CARI BAHAN

Thursday, March 29, 2012

MAKSAK

"Semua ini tidak akan terjadi kalau kerajaan kita adil dan membela rakyat!", aku berbisik keras kepada temanku dalam bilik mesyuarat sewaktu pembentangan mengenai pentingnya memperolehi satu skim rawatan yang diperkenalkan di bawah sejenis kad perubatan bernama MAKSAK. Rakyat ditakutkan tentang kesihatan masa depannya yang mana akan memerlukan rawatan di hospital swasta yang mahal. Maka, ada syarikat tertentu yang menangguk di air keruh.

Untuk mendapat jaminan rawatan yang ditanggung, seorang kakitangan awam perlu mencarum secara bulanan sekitar RM240.00

Aku menunjukkan kulit buku Jingga yang tersimpan dalam tabletku kepada seorang rakan setugas. "Masa Untuk Berubah, Malaysia Baru". Kerajaan yang ada hanya menakutakan rakyat tentang masa depan. Kerajaan sebegini tidak diperlukan. Rakyat perlukan masa depan yang dijamin dan tidak dibayangi kebimbangan.

Kesihatan adalah tanggungjawab kerajaan. Ia bukan lukah dipergentingan untuk memperkayakan segolongan yang menjana pendapatan melalui sakit dan derita rakyat!

Sunday, March 18, 2012

Kalau Pas Sudah Tergelincir Sekarang.....

Datuk Syafie Apdal pergi Kedah, cakap dengan orang Kedah bahawa Pas pada masa ini sudah tergelincir. Seolah-olahnya dia nak bagi tahu, Pas sekarang bukan macam dulu lagi. Pas dulu atas landasan yang betul. Tetapi, sejak bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam PR, Pas sudah tergelincir.

Mantiknya, kalau sekarang Pas sudah tergelincir, maknanya dulu Pas adalah betul. Kalau dulu Pas betul, kenapa masa Pas betul itu Syafie Apdal tidak masuk Pas. Kenapa masuk UMNO juga yang pada masa itu adalah musuh Pas. Masakan  masa itu Pas betul dan UMNO pun betul? Mungkin mantik Syafie Apdal tak sampai tara ini. Dia hanya nak kata Pas sekarang tidak betul. Sebenarnya dalam hatinya membungkam dengan dendam kesumat terhadap Pas sejak dulu hingga kini. Bukan sebab bersama PR itu yang menyebabkan Pas dilihatnya tidak betul, tetapi perasaan Pas tidak betul itu terbit kerana bimbang kekuatan Pas dewasa ini.

Buat orang kampung yang tidak ada mantik mungkin Syafie Apdal boleh kelentong. Namun, bagi generasi baru kini yang tgerpelajar, gigit jarilah dia. Hantuk kepala ke dinding pun dia tidak akan menemui jalan untuk kelentong generasi bermantik tinggi zaman ini.

Puas sudah dicuba untuk mengkucarkacirkan barisan Pakatan Rakyat. Cara halus dipakai pun tidak berkesan. Fitnah adu domba pun sudah dibuat. Tawaran pangkat dan kedudukan kepada pihak Pas dalam kerajaan Perpaduan pun sudah dicuba. Tapi, semua tak makan. Sebab itu macam-macam fatwa songsang keluar dari mulut mereka.

Masa sudah tidak lama. Setelah air liur mereka kering, mereka akan rebah melutut!

Orang Melayu Kemboja

Dalam Berita TV sehari dua ini dipaparkan kegiatan Datuk Ali Rustan dalam lawatannya ke Phnon Penh, Kemboja. Khabarnya ussaha sama dari segi ekonomi dan bahasa akan diadakan. Menjadi kerisauan di pihak delegasi Malaysia dengan keadaan generasi muda Melayu Kemboja yang sudah tidak fasih berbahasa Melayu. Maka, tampillah para pemimpin yang diketuai oleh Datuk Ali Rustan dengan kebimbangan mengenai fenomena itu. Seolah-olahnya mereka adalah pejuang bahasa Melayu.

Keadaan yang amat kontradik dengan apa yang telah para pemimpin tersebut lakukan di Malaysia. Di Malaysia, Bahasa Melayu dipinggirkan dan Bahasa Inggeris didaulatkan. Titik hitam dalam menjahanamkan bahasa Melayu tidak dapat kita lupakan dalam kes PPSMI. Bagaimana  para pemimpin yang ada rekod buruk dalam perjuangan bahasa Melayu di tanah pertiwi bahasa tersebut tidak malu melaungkan perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu di rantau orang.?

Melayu Kemboja tidak mati kalaupun tidak tahu berbahasa Melayu. Daripada berhabis peruntukan untuk mengembangkan Bahasa Melayu di kalangan mereka, korbankan ia untuk dakwah Islam. Ada juga faedahnya...

Saturday, March 17, 2012

Haul Masyayeikh.

Secara mudahnya, aku tegaskan bahawa kalaulah sambutan "haul" bagi sesetengah syeikh terutamanya berketurunan habib itu wajar dan perlu, sudah tentu kita lebih patut memnyambut "haul" bagi Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan dan juga Ali bin Abi Talib. Demikian pula "haul" bagi sederetan sahabat besar yang lain yang sangat berjasa untuk Islam. Malah, kalau hendak dibandingkan dengan ulama-ulama mujtahid mutlak seperti imam mazhabh yang empat, "haul"  mereka lebih layak diraikan berbanding "haul" mana-mana ulama Habaib yang disambut oleh sesetengah orang.  Sekalipun, kalau hendak dibandingkan dengan para mujtahid fil mazahib, keutamaan lebih buat mereka kerana jasa mereka menyebarkan ilmu Islam kepada masyarakat. 

Ini tidak. "Haul" para habaib itu juga yang dirayakan. Apa ertinya semua ini? Apakah para habaib itu lebih mulia daripada sahabat-sahabat Rasulullah yang tidak pernah disambut "haul" mereka? Lebih muliakah juga para habaib itu berbanding para ulama mazhab yang menyumbang tamadun ilmu untuk ummat?

Dalam sambutan "haul" para habaib yang dibuat, ada ungkapan syair yang dinyanyikan. Ratha' dan Ghazal bercampur sebagai tandai sedih kehilangan dan kecintaan kepada para syeikh dan habaib. Gugusan syair yang dikarang mengandungi pujian berlebihan buat syeikh dan habaib. 

Tidak cukupkah dengan mendendangkan bacaan Al-Quran dan zikir ma'thurat yang nabi SAW warisi?

Sesungguhnya ini adalah khayalan yang nyata. Islam tidak punya kaitan dengan sambutan "haul" yang direka-reka ini. Menyambut "haul" itu sendiri bukan tradisi Islam. Dalam tradisi kristian memang ada sambutan "haul". Kita biasa mendengar sambutan Krismas yang dikaitkan dengan kelahiran Isa. Jangan pula dikatakan kita biasa dengan maulid nabi kerana dalam tradisi Islam, tidak ada maulid. Ia cuma perkara yang didatangkan kemudian. Maka, terlebihlah haul bagi masyayeikh!

Siapa yang cintakan ketulinan Islam, pilihlah yang berisi daripada yang antah!

Friday, March 16, 2012

Utlah Bulan Mac

Cuti bulan Mac selama satu minggu, aku membawa keluarga ke Semporna. Bersamaku adalah Sukri dan keluarganya. Perjalanan ke Semporna mengambil masa kira-kira 5 jam. Tujuan mulanya adalah untuk menginap di sebuah resort yang pernah difilemkan dalam cerita Duyong, terletak di kampung Tampi0Tampi. Ketika kamim sampai, ada beberapa unit resort kosong di sana. Harganya sekitar RM88.00  dan RM150.00. Namun, melihatkan kosnya yang mahal dan pula kemudahan yang daif di dalamnya, kami berpindah ke Dragon Inn. Namun, sebagaimana selalu, Dragon Inn penuh dengan pelanggan. Tiada kamar kosong din sana. Kalau adapun, yang mahal. Sekitar RM120.00.

Lantas, Mabul Inn di Pekan Semporna jadi pilihan. Ia merupakan sebuah hotel Budget yang murah dan selesa. Harganya semalaman adalam RM77.00. Petangnya kami pergi  mandi di Tampi-Tampi. Pagi esoknya mandi lagi di Tampi-Tampi. Berenang dalam laut yang jernih airnya amat menyeronakkan, khususnya buat anak-anak.

Menjelang Tengahari, selepas check out daripada Mabul Inn, perjalanan diteruskan ke Tawau. Singgah di Balong, berehat sebentar di suraunya, sambil masak bahan makanan untuk makan malam. Kira-kira jam 4 petang, kami barulah ke Tawau. 

Di Tawau, kami menginap di sebuah hotel iaitu Holiday Inn. Biliknya sungguh selesa dan harganya cuma RM66.00

Monday, March 12, 2012

Putaran karma

Sejenak, terkesima membaca berita dalam Harian Metro mengenai seorang ibu ditinggalkan oleh anaknya di sebuah hotel Budget. Ibu tua yang lumpuh itu ditinggalkan anaknya dan pemilik hotel tersebut terpaksa membuat laporan kerana anaknya tidak datang mengambilnya setelah dua hari membayar kos sewaan bilik. Khabarnya, ibu  itu berasal dari Johor. Sungguh tega anak tersebut!

Namun, terlintas di benak fikirku, apakah karma yang menimpa si ibu sehingga sebegitu tega diperlakukan dek anaknya sendiri?

Teringat sepotong hadis yang bermaksud:" berbuat baiklah kepada kedua ibu bapamu, kelak anak-anakmu akan berbuat baik kepadamu".

Wednesday, March 07, 2012

UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI

Orang yang beriman akan menjadikan dirinya neraca dalam menilai orang lain. Sebab itu, ketika seorang beriman yang lain dicaci nista, difitnah dan ditimpakan sebarang aib, dia tidak akan dapat menerimanya. Ini kerana, caci nista, fitnah dan aib tersebut tidak dapat diterima untuk dirinya, maka untuk orang beriman yan lain juga tidak dapat diterimanya.

Imam Al-Qurtubi, dalam mentafsirkan kisah Hadis Ifki yang cerita mengenainya dinyatakan dalam Surah Al-Nur, ayat 11-20, membawakan satu cerita yang menggambarkan sikap orang beriman dalam menangani api fitnah.

Sewaktu isteri Abu Ayu Ai-Ansari mengkhabarkan kepadanya mengenai apa yang difitnahkan orang tentang Aisha isteri Rasulullah SAW, maka beliau bertanya kepada isterinya.

"Apakah awak sendiri sanggup melakukan sebabaimana yang dikatakan orang terhadap Aisah?

"Tdak!", balas isterinya.

" Demi Allah, Aishah lebih baik dari awak!", kata Abu Ayyub Al-Ansari.

"Ya," isterinya akur.

Mereka tidak mempercayai Aishah melakukan perbuatan serong sebagaimana mereka tidak suka ia berlaku ke atas diri sendiri..





Monday, March 05, 2012

Aladdul khisom

Sebenarnya, aku dah tak berahi lagi nak komen pasal Dr. Mahathir ini. Lagipun, dia bukan sesiapa lagi. Kuasa pun sudah tidak ada. Sesetengah orang mengandaikan beliau masih berkuasa di belakang tabir pemerintahan Datuk Najib. Aku tidak rasa begitu. Zamannya sudah berlalu. Tetapi, disebabkan kerana kenyataannya yang masih serong mengenai hudud sebagaimana yang terbaru ini, maka aku rasa sangat meluat dan kasihan kepadanya.

Patutkan dia kata Hudud itu hanyalah ciptaan ahli fekah? Katanya pula, Al-Quran suruh kita hukum dengan adil. Hudud tak adil, maka sudah tentu hudud tidak ada dalam quran. Begitulah saya faham jalur pemekiran lelaki tua berkedut iman dan makrifat agama itu.

Pertama sekali, dakwaannya bahawa hudud itu ciptaan ahli fekah sudah tentu menggambarkan kejahilannya sendiri tentang Quran. Aku tidak mengandaikan maksud lain untuk mengatakan dia bijak dan sengaja mainkan sentimen. Aku tegaskan, dia dunggu mengenai Quran. Dia bercakap seperti dia lebih bijak daripada ahli fekah mengenai Quran. 

Keduanya, Dr. Mahathir tidka faham maksud adil. Baginya, adil itu adalah menurut pertimbangan akalnya. Padahal adil menurut kacamata agama adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dia mengulas mengenai keperluan membawa 4 saksi bagi pengadu rogol.  Hukum potong tangan bagi muslim mencuri dan penjara bagi orang kafir mencuri. Ulasannya itu menzahirkan kejahilannya mengenai istilah agama dan juga selok belok hukum dalam Islam.

Kalau umur dah menjangkau lebih 80 tahun tetapi tetapi masih "aladdul khisom", apa lagi yang boleh kita tolongkan? 

Saturday, March 03, 2012

Responsif Keterlaluan

Pendapat Dr. Dzulkifly Ahmad bahawa Pas boleh menerima Timbalan Presiden yang bukan Islam bukan perkara besar yang perlu dicemaskan. Tindakan Dewan Pemuda yang begitu responsif terhadap kenyataan Dr. Zulkifly itu, menurut hematku bukanlah tindakan yang bijak. Dr. Zulkifly menyatakan senario politik yang terdedah kepada perubahan. Perkara tersebut telahpun dilakukan oleh Ikhwanul Muslimin menerusi parti yang mewakilinya. Ia bukan satu kesalahan kerana ia bukan ketetapan pokok dalam Islam bahawa orang bukan Islam tidak boleh berada dalam hireki kepimpinan.

Bersikap responsif yang menutup ruang pandangan yang kontradik bukanlah kebijakan politik yang kita mahukan. Jika tidak setuju dengan pandangan Dr. Zulkifly Ahmad, sudahlah. Boleh mengemukakan pandangan balas dan hujah-hujahnya. Namun, jangan pula bersikap Taliban sehingga mendesaknya menarik balik kenyataannya. 

Dr. Dzulkifly Ahmad itu pun bukan orang bodoh mengenai politik Islam. Perasaan saling percaya mempercayai wajar diterapkan sesama anggota jemaah. Jangan baurkan prasangka. 

Politik kampungan sering menyebabkan kita sibuk mencabut kemucup dalam perjalanan. Ada matlamat besar, tetapi disibukkan membahaskan sehingga tegang urat leher, merah telinga dan keras suara mengenai hal-hal remah dan hal yang bersifat pandangan. Fomulanya mudah sahaja. Kalau Pandangan Dr. Zulkifly Ahmad itu tidak wajar, apakah Majlis Syura Ulama akan sahkan sehingga boleh dimuktamarkan?

Gempita respons yang dibuat hanya memberikan ruang kepada musuh untuk mencipta peluang!

Friday, March 02, 2012

Bukan Melayu

Otak kemetot pejuang-pejuang Melayu itu perlu disentak sekali sekala. Aku faham bila TG Nik Abd Aziz kata pemimpin tertinggi Pas boleh dari kalangan bukan Melayu, asalkan muslim yang soleh, ia menjadi ajaran penting untuk para pejuang Melayu itu. 

Pertama, ia menjelaskan perbezaan ketara antara Pas dan UMNO. UMNO selama ini berbangga bahawa ialah satunya parti yang menjadi jagoan dalam membela hak Melayu. Bila Pas kata ia tak kisah kalau pemimpin Pas bukan Melayu, ini tentunya menghairankan para pemimpin UMNO itu. Macamana pemimpin Pas yang Melayu itu tidak punya semangat kemelayuan berkobar seperti mereka. Maka, timbulah persepsi bahawa Pas adalah parti yang mengkhinati Melayu. Dakwaan tersebut akan digembar gemburkan dan akan menjadi kian galak menjelang dekatnya pilihanraya.

Keduanya, ia menjelaskan akidah perjuangan Pas yang merentasi lingkungan sempit kebangsaan yang menjadi kecenderungan kebanyakan orang. Bagi mereka yang punya nurani suci, akan menghargai akidah perjuangan yang sebegini kerana ia membuang rasa bongkak dan sombong bangsa prima dalam sesebuah negara.

Thursday, March 01, 2012

Bila angin PRU kian hampir.

Semakin dekat kepada Pilihanraya Umum ke 13, semakin gempita mainan politik para juru tandingnya. Sesetengan pemainnya memperlihatkan kegelisahan yang ketara dan degup gabra. Pelbagai caci nista dan bermacam-macam siasat muslihat dibongkar untuk digunapakai agar dapat dimenangi dalam percaturan politik yang akan datang.

Keadaan politik jadi caca marba. Dulu, beberapa MP Pakatan Rakyat melompat sempadan dan menjadi lawan kepada Pakatan Rakyat. Siri tekanan pelbagai kepada Anwar Ibrahim sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat jangan diceritakan lagilah. Habis sekejap perbicaraan kes liwat kerana kemenangannya di peringkat mahkamah tinggi, datang pula kes kenyataan sokongan Anwar Ibrahim ke tas Israil. Lalu timbul cerita surat-surat mantan PM Dr. Mahathir yang menjalinkan hubungan dengan Israel sehingga Wisma Putera terpaksa memaparkan isi kandungan surat tersebut.

Pemimpin UMNO-BN sudah sampai ketahap gaban. Nazri Aziz kata Anwar macam Iblis. Habis dah lah gelaran yang boleh diberikan kepadanya. Peliwat, agen Amerika, sokong Yahudi, pengkhianat Melayu dan kini  sudah sampai kepada Iblis. Memang dan maksima. Lepas iblis tak ada sudah yang lebih jahat.

Haha...

Pas pun dikacau habis-habis sampai Hasan Ali tersingkir keluar daripada Pas dan menjadi talibarut UMNO-BN. Dulu kerajaan Perak berjaya ditumbangkan dengan muslihat licik. Percuabaan dibuat di Selangor. Untuk menumbangkannya sama seperti di Perak nampaknya tiada jalan. Pelbagai isu dimainkan. Dari isu Pasir sehinggalah Isu gerakan Kristianisasi. Bersimpang siur isunya. Centang peranang orang. Tangkap muat semuanya. Asalkan kepercayaan rakyat tidak kepada selain UMNO-BN.

Sekarang kerajaan Kedah sedang digoncang. Agak malang juga sebab ada orang Pas yang bodoh politik sehingga menari mengikut rentak yang dimainkan para pecundang yang tengah gila talak pangkat. Semua ini merupakan kesan tiupan angin kencang PRU ke 13 yang mungkin akan menjadi PRU bersejarah. Jika semua ribut taufan ini dapat dilepas dengan gagah dan istiqamah, insya Allah, fajar baru akan menyingsing.

Wednesday, February 29, 2012

Tumbangkan pokok berpenunggu itu

Kawan itu kata negeri Sabah sangat kaya. Jika kekayaan itu dibahagikan sama rata kepada rakyat semua, akan senang lenanglah rakyat Sabah. Tetapi, sayang seribu sayang, kekayaan tersebut hanya berlegar di kalangan orang tertentu sahaja.

kononnya negara Malaysia akan mencapai tahap negara maju pada tahun 2020. Dr. Mahathir yang mencetuskan wawasan tersebut, setelah tidak menjadi Perdana Menteri memaksakan ke atas penerusnya untuk mengikut dasar-dasar bodoh masa pemerintahannya. 

"Jika hendak tahu baaimana wajah negara maju wawasan 2020, lihat sahaja murid tahun enam sekarang. Murid yang bengap di bawah sistem tunggang langgang itulah yang bakal menjadi generasi mahasiswa pada tahu 2020!", kawan itu melampiaskan kemarahannya.

Lalu aku katakan buatnya. Jika mahu keadaan ini berubah, kita tumbangkan pokok agam yang keras berhantu dan kita tanam sepohon baru yang akan kita nilai kemenjadiannya. Kita tebang dan tanam yang lain kalau kurang menjadi.


Tuesday, February 28, 2012

REKOD AKHLAK

Dr. Hasan Ali tidak habis-habis menekankan bahawa Awar Ibrahim itu mempunyai rekod akhlak yang buruk. Atas sebab itu, dia menyeru Pas agar jangan bersekongkol dengannya. Katanya, kerana itu juga dia disingkirkan daripada Pas. Lantas, dia mengeluarkan ramalan tok nujum pak belalangnya yang mengandaikan Pas akan kalah teruk dalam PRU akan datang.

Rekod akhlak yang buruk sebagaimana Dr. Hasan Ali sifatkan ke tas Anwar Ibrahim itu bukanlah terdapat alam buku sejarah yang sarat engan fakta. Rekod buruk yang dikatakannya itu hanya berdasarkan buku  sampah yang berbaur seribu macam fitnah ditulis oleh penulis murahan. 

Rekod buruk itu juga berdasarkan pemberitaan media massa yang sememangnya tidak pernah diyakini kebenarannya.

Maka atas dasar apa untuk mengatakannya sebagai rekod?

Langgar anjing Sibugal Besar.

Kelmarin, sewaktu aku sudah hampir ke sekolah Sibugal Besar, aku bertabrak dengan seekor anjing. Anjing tersebut yang buat hal. Ia berada di tepi jalan waktu aku sampai ke lokasi kejadian. Namun, sewaktu keretaku melaluinya, tiba-tiba di melompat dan berlanggar dengan bumper keretaku.Akibatnya, anjing tersebut menemui maut di tempat kejadian. Aku terkesima dan berhenti sekejab sambil keluar kereta. Aku menoleh melihat anjing tersebut telah mati. Lalu aku masuk kembali ke dalam kereta. Jarak ke sekolah hanya beberapa depa sahaja lagi. Aku sudah kelewatan daripada masa garis merah.

Setelah selesai menadantangani buku kehadiran, aku bergegas kembali ke kereta. Keretaku mengalami serpihan kecil di bumper depan. Emak pesan, kalau langgar anjing kena cepat-cepat basuh.  Aku melakukannya. Kuambi sebaldi air dan dicurahkan ke hadapan bumper keretaku. 

Setelah itu, aku kembali ke tempat kejadian. Seorang wanita setengah baya berada di tepi jalan.

" Kalau boleh ustaz suruh murid-murid tarik bangkai anjing tu jauh-jauh. Buang ke sungai pun tak pa, nanti busuk...", wanita tersebut menyatakan kerisauannya.

"Okey, tak apa...nanti saya uruskan", balasku.

Waktu aku berpatah balik aku ditegur pula seorang lelaki. Dia tidak berbaju dan berperut buncit.

" Saya uruskan pun tak apa cikgu, kasi upah sama saya aja...", dia dimenawarkan khidmat berbayar.

Aku pun mengeluarkan duit RM10.00 dan menghulurkan kepadanya. Lelaki itu kata dia akan uruskannya. Selesai masalahku. 

Ketika waktu pulang, aku lihat bangkai anjing tersebut telah tiada di tempat kejadian. 

Monday, February 27, 2012

Kesurupan jin harimau jadian


"Ustaz, saya ada hal mahu bincangkan dengan ustaz....", seorang remaja hampir kepadaku ketika iqamat untuk solat insya telah dilafazkan oleh sang muazzin.

"Selepas insya nantilah", aku menyatakan persetujuan untuk mendengar masalahnya.

Aku mengimamkan solat insya. Selesai solat insya dan disempurnakan dengan solat ba'diah, remaja tersebut mampir bersila di sebelahku.

"Apa masalahmu?",aku lantas bertanya.

"Ada gangguan mengacau saya ustaz? ",ujarnya.

"Gangguan yang bagaimana?", aku mencungkil.

"Siang tadi saya ke rumah makcik di Batu 11/2, masa dalam rumah ada seekor belalang dalam rumah, saya tangkap, lepas itu seekor kumbang warna hitam hinggap atas saya, saya jadi sejuk. Lepas tu saya mula rasa ada sesuatu dalam badan...",remaja itu menceritakan.

Aku memegang jari kakinya. Aku sebenarnya tiada ilmu mengenai mahkluk haluis yang meresapi tubuh badan manusia. Sekadar membacakan beberapa potong ayat Quran, aku mampulah. Sambil memegang jari kakinya, aku bacakan ayatul kursi. Tiba-tiba, dia mula mengerang dan kai tangannya jadi kejang. Di mengerang dan mengeraskan jemari tangannya lagak harimau. 
 
Aku teruskan bacaan ayat-ayat lain yang terkandung dalam rangkaian ayat syifa. Dia makin bingas dan mula mencakar permaidani masjid. Aku menampar pahanya sambil bertakbir.

"Keluar!", jerkahku.

"Tidak mahu!", balasnya. 

"Siapa namamu?, aku berlembut. 

"Harimau jadian",jawabnya menderam.

"Bohong!", aku mendustakannya.

Lantas aku laungkan azan ke telinganya. Sejurus kemudian dia terlentang. Aku meletakkan tanganku di dahinya. Nampaknya makhluk dalam badannya tidak mahu keluar juga. Kebetulan ketika itu seorang sahabat masjid Al-Fajr, ust Rahim yang kelewatan insya baru selesai solatnya. Dialah yang mengerjakan kerasukan itu sehingga makhluk dalam badan remaja itu keluar habis. 

Sehingga, bila remaja itu sudah sedar dari kesurupannya, ditanya namanya, baru mampu dia menjawab.

"Anwar...", dia menyatakan namanya.

Ust. Rahim memberikannya minum air, menyuruhnya mengulangkan bacaan Qulhuwallah 11 kali dan  membaca  mu'awwizatain.



Sunday, February 26, 2012

Ulama Amilin

Ulama yang tidak terlibat dalam politik bukanlah ulama yang amilin. Ulama yang terlibat dalam politik pula tetapi memilih untuk mendokong para tughat juga bukan ulama yang amilin. Ulama itu wajib mempunyai kepedulian yang tinggi dalam politik. Kepedulian itu janganlah untuk mempertahankan soldadu kebatilan tetapi hendaklah menyokong para rijal Allah.

Di Malaysia, ada suara-suara dangkal pemimpin-pemimpin berotak kemetot bahawa ulama yang terlibat politik bukanlah ulama. Mereka mengistilahkannya sebagai ulama politik. Barangkali menurut taakulan otak kemetot mereka, ulama itu adalah insan yang zuhud di mahallanya dan karam dalam perdebatan ilmiah dan yang mempunyai aura dalam memimpin tazkiah rohani.

Baru-baru ini, Syeikh Kalid yang merupakan wakil Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dari Ikatan Ulama Antarabangsa datang ke Malaysia dan menyampaikan ucapan mengenai perkembangan di Syria. Beliau menyebutkan mengenai sokongan yang diberikan oleh Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buti ke atas Bashar Al-Asad dan menolak perjuangan revolusi rakyat Syria. Katanya, sungguhpun Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti itu seorang yang tinggi ilmunya, dia bukanlah ulama amilin. Anak-anak muda Revolusi membakar bukunya di Syria kerana marahkan sokongan yang didokongkannya kepada regim zalim Assad.

Semua itu bukan menghairankan. Bukankah dalam Al-Quran Allah telah menitipkan kisah Ba;'am bin Ba'ura. Semoga Allah memberi hidayah kepada para ulama kita untuk memasakkan ilmu mereka di bumi perjuangan yang betul.

Friday, February 24, 2012

Mufti akar kayu.

Bagiku, Tuan Mufti negeri Perak itu menjadi mufti pada zaman orang Melayu belum ramai cerdik pandai agama. Bak kata pepatah Melayu, Tiada Rotan, Akar Pun Berguna. Kerana sudah menjadi satu keperluan setiap negeri perlu ada mufti, maka Sultan negeri Perak waktu itu pilihlah Harussani sebagai mufti. Dia menjadi mufti bukan bermakna dialah yang paling alim di antara semua rakyat jajahan negeri Perak. Hanya kerana Sultan berkenan dengannya.

Sebab itu, mufti Harussani pada hari ini merupakan mufti yang menjadi pembela tangguh kepada sultan. Apabila sang penderhaka jema'ah, Hasan Ali mengungkapkan mimpi senjanya mengenai tiga jalur perjuangan, Islam, Melayu dan Raja, mufti itu merasakan perjuangan itu sangat cocok sekali dengannya. Ketika berucap merasmikan pelancaran firqah Hasan Ali itu, mufti Harussani mengatakan bahawa perjuangan Melayu dan Raja adalah perjuangan nabi Muhammad SAW. 

Ungkapan mufti Harussani itu jika diungkap 30 tahun yang lalu, mungkin ramai yang menggangguk-angguk kepala setuju macam poka. Tapi, pada masa ini sudah ramai orang yang lebih cerdik daripadanya. Dalam agama juga sudah ramai yang lebih faqih daripadanya. Kelebihannya hanya sebab dia mufti paling lama berkhidmat. Dia mungkin mahir selok belok peraturan dunia mufti, tetapi selok belok ilmu Islam, dia bukan ke mana. 

Secara peribadi, aku melihat ilmunya lebih rendah berbanding bekas mufti Perlis yang jauh lebih muda daripadanya. Mufti-mufti lain aku tidak pasti kerana mereka lebih suka mengambil jalan tidak bertentangan pandangan dengan mufti Harussani.

Terbaru, sekali lagi mufti Harussani mempamerkan kejahilannya mengenai konsep bai'ah yang diamalkan dalam Pas. Dia menyifatkan bai'ah  dalam Pas lebih kepada ugutan kepada pengikut agar ta'asub kepada pemimpin. Datuk Nik Aziz telah pun jawab telahan cetek mufti Harussani itu dengan mengatakan bai'ah dalam Pas adalah bai'ah kepada Allah dan RasulNYa. Ia punya latar belakang sejarah Islam dan kehidupan berjema'ah.

Rasanya, mufti Harussani bukanlah orang hidup berjuang dalam jemaah. Sebab itu dia tidak tahu adab berjemaah.

Semoga mufti Harussani tidak khatamkan hidupnya sebagai mufti. Dengan itu dapat digunakan sisa umurnya buat perjuangan Islam dengan penuh keinsafan. 

Saturday, February 18, 2012

JADI PERDANA MENTERI

Anwar Ibrahim dikatakan mahu jadi Perdana Menteri. Antara kata-kata sinis dan cakap-cakap politik, ungkapan Anwar bakal Perdana Menteri punya tafsiran mengikut sikap masing-masing. Hasan Ali melenting marah selepas dipecat daripada Pas. Antara isi ceramah yang pernah diadakannya, dia kata tidak akan membenarkan Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Para pemimpin UMNO sudah lama bertegang urat leher mengatakan Anwar Ibrahim tidak layak jadi Perdana Menteri. Para pemimpin Pakatan Rakyat telah pernah mengeluarkan kenyataan bersama bahawa Anwar Ibrahim adalah bakal Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang. Anwar Ibrahim sendiri pernah membayangkan dulu jika dia dipenjarakan kerana tuduhan liwat, akan ada Perdana Menteri sementara.

Bercakap mengenai Perdana Menteri ini kekadang membingungkan. Menjadi Perdana Menteri bukan matlamat akhir perjuangan Pakatan Rakyat. Apa lagi perjuangan Pas yang sarat dengan fikrah dan citra Islam. Kekadang, rasanya perdebatan mengenai siapa bakal Perdana Menteri berikutnya jika PR menang menjadikan perjuangan kucar kacir. Soal keikhlasan niat janganlah dikatakan lagi.

Bukankah Allah telah tulis di Lauh Mahfuz sejak azali lagi, siapakah Perdana Menteri berikutnya. Jangan mendahului takdir!

Sunday, February 12, 2012

Antibiotik

Antibiotik...

Itulah keperluan penting untuk mengubat sebarang sakit demam. Kalau kita mengunjungi hospital maupun klinik swasta untuk tujuan berubat, selain ubat-ubat yang diberikan untuk sakit yang khusus, doktor akan membekalkan antibiotik. 

Semenjak aku menghidapi sakit bisul yang berpanjangan ini, aku merasakan betapa perlunya aku kepada antibiotik.  Antibiotik menggencatkan perkembangan bisulku, sungguhpun tidak mematikan terus.

Kerumunan Memburu IC

Ketika JPN membuat pendaftaran terbuka kelmarin di kampung Sibugal Besar, sungguh ramai orang mengerumuni majlis tersebut. Kerumunan tersebut lebih ramai daripada kerumunan untuk dapatkan  wang RM500.00 maupun RM100.00 yang pernah diadakan. Kata seorang warga, kerumunan yang ramai itu disebabkan Kad Pengenalan sangat diperlukan oleh mereka yang hadir itu lebih daripada wang sejumlah apapun.

Mereka yang datang itu termasuklah PTI. Wajah-wajah kilasan Philipina dan Indonesia dapat dilihat pada ramai daripada wajah yang hadir itu.

Aku menyimpan sedikit kecurigaan. Kenapa projek pendaftaran terbuka dibuat saat angin panas pilihanraya sedang bertiup ini. Dengan mudah, orang membuat telahan bahawa ini merupakan projek pemberian IC.

Seorang teman mengatakan bahawa tidak mudah untuk yang datang mendapat IC. Mereka yang benar-benar layak sahaja yang akan dipertimbangkan. 

"Kau lihat sahaja pegawai-pegawai yang bertugas, ada Kastam, ada Polis, Itu Timbalan Pengarah JPN Sabah, seorang Sino-Kadazan. Mereka ni bukan mudah untuk berikan kewarganegaraan kepada bangsa lain?", teman itu menunjukkan kepada seorang pegawai muda yang berdiri di tepi kaunter.