CARI BAHAN

Friday, April 13, 2012

Islam Mahjub

"Tariqat itu menyebabkan Islam pendokongnya berhenti pada syeikh...tidak sampai kepada nabi Muhammad SAW, " aku membuat kesimpulan itu ketika membahaskan persoalan toriqat untuk seorang anak muda yang dipagut dilema antara tariqat dan gerakan Islam massa.

Sememangnya, demikianlah yang berlaku. Seorang pengikut sesebuah tariqat akan nampaknya haibahnya syeikhnya sangat besar sehingga tenggelam haibah Rasulullah SAW sendiri. Dalam khayalnya, figur syeikh lebih banyak bermain berbanding figur Rasulullah dan pencentus Islam di persada dunia itu sendiri.Apatah lagi figur para sahabat dan salafus soleh serta mujahid sepanjang zaman.

Dalam tariqat amat banyak bid'ah. Rekayasa dalam cara berdoa, berzikir dan teori-teori agama. Saya menyebutkan secara umum. Pendetailannya boleh dicermati pada setiap tariqat yang tumbuh dan berkembang. Ada yang sangat melampau dan ada yang sangat kecil kecerobohannya. Namun, amat sukar menemui keaslian Islam dalam sebuah nama besar tariqat.

Sebab itu, apa perlunya bertariqat. Galilah sahaja khazanah Islam itu dari Al-Quran dan Hadis. Kalau tidak mampu memahami dengan baik dua sumber tersebut, bukan telah lahir sepanjang ulama terbilang yang telah mengarangkan kita-kitab yang pelbagai. Sungguhpun mereka sangat hebat, merujuki kitab mereka hendaklah menggunakan daya akal dan fikir, bukan sebagai muqallid yang meraba-raba.

Hargai anugerah akal kurniaan Allah SWT.


Monday, April 09, 2012

Cerita sesuka hatimu.

Kalau mereka berhikayat, biarkan aku juga berhikayat. Hikayat mereka bernama hikayat Perjuangan Kemerdekaan. Dalam hikayat tersebut, ada pejuang sejati dinafikan. Ada pembela penjajah dianggap pejuang. Kerana hikayat itu hak diri sendiri agaknya, maka mereka berhikayat. Kalau begitu, mempercayai sesuatu hikayat itu juga adalah hak sendiri. Seseorang tidak boleh dipaksa menerima satu hikayat dan tidak boleh pembuat hikayat juga tidak boleh dimarahi.

Maka, biar aku berhikayat mengenai diriku. 

Dulu, moyangku yang entah ke berapa di atasku, adalah bangsawan muqarrabin dalam daulah Uthmaniah di Turki. Kira-kira, dari segi kelayakkan menjadi khalifah ummat Islam, adalah juga pada moyangku tersebut. Kemudian, salah seorang leluhurku yang berketurunan moyang bangsa Turki itu telah berhijrah meninggalkan Turki. Alkisah, perkara itu berlaku selepas jatuhnya kerajaan Turki Othmaniah ke tangan Mohd Kemal At-Tarturk. Dia berkelana ke negeri Hadramaut dan disama bersemenda dengan puteri seorang ulama Hadhramaut dari keturunan Alawiyyin. Kerana minat dalam pengembaraan, salahs eorang anak lelakinya telah naik kapal sehingga sampai ke sebuah negara Islam di Asia Tenggara. Kerajaan itu dulunya dinamakan orang negara Champa. Pada zaman komunis telah menguasai Vietnam , kerajaan Champa telah lupus dari muka bumi diserang oleh kerajaan komunis tersebut. Maka, raja terakhir Champa itu namanya Che Man bersama ramai rakyat Champa telah lari berhijrah meninggalkan tanah air yang telah diperkosa. Dari keturunan Che Man itu, lahirlah pula moyang datukku yang bernama Che Mat. Datukku telah menetap di kampung yang menjadi kampung asalku di Kedah dan dari salasilah itu aku dilahirkan. 

Cerita auta! Kata seorang pendengar setiaku. Aku tersenyum lalu berkata bahawa ceritaku, hikayatku dan lipurku adalah milikku. Mereka yang lain bebas merangkai cerita sejarah, maka apa salahnya aku menceritakan cerita sejarahku. Aku menambahkah bahawa ceritaku adalah hakikat. Sama seperti pendakwa cerita sejarah mereka sebagai hakikat.

Apa buktinya? Mereka yang menceritakan sejara itu bukan punya bukti mantap. Sekadar catatan dalam buku sejarah bukan bukti. Mana sanad perawinya untuk diandalkan kepercayaan kita? Maka, aku pun tidak perlu membuktikan sejarahku. Cukup aku sebagai buktinya. Kalau mahu bukti, aku pun boleh membuat bukti.

Aku adalah cucu seorang yang punya kekayaan hartanah besar dulu. Sifat itu adalah sifat orang bangsawan. Aku pun sering ditaklifkan jadi pemimpin pada peringkat yang sesuai dengan keberadaanku. Itu pun boleh jadi bukti kebenaran sejarahku.

Anda menang sudah gila. Ceritamu memang auta dan diada-adakan. Tuduh pendengar setiaku itu. Kataku, aku punya suka kerana itu ceritaku. Adakah aku boleh ditangkap kerana cerita sejarahku? Kalau aku perlu ditangkap, pencalit sejarah pengorbanan polis-polis penjajah yang terbunuh oleh serangan komunis itu juga perlu ditangkap. Para pelakar sejarah tokoh pejuang kemerdekaan yang lewat itu juga perlu ditangkap kerana tahap ceritanya tidak juga jauh daripada ceritaku. Bezanya, mereka banyak duit dan ada kuasa untuk membukukannya menjadi silibus sejarah di sekolah.

Aku meilik ceritaku. Cerita kita semua tidak perlu senarai rawi. Ceritaku bukan hadis. Siapa nak percaya silakan. Siapa tidak mahu percaya pergilah cari cerita lain. Alang-alang bercerita, biar kita cerita semahunya. 

Biar caca marba sejarah lalu dan orang hari ini menapis kebenarannya dengan akal sendiri!

Kembali kepada Islam

Aku meluangkan masa mendengar sesi tasykil oleh seorang anggota Tabligh di masjid selepas maghrib tadi. Dia menceritakan tentang dakwah para nabi-nabi untuk menyelamatkan akidah manusia dan mebawa manusia mengungkapkan kalimah La Ilaha Illallah. Menurutnya, setiap orang daripada kita mempunya tanggungjawab untuk keluar fi sabilillah demi mengajak manusia kembali kepada Islam.

Aku amat bersetuju dengan seruan-seruannya itu. Sememangnya kita perlu mebawa manusia kembali kepada Islam. Siapapun dia, dia perlu kembali kepada Islam. Baik pemerintah maupun kalangan yang paling rendah dalam susun lapis masyarakat, mereka perlu kembali kepada Islam. Cuma, pemahaman tentang kembali kepada Islam itu yang perlu diperjelaskan.

Terdapat ramai orang UMNO atau yang mendokong perjuangan UMNO berada dalam tabligh. Mereka merasa telah menjalani kehidupan nabi apabila dapat keluar 3 hari atau empat bulan mengikut jamaah tabligh. Namun, kebersamaan mereka bersama jamaah Tabligh selama itu tidak menukar "ta'abbud" nya kepada parti yang banyak menebar sekularisme itu. Sementara, teramai sekali adalah mereka yang tidak mempunyai kepedulian terhadap hal ehwal politik negara dan pemilihan pemimpin. Inilah masalah dalam Jama'ah Tabligh. Permasalahan inilah yang membuatkan aku berpersepsi bahawa Jama'ah Tabligh bukanlah taifah yang dimaksudkan dalam Al-Quran dan Hadis. 

Nabi SAW bersabda mengenai Taifah tersebut dengan ketanya:


لَنْ يَزَالَ قَوْمٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى النَّاسِ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ

“ Akan sentiasa satu kaum dari ummatku yang akan sentiasa menang di atas manusia sehingga datang ketentuan Allah padahal mereka kekal menang”.
(Hadis Sohihain)

Kembali kepada Islam bukan segampang kembali kepada masjid. Sementara kita tidak boleh menafikan bahawa kembali ke masjid, dalam ertikata melazimi solat berjemaah, merupakan ciri penting kembali kepada Islam, ia tidak cukup. Kembali kepada Islam hendaklah difahami dengan penegasan perlunya kembali tunduk di bawah pemerintahan Islam. Islam bukan datang untuk manusia menjalani hidup sebagai abid tetapi Islam datang untuk menjadi penganutnya memerintah manusia lain dan membawa orang lain mematuhi perintah Allah SWT.

Inilah kerja gerakan Islam!

Apakah gerakan Islam pilihan anda?
 

Kerana hak diri tergugat...

Seorang guru marah kerana KWSP hanya membenarkan dia mengeluarkan sejumlah kira-kira 40 peratus carumannya selepas 7 tahun berkhidmat. Kemarahan itu membawanya menjadi marah kepada kerajaan, sementelahan terdapat berita mengatakan kerajaan menggunakan dana KWSP untuk tujuan-tujuan seperti bail out syarikat kroni yang bermasalah.

Sewaktu kerajaan berura-ura mahu melaksanakan SPBA, sebilangan kakitangan kerajaan begitu terpesona dengan tawaran anjakan gaji baru yang memberangsangkan. Namun, kemudiannya disedarkan mengenai kerugian SPBA apabila Ceupacs mendedahkan ketempanngannya. Heboh juga para kakitangan awam membahaskannya. Ketika itu, tidak sedikit kakitangan awam yang melemparkan kemarahan terhadap kerajaan yang memerintah.

Kemarahan dan kegembiraan yang dibolakbalikkan oleh permainan penguasa tidak menimbulkan apa-apa simpati buatku untuk mereka. Ia hanya kerana kepentingan peribadi. Telah berapa lama rakyat terbanyak yang menjadi mangsa kerakusan penguasa. Ketika minyak naik dan memberi inpak besar kepada harga barang dan kos sara hidup rakyat, mereka yang mengeluh kerana soal-soal peribadi tersebut masih membisu.

Ledakan protes mereka hanya terbit saat kepentingan peribadi digugat atau kemahuan peribadi tidak dipuaskan. Kita tidak menginginkan masyarakat kelas cerdik yang hanya mencermin diri sendiri. Kita mahu rakyat kelas cerdik yang ada hati nurani yang sentiasa memikirkan nasib rakyat terbanyak. Nasib kaum buruh, petani, nelayan dan orang-orang kampung yang hidup miskin.

Biarkan orang kaya dengan masalahnya. Orang miskin yang pelu dibela. Kita tidak harus menjadi responsif hanya pada isu-isu yang berkaitan diri sendiri!

Sunday, April 08, 2012

Hikmah kehidupan.

Liku-liku perjalanan yang terpaksa kita lalui pada masa lalu itu merupakan jalan kita menemui hikmah hari ini. Demikian aku simpulkan setelah menceritakan bagaimana asam garam percintaanku. Pada masa rasa dipagut cinta, liku-liku perjalanan itu ditempuh dengan keluh kesah. Kegagalan menggapai impian cinta membuatkan kita sering kecewa. Namun, setelah melepasi semuanya, percayalah bahawa kita akan dapat melihat hikmahnya.

Kataku, banyak perkara yang tidak terbayang di masa lalu, hari ini kita lakukan. Saat berdiri dan kembali merenung masa silam, barulah kita nampak hikmah Allah SWT.

Sebab itu, yakinlah bahawa Allah punya sebab tersendiri mengapa kita dipaksakan menurut satu jalan kehidupan!

Friday, April 06, 2012

Tawalla Yauma Zahfi

Begitu berat kesalahan lari dari medan perang sehingga  sehingga nabi sebutkan ia sebagai salah satu tujuh dosa yang meruntuhkan. Pada zaman nabi, sewaktu Islam sedang dibangunkan, perbuatan lari dari medan perang adalah satu pengkhianatan kepada Islam dan juga sahabat seperjuangan. Perbuatan khianat kepada rakan seerjuangan dengan meninggalkannya saat-saat kritikal adalah sangat besar dan buruk sekali makarnya. Dalam sejarah selain Islam sekalipun, individu yang menyisih daripada gerakan yang digerakkan bersama saat kritikal mendapat hukuman yang berat.


Istikharah selepas Musyawarah.

Apabila sesuatu telah diputuskan dalam mesyuarat, apa perlunya lagi istikharah. Keputusan musyawarah itu adalah lebih tinggi darjatnya daripada hasil istikharah. Beristikharah sesudah musyawarah itu akan menjadi pintu daripada pintu tipudaya syaitan untuk meragukan kita daripada keputusan yang dicapai secara syura.

Istikharah sesudah musyawarah adalah maksiat!

Aku melontarkan hukuman itu ketika seorang sahabat seperjuangan menyatakan keraguannya untuk ikut serta dalam satu program jama'ah. Katanya, dia akan beritikharah pada malamnya. Padahal sehari sebelumnya telah diputuskan dalam mesyuarat bersama rakan-rakan jama'ah agar dia ikut serta dan dia pun bersetuju dengan keputusan musyuarah itu. Maka, istikharah setelah musyawarah adalah maksiat kerana ia merupakan satu upaya membuat keputusan lain bertentangan dengan syura.


Thursday, April 05, 2012

Menyebar kekacauan pemikiran

Satu seminar akan diadakan oleh pihak Hizbut Tahrir hujung minggu ini di Sandakan. Tajuknya "Negara Islam". Seorang sahabat membawa poster mengenai program tersebut untuk ditampalkan di masjid kejiranan Taman Fajar. 

"Anta Hizbut Tahrir ke?", aku sengaja melontarkan pertanyaan tersebut kepadanya. Aku tahu dia adalah penyokong PAS.

"Eh, tidaklah, ada anak murid kat sekolah minta tolong...", balasnya.

"Tak perlulah ditampal...perlulah kita menjadi pembantu kepada penyebar kekacauan pemikiran dalam gerakan Islam?", aku mengingatkan.

Sesungguhnya aku sudah nampak niat serong Hizbut Tahrir ini. Sekarang, apabila PAS tidak lagi menjadi jaguh juru bicara istilah Negara Islam, HIzbut Tahrir tampil dengan cubaan menjadi jaguhnya. Pengguguran PAS daripada menggunakan terma Negara Islam bukan bermakna PAS tidak lagi memperjuangkannya. Istilah Negara Berkebajikan yang digunakan sebagai ganti menjadi serangan puak Hizbut Tahrir dengan menyifatkan PAS sudah tidak memperjuangkan Negara Islam!


Sebab itu, apabila seminar tentang negara Islam mahu dibuat, sudah dapat dibayangkan, ke manakah peluru serangan itu secara "tumbuk rusuk" mahu dihalakan.  Membawa pemikiran ummat untuk menjadi nostalgik, adalah manhaj ketara dalam Hizbut Tahrir! Anjakan perjuangan perlu dilakukan sebagai strategi kemenangan. Musuh akan tersenyum lebar apabila kita berjuang tanpa kebijakan strategi.

Telah nyata bahawa menggunakan istilah negara Islam tidak menguntungkan banyak untuk perjuangan Islam. Bukan Islam di Malaysia telah berjaya ditakut-takutkan oleh UMNO selama bertahun-tahun terhadap istilah Negara Islam. Ia banyak memberi kecederaan kepada perjuangan Islam. Sementelahan, ia bukan istilah wajib yang datang bersama Islam. Pada zaman Rasulullah SAW pun istilah itu tiada. Apa yang penting isi kandungan negara Islam itu. Apa guna bergendang dengan nama Negara Islam seperti mana yang diumumkan oleh Dr. Mahathir untuk Malaysianya, tetapi apakah itu menjadikan Malaysia negara Islam?

Jangan jadi penyebar kekacauan pemikiran dalam gerakan Islam!


Wednesday, April 04, 2012

Ulama sebagai rujukan

Raja Nazrin dari Perak semalam menggesa agar ulama dijadikan rujukan. Aku beritahu isteriku bahawa ulama yang hendak dijadikan rujukan itu hendaklah ulama yang terlibat dalam politik. Pemimpin UMNO tidak mahu mengakui keulamaan para ulama yang terjun ke dalam politik. Aku percaya, apabila dikatakan ulama sebagai rujukan, tentu bukan orang seperti TG. Nik Aziz, TG. Hj. Hadi dan TG Harun Din. Mereka adalah ulama politik. Sudah tentu yang tergambar dalam kepala mereka dalah para mufti.

Menurut hematku, para mufti itu bukan ulama. Mereka adalah kakitangan kerajaan. Sebahagian para mufti itu pula tidak cukup mahir dalam ilmu Islam secara keseluruhan. Sebab itu, institusi Fatwa di Malaysia berada pada tahap yang sangat lesu.

Seorang ulama wajib berpolitik kerana itulah jalan nabi Muhammad SAW. Ulama bukan hanya membahaskan hukum yang berkaitan Fardhu Ain. Bukan juga pakar dalam hukum dan mengajar sejumlah pelajar. Ulama adalah alim dan mujahid.

Oleh itu, bila dikatakan ulama sebagai rujukan, jangan disalahfahami. Ulama yang hendak dirujuk adalah para ulama yang praktis, bukan teoris!

Thursday, March 29, 2012

MAKSAK

"Semua ini tidak akan terjadi kalau kerajaan kita adil dan membela rakyat!", aku berbisik keras kepada temanku dalam bilik mesyuarat sewaktu pembentangan mengenai pentingnya memperolehi satu skim rawatan yang diperkenalkan di bawah sejenis kad perubatan bernama MAKSAK. Rakyat ditakutkan tentang kesihatan masa depannya yang mana akan memerlukan rawatan di hospital swasta yang mahal. Maka, ada syarikat tertentu yang menangguk di air keruh.

Untuk mendapat jaminan rawatan yang ditanggung, seorang kakitangan awam perlu mencarum secara bulanan sekitar RM240.00

Aku menunjukkan kulit buku Jingga yang tersimpan dalam tabletku kepada seorang rakan setugas. "Masa Untuk Berubah, Malaysia Baru". Kerajaan yang ada hanya menakutakan rakyat tentang masa depan. Kerajaan sebegini tidak diperlukan. Rakyat perlukan masa depan yang dijamin dan tidak dibayangi kebimbangan.

Kesihatan adalah tanggungjawab kerajaan. Ia bukan lukah dipergentingan untuk memperkayakan segolongan yang menjana pendapatan melalui sakit dan derita rakyat!

Sunday, March 18, 2012

Kalau Pas Sudah Tergelincir Sekarang.....

Datuk Syafie Apdal pergi Kedah, cakap dengan orang Kedah bahawa Pas pada masa ini sudah tergelincir. Seolah-olahnya dia nak bagi tahu, Pas sekarang bukan macam dulu lagi. Pas dulu atas landasan yang betul. Tetapi, sejak bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam PR, Pas sudah tergelincir.

Mantiknya, kalau sekarang Pas sudah tergelincir, maknanya dulu Pas adalah betul. Kalau dulu Pas betul, kenapa masa Pas betul itu Syafie Apdal tidak masuk Pas. Kenapa masuk UMNO juga yang pada masa itu adalah musuh Pas. Masakan  masa itu Pas betul dan UMNO pun betul? Mungkin mantik Syafie Apdal tak sampai tara ini. Dia hanya nak kata Pas sekarang tidak betul. Sebenarnya dalam hatinya membungkam dengan dendam kesumat terhadap Pas sejak dulu hingga kini. Bukan sebab bersama PR itu yang menyebabkan Pas dilihatnya tidak betul, tetapi perasaan Pas tidak betul itu terbit kerana bimbang kekuatan Pas dewasa ini.

Buat orang kampung yang tidak ada mantik mungkin Syafie Apdal boleh kelentong. Namun, bagi generasi baru kini yang tgerpelajar, gigit jarilah dia. Hantuk kepala ke dinding pun dia tidak akan menemui jalan untuk kelentong generasi bermantik tinggi zaman ini.

Puas sudah dicuba untuk mengkucarkacirkan barisan Pakatan Rakyat. Cara halus dipakai pun tidak berkesan. Fitnah adu domba pun sudah dibuat. Tawaran pangkat dan kedudukan kepada pihak Pas dalam kerajaan Perpaduan pun sudah dicuba. Tapi, semua tak makan. Sebab itu macam-macam fatwa songsang keluar dari mulut mereka.

Masa sudah tidak lama. Setelah air liur mereka kering, mereka akan rebah melutut!

Orang Melayu Kemboja

Dalam Berita TV sehari dua ini dipaparkan kegiatan Datuk Ali Rustan dalam lawatannya ke Phnon Penh, Kemboja. Khabarnya ussaha sama dari segi ekonomi dan bahasa akan diadakan. Menjadi kerisauan di pihak delegasi Malaysia dengan keadaan generasi muda Melayu Kemboja yang sudah tidak fasih berbahasa Melayu. Maka, tampillah para pemimpin yang diketuai oleh Datuk Ali Rustan dengan kebimbangan mengenai fenomena itu. Seolah-olahnya mereka adalah pejuang bahasa Melayu.

Keadaan yang amat kontradik dengan apa yang telah para pemimpin tersebut lakukan di Malaysia. Di Malaysia, Bahasa Melayu dipinggirkan dan Bahasa Inggeris didaulatkan. Titik hitam dalam menjahanamkan bahasa Melayu tidak dapat kita lupakan dalam kes PPSMI. Bagaimana  para pemimpin yang ada rekod buruk dalam perjuangan bahasa Melayu di tanah pertiwi bahasa tersebut tidak malu melaungkan perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu di rantau orang.?

Melayu Kemboja tidak mati kalaupun tidak tahu berbahasa Melayu. Daripada berhabis peruntukan untuk mengembangkan Bahasa Melayu di kalangan mereka, korbankan ia untuk dakwah Islam. Ada juga faedahnya...

Saturday, March 17, 2012

Haul Masyayeikh.

Secara mudahnya, aku tegaskan bahawa kalaulah sambutan "haul" bagi sesetengah syeikh terutamanya berketurunan habib itu wajar dan perlu, sudah tentu kita lebih patut memnyambut "haul" bagi Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan dan juga Ali bin Abi Talib. Demikian pula "haul" bagi sederetan sahabat besar yang lain yang sangat berjasa untuk Islam. Malah, kalau hendak dibandingkan dengan ulama-ulama mujtahid mutlak seperti imam mazhabh yang empat, "haul"  mereka lebih layak diraikan berbanding "haul" mana-mana ulama Habaib yang disambut oleh sesetengah orang.  Sekalipun, kalau hendak dibandingkan dengan para mujtahid fil mazahib, keutamaan lebih buat mereka kerana jasa mereka menyebarkan ilmu Islam kepada masyarakat. 

Ini tidak. "Haul" para habaib itu juga yang dirayakan. Apa ertinya semua ini? Apakah para habaib itu lebih mulia daripada sahabat-sahabat Rasulullah yang tidak pernah disambut "haul" mereka? Lebih muliakah juga para habaib itu berbanding para ulama mazhab yang menyumbang tamadun ilmu untuk ummat?

Dalam sambutan "haul" para habaib yang dibuat, ada ungkapan syair yang dinyanyikan. Ratha' dan Ghazal bercampur sebagai tandai sedih kehilangan dan kecintaan kepada para syeikh dan habaib. Gugusan syair yang dikarang mengandungi pujian berlebihan buat syeikh dan habaib. 

Tidak cukupkah dengan mendendangkan bacaan Al-Quran dan zikir ma'thurat yang nabi SAW warisi?

Sesungguhnya ini adalah khayalan yang nyata. Islam tidak punya kaitan dengan sambutan "haul" yang direka-reka ini. Menyambut "haul" itu sendiri bukan tradisi Islam. Dalam tradisi kristian memang ada sambutan "haul". Kita biasa mendengar sambutan Krismas yang dikaitkan dengan kelahiran Isa. Jangan pula dikatakan kita biasa dengan maulid nabi kerana dalam tradisi Islam, tidak ada maulid. Ia cuma perkara yang didatangkan kemudian. Maka, terlebihlah haul bagi masyayeikh!

Siapa yang cintakan ketulinan Islam, pilihlah yang berisi daripada yang antah!

Friday, March 16, 2012

Utlah Bulan Mac

Cuti bulan Mac selama satu minggu, aku membawa keluarga ke Semporna. Bersamaku adalah Sukri dan keluarganya. Perjalanan ke Semporna mengambil masa kira-kira 5 jam. Tujuan mulanya adalah untuk menginap di sebuah resort yang pernah difilemkan dalam cerita Duyong, terletak di kampung Tampi0Tampi. Ketika kamim sampai, ada beberapa unit resort kosong di sana. Harganya sekitar RM88.00  dan RM150.00. Namun, melihatkan kosnya yang mahal dan pula kemudahan yang daif di dalamnya, kami berpindah ke Dragon Inn. Namun, sebagaimana selalu, Dragon Inn penuh dengan pelanggan. Tiada kamar kosong din sana. Kalau adapun, yang mahal. Sekitar RM120.00.

Lantas, Mabul Inn di Pekan Semporna jadi pilihan. Ia merupakan sebuah hotel Budget yang murah dan selesa. Harganya semalaman adalam RM77.00. Petangnya kami pergi  mandi di Tampi-Tampi. Pagi esoknya mandi lagi di Tampi-Tampi. Berenang dalam laut yang jernih airnya amat menyeronakkan, khususnya buat anak-anak.

Menjelang Tengahari, selepas check out daripada Mabul Inn, perjalanan diteruskan ke Tawau. Singgah di Balong, berehat sebentar di suraunya, sambil masak bahan makanan untuk makan malam. Kira-kira jam 4 petang, kami barulah ke Tawau. 

Di Tawau, kami menginap di sebuah hotel iaitu Holiday Inn. Biliknya sungguh selesa dan harganya cuma RM66.00

Monday, March 12, 2012

Putaran karma

Sejenak, terkesima membaca berita dalam Harian Metro mengenai seorang ibu ditinggalkan oleh anaknya di sebuah hotel Budget. Ibu tua yang lumpuh itu ditinggalkan anaknya dan pemilik hotel tersebut terpaksa membuat laporan kerana anaknya tidak datang mengambilnya setelah dua hari membayar kos sewaan bilik. Khabarnya, ibu  itu berasal dari Johor. Sungguh tega anak tersebut!

Namun, terlintas di benak fikirku, apakah karma yang menimpa si ibu sehingga sebegitu tega diperlakukan dek anaknya sendiri?

Teringat sepotong hadis yang bermaksud:" berbuat baiklah kepada kedua ibu bapamu, kelak anak-anakmu akan berbuat baik kepadamu".

Wednesday, March 07, 2012

UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI

Orang yang beriman akan menjadikan dirinya neraca dalam menilai orang lain. Sebab itu, ketika seorang beriman yang lain dicaci nista, difitnah dan ditimpakan sebarang aib, dia tidak akan dapat menerimanya. Ini kerana, caci nista, fitnah dan aib tersebut tidak dapat diterima untuk dirinya, maka untuk orang beriman yan lain juga tidak dapat diterimanya.

Imam Al-Qurtubi, dalam mentafsirkan kisah Hadis Ifki yang cerita mengenainya dinyatakan dalam Surah Al-Nur, ayat 11-20, membawakan satu cerita yang menggambarkan sikap orang beriman dalam menangani api fitnah.

Sewaktu isteri Abu Ayu Ai-Ansari mengkhabarkan kepadanya mengenai apa yang difitnahkan orang tentang Aisha isteri Rasulullah SAW, maka beliau bertanya kepada isterinya.

"Apakah awak sendiri sanggup melakukan sebabaimana yang dikatakan orang terhadap Aisah?

"Tdak!", balas isterinya.

" Demi Allah, Aishah lebih baik dari awak!", kata Abu Ayyub Al-Ansari.

"Ya," isterinya akur.

Mereka tidak mempercayai Aishah melakukan perbuatan serong sebagaimana mereka tidak suka ia berlaku ke atas diri sendiri..





Monday, March 05, 2012

Aladdul khisom

Sebenarnya, aku dah tak berahi lagi nak komen pasal Dr. Mahathir ini. Lagipun, dia bukan sesiapa lagi. Kuasa pun sudah tidak ada. Sesetengah orang mengandaikan beliau masih berkuasa di belakang tabir pemerintahan Datuk Najib. Aku tidak rasa begitu. Zamannya sudah berlalu. Tetapi, disebabkan kerana kenyataannya yang masih serong mengenai hudud sebagaimana yang terbaru ini, maka aku rasa sangat meluat dan kasihan kepadanya.

Patutkan dia kata Hudud itu hanyalah ciptaan ahli fekah? Katanya pula, Al-Quran suruh kita hukum dengan adil. Hudud tak adil, maka sudah tentu hudud tidak ada dalam quran. Begitulah saya faham jalur pemekiran lelaki tua berkedut iman dan makrifat agama itu.

Pertama sekali, dakwaannya bahawa hudud itu ciptaan ahli fekah sudah tentu menggambarkan kejahilannya sendiri tentang Quran. Aku tidak mengandaikan maksud lain untuk mengatakan dia bijak dan sengaja mainkan sentimen. Aku tegaskan, dia dunggu mengenai Quran. Dia bercakap seperti dia lebih bijak daripada ahli fekah mengenai Quran. 

Keduanya, Dr. Mahathir tidka faham maksud adil. Baginya, adil itu adalah menurut pertimbangan akalnya. Padahal adil menurut kacamata agama adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dia mengulas mengenai keperluan membawa 4 saksi bagi pengadu rogol.  Hukum potong tangan bagi muslim mencuri dan penjara bagi orang kafir mencuri. Ulasannya itu menzahirkan kejahilannya mengenai istilah agama dan juga selok belok hukum dalam Islam.

Kalau umur dah menjangkau lebih 80 tahun tetapi tetapi masih "aladdul khisom", apa lagi yang boleh kita tolongkan? 

Saturday, March 03, 2012

Responsif Keterlaluan

Pendapat Dr. Dzulkifly Ahmad bahawa Pas boleh menerima Timbalan Presiden yang bukan Islam bukan perkara besar yang perlu dicemaskan. Tindakan Dewan Pemuda yang begitu responsif terhadap kenyataan Dr. Zulkifly itu, menurut hematku bukanlah tindakan yang bijak. Dr. Zulkifly menyatakan senario politik yang terdedah kepada perubahan. Perkara tersebut telahpun dilakukan oleh Ikhwanul Muslimin menerusi parti yang mewakilinya. Ia bukan satu kesalahan kerana ia bukan ketetapan pokok dalam Islam bahawa orang bukan Islam tidak boleh berada dalam hireki kepimpinan.

Bersikap responsif yang menutup ruang pandangan yang kontradik bukanlah kebijakan politik yang kita mahukan. Jika tidak setuju dengan pandangan Dr. Zulkifly Ahmad, sudahlah. Boleh mengemukakan pandangan balas dan hujah-hujahnya. Namun, jangan pula bersikap Taliban sehingga mendesaknya menarik balik kenyataannya. 

Dr. Dzulkifly Ahmad itu pun bukan orang bodoh mengenai politik Islam. Perasaan saling percaya mempercayai wajar diterapkan sesama anggota jemaah. Jangan baurkan prasangka. 

Politik kampungan sering menyebabkan kita sibuk mencabut kemucup dalam perjalanan. Ada matlamat besar, tetapi disibukkan membahaskan sehingga tegang urat leher, merah telinga dan keras suara mengenai hal-hal remah dan hal yang bersifat pandangan. Fomulanya mudah sahaja. Kalau Pandangan Dr. Zulkifly Ahmad itu tidak wajar, apakah Majlis Syura Ulama akan sahkan sehingga boleh dimuktamarkan?

Gempita respons yang dibuat hanya memberikan ruang kepada musuh untuk mencipta peluang!

Friday, March 02, 2012

Bukan Melayu

Otak kemetot pejuang-pejuang Melayu itu perlu disentak sekali sekala. Aku faham bila TG Nik Abd Aziz kata pemimpin tertinggi Pas boleh dari kalangan bukan Melayu, asalkan muslim yang soleh, ia menjadi ajaran penting untuk para pejuang Melayu itu. 

Pertama, ia menjelaskan perbezaan ketara antara Pas dan UMNO. UMNO selama ini berbangga bahawa ialah satunya parti yang menjadi jagoan dalam membela hak Melayu. Bila Pas kata ia tak kisah kalau pemimpin Pas bukan Melayu, ini tentunya menghairankan para pemimpin UMNO itu. Macamana pemimpin Pas yang Melayu itu tidak punya semangat kemelayuan berkobar seperti mereka. Maka, timbulah persepsi bahawa Pas adalah parti yang mengkhinati Melayu. Dakwaan tersebut akan digembar gemburkan dan akan menjadi kian galak menjelang dekatnya pilihanraya.

Keduanya, ia menjelaskan akidah perjuangan Pas yang merentasi lingkungan sempit kebangsaan yang menjadi kecenderungan kebanyakan orang. Bagi mereka yang punya nurani suci, akan menghargai akidah perjuangan yang sebegini kerana ia membuang rasa bongkak dan sombong bangsa prima dalam sesebuah negara.

Thursday, March 01, 2012

Bila angin PRU kian hampir.

Semakin dekat kepada Pilihanraya Umum ke 13, semakin gempita mainan politik para juru tandingnya. Sesetengan pemainnya memperlihatkan kegelisahan yang ketara dan degup gabra. Pelbagai caci nista dan bermacam-macam siasat muslihat dibongkar untuk digunapakai agar dapat dimenangi dalam percaturan politik yang akan datang.

Keadaan politik jadi caca marba. Dulu, beberapa MP Pakatan Rakyat melompat sempadan dan menjadi lawan kepada Pakatan Rakyat. Siri tekanan pelbagai kepada Anwar Ibrahim sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat jangan diceritakan lagilah. Habis sekejap perbicaraan kes liwat kerana kemenangannya di peringkat mahkamah tinggi, datang pula kes kenyataan sokongan Anwar Ibrahim ke tas Israil. Lalu timbul cerita surat-surat mantan PM Dr. Mahathir yang menjalinkan hubungan dengan Israel sehingga Wisma Putera terpaksa memaparkan isi kandungan surat tersebut.

Pemimpin UMNO-BN sudah sampai ketahap gaban. Nazri Aziz kata Anwar macam Iblis. Habis dah lah gelaran yang boleh diberikan kepadanya. Peliwat, agen Amerika, sokong Yahudi, pengkhianat Melayu dan kini  sudah sampai kepada Iblis. Memang dan maksima. Lepas iblis tak ada sudah yang lebih jahat.

Haha...

Pas pun dikacau habis-habis sampai Hasan Ali tersingkir keluar daripada Pas dan menjadi talibarut UMNO-BN. Dulu kerajaan Perak berjaya ditumbangkan dengan muslihat licik. Percuabaan dibuat di Selangor. Untuk menumbangkannya sama seperti di Perak nampaknya tiada jalan. Pelbagai isu dimainkan. Dari isu Pasir sehinggalah Isu gerakan Kristianisasi. Bersimpang siur isunya. Centang peranang orang. Tangkap muat semuanya. Asalkan kepercayaan rakyat tidak kepada selain UMNO-BN.

Sekarang kerajaan Kedah sedang digoncang. Agak malang juga sebab ada orang Pas yang bodoh politik sehingga menari mengikut rentak yang dimainkan para pecundang yang tengah gila talak pangkat. Semua ini merupakan kesan tiupan angin kencang PRU ke 13 yang mungkin akan menjadi PRU bersejarah. Jika semua ribut taufan ini dapat dilepas dengan gagah dan istiqamah, insya Allah, fajar baru akan menyingsing.