CARI BAHAN

Monday, April 23, 2018

IJTIHAD DALAM PRU

Pemilu kali ini aku berlepas diri. Aku tidak berkempen untuk mana-mana parti. Ambil sikap berdiri di luar gelanggang politik sambil memerhati. Kurang membuat komentar terhadap gelagat para politikus dan pendekatan parti-parti. Cuma ada selit dalam kuliah di masjid tentang keperluan mengundi sebagai satu tanggungjawab rakyat sebuah negara dalam memilih memimpin dan menolak hujah dan dakwaan pihak yang menghukumkan demokrasi sebagai sitem kufur. Terpulanglah kepada khalayak untuk membuat pilihan.

Aku hilang minat untuk berkecimpung dalam pergelutan politik. Sebahagian sahabatku yang telah lama bernafas dengan dengusan politik mengambil jalan masing-masing. Antara fastaqim dan beralih. Dalam kesantunan berlumba posting dalam FB, kekadang ada yang membawa kepada kepanasan berhujah. Seperti biasa,  isu-isu agama, iman dan akhirat kekadang dibabitkan. Aku kurang cenderung untuk terlibat dalam suasana demikian.

Aku ingin sekali jika politik kekal sebagai satu perlumbaan seni mempengaruhi orang yang tidak didogmatik dengan unsur agama berlebihan yang kelihatan memaksa. Agar orang bebas membuat pilihan, aku suka kalau orang membuat pilihan berdasarkan kewarasan dan logik akal. Ini kerana politik itu urusan yang menuntut ijtihad dan jangkaan masa depan. Tidaklah tepat sepenuhnya. Apa yang disangka malaikat, boleh menjadi iblis, demikian sebaliknya.

Baik saya berdiri di luar gelanggang dan mengamati serta mempelajari. Namun, pada hari mengundi, saya pasti akan mengundi. Itu satu tanggungjawab rakyat sebuah negera. Memilih pemimpin adalah kewajipan. Siapa dipilih terpulanglah. Saya akan beijtihad dengan kadar pengetahuan dan maklumat yang saya ada. Jika saya pilih dengan tepat, Allah akan ganjari saya 2 pahala. Jika salah pilih setelah saya menimbangtara dengan panduan maklumat dan pengetahuan, Insya Allah, Allah berikan satu pahala.

Kesalahan memilih pemimpin bukan satu yang abnormal dan haram di sisi agama. Kesalahan ini telah juga berlakusejak zaman silam. Zaman Ali dan Muawiyah, generasi mereka telah membuat pilihan masing-masing. Mereka tidak juga sepakat. Ada pilih Ali dan ada sokong Mu'awiyah. Ulama Ahli Sunnah mengharmonikan krisis antara mereka dengan mengatakan bahawa mereka telah berijtihad dan sama ada betul atau salah, Allah memaafkan. Cuma kalangan Syiah sahaja yang menghampar dua kanvas dalam soal pemilihan pemimpin. Hitam dan juga putih. Pilih Ahli Bait atau menjadi Nasibah. Mereka meletakkan imamah sebagai satu cabang akidah.

Kita, dalam dunia Sunni seharusnya mengekalkan sikap para pendahulu kita yang melihat soal memilih pemimpin ini sebagai perkara ijtihadi. Kesilapan atau berbetulan dengan kebenaran sering bersilih ganti sepanjang hamparan sejarah.

Allahumma ameen...Nahnu nahkum biz zawahir...wallahu yatawallas sarair.

Sunday, April 22, 2018

JALUR BERCANGGAH

Antara dua aliran, nampak jalur fikir yang berbeza. Bagi yang memerhati gelagat, akan tahu membezakan. Satu aliran bernuansa khawariji manakala satu lagi mengambil gaya salafi lateralis. Disebutkan juga ekstremis Wahabi.  Rupanya ada sifat ekstremis pada Wahabi. Barangkali ekstremis itu bukan lumut yang hanya tahu melekat kepada Wahabi, tetapi  juga kepada Khawariji, Syiah bahkan Ahli Sunnah. Penyakit kemelempauan merentas aliran dan fahaman.

Antara jalan yang bersimpang siur itu, kita perlu cermat mengambil satu jalan. Aku lebih cenderung memilih jalan sederhana. Bersederhana dalam semua hal adalah lebih selamat, sekalipun dalam menegakkan sunnah Rasulullah. Pada saat tertentu, baru kita akan nampak faedah di sebalik kesederhanaan itu.

SEJARAH BUKAN MESTI DIIMANI

Satu peristiwa yang berlaku dalam sejarah, tidak semestinya akan berulang serupa pada masa sekarang. Orang selalu kata, lihatlah pada sejarah. Ya...kita perlu selalu lihat sejarah. Tetapi janganlah dihantui sejarah. Kadang-kadang, sejarah yang kalah akan berganti dengan kemenangan. Sejarah diperdaya orang akan berganti dengan kesetiaan. siapa tahu? Manusia adalah makhluk yang selalu dipengaruhi oleh angkubah.

Kita saksikan sahaja permainan masa.

Di belakangnya ada Tuhan yang mengatur segala-galanya.

Saturday, April 21, 2018

SIEGED MENTALITY


"Sieged Mentality" ditafsirkan dalam kamus sebagai:

a feeling that makes you frightened of people around you, and causes you not to trust them

Satu perasaan ketakutan  terhadap orang sekeliling yang menyebabkan hilang percaya kepada mereka. 

Contoh ayat:


Berada dalam pengasingan bertahun-tahun dalam masyarakat antarabangsa meneybabkan negeri itu tumbuh menjadi "siege mentality"

Jadi, bagaimana mahu terjemahkan Siege mentality ini?

Mentaliti dalam kurungan!
Pemikiran terkepung dan selalu negatif kepada orang. Anggap orang lain sebagai musuh dan tidka boleh dipercayai. Tidak berfikiran terbuka dan apapun yang orang lain buat untuk kita dilihat sebagai ancaman.

Inilah watak mentaliti dalam kurungan. 

Tak baik untuk orang yang berkehendakkan kemajuan. Hidup tidka boleh dihantui ketakutan. Kita perlu posotif dan hadapi segala kemungkinan. Perlu ingat bahawa menang kalah itu rutin dalam hidup. Perlu relistik bahawa hidup dalam dunia bukan syurgawi dan bukan juga neraka. Hari-hari bersilih dan kisah orang tidak berjalan di atas garis mendatar.

Mentaliti ini melanda ramai pejuang Islam juga. Kerana bermentaliti dalam kurungan, keluar sikap menkafirkan lawan. Menghalalkan darah musuh dan melihat lawan sebagai cikal bakal neraka. Keadaan ini pernah melanda pemuda Ikhwanul Muslimin pada satu masa saat mereka ditindas kerajaan Mesir yang menggerogoti mereka. 

Kaum Syiah dalam sejarah tinggal dalam "siege mentality" kurun demi kurun. Akibatnya mereka membina batu bata kukuh untuk melindungi mereka dalam kurungan bikinan sindiri. Mereka tunjangkan akidah mereka terhadap imamah dan menanam keyakinan bahawa akan munculnya Mahdi Muntazar yang memimpin mereka. Mahdi Muntazor yang bakal keluar dan menetepkan hukuman pada fasa Raj'ah. 

Berapa banyak golongan sesat dalam dunia, mereka berada dalam "sieged mentality". Al-Arqam yang disesatkan oleh kepercayaan menimpangnya pernah ditanamkan keyakinan oleh "ummu Jama'ah" mereka bahawa Abu Ya tidak mati, sebaliknya hanya naik ke langit sebagaimana nabi Isa.

Sahabat Umar Al-Khattab,  juga pernah dihasut oleh "sieged mentality" ketika mendakwa nabi tidak mati dan hanya pergi menemui Tuhannya sebagaimana Isa diangkat naik ke langit. Namun, berkat keluasan fikiran Abu Bakar dan realistiknya beliau, Umar Al-Khattab cepat disedarkan. Kemudian, para sahabat menjadi golongan yang hidup di luar kurungan dan mereka telah berjaya menakluk dunia.

Justeru, keluarlah dari kurungan dan berfikir di luar kotak! Langkahlah maju ke depan dan usah dibayangi kisah tragis masa lalu.

Wednesday, April 11, 2018

Wahai Orang Muda

Wahai orang muda
satu hari kau akan jadi tua
tubuhmu yang perkasa
akan susut daya
kau yang handsome bergaya
akan jadi renta
kau yang kononnya bijak laksana
juga akan jadi nyanyuk dan pelupa

kau akan lalui kitaran hidup manusia
kau bukan selamanya muda belia
bukan bertenaga sepanjang masa
bukan bergaya selamanya

Jangan dikata kepada orang tua itu
wahai si tua diamlah sahaja kau
kau sudah tua
berikan sahaja urusan ini pada kami semua
belum tentu pada saat ketuaan menyapamu
kau masih mampu sepertinya

Wahai orang muda
hormati orang tua
kerana usianya
jika kau mahu saat tuamu
kau dihormati orang pula

Thursday, April 05, 2018

Tuan bukan apa-apa

Tuan itu memang berpangkat tinggi. Kalau dia datang, orang sambut sambl membongkokkan badan dan menundukkan kepala. Orang memanggilnya membahasakan Datuk, Tan Sri dan sebagainya. Orang mengharapkan kuasanya dan dalam banyak keadaan beristighasah kepadanya secara langsung atau tidak langsung.  Tuan itu memang ada gaya. Hidupnya dijulang dan disanjung. Orang tidak berani kata yang bukan-bukan tentangnya. Dalam majlis, biodatanya berderet-deret dibaca dan sarat dengan pujian. Kalau malaikat di langit turun, malaikat pun terperangah , terkesima dan takjub dengan taraf muqaddas yang dipamirkan dalam sirah si tuan itu.

Tapi, umur muda dan berkerjaya tidak lama. Kemudian, tuan itu pun pencenlah. Kerjanya yang selama ini jadi sebab orang sanjung dia, beralih ke tangan orang lain. Tuan itu pun disebut sebagai "bekas". Ketika tuan dijumpai dijalanan, dia tidak lagi dilayan macam dulu. Tuan itu lama kelamaan jadi orang yang tidka dikenali.

Sewaktu-waktu tuan itu rasa rugi hidupnya disia-siakan dalam jalur mencari akhirat. Mujur tuan sempat insaf. Sugguhpun ada tuan-tuan yang tidak menemui jalan akhirat hingga dipanggil kembali. Bila tuan itu jumpa jalan balik kepada akhirat, mementingkan akhirat dalam hidupnya, tuan pun cari jalan di masjid. Tua datang masjid tidak lagi macam tuan itu datang ke dewan konvensyen dulu, saat merasmikan acara. Tuan solat dihujung saf dan orang sebelah bersalaman dengannya lepas solat tanpa tundukkan muka. Juga tidak ditanya siapa namanya. 

Tuan sudah jadi biasa-biasa. Keagungan tuan entah ke mana hilangnya. 

Inilah perjalanan sebenarnya manusia yang hina dan tidak ada apa-apa lebihnya sesama mereka. Hendaklah kita insaf sebelum kita balik menemui Tuan dari segala tuan.

Thursday, March 15, 2018

LUPA ITU FITRAH

Ketika Allah ciptakan Adam dan keluarkan Seluruh zuriatnya untuk dilihat Adam, Adam lihat ada satu zuriatnya yang bersinar di dahinya. Adam tanya siapa dia. Allah beritahunya bahawa itulah Daud. Adam tanya berapa umurnya, Allah beritahu 60 tahun. Adam tanya umurnya berapa. Allah beritahunya 1000 tahun. Adam kata sikit sekali umur Daud, Kasihan. Adam minta tambahkan umur Daud. Allah perkenankan dengan syarat diambil daripada umur Adam. Lalu umur Adam pun dicabut 40 tahun dan diberikana kepada Daud menjadikan umur Daud seratus tahun. Umur Adam akan jadi 960 tahun.


Bila sampai masa, Adam pun sampai ajalnya, dia pun mahu dicabut nyawa oleh malaikat Maut. Tetapi Adam berhujah bahawa dia masih punya baki umur 40 tahun. Adam sudah lupa bahawa dia telah memberikan umurnya sebanyak 40 tahun itu kepada Daud.

Adam pelupa dan kerana itu Zuriatnya juga menjadi pelupa.

Cerita ini terdapat dalam Sunan Turmizi dan dirumuskan saheh oleh Albani.

Lupa adalah fitrah manusia. Semua orang boleh terlupa. Kerana lupa, tiada hukum syarak harus dijatuhkan atasnya. Dalam Hadis nabi katakan bahawa catatan malaikat diangkat, yakni tidak ditulis dalam tiga keadaan, salah satunya pada saat terlupa.

Kita berasa sedih dan simpati kepada seorang ibu yang terlupa anaknya dalam kereta sehingga anaknya itu mati sesak nafas dan kepanasan dalam kereta. Ini satu musibah yang tragis. Kata ibu itu, dia terlupa. Apa boleh buat. Lupa adalah watak fitrah manusia. Sesiapa sahaja boleh terlupa bila Allah kehendaki dia terlupa.

Justeru, dalam kita mensesali kejadian tersebut, kita perlu ingat bahawa kelupaan juga boleh menimpa kita pada bila-bila masa. Janganlah kita merasakan kecuaian ibu itu satu dosa dan menambahkan tekanan ke atasnya dengan cemuhan kita.

Satu Saat...kita pun mungkin terlupa anak kita. Antara kita, ada yang lupa insan yang lebih penting dari anak kita, iaitu ibu bapa kita. Jika benar kita terlupa, semoga Allah maafkan kita.

Semoga Allah berikan kesabaran kepada ibu malang itu.

Sunday, March 11, 2018

Sekilas

Penglibatan dalam satu-satu parti politik adalah pilihan sendiri. Seseorang itu bebas memilih parti politik mana yang dia mahu bersama.Orang lain tidak boleh salahkannya. Oleh itu, bila Dr. Mazlee Malik memilih untuk bersama parti BERSATU, ia adaslah pilihannya dan ia harus dihormati. Sebuah parti ditentukan oleh manusia di dalamnya. Jika di dalamnya orang baik, parti akan jadi baik. Jika sebaliknya, parti akan jadi sebaliknya.

Dasar sebuah parti pula adalah bikinan manusia. Manusia yang menentukan sama ada untuk mematuhi dan menegakkan dasarnya atau tidak.

Thursday, March 01, 2018

Tudung muslimah apa begitu!

Orang heboh memperkatakan acara sumbang oleh Neelofa lancarkan tudung terbarunya di kelab malam Zouk. Sudahlah lancar di kelab malam, cara pelancaran itu pula tidak menggambarkan tuntutan agama langsung. Di Kelab malam satu hal. Cara persembahan itu satu hal.

Aku sejak dulu ntak percaya dengan fesyen bertudung ini. Mencipta fesyen tudung bukan menjalanlankan kehendak Tuhan yang memerintahkan berhijak bagi wanita. Ia lebih kepada menjalankan kehendak perniagaan.

Para artis bukan manusia yang boleh diandalkan untuk membawa suara agama. Banyak topengnya. Maafkan aku. Aku tak percaya golongan artis boleh bawa agama dengan selamat. Sebab itu, jangan dakwa bahawa mereka nak berdakwah melalui tudung.

Tudung muslimah apa kalau dah ketat dan menampakkan bentuk tubuh. ISlam tidak memerlukan gaya sedemikian. Tidak ada gunanga bertudung kalau setakat membalut. Pembalut buah cemedak lagi baik daripada tudung yang membalut batang tubuh wanita yang diperagakan oleh pereka fesyen pada hari ini.


Thursday, January 11, 2018

Isteri Donald Trump.

Saja nak kongsi kisah kelas masa akhir tadi di 6 Jayyid. Saya mengajar Al-Quran dengan ustaz Yahaya. Dah habis baca Quran, masa ada berbaki sekitar 15 minit. Saya buat kuiz, tanya soalan. Siapa dapat jawab bagi hadiah RM1.00. Dah habis empat soalan ditanya, semua dapat dijawab. Mereka minta soalan satu lagi pada masa-masa lonceng balik dah nak bunyi. Macam terpaksa, aku lontarkan soalan...

" Apa nama isteri Donald Trump?"


Sebenarnya aku sendiri pun tak tahu jawapannya. Manalah aku nak hafaz nama isteri samseng Amerika itu. Baik aku ambil tahu nama isteri Ahmad Maslan ke atau nama girl friend lama GB sekolah kita, paling kurang. Hehe...Tuan GB jangan marah. Tapi dah terpacul soalan berkaitan orang seberang benua.

Murid-murid ternganga.Soalan tak tersangka agaknya.

"Aduss ustaz...mana kami tahu!", Suara memprotes.

Wafi anak cikgu Nazrol yang tak mahu menyerah percuma, menebak...

" Fatimah ustaz!",

"Hah!",

Murid-murid lain ketawa. Seorang murid perempuan bersuara.

" Ustaz, Akma nak jawab!", dia bersuara bagi pihak kawannya, Akma Nafeesa. Aku persilakan Akma Nafeesa mencuba.

" Malania Trump..", jawab Akma.

Aku terdiam. Betul ke jawapan ni? Ada HP di tangan. Ada akses internet masih berbaki hasil top up 3 hari lepas. Aku segera google.

Memang betul. Isteri Donald Trump bernama Melania Trump. Akma memenangi hadia RM1.00 untuk soalan terakhir itu. Budak ini menunjukkan kelebihannya dalam pengetahuan Am yang banyak rakan sebaya tidak mengendahkannya.

Itulah cerita nak kongsi. Murid-murid kita, bijak-bijak belaka.

Tuesday, January 09, 2018

Pembahagian Kerusi Parlimen PRU14

Sehari dua ni orang politik heboh bercerita pasal pembahagian kerusi Pakatan Harapan yang memperlihatkan tercorotnya parti Amanah. Hanya 27 kerusi Parlimen yang diperuntukkan. Secara sinis, Amanah dianggap sebagai kucing kurap dan melukut tepian gantang. Mungkin ada beberapa bidalan lain yang sesuai dilemparkan kepada Amanah.

Aku tidaklah penyokong Amanah. Bukan juga penyokong mana-mana parti lain. Stattuku sekarang adalah pemerhati gelagat ornag politik. 

Sebenarnya, aku sudah bosan dengan culaan politik sebelum ini. kekuatan sesebuah parti dilihat kepada banyaknya kawasan yang ditandingi. Namun, kalah di banyak kawasan yang ditandingi. Mungkin boleh dicuba satu ramuan baru dalam politik. Bertanding walau satu kerusi lebih baik daripada menimbulkan balah yang meletihkan rakyat.

banyak kerusi dipertandingi bermakna banyak wang deposit yang perlu dikorbankan. Banyak harga untuk jentera yang perlu disalurkan. Parti kaya sahaja yang boleh buat hal demikian. Antara keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan, boleh dikatakan Amanahlah yang paling miskin. PBBM walaupun baru ditubuhkan, para pendirinya adalah veteran politik yang banyak daya sumbernya.

Siapa meragui kemampuan kewangan Mahathir?

Mungkin Allah ingin mengatrurkan sesuatu. Kita belum tahu natijahnya.

Friday, January 05, 2018

BERKHAYAL PENCAKNYA ORANG

Jika anda berfikir gaya anda
jangan dikatakan anda berfikir gaya dia
anda mengandaikan putar alam
lalu anda kata orang lain akan karam

Sungguh tidak akan berbuah masam
jika benihnya bukan asam

Ini bukan pencak si fulan
khayalanmu dari watakmu

Thursday, December 07, 2017

Ragam orang berpolitik.

Politik itu bukan sirotal mustaqim
Hari ini berkata lalu kekal fastaqim
Hari ini bangkit menentang penguasa zalim
Esok boleh jadi menompang reputnya regim


Aku tahu politik itu seni serba serbi
Ia bukan mengikut firman ilahi
Bukan menurut sabda kanjeng nabi
Ia mengikut luahan cinta berahi
Mengikut apa cenderungnya hati.

Telah aku saksikan
Dua sahabat seperguruan
bersumpah hidup satu perjuangan
Dicandui politik mereka berantakan
Jadi musuh saling berli’an.

Juga telah kusaksikan
Simpang siur aneka tokoh
Kemarin seperti tegak kukuh
Kemudian rebah sujud bersimpuh.

Aku memberi nasihat
Agar sentiasa beringat
Si penjahat bukan kekal bejat
Si soleh bukan selamanya taat.

Hendak percaya biar berpada
Hendak curiga sekadar waspada
Memberi hati janganlah semua
Simpan buat di hari muka.

Hari ini usah mendabik dada
Kerana esok mungkin menjilat noda

AL-QUDS BAKAL JADI IBU KOTA ISRAIL?

Trump, Presiden US mengisytiharkan Jurusalem sebagai Ibu Kota Negara Israil. Jurusalem adalah Baitul Maqdis dan di sana terletaknya Masjid Al-Aqsa. Ia merupakan masjid ketiga dalam snarai keutamaan masjid dalam Islam. Selain untuk kaum Muslimin, Baitul Maqdis juga merupakan kota suci bagi orang Kristian dan Yahudi. Sejarahnya penuh dengan perebutan dan bertukar tangan antara Kristian, Islam dan Yahudi.

Pengistiharan Trump perpindahan Ibu Kota Negara Haram Israil dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis mendedahkan kepada kita bahawa selama ini Baitul Maqdis sudahpun menjadi tawanan Israil. Kalau tidak , bagaimana ia dapat dijadikan ibu Kota negera bangsat itu. Kedengaran dahsyat untuk kaum Muslimin walaupun kedahsyatan tertawannya Baitul Maqdis itu tidaklah terasa. 

Ini merupakan sebahagian daripada perjalanan episod masa depan dalam gubungan Yahudi dan kaum Muslimin. Apa yang telah menjadi suratan tidak akan dapat diubah. Tinggal lagi kita menjalaninya. Cuma bagaimana caranya, ia bukan ilmu kita. Ilmu Allah menyimpan rahsianya. Kita perlu berusaha dalam ruang lingkup kudrat kita.

Wednesday, December 06, 2017

SOLAT BERJEMAAH AMALAN BODOH

Banyak orang menaqalkan "printscreen" yang mengandungi kenyataan sedemikian. Zaid Ibrahim yang dulunya seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri dan kini merupakan ahli DAP digambarkan telah mengeluarkan kenyataan tersebut. Ia berhubung tindakan Pegawai PPD Kuantan,  Mohd razali Mustafar yang mengarahkan sekolah-sekolah dalam daerah Kuantan mewajibkan para pelajar solat berjemaah sebelum pulang.

Langkah tersebut mendapat bantahan beberapa individu yang melihatnya sebagai langkah pemaksaan agama di sekolah. Agama dilihat sebagai amalan peribadi dan usaha memaksakan amalan agama dilihat sebagai merampas kebebasan dan hak. Inilah jalur di antara jalur pemikiran yang bersarang dalam sekian banyak pemikiran orang telah teranut fahaman leberalisma agama.

Seorang muslim yang cintakan agama, terlebih lagi yang cintakan sunnah Rasulullah akan panas hati jika satu sunnah Rasulullah yang penting iaitu solat berjemaah dilebelkan sebagai amalan bodoh. Siapa yang menghina satu sunnah Rasulullah SAW, perlu disoalkan tentang agamanya.

Bekenaan dengan Zaid Ibrahim ini, secara peribadi saya tidak sukakannya. Banyak kenyataannya yang mencabar kepercayaanku sebagai muslim. Perasaan suka dan tidak suka itu adalah pemberian Allah SWT dalam hati kita. Namun, ketidaksukaan kepada seseorang janganlah menjadikan kita tidak dapat berlaku adil.

Kita perlu adil kepada semua orang. Adil kepada orang kafir, aties, leberalis bahkan kepada munafiq yang membuat kacau ganggu dalam masyarakat Islam. Salah satu keadilan adalah tidak menzaliminya dengan membuat aniaya ke atasnya.

Dalam printscreen yang tersebar, Zaid Ibrahim dipetik sebagai berkata" Solat Berjemaah Amalan Bodoh". Aku mencari sumber kenyataannya. Portal yang cenderung kepada orang seperti Zaid Ibrahim, Free Malaysiatoday memetik kenyataan Zaid Ibrahim sebagai berkata:

    “Mewajibkan sesi sembahyang ini ke atas pelajar hanyalah satu lagi daripada banyak perkara bodoh pendidik kita lakukan kepada pelajar kita.

    “Ritual agama diamalkan setiap hari di sekolah kita adalah satu kegagalan dan mereka akan terus gagal membina perwatakan dan menyemai nilai baik dalam kehidupan.

    “Anda mahu membina perwatakan? Maka ajar mereka makna kejujuran, integriti dan kerja keras,”

Jika dibaca petikan ini, Zaid Ibrahim menyifatkan langkah PPD Kuantan "MEWAJIBKAN SESI SEMBAHYANG KE ATAS PELAJAR " hanyalah satu daripada banyak perkara bodoh pendidik lakukan kepada pelajar. Kenyataan asal ini tidak sama maksudnya dengan apa yang tertera di printscreen. Mempertikaikan penguatkuasaan solat berjemaah tidak sama dengan kenyataan "Solat Jamaah adalah amalan bodoh".

Seringkali kita lihat orang buat printscreen. Tukang buat printscreen perlu berhati-hati. Siapapun dan di pihak mana dia berada, hendaklah jujur dan berintegriti dalam membuat "naqal" kenyataan seseorang. Sekalipun kebencian membuak dalam dada, mengatakan apa yang tidak dikatakannya akan menuntut perhitungan di hari kemudian. Niat ingin membela agama tidak menghalalkan pendustaan.

Tabiat mengubah perkataan ini telah menjadi-jadi dalam persengketaan orang yang bersengketa. Sengketa kerana perbezaan pendapat agama, perbezaan politik dan pertikaian peribadi. Sebahagian salah sangka ke atas ulama silam berpunca daripada perbuatan orang tertentu yang mengubah perkataannya menyebabkan tanggapan buruk dibuat ke atasnya.

Mendustakan atas nama nabi disiapkan tempat dalam neraka adalah amaran buat para pereka hadis maudhuk. Nabi tidak cakap, dikatakan nabi bercakap. Ini satu kezaliman atas nabi dan agama yang dibawanya. Bukan sahaja nabi kita tidak boleh buat hadis maudhuk. Musuh kita pun kita tidak boleh buat "maudhuk".

Bagi yang bersenandung dalam media sosial, berhati-hatilah sebelum buat "share". Dalam dunia FB, Whatsapp, telegram dan seumpanya , penuh dengan orang yang berbelang-belang hatinya. Biarkan dosanya ditanggung sendiri , jangan kita menjerumuskan bersama.  Para pembikin "printscreen" , berhati-hatilah dalam kreativiti. Ada perkiraan pada kemahiran itu. Tegakkan keadilan dalam naqal sekalipun daripada musuh.

Sekali lagi ditegaskan, tulisan ini bukan membela Zaid Ibrahim. Dia bukanlah orang perlu dibela sebab dia sendiri adalah peguambela. Akan tetapi. ini adalah  satu taguran mengenai Adab Bermedia Sosial agar ia menjadi ladang pahala, bukan sungai dosa. Kerana kasih kepada para pencinta kebaikan, biar berbuat kebaikan sesuai dengan kehendak agama
panutan.

ZAID IBRAHIM KATA SOLAT BERJEMAAH AMALAN BODOH?

Kenyataan Zaid Ibrahim mengenai program mewajibkan solat jemaah ke atas pelajar sebagaimana yang diarahkan oleh Pegawai PPD Kuantan Mohd Razali Mustafar adalah seperti berikut:

“Mewajibkan sesi sembahyang ini ke atas pelajar hanyalah satu lagi daripada banyak perkara bodoh pendidik kita lakukan kepada pelajar kita.

“Ritual agama diamalkan setiap hari di sekolah kita adalah satu kegagalan dan mereka akan terus gagal membina perwatakan dan menyemai nilai baik dalam kehidupan.
“Anda mahu membina perwatakan? Maka ajar mereka makna kejujuran, integriti dan kerja keras,”
Sumber: Freemalaysiatoday.com 
 Membaca dan menilai kenyataan sedemikian, seorang bernama Zaid Ibrahim ini boleh disimpulkan sebaris dengan beberapa individu lain yang sering mengocak kerukunan  hidup beragama dalam masyarakat kita. Antaranya Siti Kasim, Asiah Jalil dan Kasim Ahmad. Mereka adalah orang-orang Melayu yang dijangkiti otak fikiran mereka dengan lantunan pemikiran para orientalis yang sejak berzaman melihat Islam dan ummatnya sebagai objek kritikan. Kini, kerja-kerja para orientalis itu sudah dilanjutkan oleh para duplikasi yang mereka lahirkan dari anak zuriat kaum muslimin.

Atas nama kepandaian, berhujah dan kritis, mereka dengan berani merendahkan amalan-amalan agama hatta yang "idhtirari" dan telah diamalkan oleh ummat beriman tanpa soal. Kerana kononnya berfikir secara waras, mereka mempertikaikan banyak hal berkaitan Islam, termasuk hal-hal yang menjadi fondasi dalam agama.

Zaid Ibrahim mengatakan tindakan Pegawai Pendidikan Kuantan itu adalah tindakan bodoh. Mewajibkan para pelajar solat berjemaah sebelum balik adalah tindakan bodoh. Tidak dapat dipastikan apakah maksud Zaid. Apakah mewajibkan solat berjemaah itu tindakan bodoh atau solat berjemaah itu sendiri amalan bodoh?

Jika dia maksudkan mewajibkan solat berjemaah itu perkara bodoh, maka dia harus tahu bahawa orang bodoh tidak melakukan perkara pandai. Seseorang dikatakan bodoh kalau apa yang dibuatnya itu perkara bodoh. Jika perkara yang dibuatnya itu perkara pandai, orang itu dikatakan orang pandai.

Namun , untuk berlaku adil dalam perkara Zaid ini, aku meletakkan andaian mungkin dia maksudkan perintah mewajibkan solat berjemaah itu sebagai perkara bodoh di antara sekian banyak kebodohan yang dilakukan oleh para pendidik. Bukan solat jemaah itu berkara bodoh. Mewajibkan solat berjemaah itu yang disifatkannya perkara bodoh. Jika demikian, kenyataan Zaid tersebut tidaklah mencalar amalan agama. Ia cuma mencabar perlaksanaannya yang mungkin padanya menyasar. Ia semacam mempertikai orang Islam dan bukan mempertikai agama Islam.

Aku cuba merenung dan berfikir kenyataan Zaid Ibrahim ini. Dia kata MEWAJIBKAN SESI SEMBAHYANG iaitu solat berjemaah adalah salah satu perkara bodoh di antara sekian banyak kebodohan yang dilakukan oleh pendidik ke atas pelajar. Antara kebodohan lain yang mungkin maksud Zaid adalah program-program kementerian yang tidak menguntungkan masa depan pelajar seperti Frog Vle, I-think, mengejar jumlah A dalam peperiksaan dan sebagainya.( tidak boleh fikir contohnya sekarang). Maka, Zaid kata menjadikan solat berjemaah itu wajib adalah satu kebodohan. Solat berjemaah itu sunnat atau fardhu kifayah (dalam mazhab Syafie) , tetapi diangkat jadi wajib. Mewajibkan yang sunat itulah dianggap sebagai satu kebodohan.

Namun, sebagaimana tabiatnya para palakun media sosial, kenyataan seseorang selalu dimanipulasi. Ubah ayat sedikit, sudah jadi makna yang lain. Jika benar petikan word by word yang didapati dalam sumber portal tersebut, maka apa yang dibuat printscreen oleh para aktor media sosial tersebut adalah mengubah kalam dari tempatnya. Ia diperhitungkan sebagai satu fitnah.

Fitnah tidak boleh diwajarkan sekalipun atas seornag kafir, aties, leberalis atau munafiq.  Seorang Muslim perlu jujur dan amanah dalam menaqalkan kata sekalipun kebencian membara dalam dada.





Monday, November 27, 2017

Militan itu bukan pengikut Syaitan

Entah siapa yang menyerang dan meletupkan bom di sebuah masjid di Sinai, Mesir. Seramai 235 orang dilaporkan maut dan sejumlah besar yang lain mengalami kecederaan. Khabarnya ia ada kaitan dengan kumpulan militan Islam. Kalau benar, kumpulan militan itu sebenarnya jenis yang berfikrah khariji. Fikrah khawariji menghalal darah kaum muslimin kerana perbezaan dalam masalah furu'. Berbeza dalam soal politik, soal bid'ah pemikiran dan seumpamanya, menyebabkan mereka menghalalkan darah.

Keberanian dan sikap tega kumpulan ini megejutkan para gerombolan syaitan. Khabar yang disampaikan kepada Iblis tentang kelancangan kumpulan ini juga  juga mengkagetkannya sehingga ia terduduk terkedu di atas singgahsananya dalam istana di atas air.  Sungguh tidka terfikir olehnya bahawa hasutan para tenteranya ke atas ummat manusia telah melahirkan kelompok ultra berani sedemikian.

Kata seornag soldadu iblis: "kami hanya mengganggu orang sembayang agar mereka was was, tetapi para militan itu melewati batas dengan membunuh mereka."

Akhirnya raja iblis berkata: "Kita berlepas diri dari mereka!"

Mlitan bukan pengikut Setan tapi pengikut hawa nafsu sendiri.

Tuesday, November 14, 2017

Pendirian Berkecuali

Aku membaca ulasan Ustaz Idris Ahmad tentang alasan kenapa Pas berkecuali dan tidak menolak bajet kerajaan  baru-baru ini. Ia menyalahi pakatan Pembangkang lain yang menolak  bajet tersebut.  Alasannya dalam bajet itu ada perkara baik seperti membina sekolah, BRIM, bantuan untuk petani dan nelayan. Logik beliau adalah bagaimana satu yang ditolak, kemudian diminta pula. Tolak bajet tapi minta diadakan sekolah dan segala kemudahan untuk rakyat.

Aku menghormati Ustaz Idris Ahmad selaku seorang ahli politik muslim yang gigih berjuang mengikut garis dasar parti. Namun, logik yang beliau berikan tidak dapat aku terima. Alasan kenapa bajet itu tidak ditolak bersandarkan alasan di dalamnya ada unsur kebaikan, adalah  terlalu rapuh. Jika ia dipegang, tidak ada satu bendapun dalam dunia ini perlu ditolak.

Ambil misalnya arak. Pada arak itu ada kebaikannya. Minum arak boleh buat badan panas dan selesa dan dapat menahan kesejukan cuaca, memberikan tenaga dan juga menjana ekonomi kerajaan. Namun, keburukan akibat arak lebih besar. Itulah alasan kenapa Allah SWT menolaknya dan mengharamkannya. Setiap orang jahat, dalam dirinya ada kebaikan. Persoalannya, mana yang lebih dominan. Jika yang jahat itu dominan, nerakalah habuannya. Sungguhpun kekadang dengan sebab kebaikannya yang sedikit Allah masukkannya ke syurga. Namun, hukum umum, jika jahat banyak tolak sahaja dan habuannnya neraka.

Melihat kepada bajet, apakah yang lebih dominan. Pakar-pakar ekonomi boleh memutuskan. Jika hanya sekadar ada unsur-unsur baik yang sudah menjadi tanggungjawab kerajaan melaksanakannya, maka ia tidak boleh ditolak secara total, maka berapa banyak benda buruk dan jahat yang juga harus kita bersikap berkecuali.

Pendirian berkecuali dalam mendepani penguasa zalim bukan amalan salaf soleh.


Friday, November 03, 2017

Nasib baik hari itu

Hari itu
hampirlah kamu lenyap berkubur
jika tidak kerana tebing dan aur.

Hari itu
hampir terpadam garis antara dua darjat
jika tidak kamu dibantu para bangsat!

Hari itu
Hampirlah lenyap bangsawan darah biru
para waris Bukit Siguntang Mahameru

Mujur para petani dan guru
bangkit bercantum siku
demi menyelamat pusaka narwastu
kononnya demi dilihat anak cucu.

Setelah tegak berdiri
mengapa lupa diri?

Rakyat Negara Dewa

Bagi rakyat negara dewa
cuma raja bisa berwisata
rakyat jelata biarlah letih memeras tenaga

Kala raja mengucap titah
tidak perlu mendengar jerkah
bahasa lembut kesal ditafsir amarah

Andainya seorang nabi muncul kini
di negara dewa nabi tak bererti
sabda nabi cuma puisi
titah raja jadi firman ilahi

Oh...rakyat negara dewa
murka raja dimusykilkan
murka Tuhan diabaikan.