CARI BAHAN

Wednesday, June 08, 2022

KECEMBURUAN DUNIAWI LEBIH MENYEDARKAN BERBANDING KECEMBURUAN AGAMA

Kalau nak banding cemburunya burung hud-hud dalam kisah nabi Allah Sulaiman dengan cemburunya kebanyakan kita manusia terhadap agama Allah, kalah kita manusia. Hebat lagi si burung hud-hud. Melihat kaum Saba' yang menyembah matahari, hud-hud tidak merasa senang dan melaporkannya kepada nabi Allah Sulaiman. Kata hud-hud dalam sebahagian ujarannya:


" Sesungguhnya aku melihat ratu negeri Saba' serta rakyatnya menyembah matahari sebagai Tuhan selain Allah dan Syaitan telah menghiaskan pekerjaan mereka itu agar nampak molek pada mata mereka",


Kita manusia, lebih-labih lagi yang beriman dan menurut ajaran nabi Muhamamd hendaklah sentiasa mempunyai rasa cemburu yang tinggi terhadap agama Allah. Cemburu dalam ertikata kita tidak rela agama Allah itu dipermainkan, diconteng keasliannya atau dijadikan alat meraih habuan dunia oleh para serigala berwajah manusia. Kita akan segera sedar dan melawan kalau agama Islam dihuduhkan dengan perbuatan yang tidak sepatutnya.


Di antara perkara yang sangat menghuduhkan Islam adalah bid'ah. Ianya satu perkara yang dimport daripada luar lalu ditempelkan dengan wajah Islam. Hanya kerana akar persamaan dalam beberapa hal dengan ajaran sebenar Islam, perkara itu diterima dan dikembangkan sebagai sebuah inovasi. Ia menjadi tazyin yang kononnya memperindahkan Islam, sedangkan hakikatnya ia merosakan ketulinan Islam yang dibawa nabi SAW.


Kita perlu cemburu jika ada orang buat bid'ah. Hanya persoalan melebelkan beberapa hal sebagai bid'ah itulah yang membawa sebahagian orang terlebih laju daripada lajak. Kekadang menumpahkan garam di atas luka. Para pencemburu hendaklah sentiasa bijak menarik handbreak ketika memandu di leburaya yang meliar di atasnya rumpai bid'ah. Mungkin di sana ada beberapa hal yang diberikan keuzuran atau pandangan mata kita kurang jelas dek kabus yang telabal di lebuh raya tersebut.


Kesesatan juga merupakan ancaman besar buat para salikin di jalan Allah. Syaitan selalu memikat melului pelbagai cara. Pada hematku, syaitanlah yang menghamparkan jalan buat masuknya pemikiran songsang ke dalam Islam. Masuknya najis falsafah hingga membuat "camouflage" dalam akidah Hakikat Muhammadiyyah adalah permainan syiatan. Syaitan mewahyukankepada para dajjalin yang kemudiannya diangan-angankan tentang ketiggian maqam.Lantas kita dengar bahawa kalangan para dajjalin itupun mendakwa ittihad wal hulul.

Banyak orang yang terpengaruh dan jadi taksub kepada para mambang agama. Ada yang sanggup korbankan segalanya demi para mambang agama itu. Mambang-mambang agama itu dianggap sebagai wali suci, orang yang mampu bawa mereka mendakati sidratul muntaha Allah. Hal ini berlaku bersilih sepanjang zaman. Korban-korbannya tidak pernah surut. Malah kian bertambah. 

Ada seorang ustaz hebat di negeri antah berantah. Banyaklah sudah dia menipu dalam derap langkahnya. Namun kerana penampilan luarannya serta kepetahan bicaranya, orang yang mengikutnya pun tidak sedar. Mereka seperti tersihir. Orang yang kena sihir, ruqyah apa yang mampu membebaskan mereka. Tambahan pada ketika akal hilang fungsi. Seruan Allah berulang kalai dalam Quran , "Afala ta'qilun" dan "Afala Tatafakkarun" tidak lagi memberi makna buat orang-orang yang tersihir.

Datanglah ulama rabbani yang hebat menyedarkan mereka yang terpesona oleh mainan dajjal bertopeng agama, belum tentu berhasil. Hatta, diandaikan, datanglah nabi Muhammad SAW menjelaskan kepincangan matbu'nya,pun akan berdolak daliklah dengan seribu alasan.

Hinggalah apabila kecemburuan dunia datang, timbullah kesedaran. Ustaz yang hebat itu didapati membangunkan kekayaan melebihi ornag lain. Dia ada rumah agam yang bernilai jutaan. Orang yang selama ini taksub kepadanya pun rasa cemburu. Cemburu dengan dunia sang ustaz penyihir. Bukan cemburu terhadap dongeng agama yang dia contengkan ke wajah Islam. Tidak jadi hal kalau agam dikeronyok sekalipun. Apa yang jadi hal ialah apabila dunia ustaz itu melonjak dan luar biasa.

Maka, itulah...dalam banyak kes, kecemburuan dunia lebih menyedarkan orang berbanding kecemburuan agama!



No comments: