kedua. Ada yang mkasa dalam PAS sokong duduk semeja dengan DAP, tetapi bila terkeluar daripada barisan kepimpinan PAS, menjadi penentang agenda permuafakatan atas nama tahalluf siyasi itu. Orang yang oraknya bukan dicanai secara politik memang tidak boleh faham teori tahalluf siyasi yang diputuskan syura ulama itu. Demikian juga orang berpolitik tak ikhlas dan penuh muslihat peribadi.

DAP dan MCA sama-sama Cina. Ada yang kita tak sama sebab DAP ini Cina kristian. Kalau begitu MCA itu Cina apa? Mungkin Cina Budha. Kalau banding antara Kristian dengan Budha mana lebih lunak dengan Islam?

Lihat firman Allah SWT:


 
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. dan Sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami Ini orang Nasrani". yang demikian itu disebabkan Karena di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) Karena Sesungguhnya mereka tidak menymbongkan diri.

(Surah Al-Maidah: Ayat 82)

Bukankah Budha itu Kristian itu Nasara. Kalau pun ada yang kata Kristian itu bukan Nasara, ia ada keluarga Nasara. Padahal Budha ada penyembah berhala. Mana lebih baik antara MCA dan DAP. Hanya kebencian tidak bertempat muslim haprak terhadap Kritian menyebabkan hilang timbang tara politik.

Ayuhlah...jadi bijak dan jangan jadi bangang.



Tuesday, October 09, 2012

Orang Kafir menguasai ilmu dunia sahaja.


يَعْلَمُونَ ظَاهِرًا مِنَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ الْآَخِرَةِ هُمْ غَافِلُونَ
Mereka  mengetahui yang zahir  dari kehidupan dunia sedangkan  tentang (kehidupan) akhirat mereka lalai.
(Ar-Rum: Ayat 7)

Penguasaan kaum kafir terhadap pengetahuan keduniaan sememangnya mengatasi penguasaan kaum muslimin. Hal ini memang sudah menjadi sunnah sepanjang zaman. Allah SWT berikan dunia ini untuk dikuasai oleh kaum kafir. Namun bukan bermakna orang Islam tidak akan berkuasa di bumi . Bahkan, bumi ini akan dikuasai oleh hamba Allah yang beriman.

Hanya, orang kafir sangat mahir mengenai dunia kerana dunialah tempat  mereka menaruh kecintaan. Satu perkara yang dicintai selalunya akan mendapat perhatian yang lebih daripada orang yang mencintainya. Apabila perhatian dilebihkan, maka kemahiran mengenainya pun akan bertambah. 

Hasan Al-Basri menyebutkan bahawa saking pandainya orang kafir dalam ilmu dunia, akan sampai satu peringkat di mana bila dia menimbangkan dirham, dia dapat tahu beratnya. Hal tersebut dibayangkan oleh Hasan Al-basri pada zamannya dan sebenarnya kemahiran kaum kafir telah mengatasi daripada gambaran itu. Orang yang hidup zaman ini dapat menyaksikan bagaimana pencapaian moden yang diterokai oleh kaum kafir dalam ilmu pelbagai bidang. Kaum muslimin terpaksa pula mempelajari daripada mereka. Ilmu ketenteraan, ekonomi, politik, teknologi dan sebagainya berada di tangan kaum kafir.

Namun, ilmu dunia itu hanya zahir sahaja. Ilmum akhirat itulah yang batin. Ilmu kahirat membawa kita bahagia kelak. Itulah yang tidak diperolehi oleh kaum kafir.

Monday, October 08, 2012

Mahathir merindui Soros

"Kami tidak ada hubungan apa-apa dengan George Soros. Kami tidak kenal George Soros", demikian kata Tony Pua, MP Petaling Jaya Utara.

Dari tahun 1998 , Dr. Mahathir Muhammad tidak putus-putus menyebutkan nama George Soros, penyangak matawang sebagai manusia di belakang krisis yang melanda Malaysia. Dari krisis kewangan pada masa pemerintahannya, sehinggalah kini krisis politik yang kritikal, nama George Soros masih menjadi sebutannya. 

Orang kata, kalau nama seseorang itu selalu disebut, itu tandanya orang itu dirindui. Untuk rindu perlulah kenal. Dr. Mahathir Muhammad tentulah orang yang paling kebnal siapa George Soros sebab dialah yang mula memperkenalkan nama George Soros dalam Malaysia. Ketika orang lain sudah lupa apa yang pernah disebutnya tentang Soros tahun 1998, dia masih ingat. Soros tetap dalam ingatannya.

Sebenarnya, bukan Soros yang dimarahnya tetapi Soros dirinduinya.

Sunday, October 07, 2012

Undi Pembangkang Undi Soros: Dr. M bukan Mufti

Dakwaan Dr. Mahathir bahawa undi Pakatan Rakyat bermakna undi Soros adalah dakwaan orang yang sudah putus harapan  dan hilang arah jalan. Kemelut ekonomi 98 sering menjadi kambing hitam baginya untuk melibatkan Soros. Padahal, di sebalik kemalangan ekonomi yang melanda negara pada tahun tersebut juga adalah angkara keborosannya menjalankan projek serba mega dalam negara. Politik menyalahkan orang lain untuk menyelamatkan diri ini boleh dipakai untuk bertahan dalam satu tempoh singkat, tetapi tidak selama-lamanya.

Soros yang menjadi kisah lama dulu muncul kembali dalam areha lipur lara pemimpin yang berputus cara untuk menguasai minda rakyat. Mungkin pada sangkaan mereka, rakyat akan percaya dengan fatwa Dr. Mahathir tersebut. 

Namun, perlu diingat bahawa Dr. Mahathir bukan mufti untuk menghukumkan Pembangkang sama dengan Soros!