CARI BAHAN

Monday, June 06, 2022

Dhamir kesesatan Batiniyyah lebih besar.

Beberapa isu yang menggemparkan khalayak lewat terakhir ini berhubung pegangan agama berasaskan akidah ahli sunnah waljama'ah, hanyalah ibarat pepatah Inggeris "the tip of the iceberg". Apa yang muncul itu hanya sebahagian kecil daripada bahagian yang tersembunyi. Apa yang menggemparkan itu hanyalah sekelumit daripada kesesatan dan kebatilan yang tersimpan.

Ajaran yang berorientasikan kebatinan telah menjadi duri dalam daging bagi kemurnian Islam sejak zaman berzaman. Di atas panggung sejarah Islam, sejak zaman selepas Rasulullah SAW wafat, telah bermunculan ajaran-ajaran yang pelbagai di mana ia menyalahi ajaran Nabi SAW. Dari kesalahan yang dapat dilihat dengan jelas pada zahirnya, hinggalah kesalahan yang tersembunyi dalam batin. 

Para peneliti sejarah telah menemukan bahawa kemuculan penyimpangan Islam dari dimensi batinnya mula diterokai oleh kelompok Syiah Ismailiyyah. Kelompok ini adalah pecahan daripada Syiah Ithna 'Asyariyyah dalam soal menentukan siapa IMAM setelah meninggalnya Jaafar Sodiq. Ithna 'Asyariyyah mendakwa bahawa Musa Al-Kazimlah penerus legasi keimaman Syiah, manakala ada sekelompok lain mendakwa bahawa Ismail bin Jaafar Sodiqlah yang menjadi pewaris keimaman Syiah. Mereka inilah yang dinamakan Syiah Ismailiyyah yang menjadikan setiap yang zahir ada batinnya. Nas Al-Quran maupun hadis ada sisi zahirnya dan ada sisi batinnya. 

Ajaran Syiah Ismailiyyah ini meresap dan dikembangkan dari semasa ke semasa sebagai racun berbisa dalam tubuh Ummat Islam. Ia bukan sahaja mempengaruhi firqah Syiah tetapi juga kalangan kumpulan Ahli Sunnah. Aliran-aliran dalam tasawwuf paling terdedah kepada pemikiran bercorak kebatinan ciptaan Syiah Ismailiyyah ini. Ajaran kebatinan Syiah Ismailiyyah ini mendapat lonjakan besar pada zaman ia dipimpin oleh Abdullah bin Maimun Al-Qoddah. Dia adalah pengembang teologi batiniyyah Ismailiyyah. Kemudiannya dari kelompok Syiah Ismailiyyah inilah muncul pula kumpulan Qoramitah apabila Syiah Ismailiyyah dipimpin oleh Hamdan bin Qarmut. Qoramitah menjadi semakin jauh tersesat dari Islam.

Ajaran-ajaran batiniyyah ini kemudian berkembang dan melebar serta menambahkan koleksi-koleksi baru dalam kepercayaan dan pegangan. Ia dianut oleh kebanyakan ornag yang terjun dalam dunia tasawwuf. Pada fasa-fasa seterusnya, bersama kemunculan aliran tasawwuf yang bersifat falsafah, ia bercampur aduk dengan ajaran batiniyyah. Hasilnya muncullah konsep dan kepercayaan yang ganjil ditempelkan kepada Islam.

Hari ini kita dengar konsep maratib kewalian yang pelbagai. Hal-hal kepercayaan berkenaan kewalian merangkumi satu pakej yang saling berkait. Para wali dilantik. Para wali punya kerajaan di alam batin. Para wali punya wewenang memerintah dan mentadbir alam ( Tasarruf). Para wali ada kasyaf, ladunni, amalan suluk, ahwal, syatahat dan Nabi Khidr adalah kerencaman pegangan batiniyyah yang berhubung dengan konsep kewalian. 

Kita juga dengar ada orang dakwa bertemu dengan nabi Muhammad SAW secara yaqazoh. Ada orang membawa akidah wehdatul wujud. Ada yang menebarkan keyakinan berasas akidah hakikat muhamamdiyyah. Ada orang bercakap mengenai tanasukh al-Arwah. Ada yang bercakap mengenai Ismur-Ruh. Sampai kepada dakwaan bahawa nabi Muhamamd bukan manusia tetapi adalah Allah. 

Semua yang yang sampai kepada kita berhubung tafsiran batini terhadap agama, kepercayaan pelik dan dilebelkan sebagai hakikat dan makrifat untuk mempercantikkannya, HANYALAH "the tip of the Iceberg" daripada anasir kebatinan yang tersimpan. Kalaulah isi kitab Fususul hikam karya Ibn Arabi dibongkar atau jadi panutan orang, alangkah berseliratnya kekarutan batiniyyah yang akan kita saksikan. Apa yang direkodkan dalam kitab "Al-Insan Al-Kamil" karya Abdul Karim Al-Jili pun sudah pasti akan membingungkan. Di dunia nusantara ini, ada kita semisal Hakikat Insan yang dinisbatkan kepada Ahmad Laksamana. Ada lagi beberapa kitab kebatinan lain yang jadi Zabur para pengemban batiniyyah.

Di bawah paras permukaan yang kita nampak, tersimpan kekufuran besar batiniyyah yang tidka berani dilonjakkan oleh mereka yang mengaku AHLI HAKIKAT. Kononnya atas dasar ilmu itu tidak mampu ditanggung oleh awam.

No comments: