Desakan presiden MCA, Datuk Sri Chua Soi Lek ketika mengemukakan resolosi 13 perkara Kongres Ekonomi Cina agar ekuiti bumiputera dalam semua sektor ekonomi sebanyak 30 peratus dikurangkan secara berperingkat telah menimbulkan reaksi pelbagai daripada pemimpin Melayu. Kenyataan presiden MCA itu dilihat sebagai cubaan menggugat hak bangsa Melayu yang selama ini kononnya dijaga oleh perlembagaan dan dasar ekonomi negara.
Saya kira apa yang diutarakan oleh peresiden MCA itu adalah tindakbalas daripada beberapa siri tindak tanduk dan kenyataan pemimpin rasis Melayu. Kita lihat sahaja apa yang telah dilakukan oleh PERKASA mutakhir ini. Kerajaan pula seolah-olah merestuinya. Tindak tanduk syok sendiri itu mengundang rasa terancam kaum yang lain. Tidak hairan kalau kaum Cina seperti sepakat dan menyetujui apa yang dilahirkan oleh presiden MCA itu.
Inilah bahana perjuangan yang mendendangkan lagu kebangsaan!
Setelah selesai solat taraweh 8 rakaat, imam dan sebahagian besar jemaah lanjutkan dengan witir 3 rakaat. Sebahagian makmum pula tidak melakukan witir. Mereka pulang selepas selesai rakaat taraweh yang terakhir. Andaian baik sangkanya ialah mereka buat witir nanti selepas tambah rakaat taraweh di rumah agar jadi 20 rakaat. Atau mungkin juga mereka mahu solat tahajud dan kemudian melakukan witir. Mudah-mudahan begitulah.
Tetapi, antara yang mengundur diri itu bukan pun ada ciri ahli ibadat. Sesetengahnya anak muda dan kanak-kanak mentah. Ada pula yang dari jenis pada lehernya melengkar sekalung rantai leher. Masakan jenis seperti ini boleh dipercayakan balik rumah solat taraweh sampai cukup 20 rakaat dan kemudian dikhatamkan dengan witir. Atau mungkinkah jenis ini rajin bertahajjud? Wallahu a'lam!
Tapi, nak tahu jenis apa mereka ini, tengoklah masa solat subuh berjemaah di masjid. Kalau nampak mukanya, boleh jadilah mereka solat tahajjud kat rumah. Kalau tak nampak solat subuh kat masjid, solat tahajjud semalaman pun tak guna. Solat taraweh 20 rakaat lagilah tak kena.
Apa yang aku saksikan, masa solat subuh bukan ada manusia-manusia yang meninggalkan witir ini.
Apa sebenarnya yang mereka fahami tentang solat witir? Ini yang membuatkan aku tertanya-tanya.
"Ustaz, jiran sebelah rumah saya kata kalau sentuh kucing batal wuduk, betul ke?" murid perempuan bernama Vanissia Mae dari tahun 6 Aktif menimbulkan persoalan dalam kelas hari ini.
"Menyentuh babi sekalipun tidak mebatalkan wuduk, apalagi kucing", jawabku. Jawapanku menimbulkan cekcok dalam kelas. Nampaknya murid-muridku itu tidak faham. Bagaimana mungkin menyentuh babi dikatakan tidak membatalkan wuduk.
"Bukankah babi itu haram ustaz?", seorang murid lelaki mencelah.
"Ya, haram dimakan, bukan haram disentuh...", aku menjelaskan.
"Andainya kita menyentuh seketul tahi cicak di sini....", aku mengisyaratkan tanganku di bingkai tingkap kelas, "apakah kita berdosa?", tanyaku
"Tidak!", murid-murid sepakat.
"Nah, tahi cicak itu najis, babi juga najis. Yang membezakan keduanya cuma kategori najis. Yang satu najis Mutawassitih dan yang satu lagi najis Mughallazah. Kalau sentuh najis mutawassitoh itu tak haram, maka sentuh najis mughallazoh juga tidak haram!", aku menjelaskan lojik buat mereka.
"Maka, sentuh babi tak membatalkan wuduk. Cuma lepas sentuh kena cuci...samak, 1 kali air tanah dan 6 kali air bersih", aku menyimpulkan penjelasan sebelum keluar ke kelas pada sesi ini.
Ketika Al-Arqam sedang mencapai zaman kemuncaknya, Al-Marhum Ashaari, pemimpin unggulnya yang dipanggil 'abuya' mula membisikan harapan buat pengikutnya bahawa dialah bakal perdana menteri Malaysia. Lalu, kerajaan Malaysia, melalui Kementerian dalam negeri dan pelbagai institusi penguatkuasaan agama bertindak dan Al-Arqam diharamkan. Ashari diburu dan ditangkap serta diISAkan. Sebahagian pengikut utamanya juga diISAkan. Al-Arqam lumpuh.
Ketika diharamkan Al-Arqam, pengharaman itu dilegitimasikan berdasarkan penyimpangan akidahnya. Rakyat diberitahu bahawa Al-Arqam diharamkan kerana akidahnya menyimpang. Dengan kata lain, ia sesat.
Kini, dalam negara Malaysia terdapat puluhan ajaran sesat. Tindakan yang diambil terhadap ajaran sesat ini tidak seberapa. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia hanya sekadar menggazetkan sejumlah ajaran sesat. Dalam bentuk tindakan penguatkuasaan, boleh dikatakan tiada. Kalau pun ada, tidak sebagaimana tindakan terhadap Al-Arqam.
Kesesatan ajaran cikgu Kahar di Selangor, kalau hendak diperkirakan, lebih jauh sesatnya daripada ajaran Al-Arqam. Cikgu Kahar mengaku dirinya sebagai rasul Melayu. Tindakan yang diambil ke atasnya memakan masa yang lama untuk diputuskan. Setelah proses perbicaraan panjang, cikgu Kahar menghistiharkan dirinya meletak jawatan sebagai Rasul buat bangsa Melayu! Mengapa tindakan mengISAkannya tidak dibuat sebagaimana telah dibuat ke atas Ashari?
Dua tiga tahun kebelakangan ini heboh pasal gerakan Jemaah Islamiah dan Darul Islam. Tindakan ke atas anggota kumpulan ini ialah diburu, ditangkap dan diISAkan. Kumpulan ini tidak pula dikatakan menyimpang akidah. Tetapi nasib menimpanya sepertimana yang telah menimpa jemaah Al-Arqam.
Kesimpulan yang aku boleh buat setakat ini ialah segala tindakan yang dilakukan kerajaan adalah bermotifkan politik. Kerajaan bukan pembela kepada akidah. Kalau membela akidah sudah habis tumpas segala ajaran sesat itu. Ashaari hanya ditangkap setelah dia menyentuh soal politik iaitu mahu menjadi perdana menteri Malaysia. Ayah Pin dan cikgu Kahar tidak punya kaitan politik. Tak perlu diperangi sangat. Jemaah Islamiah dan Darul Islam sangat banyak membicarakan hal politik. Ia pertubuhan tak berdaftar dan perlu diperangi.
Kerajaan tak boleh buat semua itu kepada PAS kerana walaupun PAS sebuah pertubuhan politik, ia didaftarkan sebagai sebuah parti!
Petang kemarin. aku terminum air zam-zam ketika berpuasa. Entah bagaimana aku boleh terlupa. Mulanya aku menyuruh anakku minum. Dia demam. Dia paling tidak suka ubat. Menyuruhnya makan atau minum ubat amat sukar sekali. Menampal "cool fever " di belakangnya dia tidak benarkan. Dia fobia ubat.
Utuk memujukknya minum air zam-zam itu, aku demonstratelah. Ambil botol berisi air zam-zam lalu kutuangkan ke dalam penutupnya. Terus aku tuang ke mulut. Isteriku menegur.
Masya Allah! Astaghfirullah! Baru aku teringat. Bukankah aku puasa. Tapi tak sengaja minum. Tak batal puasa. Razeki daripada Allah SWT...hehe
"Jemaah masjid As-Syakirin seperti kurang tahun ini berbanding tahun lalu?", sahabat guru itu meluahkan ketika kami sedang berbual-bual mengenai suasana taraweh di masjid-masjid sekitar Sandakan.
"Entahlah kenapa, mungkin ada ibu bapa yang tersinggung dengan teguran berulangkali seorang AJK masjid agar ibu bapa yang membawa anak-anak ke masjid mengawal anak-anak mereka...", lanjut sahabat itu.
"Tak seharusnya kita membuat larangan terbuka begitu, kita perlu galakkan kanak-kanak datang ke masjid. Merekalah harapan kita di masa depan. Itulah sebab sesetengah masjid hanya ada orang-orang tua sahaja", aku menambah.
Di Surau Al-Fajar, ramai kanak-kanak. Menangani kanak-kanak yang buat bising boleh dengan cara yang lain. Jika pihak AJK masjid benar-benar ikhlas mahu mengawal kanak-kanak yang datang ke masjid agar jangan berbuat bising, petugas boleh dilantik untuk mengawal kanak-kanak agar tidak membuat bising. Namun, memarahi mereka jangan sekali-kali.
Bagiku, jika kanak-kanak datang ke masjid, kita patut bersyukur. Kita biasakan mereka dengan suasana masjid. Jika mereka mahu duduk di Saf dewasa, silakan. Jangan halang mereka. Mana ada dalil saheh yang menetukan saf kanak-kanak di belakang. Prinsip berlumba-lumba memburu kebaikan tidak boleh dinafikan buat kanak-kanak. Jika mereka mahu ke saf pertama kerana memburu fadhilat saf pertama, apakah hak kita untuk mengharamkan mereka mendapat fadhilat tersebut?
Pihak AJK masjid jangan rasa masjid dia yang punya. Masjid adalah milik Allah dan Allah mengizinkan semua hambanya mendatangi rumahNya!
Andainya kau tanya diriku, siapa dia wanita solehah? Aku pun tidak tahu menjawabnya. Kerana aku belum pernah menemuinya. Wanita-wanita zaman ini, ada sahaja masalahnya. Yang cantik menawan tetapi buruk perangainya. Yang indah budi bahasa, kurang pula amal agama. Jika agamanya baik, amalnya soleh, budinya santun masya Allah, tetapi kurang pula menawannya. Bukan sebab semulajadinya kurang menawan tetapi kerana pengurusan dirinya yang nil. Justeru, bagaimana menentukan seorang wanita itu solehah sebenarnya?
Mungkin memadailah memahami kesolehan seorang wanita dengan apa yang disabdakan Rasulullah SAW dalam sepotong hadis baginda yang bermaksud:
Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda “Sebaik-baik wanita adalah yang menawan hatimu bila engkau pandang, taat manakala engkau perintah, dan menjaga hartamu serta memelihara kehormatan diri-nya ketika engkau tidak ada di rumah.”( Ibnu Jarir dan al-Baihaqi)
Wajah cantik bukan persoalan. Perangai cantik belum memadai. Agama sempurna perlu sokongan lain. Sesungguhnya siapa yang dinugerahkan isteri solehah, dia telah diberikan salah satu daripada sumber kebahagiaan di dunia!
Setelah roboh kota Melaka
Kota A-Famosa Portugis dirikan
Bermulalah detik penjajahan
Bumi pertiwi jadi taruhan
Sempadan negeri jadi mainan
Kekayaan bumi serakah dikikis
Peribumi asal hidup melarat
Jadi hamba di tanah sendiri.
500 tahun bangsaku hina
Makan mengais di kaki lima
Berbaju compang kabur warna
Hasil kerja dicukai kepala
Disuruh buat angguk kepala
Ditengking terus sujud semerta
Bukan sedikit darah tumpah
Bukan alang berair mata
Para pejuang bangun berkata
“Merdekakan bangsamu!”
Agar bangsa hina jadi mulia
Banyak liku telah ditempuh
Sebelum merdeka berjaya disepuh
Terpahat kini 31 ogos
Negaraku merdeka
Semoga kekal buat selamanya.
Menerima jemputan seorang rakan untuk menyampaikan tazkirah selepas solat Maghrib di masjid Nurul Hidayah, Kg Sibugal Besar, aku hadir bersama isteri dan anak. Ketika aku sampai, tiada siapa di masjid. Aku melencong ke hujung kampung dan melihat ramai orang kampung, terutamanya pemuda dan kanak-kanak sedang melepak di simpang. Aku memanggil seorang muridku yang kelihatan duduk di tepian simpang itu dan memintanya mencarikan aku 2 tin air soya sejuk.
Setelah mendapat 2 tin soya, aku kembali ke masjid. Kelihatan imam Saleh dan 2 kanak-kanak sahaja.
"Kata ada majlis berbuka?", tanyaku kepada imam Saleh.
"Hari ni tak ada, esok baru ada, persatuan Bugis yang buat, lusa USIA pulak...", imam saleh menjelaskan.
"Saya diberitahu ada majlis berbuka petang ni, dan ada tazkirah lepas maghrib dan lepas tu dijemput mengimamkan taraweh...", aku memberitahu imam Saleh.
Imam saleh tersenyum.
"Yang menjemput ustaz pun tidak kelihatan", balas imam saleh.
Kami berbuka 5 orang. Imam Saleh, 2 kanak-kanak dan isteri. Anakku belum tahu berpuasa. Mujur juga kami ada bawa murtabak buat berbuka. Jika tidak memang tak ada makanan buat berbuka petang ini.
Lepas solat maghrib aku mengambil keputusan untuk pulang. Solat taraweh di surau Al-Fajar lebih selesa dan menyeronokkan.Ma'assalamah.
Kasihan, pengetahuan mengenai kepalsuan hadis mengenai fadhilat malam pertama hingga malam terakhir solat taraweh itu sudah sampai ke masyarakat umum. Tetapi dia belum mengetahuinya. Kukatakan dia belum mengetahuinya kerana dia masih menyebutkannya. Ke manakah mata dan telinganya sehingga perbincangan mengenai kepalsuan hadis tersebut tidak sampai ke telinga dan tidak terpandang oleh matanya?
Apa yang dikatakan hadis mengenai kelebihan solat taraweh setiap malam sepanjang Ramadhan itu sebenarnya hanya rekaan dusta seorang "qussas' (tukang cerita) di zaman dahulu. Mungkin qussas itu bermaksud baik untuk menarik dan menggalakkan orang datang solat taraweh di masjid. Namun, menggunakan nama Rasulullah untuk menawarkan ganjaran pahala buat orang ramai adalah satu pendustaan. Tidak berbaloi dapat memikat orang ramai ke masjid buat mengerjakan solat taraweh tetapi lantaran mendustakan atas nama Rasulullah dibalas neraka.
Kita tidak harus menyebarkan hadis palsu. Lebih-lebih lagi seorang ustaz atau imam yang mnejadi dokongan orang sekelilingnya.
Kemunculan tokoh-tokoh perubatan perbomohan Islam dalam hal menghalau makhluk halus dan menghancurkan simpulan sihir akhir-akhir ini semakin ramai. Pihak media massa memberikan tempat kepada mereka untuk menerangkan, malah membuat demontrasi mengenai bahaya dan cara mengubati serangan makhluk halus dan sihir. Sudah ada rancangan "al-kulliyyah" khas membicarakan hal tersebut.
Gangguan makhluk halus dan sihir ke atas manusia bukanlah sebuah metos. Ia memang diakui wujud dan agama Islam tidak sekali-kali menafikannya!
Namun, kemuculan ramai "ustaz" yang melibatkan diri dalam hal ini memberi gambaran seolah-olah serangan makhluk halus dan sihir ini berada pada peringkat bahaya. Seperti manusia kena rasuk di sana sini. Seorang ahli ruqyah digambarkan begitu sibuk dan setiap malam dijemput untuk melepaskan gangguan makhluk halus dan meleraikan sihir.
Begitu banyakkah gangguan makhluk halus dalam masyarakat?
Kekadang, sampai ke peringkat melampau, setiap sahaja seseorang itu sakit, pasti dikaitkan dengan makhluk halus. Padahal, manusia yang mati kerana makhluk halus tidaklah seramai manusia yang mati kerana makhluk kuman!
Siapa yang sudi mengucapkan hal itu kepada seseorang yang lain? Meminta nasihat bererti merendah diri dan membuang keegoan ilmu. Kalau ungkapan itu diucapkan oleh seorang murid kepada guru atau seorang yang muda kepada yang tua, itu mungkin biasa. Tetapi, bagaimana jika ungkapan itu dari seorang teman kepadastemannya?
Namun, meminta orang memberikan kita nasihat adalah amalan yang mulia. Aku ingin mengamalkannya dalam kehidupanku. Semoga ada keberkatan dengan mengamalkannya.
Bazar Ramadhan dibuka di sana sini. Ramai sekali orang berkunjung ke bazar Ramadhan. sama ada untuk tujuan berjual beli atau sekadar melihat sahaja. Orang Islam dan juga bukan Islam. Seawal jam 12 tengahari bazar sudah memulakan aktiviti jual beli. Yang mencurigakan, ada yang menjual bungkusan ais dan ada yang membelinya. Kalau beli ais bungkus di tengahari, mustahillah untuk di simpan buat berbuka
Hari pertama puasa, Taman Fajar sesak teruk. Kereta keluar berpusu-pusu bumper to bumper sekitar pasaraya Cheong Leong yang halamannya dipilih sebagai tapak bazar. Warga Taman Fajar yang hendak keluar pun tersekat dengan kereta yang banyak itu. Di tambahan pula kereta yang datang dari jalan Taman Perumahan baru Sejati Ujana.
Sekali lihat, nampak Ramadhan seperti hari-hari orang berpesta makanan. Tak mustahil satu hari nanti Kementerian Pelancongan akan jadikan hari hari Ramadhan sebagai daya tarikan pelancong. Sudah ada ura-ura itu baru-baru ini dari menteri berkenaan yang bukan beragama Islam itu.
"Makan nasi di siang hari bulan Ramadhan lebih besar dosanya dari makan daging babi. Minum air kosong di siang hari bulan Ramadhan, lebih besar dosanya daripada minum arak!", Demikian aku menegaskan buat murid-muridku pada hari ini.
"Anda sanggup makan babi?",aku bertanya kepada murid-murid dalam kelas.
"Hee...haram ustaz", mereka menunjuk memek muka jelek kepada daging babi.
" Anda pernah minum arak?", solaku kepada mereka lagi.
" Tak pernah!", suara mereka bersahutan menidakkan.
"Pernah makan atau minum di bulan puasa?", pintasku.
Mereka diam. Aku mengerti bahawa mereka belum berpuasa penuh sebulan. Kebanyakan mereka masih belum pun baligh. Tapi, tak mengapa aku mendedahkan mereka konsep tidak puasa menurut Islamagar menjadi amaran buat mereka di belakang hari.
"Makan dan minum di siang hari bulan puasa adalah lebih besar dosanya daripada makan daging babi dan minum arak!", aku mengulangi perbandingan ekstrem itu.
"Kami bangsa Kagayan. Menurut nenekku, siapa yang puasa pada hari pertama, dia hendaklah berpuasa pada keseluruhan bulan Ramadhan. Jika tidak, dia berdosa besar...", demikian seorang muridku menceritakan.
"Jadi? siapa yang tidak berpuasa pada hari pertama, bolehlah dia ponteng pada hari-hari lain di bulan Ramadhan?", soalku.
"Ya, begitulah...", akui murid itu."Betul ke tu ustaz?", dia bertanya.
"Tentulah salah. Meninggalkan puasa pada mana-mana hari tanpa alasan yang dibenarkan adalah dosa besar....", jawabku.
Mengapa banyak kepercayaan dan pendapat karut dibuat berkaitan puasa oleh masyarakat terdahulu?Dari sumber manakah datangnya fatwa-fatwa sebegini? Islam yang aku pelajari tidak pernah menemukan aku dengan fatwa-fatwa aneh ini. Padahal, Islam yang aku pelajari adalah bersumberkan Al-Quran dan Hadis serta perbahasan para ulama dan kitab-kitab karangan yang pelbagai. Aku meyakini kebenaran ilmu Islamku dan penyimpangan fatwa-fatwa tersebut.
Dulu, sewaktu aku di kepulauan dalam masyarakat Suluk, aku diberitahu bahawa siapa yang tidak mandi puasa, maka puasanya tidak sah. Oleh itu, masuk sahaja bulan Ramadhan, seseorang itu hendaklah mandi puasa. Ada seorang memberitahuku bahawa puasa dalam sebulan hanya ada 3 hari iaitu puasa menghantar anak bulan, puasa menyalam matahari dan satu lagi istilah yang aku lupa namanya. Di samping itu, terdapat kejahilan dalam menanggapi perkara-perkara yang membatalkan puasa. Menelan air liur dikatakan batal puasa. Kalau puasa tak boleh mandi. Kerja nelayan tak boleh puasa sebab terlibat dengan aktiviti penyelaman. Terluka membatalkan puasa dan bermacam-macam lagi.
"Jangan merujuk hal agama dengan nenek moyang kamu...rujuklah kepada ustaz dan ustazah!", demikian aku menegaskan buat murid-murid yang sedang bersekolah di pedalaman ini.
Malam ini masuklah 1 Ramadhan. Ketika solat sunat Taraweh di Surau Al-Fajar sedang berlanggsung, hujan pun turun dengan lebatnya. Selama beberapa tahun aku mengamati keadaan ini. Setiap kali bermulanya Ramadhan, hujan akan turun.Kekadang disulami kilat dan petir. Cuma malam ini tiada kilat dan petir.
Secara bergurau, aku pernah berkata bahawa malam pertama adalah malam di mana syaitan-syaitan diburu dan ditangkap untuk dirantaikan. Para malaikat sibuk menjalankan tugas. Petir dan kilat menurut beberapa riwayat berhubungkait dengan pukul, bedal dan panahan malaikat. Entahlah, apakah kaitan ini boleh dipertanggungjawabkan atau tidak.
"Apakah hujan yang turun malam ini secara kebetulan atau punyai makna tersirat?", aku menimbulkan persoalan kepada 2 sahabat jemaah surau, ust Mat Isa Saud dan Ust. Wan Helmi, ketika kami baru selesai solat witir dan ramai jemaah lain mulai bersurai.
Sewaktu perang badar, pada malam sebelumnya Allah turunkan hujan yang lebat. Dalam Al-Quran Allah menyebutkankan hal ini.
(ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan mesmperteguh dengannya telapak kaki(mu).
(Surah Al-Anfal: Ayat 11)
Jadi hujan sebelum peperangan adalah merupakan salah satu bentuk Nusrah Allah buat orang yang beriman. Dengan turunnya hujan, ia membekali air buat bersuci. Ia juga menghilangkan gangguan syaitan serta memperteguhkan semangat dan penderian. Ringkas katanya, hujan melahirkan kondisi stabil dan semangat yang mantap untuk menghadapi peperangan.
Bukankah masuk bulan Ramadhan itu laksana terjun ke medan peperangan? Peperangan melawan hawa nafsu. Tentunya keperluannya tidak banyak beza daripada apa yang diperlukan oleh dalam peperangan melawan musush Islam.
Barangkali di sini ada hubungkait yang boleh kita renungkan antara hujan yang sering turun di malam pertama Ramadhan dengan persiapan peperangan.
Solawat antara solat taraweh bukan amalan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Para sahabat dan salafus soleh juga tidak melakukannya. Namun melakukannya tidaklah salah. Terdapat riwayat mengatakan nabi mengucapkan kalimah tasbih "subbuhun quddusun....", selepas solat taraweh yang baginda lakukan 3 atau 4 malam sebelum baginda berhenti. Tetapi ucapan baginda tersebut tidaklah sebagaimana yang kita lakukan sekarang. Kita lakukan secara berjemaah dan dengan suara yang kuat.
Konsep solat taraweh adalah solat sambil berehat. Dengan kata lain solat dalam keadaan santai.
Dewasa ini, tazkirah antara solat taraweh sudah sudah menjadi kebiasaan di sesetengah masjid. Antara tazkirah dengan tasbih, tazkirah lebih besar manfaatnya buat ahli jemaah. Tazkirah memberikan ruang ahli jemaah mendapat peringatan, nasihat dan juga tambahan ilmu. Melakukan tazkirah antara solat taraweh juga bukan amalan yang pernah dibuat oleh nabi, para sahabat dan salafus soleh. Tetapi, tazkirah selalu disampaikan oleh nabi SAW dalam banyak keadaan.Demikian juga oleh para sahabat dan salafus soleh. Memasukkan tazkirah antara solat taraweh adalah kaedah yang baik untuk melipatgandakan kesan tazkirah tersebut. Lagipun, adalah lebih baik mendengar tazkirah daripada berehat kosong sambil duduk bersandar di tiang masjid. Ia juga lebih baik daripada bertasbih yang kekadang oleh ramai ahli jemaah tidak mengerti pun apayang diucapkannya.
Apapun, apa yang dilakukan perlulah mendasari sunnah. Bertasbih itu punya asas sunnah. Demikian juga bertazkirah. Penetapan masa bertasbih dan bertazkirah tidaklah ditentukan sunnah. Dalam Quran Allah memerintahkan kita mengingati Allah dalam semua keadaan yang kita selesa. Sama ada berdiri, duduk maupun berbaring. Tapi janganlah pula sambil melompat dan menari sebagaimana kelakuan sesetengah orang berzikir. Itu adalah al-ghuluy dan boleh jadi istihza'.
Januari tahun 1994, aku diposting ke Sabah. Bersama bakal guru-guru dari Semenanjung, aku berkumpul di Berjaya Palace Kota Kinabalu untuk diberi taklimat seterusnya di tentukan daerah dan sekolah tempat bakal berkhidmat. Mulanya aku difahamkan bahawa daerah posting aku adalah Ranau. Aku berharap dipostingkan di Ranau kerana aku menyukai suasana pergunungan dan cuaca dinginnya. Namun, setelah dibuat penyususnan, namaku tersenarai sebagai guru yang bakal diposting ke Sandakan.
Bersama denganku yang nama tersenarai ke Sandakan ialah Lukman Ghazali, Kamal Syurdin dan Hasmadi Azlan. Ada yang lain yang aku tidak cukup kenal. Kami adalah guru-guru agama. Aku bakal ditempatkan di Sk. Tanjung Batu. Lukman Ghazali ditempatkan di Sk. Pulau Sanghai. Kamal Syurdin di Sk Sg. Padas. Manakala Hasmadi Azlan di Sk. Pertanian.
Dari lapangan terbang Kota Kinabalu, kami diterbangkan ke Sandakan. Ust Awang Mahali, penyelia agama daerah Sandakan pada masa itu menguruskan ketibaan kami di Sandakan. Kami ditempatkan di asrama SMK Agama Sandakan untuk beberapa hari. Kemudian seroang demi seorang diambil atau pergi bertemu guru besar sekolah masing-masing untuk urusan lapor diri. Aku adalah yang terakhir dijemput oleh guru besar Sk. Tanjong Batu iaitu En. Asmat Aliaman.
Dalam kepalaku memang tidak tahu apa itu Tanjong Batu. Sehari sebelum aku dijemput oleh guru besar, bersama Lukman Ghazali aku telah menyusur Bandar Sandakan dan bertanyakan orang di sana tentang Tanjong Batu. Pemandu teksi yang kutanya menggelengkan kepala dan mengatakan setahunya Tanjjong Batu itu di Tawau. Aku bertanya kepada orang-orang di jeti tempat banyak kapal penambang dan bot kecil berlabuh. Disuruhnya aku bertanya kepada orang di atas bot kepunyaan seorang lelaki bernama Jumadul. Dialah pemilik bot penambang ke Tanjong Batu.
Aku masuk ke Tanjung Batu bersama guru besar menggunakann bot kecil. Aku difahamkan bot itu adalah kepunyaan dan pemandu bot tersebut bernama Fazle. Meredah ombak sekitar 15 minit, kami sampai ke jeti Tanjong Batu. Tanjong Batu adalah sebuah perkampungan nelayan. Dari jeti, aku mengangkat beg bagasiku melalui jambatan kayu yang sudah uzur melalui celah bakau sebelum sampai ke perkampungan Tanjong Batu Darat.
Hari itu adalah hari pertama aku di Sk. Tanjong Batu. Tidak ramai guru pada masa itu. Yang aku ingat mereka ialah, Martin Embing, Tanis Odong, Yusuf Hamid, Rosli Zakaria, Salina, Zarina dan M.Mong dan dua orang kerani perempuan.
Aku mula menempati sebuah rumah guru dan menghabiskan hari-hari yang terdampar di pedalaman kepulauan. Mengajar di Sk. Tanjong Batu, sesuai dengan kondisi kampung, tidaklah membebankan. Jumlah murid tak melebihi 150 orang. Purata yang hadir setiap hari hanya seratus orang.
Di Tanjong Batu, tiada bekalan elektrik. Sumber air yang utama adalah air hujan yang ditakung dalam tangki. Aku memberli generator peribadi bersaiz kecil. Di malam hari aku hidupkannya. Antara jam 6 petang sehingga jam 12 malam. Aku beli TV untuk menghilangkan kebosanan. Aku memohon talian talifon tanpa wayar jenis CDMA untuk membolehkan aku melayari internet. Sekurang-kurang aku boleh chating melalui YM dan menambahkan bacaanku.
Aku mengajak kanak-kanak kampung yang kebanyakannya muridku di sekolah untuk sama ke surau Tanjong Batu Darat buat solat berjemaah. Bulan pertama aku berkhidmat di sana, atas inisiatif guru besar dan beberapa orang kampung, solat jumuat cuba didirikan. Aku menyampaikan khutbah dan imam Hasan menjadi imam. Orang kampung yang hadir termasuk kanak-kanak tidaklah mencukupi jumlah jumuat menurut mazhab Syafie. Namun, kami teruskan juga dan tidak juga buat solat zohor sesudahnya. Aku menganggap ianya sah dan Allah memberikan kemudahan kepada kami.
Demikianlah selama lebih lima tahun aku bersenandung dalam tugasanku sebagai guru sekaligus jurudakwah di Tanjong Batu. Sehingga ditukarkan dengan perpindahan khas pada suku ketiga tahun 2008. Ditukarkan kerana dilihat berada dalam keadaan keselamatan terancam oleh atasan. Allahumma antas salam....
Tahun 1998, sewaktu aku baru graduate daripada Universiti Malaya, dunia mengalami situasi ekonomi merudum. Malaysia berdepan dengan krisis ekonomi. Dr. Mahathir, perdana menteri Malaysia ketika itu menuduh George Soros, seorang pelobi Yahudi sebagai orang yang bertanggungjawab.Krisis ekonomi itu disusuli pula dengan krisis politik akibat pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia sekaligus digugurkan jawatan dalam parti. Dr. Mahathir memberi alasan pemecatan itu dengan mengaitkan kes moral. Anwar Ibrahim dituduh dengan tuduhan liwat.
Kuala Lumpur bergolak. Beberapa bandar di Malaysia juga turut sama merasa tempiasnya. Demonstrasi jalanan berlaku setiap hari.
Aku dan beberapa sahabat berjuang untuk hidup di Kuala Lumpur dengan pelbagai pekerjaan. Aku pernah bekerja sebagai "mail dropper" dan pernah dikejar anjing sewaktu menjalankan tugas. Tak lama aku bekerja sebagai maildropper, bersama rakan-rakan, kami menubuhkan sebuah syarikat. Waja Ilmu Management Sdn Bhd. Itulah namanya. Kami menawarkan servis menjadi guru tuisyen di rumah. Termasuk juga mengajar mengaji. Iklan dicetak di bawah nama syarikat tersebut dan disebarkan di masjid-masjid pada hari jumuat. Sambutan warga Kuala Lumpur agak menggalakkan. Empat orang menjadi ahli lembaga pengarah syarikat iaitu aku, Ahmad Najmi Muhammad, Hazri Hasyim dan Rasidi Alias
Kami dapat bernafas lega dengan sambungan hayat itu. Alhamdulilah!
"Baca buku , di mana sahaja kamu berada. Menjadi ulat buku bukan hina...", aku memberi nasihat kepada murid-murid dalam kelas 6 satu ketika.
Aku terkenang zaman persekolahanku. Aku memang ulat buku sewaktu di peringkat menengah. Lebih-lebih lagi sewaktu tingkatan 5 dan 6. Ke mana aku pergi aku menyelitkan sebuah buku nota kecil dalam poket bajuku. Di dalamnya aku tuliskan perkataan-perkataan Arab beserta maknanya yang aku ekstrak daripada kamus. Aku suka mengahafal kamus. Kamus Arab maupun Inggeris. Ustaz di sekolah menggelarku "sahibul kamus".
Aku kerap membantu ibu bapaku menoreh di kebun getah milik keluarga kami di Bendang Yol. Aku ke sana dengan basikal tua. Apabila aku pergi menoreh, aku membawa beg usang yang di dalamnya aku isikan buku. Aku menoreh membantu ibuku. Setelah beberapa pokok aku toreh dan penat, aku duduk bersandar di pokok getah dan mengeluarkan bukuku. Aku membaca sehingga keinginan menyambung kerjaku datang semula.
Di musim menuai, aku dan abangku ditugaskan memukul padi. Padi-padi yang telah dikerat oleh ibu, kakak serta adik perempuanku diletakkan atas tunggul padi. Kamilah yang kena pukul padi agar terelai dalam tong layar. Kekadang aku lakukan bersama abangku. Kekadang aku lakukan seorang diri. Aku selalu bawa buku bersama. Setalah penat memukul padi, aku duduk di balik timbunan jerami dan membuka bukuku untuk kubaca atau hafal. Kalau padi yang hendak dipukul banyak, aku buat pondok jerami sementara yang ringkas untuk berteduh.
Aku pernah baca buku sambil bela kerbau di permatang sawah. Aku pernah buat 'ran' di atas dahan pokok tinggi dan duduk di sana membaca buku. Aku pernah buat meja di bawah pokok rendang di cerok yang sunyi tanpa gangguan dan duduk membaca di sana. Pendeknya, aku menjadi ulat buku satu masa dahulu.
Sekarang tak nampak macam ulat lagi. Ulat ada masanya menjadi rama-rama.
Ulat buku bukan hina. Dengan buku kita menambah ilmu.
Sewaktu aku mendapat keputusan cemerlang dalm SPM, aku mensasarkan untuk menyambung pelajaran ke Pusat Matrikulasi UIAM. Almarhum bapaku menyuuruhku memohon ke Mahad Tahfiz. Dia mahu selepas itu aku menyambung pelajaran ke Mesir.Aku tida sanggup ke Mahad Tahfiz kerana membayangkan kehidupan penghafaz Al-Quran terikat dengan disiplin yang ketat. Aku tidak berminat ke Al-Azhar, Mesir. Ibuku menyokong aku menyambung ke universiti tempatan. Aku gagal mendapat tempat di Pusat Matrikulasi UIAM kerana Bahasa Inggerisku tidak cukup baik. Lalu, aku menyambung pelajaran ke tingkatan 6 atas di sekolah yang sama. Aku mengambil STA dan STPM dalam tahun yang sama. Aku mendapat "jayyid" dalam STA dan 5P dengan agreget 68 dalam STPM.
Bapaku sekali lagi mendesakku menyambung pelajaran ke Al-Azhar, Mesir. Aku berminat untuk ke Akademi Islam UM. Ibuku menyokong hasratku. Aku sebenarnya menyedari keadaan keluargaku yang kurang kemampuan. Tentu untuk ke Al-Azhar perlukan kos yang tinggi.
Bapaku berkata :" Alim ulama kata, siapa yang minum air sungai nil akan menjadi alim...",
Aku diterima masuk ke Akedemi Islam UM. Inilah aku seadanya.
"Siapa sembang, ustaz cubit perut", aku sering menggunakan perkataan itu untuk menutup mulut murid-murid yang berbuat bising dan banyak cakap semasa aku bercakap dalam kelas maupun perhimpunan. Setakat ini, ancamanku berjaya mententeramkan mereka.
"Tiada maaf!", demikian aku menegaskan apabila mendapati ada murid yang melanggar larangan beramaran yang aku keluarkan. Lalu, menggunakan jari telunjuk dan ibu jari, aku mencubit perutnya. Tidak terlalu kuat sehingga mencederakan. Tapi cukup menyakitkan. Murid-murid selalunya dapat kutenteramkan dengan cara tersebut.
Baru-baru ini, murid-murid kelas 4 memberitahuku bahawa guru besar mendenda mereka dengan mencubit paha. Seorang murid menunjukkan gaya cubitan di paha yang pernah guiru besar lakukan.
"Wah, ini satu hukuman yang menarik...", aku tersenyum dan murid-murid kelas empat terkabil-kabil. Agaknya menyesal kerana memberitahuku hukuman cubitan di paha itu.
"Taman perumahan ini sungguh cantik. Rumah-rumah di sini besar dan lamannya luas. Tentunya penghuni taman ini orang yang mewah dan berpangkat tinggi dalam masyarakat Ada pula taman yang cantik terjaga di tengahnya" , fikriku satu hari ketika aku tersesat masuk ke lorong-lorong taman perumahan bernama Ngu Yen.
Selama ini, aku kira pentadbiran bandar Sandakan tidak mengutamakan pembangunan taman sebagai rekreasi rakyat. Rupanya, ada taman-taman rekreasi yang indah tersorok di taman-taman elit. Memang, kalau buat orang ramai, Sandakan adalah bandar yang tidak mesra rekreasi.
"Taman ini memang cantik, tapi sayangnya bukanlah penempatan yang baik....tiada surau di dalamnya", ujarku kepada isteriku. Aku sering menjadikan kewujudan surau atau masjid sebagai kriteria utama taman perumahan yang baik. Padaku, sebuah kampung setinggan yang ada surau di dalamnya lebih mendamaikan berbanding sebuah taman perumahan yang cantik dengan rumah agam tetapi tiada surau atau masjid di dalamnya.
Namun, bagi mereka yang tidak menjadikan masjid sebagai pusat kerohanian, tentu taman yang cantik dengan rumah agam itu laksana syurga dalam dunia. Sememangnya keadaan yang berbeza-beza antara sebuah taman dengan taman yang lain, dan berbeza pula dengan rumah perkampungan air dan setinggan, umpama beza antara tingkat-tingkat syurga di akhirat.
Di akhirat nanti, ada syurga yang indah permai lebih daripada syurga -syurga lain. Satu syurga dengan syurga lain tidak sama. Taman Tyng tak sama dengan Taman Fajar. Taman Grand View tak serupa pula dengan perkampungan BDC. Perbezaan antara beberapa penempatan dalam negeri kita adalah bandingan perbezaan antara satu syurga dengan syurga yang lain.
Namun, syurga itu tidak dapat dibayangkan. Bukan apa yang pernah kita lihat. Bukan pula yang pernah kita dengar. Lintasan hati tak mampu mengkhayalkannya.
Belilah insuran takaful. Ia merupakan simpanan hari tuamu.Demikian kerap kali agen insuran memberi semangat agar membeli insuran yang dijualnya. Kalaupun tak sempat kita merasainya, anak-anak kita akan mendapatkannya dan dengan itu kehidupan mereka akan lebih terbela sesudah ketiadaan kita.
Hari tua yang sungguh dibimbangi ramai orang.
"Saya mahu simpan CRK saya agar dapat dituntut bersama graduiti waktu pencen nanti", seorang penjawat awam yang masih muda pula membicarakan tentang potensi keuntungan sewaktu mengakhiri perkhidmatan kelak. Umur baru penghujung 20-an.
Demikian jauh melamun dalam impian. Umur tak dapat ditentukan. Kalau mati lusa, apa faedahnya memeras otak memahami faedah-faedah beberapa skim sesudah pencen.
Islam menyuruh kita merancang untuk masa depan. Demikian pula seseorang berhujah untuk mewajarkan simpanan dalam skim takaful dan perancangan kewangan sesudah pencen.
Subhanallah...aku tak tahu apa nak kata. Aku tidak menolak tentang pentingnya merancang masa depan. Tetapi jangan masa depan hidup singkat ini sahaja kita berhempas pulas merancang. Ada masa depan yang lebih jauh dan lebih utama untuk dirancang. Itulah hari kahiratmu yang pasti datang dan kekal selamanya.
Singgah di kawasan gerai jualan malam hari berdekatan Pejabat Pos Besar Sandakan pada malam ini, aku berpesan kepada isteriku yang akan keluar membeli beberapa pilihan makanan yang ada di sana.
"Beli dari orang yang di wajahnya ada tanda orang beriman",
Gerai-gerai yang terletak di tepi jalan pinggir Pejabat Pos Besar Sandakan itu menjual pelbagai makanan. Ada jagungm kuih muih dan ikan bakar. Ada juga mee goreng, soto, mehon sup dan sebagainya. Rata-rata yang berjual di sana adalah penduduk tempatan yang beragama Islam.
Namun, tak semua yang beragama Islam ada tanda beriman di wajahnya. Makanan yang disediakan oleh orang yang baik tentu memberi natijah yang baik. Itulah yang aku mahu dicermati oleh isteriku.
Aku memberhentikan kereta di tepi tiga kanak-kanak yang menjual lembaran keputusan Sport Toto itu. Malam ini aku memasuki bandar Sandakan tanpa tujuan yang pasti. Meninggalkan majlis Forum di Masjid Jannatun Naim Sri Taman tadi, acara belum selesai. Mulanya tujuanku mahu pergi membeli belah di Pasaraya Borong Gentingmas. Namun, sebaik keretaku meninggalkan perkarangan masjid, puteriku Zamila Salsabila terus terkulai lena. Dia keletihan kerana banyak berlarian di masjid tadi.
"Kamu jual keputusan Sport Toto?", aku menurunkan cermin tingkap dan melontarkan pertanyaan dari dalam kereta. Kanak-kanak itu kebingungan untuk menjawab pertanyaanku. Kelihatan riak ragu-ragu pada wajah mereka.
"Siapa bos yang menyuruh kamu jual?", tanyaku lagi setelah pertanyaan pertama tidak dijawab.
"Cina!", jawab seorang daripada mereka.
"Yang membelinya siapa? Ada yang melayu ke?", soalku lagi
"Ada...", balas kanak-kanak itu.
"Berapa komisen kamu dapat?",
"Kalau kami dapat habiskan sepuluh helai ni, kami dapat RM2.00", seorang kanak-kanak menceritakan.
"Kamu bangsa Suluk?", aku bertanya.
"Ya", jawab seorang.
"Sekolah tak", isteriku menyampuk bertanya.
"Tak...", mereka menggelengkan kepala.
"Ok...semoga kamu semua dapat membesar dengan baik", aku nenamatkan perbualan jalanan itu.
"Semoga tuan haji panjang umur", suara kanak-kanak itu membalas ketika aku telah mula meninggalkan mereka.
Sungguh kasihan mereka. Mereka tidak bersekolah. Mereka miskin. Mereka tak tahu perbuatan mereka menjual keputusan sport toto itu sebagai usaha yang haram. Mungkin ibu bapa mereka pun tidak menerangkan buat mereka.
"Akulah yang akan dipersoalkan...", keluhku risau.
Sekurang-kurangnya mereka tidak merompak. Mereka mencari razeki dengan jalan haram tetapi mereka tidak mencuri dan merompak. Apakah kaedah yang boleh digunakan buat memaafkan mereka yang tersepit dan menjadi mangsa keadaan itu?
"Akhaffu dararain...", kaedah itu berlegar dalam fikiranku. Aku merenung. Apakah mereka itu dibenarkan dibenarkan menjual berdasarkan kaedah tersebut?
Malam ini, aku sempat berbual singkat dengan Ust Abu Hurairah, seorang penceramah bebas dari USIA sebelum acara Forum Hal Ehwal Islam yang diadakan di perkarangan masjid Sri Taman dimulakan. Dia menyatakan bahawa dia berasal dari Mindanau dan sehingga kini masih memegang pasport Filipina. Dia tidak mahu memohon menjadi warganegara Malaysia sekalipun menurutnya, dia sudah lebih daripada layak. Dia pernah belajar di Universiti Madinah dan bertugas sebagai dai yang dilantik oleh kerajaan Arab Saudi semenjak tahun 70-an. Kini dia sudah pencen dan berkhidmat pula sebagai penceramah dari USIA.
"Saya belajar di Madinah dan tamat pada tahun 1971. Ust Hj Hadi Awang adalah seangkatan dengan saya di sana...", Ust Abu Hurairah memberitahuku.
"Dekat kampung saya di Kedah, ada seorang yang juga meruapakan pendakwah yang dilantik oleh kerajaan Arab Saudi, namanya Ust. Ashari...", ujarku.
Dianugerahkan Allah umur yang panjang merupakan satu nikmat. Kenikmatan itu lebih sempurna jika umur yang panjang itu dalam keadaan mulia, terhormat dan menikmati kesenangan dalam dunia. Lebih sempurna lagi kali umur yang panjang dalam kebaktian dan kebaikan sesuai dengan kehendak Allah SWT. Namun. tidak semua orang diberikan usia yang panjang. Orang baik dan berbakti banyak buat agama, tetapi umurnya pendek. Ada pula yang jahat, derhaka kepada Allah dan banyak angkara dan onar di dunia, umurnya panjang pula.
Ajal merupakan ketetapan Allah SWT yang tidak akan dilewatkan dan didahulukan walau sesaat. Namun, umur seseorang boleh diperpanjangkan oleh Allah SWT dengan sebab-sebab tertentu. Salah satu sebab panjangnya umur seseorang sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadis nabi SAW ialah menghubungkan silatur rahim.
“Sesiapa yang mahu dilapangkan razeki untuknya, dipanjang umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silatur rahim”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mengapa seorang yang menghubungkan silatur rahim itu diperpanjangkan umurnya. Ada dua cara memahami hadis tersebut.
Pertama, dari segi kuantiti, umur 50 tahun tidaklah akan menjadi 70 tahun. Kalau ajal sudah 50 tahun, matilah orang itu pada umur 50 tahun. Tak akan dipanjangkan lagi. Tetapi, panjang umur seseorang itu dinilai berdasarkan faedah dan kasih sayang manusia kepadanya. Walaupun umurnya cuma 50 tahun, tetapi kesannya seperti 70 tahun. Lihatlah bagaimana pendeknya pemerintahan Umar bin Abd Aziz. Hanya sekitar 2 tahun. tetapi, kesan pemerintahan seperti pemerintahan selama 20 tahun lantara berkat kebaikan yang dia lakukan dalam pemerintahannya.
Kedua, pertambahan umur tersebut sememangnya dari segi kuantiti. Orang yang tertulis umurnya dalam catatan malaikat sewaktu diperintah tuliskan 4 perkara di alam janin sebagai 40 tahun misalnya, akan bertambah menjadi 60 tahun disebabkan menghubungkan silatur rahim. Kelanjuitan usia seseorang, dari segi saintifiknya punya kaitan dengan keadaan hatinya. Seorang yang hatinya sejahtera mempunyai potensi panjang umur yang lebih berbanding orang yang hatinya berkulat dengan pelbagai kemelut dan masalah. Seorang yang menghubungkan silatur rahim akan menikmati kegembiraan dan kebahagiaan dalam hidupnya dan ini akan memberikan kesan kepada pertambahan jangka hayatnya.
Orang kampungku memanggilnya sebagai pokke. Setengah orang menyebut sebagai tokke. Ia hidup di dahan-dahan kayu atau di celah-celah alang rumah. Pada masa dahulu, kehidupan pokke aman dan damai. Namun, semenjak hebohnya metos bahawa pokke boleh mengubat penyakit AIDs, pokke menjadi buruan. Harga pokke dinilai berdasarkan berat dalam gram. Kasihan pokke. Keamananannya semenjak berzaman sirna disebabkan manusia yang dengan mudah diperbodohkan oleh metos perubatan.
Pokke boleh mengubati penyakit AIDs hanya masih di peringkat dakwaan. Banyak dakwaan mengenai penawar AIDs yang kita dengar. Penjual ubat Transfer Factor juga mendakwa produk mereka boleh mengubati AIDs. Dikatakan ada sejenis tumbuhan yang dijumpai di negeri Sarawak boleh mengubati AIDs. Semua itu di peringkat dakwaan. Dakwaan perlu dibuktikan dengan fakta. Barulah ia dapat dipertanggungjawabkan. Kalau sekadar dakwaan, bagaimana kalau saya mendakwa bahawa rumput samba yang menjadi musuh utama para petani sawah di Kedah satu masa dahulu mampu mengubati AIDs? tentu legalah kesusahan ramai petani. Barangkali, rumput samba bukan lagi musuh kepada penenaman padi. Silap-silap, padi pula digantikan dengan penanaman rumput samba!
Kini kehidupan pokke tak aman lagi. Sumber-sumber hidupan liar sudah mula melahirkan kebimbangan bahawa pokke akan pupus dengan cepat akibat diburu manusia.
Wah, beberapa hari terakhir ini aku asyik tidak berkesempatan untuk solat Subuh berjemaah! Bila mata terbuka sahaja, kulihat jam sudah menunjukkan lebih daripada pukul lima. Kalau dah lebih pukul 5, solat Subuh berjemaah di surau kejirananku sudah mula didirikan. Kalau aku bangun tunaikan hajat, ambil wuduk, hidupkan enjin motosikal, buka pintu pagar rumah dan menuju ke surau, sudah tentu para jemaah sudah memberi salam. Oleh itu, aku solat di rumah sahaja.
Sepertinya akhir-akhir ini aku dikalahkan oleh lena yang hanyut.
Oh Tuhan...bantulah aku memburu kelebihan akhirat. Bingkaskan aku di waktu dini merangkul barakahnya hari. Janganlah jadikan aku orang yang merugi.
Bulan Sya'ban hampir melabuhkan tirai. Tak sampai seminggu lagi, Ramadhan akan menjelma. Bulan Sya'ban di kalangan masyarakat tempatan di Sabah dikenali juga sebagai bulan arwah. Pada bulan inilah ramai yang mengadakan kenduri tahlil arwah. Di sesetengah tempat, khususnya di kawasan perkampungan yang padat penduduk tempatannya, boleh dikatakan setiap malam ada kenduri tahlil arwah. Menjelang akhir bulan Sya'ban, makin rancaklah kenduri arwah di sana sini.
Kenduri tahlil arwah sudah menjadi adat kebiasaan bagi masyarakat Islam di Nusantara. Untuk mengubah adat kebiasaan ini memang sukar. Sungguhpun sukar, perubahan perlu dijana dan diusahakan. Membuang kenduri tahlil arwah memang hampir mustahi. Sekurang-kurang buat masa ini. Orang yang mempertikaikan kenduri tahlil arwah sering dilebelkan sebagai berfahaman wahabi. Macam mana sekalipun, kenduri arwah diwajarkan, kendati ke atas keluarga yang miskin dan sering tidak berkecukupan untuk keperluan keluarga sendiri. Para pemuka agama dalam masyarakat pula hanya menjadi penerus kebiasaan tersebut tanpa menimbulkan kesahihannya dari segi sunnah dan keaslian agama.
Biarlah...sekadar yang boleh dijelaskan, jelaskan. Sementara kehendak masyarakat untuk meneruskan kebiasaan ini tak dapat kita halangi.
Cuma, yang menjadi perkara yang sumbang dan perlu diubah segera adalah kebiasaan bertahlil selepas solat maghrib. Kebiasaan ini masih diamalkan oleh sesetengah keluarga. Apa yang menjadi masalahnya ialah jemputannya ialah ahli masjid dan surau. Apabila ahli masjid dan surau berduyun ke rumah yang mengadakan majlis tahlil arwah selepas maghrib, alamtnya sedikitlah orang yang mendirikan solat jemaah insya berjema'ah.
Mana yang lebih utama antara solat insya berjemaah dengan tahlil arwah. Sedangkan tahli arwah, kalaupun nak dibuat sangat, boleh sahaja lepas solat insya. Kenapa waktu sesudah solat maghrib juga yang dipilih. Inilah yang sumbangnya. Aku pernah bertanya alasannya kepada seorang imam yang mengepalai majlis tahlil di sebuah perkampungan. Katanya, para arwah pulang pada waktu maghrib. Di perkampungan itu lebih dahsyat lagi kerana majlis tahlil boleh menggantikan solat maghrib. Kerana arwah pulang pada waktu maghrib, masa paling afdhal dibuat kenduri tahlil arwah adalah pada waktu maghrib.
Sungguh bid'ah dakwaan sebegini. Barangkali ini asal pegangan yang menjadi amalan tahlil selepas maghrib yang diamalkan pula oleh warga taman perumahan.
AKu tidak bersikap anti tahlil. Setiap dijemput tahlil, aku berusaha untuk hadir. namun, jika tahlil itu dibuat sesudah solat maghrib, minta maaflah. Selepas maghrib ada kuliah-kuliah di surau dan masjid. Lagipun, kebiasaannya, kehadiran ke majlis tahlil selepas maghrib akan menyebabkan kelanjutan masa sehingga insya. Akibatnya, terlepas solat insya berjemaah.
Pada hematku, dan aku yakin sekali dengan pendapat ini, majlis tahlil tidak boleh dibandingkan dengan solat Insya berjemaah. Solat Insya berjemaah adalah sunnah baginda Rasulullah. Tahlil pula jauh sekali untuk dikatakan sebagai sunnah Rasulullah. Tidak ada pilihan antara tahlil dan solat Insya berjemaah kerana kedua-duanya di laluan yang berbeza.