CARI BAHAN

Wednesday, November 09, 2011

Ruang bersuara

Ku Li kata dia dan gengnya tubuh Amanah kerana ruang bersuara dalam UMNO telah disempitkan. Beliau mengambil contoh apabila mahu berucap dalam perhimpunan agong pun perlu kebenaran dari atasan dan perlu ditapis pula apa yang hendak diperkatakan. Beliau tidak mahu keluar daripada UMNO. Tubuh Amanah adalah jalan baginya.

Amanah adalah NGO. Apakah NGO membolehkannya bersuara? Kalau setakat hendak bersuara, banyak kedai kopi di sepanjang jalan. Di situ siapa sahaja boleh bersuara. Bersuara melalui NGO belum tentu akan didengar. Mujur aja suara-suara Perkasa itu cukup menderam sekarang. Tapi aku fikir ia tidak lama. Parti Kita milik Zaid Ibrahim  juga nampaknya macam tidak mampu bersuara.

Suara akan melantun kalau Ku Li memilih untuk masuk Pakatan. Untuk itu kena buang keegoan masa lalu.

Tuesday, November 08, 2011

Bubar sahaja PTPTN.

Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PTPTN mencadangkan agar pinjaman kepada pelajar hanya untuk yuran pengajian sahaja. Pinjaman untuk perbelanjaan diberhentikan menjelang tahun 2013. Setelah mencadangkan cadangan tersebut, dikatakan pula ia hanya sebuah cadangan dan belum lagi diputuskan. Mungkin mereka takut rakyat marah.

Cadangan  sahaja pun sebenarnya telah mennyulap keberangan ramai orang. Ia menampakkan betapa hapraknya PTPTN. Kerajaan telah membebankan rakyat dengan banyak kenaikan harga barangan harian. Rakyat boleh terima apabila biasiswa ditukarkan kepada pinjaman biarpun dalam rugutan. Kini, pinjaman dikecilkan skopnya untuk yuran pengajian sahaja. Ini benar-beenar perangai haprak.

Bagiku, kaslau dah tak mampu menguruskan pinjaman untuk para pelajar kita, bubar sahaja PTPTN. Jangan menghabiskan wang negara untuk pentadbiran badan yang tidak menguntungkan rakyat!

QURBAN LEMBU DI MASJID AL-FAJR

Majlis Qurban yang diadakan di masjid al-Fajr berlangsung meriah. Seawal jam 7 pagi hari raya kedua aidil adha(Kelmarin), para petugas telah berdatangan. Turut sama sebilangan warga Taman Fajar yang tidak termasuk dalam senarai petugas sewaktu mesyuarat diadakan. Sebanyak 6 ekor lembu ditumbangkan. Sepatutnya 7 ekor. Namun, berikutan masalah tuan lembu pada minit terakhir, ia dibatalkan. Khabarnya, lembu yang telah ditempahnya dijual kepada orang lain oleh pemilik lembu.

Aku bertindak selaku pengarah program. Kerjasama padu daripada rakan-rakan di masjid Al-Fajr sangat berkesan. Masing-masing terlah memainkan peranan bagi menjayakan program ini. 

Tukang sembelih lembu ialah Ust. Mahadzir Madon, Ust Sukri Mat, aku sendiri, Dr. Ahmad Lazuardi dan Hj. Mahali. 3 ekor lembu adalah hasil yuran penyertaan dari 21 individu jemaah masjid Al-Fajr. 1 ekor adalah sumbangan daripada Kastam dan seekor lagi adalah sumbangan Dato' Juslie Ajirul yang didapatkan melalui En. Momoh bin Sidum. Satu ekor adalah lembu khusus dari Dewan Ulama Pas Kawasan Sandakan.

Setiap peserta korban diberikan 2.3 kilogram, 1 kilo tulang dan perkakas dalaman lembu korban. Selebihnya disedekahkan. Setiap penerima sedekah mendapat 1/3 kilo daging. Seekor daripada lembu adalah dikhususkan untuk memasak buat makanan orang ramai yang datang.


Mungkin tidak seburuk disangka.

Seksualiti Merdeka disifatkan oleh TV3 sebagai Pesta Seks Bebas. Pelebelan yang salah itu menyebabkan Marina Mahathir melenting marah. Dia mengancam akan menyaman TV3 tersebut.

Banyak pihak menentang Seksualiti Merdeka. Penentangan tersebut didorong oleh kesedaran bahawa program tersebut adalah menyemai kebangkitan golongan "gay" dan lesbian sebagai amalan bebas yang diterima  sebagaimana yang telah berlaku di Barat.

Mungkin juga kita tidak cukup memahami apa sebenarnya Seksualiti Merdeka itu. Kita membayangkan ia adalag program golongan gay dan mak nyah menuntut hak mereka. 

Mungkin kita perlu duduk dan dengar apa sebenarnya yang diigini oleh pihak pengajur Seksualiti Merdeka itu. Kita perlu menjauhkan diri dari menjadi golongan yang hanya merasakan diri sendiri yang baik. Lawan kita buruk belaka. Itu tidak bagus untuk mencari kebenaran.

Monday, November 07, 2011

Lembu dilarang semeblih di tempat awam

Kenapa orang Hindu mensucikan binatang lembu?Pepatah Melayu kata, "bodoh mamcam lembu". Binatang lembu pula disembelih setiap tahun bila datangnya musim korban. Tidakkah boleh difikiri munasabah apa lembu dikatakan bianatang suci?

Kononnya lembu adalah kenderaan sang dewa. Sebab itulah ia binatang suci. Demikianlah sumber yang pernah dengar.

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao baru-baru ini menggesa pihak berkuasa agar mengenakan larangan penyembelihan lembu di tempat-tempat awam sempena hari raya Aidil Adha. Ini adalah bagi mengelakkan sensitiviti agama hindu yang menganggap lembu sebagai binatang suci. 




Sunday, November 06, 2011

Lembu Korban di Felcra Sukau

Perjalanan ke Felcra Pertama Sukau begitu jauh dan meletihkan. Bukan letih sebab jalan kaki. Kami naik kereta 4-wheel tetapi kerana jalan grabble kawasan ladang kelapa sawit, kami dipenatkan dengan henyakan depan belakang dan kiri kanan. Dari jalan utama Bukit Garam-Sukau, kami masuk melalui gerbang Malangking Palm Oil Estate.  Dari situ kami masuk melaui 4 pagar ladang. Agaknya sejauh 30km jalan berbatu kasar.

Ia merupakan Felcra pertama. Kalau tak silap aku, kami berurusan mengenai lembu korban itu di Blok C, bawah kelolaan Encik Masran Upot.
Kami datang kerana mewakili peserta ibadah korban yang menyerahkan wang masing-masing untuk dibeli lembu korban. Khabarnya banyak lembu dipelihara. Kami akan mengangkut 16 ekor lembu. Sampai kira-kira jam 10 pagi, kami menunggu lori dna menjalankan kerja-kerja menimbang lembu. Sekilogram lembu dijual dengan harga 9. Purata seekor lembu adalah berada pada keberatan sekitar 150-190 kg. Itu sahaja yang telah ditangkap dan ditambat untuk kami. 

Ingat mahu yang besar lagi. Tapi apakan daya, dah tak ada. Pekerja-pekerja di sana malas menagkap yang lain dan menyatakan alasan bahawa lembu sudah terlepas.


Thursday, November 03, 2011

Katalah semuanya Taliban!

Ada program yang dinamakan Seksualiti Merdeka sedang dirancang untuk diadakan. Promosi mengenainya sedang berlangsung di lama web rasminya http://www.seksualitimerdeka.org/. Dewan Pemuda Pas telah menyatakan bantahannya. Program tersebut, sebagaimana tergambar pada namanya adalah mendakyahkan kebebasan sesksual sebagai salah satu daripada hak asasi manusia yang perlu diperjuangkan. Ia  mengajak untuk masyarakat menerima budaya gay dan  lesbian  sebagai satu gaya hidup positif atas nama kemerdekaan dan hak asasi.

Namapaknya Pemuda Pas jadi Taliban lagi. Aku mahu dengar Dr. Asri memperingatkan hal itu kepada Pemuda Pas sebagaimana beberapa hari sebelumnya kerana membantah konsert Elton John. Tapi, setakat ini belum lagi aku dengar peringatan itu disebutkannya.

Di samping Pemuda Pas, ada lagi beberapa NGO Islam yang juga turut membantah. Kalau nak kata Taliban, kata semuanya Taliban. Apa bezanya membantah konsert Elton John dengan program Seksualiti Merdeka?

Tuesday, November 01, 2011

Tawakkal sebagai takaful

Terang teman berkempen agar aku belikan skim takaful yang banyak ditawarkan di wasa ini. Aku sebenarnya malas dan tidak berminat dengan takaful ini. Banyak cerita yang menggundahkan aku dengar tentang birokrasi takaful ketika tuntutan dibuat oleh pelanggan. Semasa hendak menyuruh orang belikan skim yang ditawarkan, lembut gigi dari lidah. Kalau boleh,jurujualnya sanggup datang menyembah diri. Bila sudah dapat, apa di batang hidung,kelibat pun sukar dilihat.

Lalu, aku mengungkapkan kata-kata ini buat teman itu.
"Tiada takaful yang lebih hebat daripada tawakkal!".

Biarlah apapun orang takaful mahu katakan. Kalau untuk masa depan, diri dan anak-anak, bukan takaful satu-satunya jalan. Hebat amat kalau aku mampu bermadah sebagaimana seorang sahabat nabi saat kematiannya, di kala ditanya tentang apa yang ditinggalkan buat anak-anaknya. Katanya, dia tinggalkan buat mereka surah Al-Waqi'ah.

Ibu bapa kita tidak lebih bimbang daripada kita mengenai kita.Mmengapa semakin tinggi pelajaran ita,semakin risau kita tentang anak-anak kita??




 

Monday, October 31, 2011

Jadilah seperti Taliban!

فاصبر لحكم ربك ولا تكن كصاحب الحوت إذ نادى وهو مكظوم.


Maka Bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika ia berdoa sedang ia dalam keadaan marah (kepada kaumnya).
(Surah Al-Qalam: Ayat 48)
 
 
Sekurang-kurangnya Taliban itu ada maruah. Mereka mungkin pernah ditewaskan dalam peperangan dengan tentera US yang kini menjajah Afghanistan dan meletakkan antek-anteknya di sana. Namun, kekalahan  dalam peperangan bukan satu kehinaan kerana yang lebih hina lagi kekalahan dalam mempertahankan maruah. Pemerintah boneka Afghanistan hari ini sebenarnya kalah kerana tidak bermaruah.  Dari sebuah wilayah merdeka yang digeruni musuh, kini Afghanistan menjadi wilayah yang diperkosa penjajah yang memperkudakan kepimpinan presiden Hamid Karzai.


Berita terkini sekarang ini, hari-hari kemenangan semula Taliban di Afghanistan semakin menyerlah. Kedudukan tentera penjajah semakin goyah. Banyak wilayah strategik Afghanistan kembali ke tangan Taliban.

Taliban yang dimomokkan Islam konservatif, ortodok  sehingga dijenamakan sebagai talibanisme, kini kembali semula ke persada Afghanistan.

Sekoyong-koyong pula, Dr. Asri Zainal Abidin, bekas mufti Perlis menasihati Pemuda Pas dengan katanya "jangan jadi Taliban!".  Ianya gara-gara bantahan terhadap rancangan konsert Elton John yang terkenal dengan kehidupan 'gay'nya yang dijadualkan akan berlangsung di Genting Highland hujung bukan ini. 

Jangan jadi Taliban!
Taliban itu manhaj keras. Taliban itu kejam. Taliban itu mengharamkan banyak perkara. Taliban itu serba tak boleh. Islam menjadi sukar kalau ikut Taliban. Islam itu sederhana, mudan dan penuh toleran. Mungkin itulah hujah-hujah yang mendorong peringatan Dr. Asri agar Pemuda Pas jangan jadi Taliban.

Jangan jadi seperti Taliban! 

Persoalanku hanya mengapa tidak boleh jadi Taliban? Benar-benar cemarkah Taliban sehingga jangan jadi sepertinya? Mengapa ayat "hazar" sedemikian dilontarkan? Dalam dunia Islam hari ini, yang macam mana lebih patut kita jangan jadi? Ada yang lebih bahaya dari Taliban. 

Kenapa tidak kata jangan jadi seperti Ba'ath!
Jangan jadi seperti Pancasila!
Jangan jadi seperti leberalis, nasionalis dan kapitalis!
Jangan jadi parti-parti pembawa ideologi tersebut.

Tapi....yang dilarang, jangan jadi Taliban. Nampaknya Taliban paling jahat dalam dunia hari ini. Kejahatan Taliban sama jahat dengan Al-Qaeda. Kalau dah sebut Al-Qaeda, maka lawannya adalah Amerika. Sama macam Taliban juga. Kalau sudah Taliban dan Al-Qaeda itu jahat, maka apa kita nak kita kepada Amerika. Orang yang kata Taliban dan Al-Qaeda jahat, jangan jadi sepertinya, macam mana mahu kata Ammerika juga jahat. Salah satunya mesti baik. 

Racun yang ditebarkan media musuh berjaya meresap ke dalam pemikiran orang Islam sehingga terpacul kalimat "jangan jadi Taliban!".

Mencegah kemungkaran adalah tradis Islam. ia bukan tradisi Taliban. Apakah kita tidak boleh menyetujui bahawa membenarkan konsert Elton John ( sekalipun di Genting Highland) adalah satu kemngkaran yang perlu dibantah. dalam keadaan para pemuda ummat ini lemah dan mudah dipesonakan oleh budaya asing, berdiam diri terhadap kemaraan konsert maksiat atau oleh pemuka maksiat hanya akan menambahkan keparahan iman para pemuda kita. Para pemuda kita bukan kuda liar yang mampu berlari tangkas di ladang Prairi yang luas saujana mata. Mereka perlu dipeliharan dan menjadi tanggungjawab pemerintah untuk memelihara generasinya. 

Kalau membantah konsert Elton John dianggap sebagai Taliban, maka tentu Elton John itu boleh dianggap lebih baik daripada kelompok Taliban!  

Pemuda Pas telah mengambil jalan yang betul dengan membantah konsert tersebut. Pemuda pas bukan menghantar pasukan berani mati untuk bom diri sediri semasa konsert berjalan. Menyatakan bantahan adalah lambang kewibawaan diri dan sikap "ghurabaa".

Fa Tuuba lil Ghurabaa'.



Taliban tidak jahat

Dr. Asri kata dia bukan tuduh Pas Taliban sebagaimana ditempelak oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Ust Nasrudin Hasan. Dia kata jangan jadi macam Taliban. Sebab Pemuda Pas bantah konsert Elton John, Dr. Asri kata itu macam Taliban. Bila Pemuda Pas bantah konsert tersebut, maka tentulah Pemuda Pas itu dan jadi Taliban. Bantah Konsert Elton John jadi Talibanlah. Makalah samalah jangan jadi Taliban atau sudah jadi Taliban.

Buruk sangatkah Taliban.Ganaskah Taliban? Kenapa Taliban diangap negatif sedangkan US lagi ganas. Bila banding antara Taliban dengan US, orang kata jangan jadi Taliban. Sebab Taliban ganas. Ganas Taliban kepada siapa? Untuk apa Taliban keras.

Orang yang kata "jangan  jadi Taliban" itu sebenarnya fikirannya telah diracuni propoganda Barat.

Persatuan kerdil berasa besar

Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) menuntut agar kerajaan memberi pilihan kepada murid-murid yang ingin mengikuti PPSMIdan bukannya memansuhkan terus sebagaimana yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini. Idea supaya pilihan diberi bagi mereka yang masih berminat adalah buah fikiran kumpulan bukan arus perdana kerana ramai yang menolak dasar PPSMI. Selain ia merosakkan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,ia juga menjahanamkan masa depan murid-murid khususnya yang berbangsa Melayu di luar bandar.

Dengan lagak yang tidak bertempat, persatuan itu memberi semacam kata dua kepada kerajaan. Wujudkan pilihan dan mereka akan berikan kemenangan 2/3 dalam pilihanraya kepada BN. Jika tidak, mereka tidak akan menyokong kerajaan BN dan dengan itu BN akan terus menderita kehilangan 2/3.

Macamlah persatuan tersebut besar sangat pengaruhnya. Hairan juga melihat pertubuhan NGO yang cakap berdegar-degar ini. Sebelum ini, kita pernah dengar bagaimana dengan angkuhnya Perkasa mendakwa ia adalah suara penentu untuk kemenangan mana-mana parti dalam pilihanraya. Macamlah Perkasa itu berpengarus sangat. Kini, tampil pula PAGE dengan nada bahasa yang sama. 

Pertubuhan NGO ini setahun jagung tapi perasaan kuatnya yang lebih. Berapalah kerat yang menyokong mereka. Kalau Perkasa itu, rata-ratanya ahlinya adalah UMNO juga. Potong lapan pun mereka berikat setia dengan UMNO. Apa guna lagi mendakwa mereka sebagai kuasa penentu kerana mereka bukan penentu undi yang bakal diperolehi Pakatan Rakyat. 

Inilah perkembangan lewat terakhir ini. Ada pertubuhan kecil tapi rasa dirinya besar dan hebat. Tunggulah nanti....kita lihat sekuat mana pertubuhan lalang seperti itu.

Dewan Pemuda bantah Konsert Elton John

Kenyataan Dewan Pemuda Pas Pusat yang membantah konsert Elton John di Genting Highland akhir bulan ini disifatkankan Dr. Asri Zainal Abidin sebagai ala-Taliban. Katanya, konsert tersebut diadakan di Genting Highland, tempat arak dan judi dan anggap sahaja ia akan dikunjungi oleh orang bukan Islam. Kenyataannya itu mungkin kerana bimbang Pas akan dilihat sebagai parti yang ala-Taliban. Teguran beliau itu harus dilihat positif oleh para pemuda Pas sungguhpun ia mungkin mengguriskan hati. Mengaitkan sayap parti itu sebagai ala-Taliban adalah pelebelan yang mungkin memburukkan reputasinya. 

Namun, perlu juga direnungi fungsi sebagai kumpulan mencegah kemungkaran. Beralasankan bahawa ia konsert yang hanya akan dihadiri oleh orang bukan Islam adalah sangat naif kerana sudah tebukti bahawa para pemuda Islam di Malaysia tidak punya kekuatan untuk menghalang diri mereka daripada menghadiri konsert maksiat seumpamanya sebelum ini. 

Atas segalanya, bantahan Dewan Pemuda Pas tersebut telah membuka mata ramai orang tentang siapa sebenarnya Elton John.

Sunday, October 30, 2011

mewarisi kedegilan kaum nuh

Pemuda itu duduk di atas tangga rumahnya ketika kami singgah bertandang dalam misi ziarah. Sehelai risalah kami hulurkan. Risalah mengandungi 10 janji Pakatan yang tertunai. Dia berwajah selamba. 

"Bagus juga ada pembangkang...boleh menyatakan ketidakpuasan hati rakyat", dia mengomen ketika perbualan berlangsung mengenai parti-parti yang ada.

Ketika telah berlalu meninggalkan tempatnya dia duduk beristirehat itu, aku menyatakan kepada sahabatku bahawa pemuda itu cenderung kepada parti pemerintah. Miskipun hidup bersalut kemiskinan dan persekitaran yang terancam oleh perobohan, dia masih bersangka baik dengan pemimpin yang telah merampas tanah kampung asalnya. Aku tidak tahulah apa yang membenjol dalam otak fikir orang sepertinya.

Apakah dia mewarisi kedegilan kaum nuh?

Tahlil lepas maghrib lagi

Jemputan ke majlis tahlil semalam aku abaikan. Ini kerana ia dibuat selepas solat maghrib dan ini tentunya mengganggu solat insya berjemaah. Kemujuran tidak ada pengisian di masjid sebagaimana biasa. Maka, kepergian sebahagian jemaah masjid ke majlis tersebut tidak dilihat sebagai ralat besar. Namun, ternyata akhirnya mereka kelewatan untuk solta insya berjemaah insya. Tetapi, kerana jumlah mereka agak ramai, dapatlah mereka berjemaah Insya sesudah usai jemaah yang utama.

Pihak yang menjemput ke majlis tahli tersebut bukanlah pula kalangan ahli masjid. Muncul sekali ini, buat jemputan. Hanya ketika berhajat dengan ahli masjid, dia muncul. Aku kurang betah melayani jemputan sebegini. Sementelahan pula di waktu yang tidak menyenangkan. Lagi pun, aku bersikap bahawa tahlil tidak punya kepentingan dalam agama untuk kita pertahankan sehingga mengenepikan apa yang pasti kewaridan dalam agama iaitu solat berjemaah.

Aku tidak merasa hormat buat majlis yang diadakan selepas maghrib ini. Aku juga merasa hilang tsiqah buat para imam dan asatizah yang menghadirinya sehingga menghilangkan peluang jemaah insya beramai-ramai.


Friday, October 28, 2011

Apakah agama panutan Rahim?

Kata Rahim Noor, bekas IGP, dalam ucapannya semasa perhimpunan agng Perkasa baru-baru ini, Gerakan Hak Asasi Manusia kini muncul sebagai agama baru. Ia mengingatkan tentang kemuculan sebagai gelombang sederet sesudah belalunya gelombang Maxisme dan Sosialisme. Gelombang agama baru ini muncul dalam bentuk tuntutan-tuntutan yang pelbagai termasuklah apa yang  diutarakan oleh Bersih 2.0 baru-baru ini. Gerakan Hak Asasi Manusia dikatakan berada di belakang kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan hak-hak istimewa Melayu, kedudukan raja-raja dan bermacam-macam lagi. 

Kenyataan Rahim Noor ini seolah-olah melebelkan agama yang telah ada menafikan hak asasi manusia, terutamanya agama Islam. Dengan kata lain, hak asasi manusia bukan sebuah perjuangan yang didapati dalam Islam. Islam menurut Rahim Noor, mungkin sebuah agama yang penuh paksaan, tidak bebas dan menafikan keistemewaan untuk sekolompok orang dan memberikannya kepada sekelompok yang lain.

Kalau begitu tanggapan Rahim, dia belum menganut Islam seutuhnya. Maka, apa sebenarnya panutan Rahim Noor?

Mengenai dia...

Setahuku umurnya sudah lebih 80 tahun.
Pendiriannya terhadap hudud masih macam dulu.
Politik yang menjadi anutannya masih politik nasionalisme.
Walau sudah hilang kuasa, masih lagi main acah-acah dengan kuasa yang pernah menjadi miliknya satu masa dulu.
Pada hematku, dia bukan dimuliakan kalau orang tidak membalas kritikannnya.
Hanya kerana orang yang diam itu bersifat mulia kerana menghormatinya yang pernah menjadi amat berhormat.
Kalau begitu gayanya...tutup mata dengan cara itulah. 
Sangkaku, jalan yang akan dilalu setelah bersara ialah dengan memperbanyakkan amal dan mendamaikan kembali Islam yang ditabrak.
Lebih baik lagi kalau begitu bekas presiden US John F. Kennedy yang menguruskan yayasan kemanusiaan di negara-negara miskin setelah pencennya.
Aku tidak tahu memilih siapa yang hendak dimasukkan ke syurga. 
Allah maha tahu dan maha bijak dalam memilih.
Kenapa dia jadi begitu?

Tiket bola sepak naik.

Sultan Pahang menitahkan penyokong pasukan negeri yang bakal masuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia agar tidak menjadikan isu kenaikan harga tiket masuk menonton perlawanan sebagai  Isu. FAM telah memutuskan harga tiket menyaksikan perlawanan adalah RM50.00. Kata Sultan Pahang, apa yang penting ialah sokongan yang ditunjukkan kepada pemain negri masing-masing.

RM50.00 hanya untuk menyaksikan permainan bola sepak bukanlah satu perbelanjaan yang bijak. Kalau sekadar hendak menyaksikan perlawanan, di dalam TV pun banyak. Kalau malas menonton seorang, pergilah sama-sama dengan pelanggan mana-mana kedai yang menyediakan skrin besar dan bersoraklah bersama mereka. Biarkan stadium lengang dan hanya orang yang tidak kisah taburkan wang ringgit sahaja yang pergi.

Bahasa rakyat tidak sama dengan bahasa raja. Bagi rakyat, yang penting adalah perbelanjaan. Bukan semangat. Memang pun aristokrat memerlukan semamngat kerana jika tiada semangat telah lama runtuh tahta kerajaan. Kerana semangat Melayu, orang Melayu mempertahankan sultan-sultan mereka. Jika hilang sudah semangat, mereka akan hilang rasa perlu kepada Sultan.

Tapi, para penyembah bola sepak tidak hirau sangat dengan RM50.00. Bila sampai masa bertanding, berduyun-duyun mnereka mentawafi stadium mencari pintu masuk. Bayar sahaja berapa, asalkan dapat masuk. Itupun akan ada masalah tiket habis dijual. Sungguh laku penjualan tiket bola sepak. Alangkah baiknya jika RM50.00 itu dibelanjakan fi sabilillah.

Wednesday, October 26, 2011

Dia jadi Naib Presiden

Dengar khabar Zul Noordin terpilih untuk menjawat jawatan Naib Presiden Perkasa. Begitulah dia melakar sejarahnya sendiri. Mungkin untuk menjadi pimpinan tertinggi mana-mana parti besar di Malaysia dia tidak akan berpeluang. Parti Pas telah tutup pintu untuknya. Dengan PKR, dia telah murtad. Dengan UMNO tidak ada tawaran dan rasanya tidak cocok untuknya. Untuk menubuhkan parti sendiri, dia bukan engineer politik yang mahir. Sememangnya dia dilahirkan sebagai pengikut sekalipun dalam banyak keadaan dia gagal menjadi pengikut yang baik.

Kini menjadi Naib Presiden Perkasa. Jawatan itu bukanlah hebat. Kewujudan Perkasa itu pun bukan hebat. Ia pertubuhan setahun jagung yang belum pernah diuji. Selengkar musim berputar, amat bertuah kalau Perkasa itu mampu bertahan. Bila Perkasa sudah nyawa-nyawa ikan, jadilah jawatan Naib Presiden itu seperti tikar mengkuang robek. Malah jawatan Presiden sekalipun akan jadi seperti permaidani hapak. Tidak ada orang yang akan bernafsu untuk duduk di atasnya.


Perkasa

"Siapa nama kamu?", aku tanya budak yang berhinggus itu. Pakaian nampak comot sekali. Barangkali baru lepas bermain dan berkubang lumpur sawah. 

"Perkasa". Jawabnya penuh bangga.

"Oh, dah berapa umur? ", tanyaku sambil duduk mencangkung agar ketinggianku sama dengannya. 

" Empat tahun", balasnya petah sambil hinggusnya keluar masuk dari lubang hidungnya mengikut nafasnya yang termengah-mengah.

"Siapa nama bapa?", tanyaku lagi.

Dia tidak menjawab. Mungkin dia keberatan memberitahu siapa nama bapanya.Aku menduga tentu bapanya bukan seorang ulama. Tiada ciri-ciri keturunan ulama pada wajahnya. Bukan juga anak bangsawan kerana kalau anak bangsawan masakan berkubang lumpur comot sebegitu sekali. 

"Mungkin anak lanun", dengus hatiku sendiri.

Budak bernama perkasa itu kelihatan membibit satu uncang. Di dalamnya seperti ada isi.

" Apa isinya tu?", aku bertanya.

"Katak!", jawabnya selamba sambil tersengeh menampakkan gigi yang ronggak.

Aku menggeleng kepala lucu dengan  telatah budak bernama Perkasa itu.


Tuesday, October 25, 2011

Bercuti kali ini: Cuti Depavali

Aku membuat catatan ini di balkoni sebuah hotel di Kundasang. Namanya Hotel Strawberry. Balkoni ini menghadap ke kawasan pergunungan dan lembah yang diselaputi awam. Di malam hari gelap gulita. Kalau di siang hari bolehlah nampak awan yang berarak di bawah. Terasa sejuk sekali angin pergunungan yang bertiup sepoi-sepoi.

Aku singgah bermalam di sini dalam perjalanan untuk pulang ke Sandakan. Sempena cuti seminggu, aku membawa keluarga melancong ke Kudat. Di sana bertemu dengan Affan dan bersamanya kami pergi melawat Simpang Mengayau. Sudah hampir lebih lapan tahun aku menjejaki bumi Sabah ini, belum pernah aku sampai ke sana. Kawan-kawan sering bercerita mengenai Simpang Mengayau. Seolah-olah tempat tersebut merupakan tempat yang sangat menarik.

Terus terang aku katakan, Simpang Mengayau bukan apa-apa. Hanya namanya yang di sebut sebagai "Tip Of Borneo" itu yang mengujakan ramai orang. Kalau sudah menjejaki ke sana, tiada apa-apa yang istemewa. Hanya sebuah pantai yang dihias cantik. Sepertinya ada di banyak tempat dalam negara kita. Simpang Mengayau sebenarnya seperti simpang merayau.

Perjalanan dari Sandakan ke Kudat amat meletihkan. Dari Jam 9.30 aku bertolak dari Sandakan, menjelang Maghrib barulah aku sampai di Kudat. Kudat hanya sebuah bandar kecil. Untuk penginapan, banyak hotel di sana. Murah-murah pula. Aku menginap di hotel Borneo. Hanya RM50.00 semalaman. Agak bagus. Biliknya luas dan selesa. Malangnya menjelang pagi, waktu bangun untuk solat Subuh, aku dapati air tiada. Mujur ada bekalan air dalam kereta. Boleh juga aku berwuduk untuk solat Subuh.

Aku meninggalkan Kudat menjelang jam 2 petang. Tujuanku adalah Kota Kinabalu. Perjalanan Kudat-Kota Kinabalu  juga meletihkan. Aku kira jaraknya sekitar 200 KM. Menjelang maghrib baru aku sampai di Hotel Tabung Haji. Namanya sekarang ialah Taha D'Balu. Mujur ada bilik di sana. RM80.00 harga semalaman. Memang di sanalah yang selalu aku dan keluarga menginap jika bertadang ke Kota Kinabalu.

Paginya aku ke Wisma Muis. Di sana terletaknya syarikat Rejoice Travel di mana tiket penerbanganku pulang ke kampung bulan November nanti diuruskannya.  Kerana kenaikan harga tiket dan aku perlu bayar tambahan sebanyak RM875.00, aku batalkan penerbangan Kl-Alor Setar. Malas berurusan dengan kaunter MAS yang masih lagi meminta bayaran cukai airport, aku mahu berjumpa dengan pihak Rejoice Travel. Dapatlah tiket yang telah disahkan dari Sdk-KK-KL tanpa perlu bayaran tambahan. Untuk ke Alor Setar, akan aku fikirkan caranya nanti.

Kemudian aku ke Moreasia Travel. Ia terletak di jalan Kepayan. Bukan aku tahu di mana jalan Kepayan itu. Setelah bertanya orang, kata mereka Moreasia Travel itu terletak di bangunan belakang Open University. Tidka susah untuk mencarinya. Rupanya syarikat travel ini milik Syarikat Sawit. Selesai, aku membawa keluarga ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi. Zamila Salsabila beriya-iya mahu melihat binatang dalam zoo. Taman Hidupan Liar Lok Kawi terletak di Lok Kawi. Untuk ke sana aku melintasi Putatan. Tiket masuk ke sana ialah RM10.00. Binatang tak banyak sangat. Ada gajah, harimau, orang utan, beruang, kuda, lembu (Tembadau) dan burung-burung. Aku cari-cari kalau ada zirafah, unta, badak dan lain-lain. Nampaknya banyak binatang belum ada.

Lepas selesai melawat mini zoo tersebut, kami pulang ke hotel dan selepas solat zohor kami check out. Singgah sekejap di Karamunting melihat banyaknya peralatan komputer. Kemudian perjalanan diteruskan menuju jalan pulang. Seperti biasa, ketika melepas Tamparuli, mendaki perbukitan menuju Kundasang, hujan turun. Seingatku, setiap kali melintasi kawasan itu, hujan pasti turun. Barangkali sebab itu kawasan ini penduduknya bercucuk tanam sayur. Tanama getah dan kelapa sawit tak sesuai sebab banyak hujan sangat.

Di Kudasang, kami mencari hotel penginapan. Jam sudah mencecah 4.30 petang. Kalau nak pulang terus ke Sandakan, aku bimbang gelap sebelum sampai Telupid. Jalan sebelum sampai Telupid sunyi dan berbukit bukau. Bukan bagus kalau bergerak di malam hari.

Singgah di Strawberry Hotel, sebuah penginapan pinggir jalan sebelum sampai ke pekan Kudasang, harga yang ditawarkannya sederhana. RM70.00 untuk hari-hari bisa. Kalau hari cuti  sekolah harganya RM80.00 dan jika hari cuti umum harganya ialah  RM130.00. Ada juga bilik yang lebih mahal.  bagi  kapasiti keluarga . Malah kalau sebuah rumah Bungalow, harganya melebihi RM380.00-RM500 untuk semalaman bergantung kepada masa sama ada hari biasa, cuti sekolah atau hari cuti umum.

Di strawberry hotel ini disediakan wifi. Sebab itu aku dapat melakar sedikit catanan perjalanan ini. Esok aku akan pulang ke Sandakan. Insya Allah, semoga selamat sepanjang jalan.