CARI BAHAN

Wednesday, December 06, 2017

ZAID IBRAHIM KATA SOLAT BERJEMAAH AMALAN BODOH?

Kenyataan Zaid Ibrahim mengenai program mewajibkan solat jemaah ke atas pelajar sebagaimana yang diarahkan oleh Pegawai PPD Kuantan Mohd Razali Mustafar adalah seperti berikut:

“Mewajibkan sesi sembahyang ini ke atas pelajar hanyalah satu lagi daripada banyak perkara bodoh pendidik kita lakukan kepada pelajar kita.

“Ritual agama diamalkan setiap hari di sekolah kita adalah satu kegagalan dan mereka akan terus gagal membina perwatakan dan menyemai nilai baik dalam kehidupan.
“Anda mahu membina perwatakan? Maka ajar mereka makna kejujuran, integriti dan kerja keras,”
Sumber: Freemalaysiatoday.com 
 Membaca dan menilai kenyataan sedemikian, seorang bernama Zaid Ibrahim ini boleh disimpulkan sebaris dengan beberapa individu lain yang sering mengocak kerukunan  hidup beragama dalam masyarakat kita. Antaranya Siti Kasim, Asiah Jalil dan Kasim Ahmad. Mereka adalah orang-orang Melayu yang dijangkiti otak fikiran mereka dengan lantunan pemikiran para orientalis yang sejak berzaman melihat Islam dan ummatnya sebagai objek kritikan. Kini, kerja-kerja para orientalis itu sudah dilanjutkan oleh para duplikasi yang mereka lahirkan dari anak zuriat kaum muslimin.

Atas nama kepandaian, berhujah dan kritis, mereka dengan berani merendahkan amalan-amalan agama hatta yang "idhtirari" dan telah diamalkan oleh ummat beriman tanpa soal. Kerana kononnya berfikir secara waras, mereka mempertikaikan banyak hal berkaitan Islam, termasuk hal-hal yang menjadi fondasi dalam agama.

Zaid Ibrahim mengatakan tindakan Pegawai Pendidikan Kuantan itu adalah tindakan bodoh. Mewajibkan para pelajar solat berjemaah sebelum balik adalah tindakan bodoh. Tidak dapat dipastikan apakah maksud Zaid. Apakah mewajibkan solat berjemaah itu tindakan bodoh atau solat berjemaah itu sendiri amalan bodoh?

Jika dia maksudkan mewajibkan solat berjemaah itu perkara bodoh, maka dia harus tahu bahawa orang bodoh tidak melakukan perkara pandai. Seseorang dikatakan bodoh kalau apa yang dibuatnya itu perkara bodoh. Jika perkara yang dibuatnya itu perkara pandai, orang itu dikatakan orang pandai.

Namun , untuk berlaku adil dalam perkara Zaid ini, aku meletakkan andaian mungkin dia maksudkan perintah mewajibkan solat berjemaah itu sebagai perkara bodoh di antara sekian banyak kebodohan yang dilakukan oleh para pendidik. Bukan solat jemaah itu berkara bodoh. Mewajibkan solat berjemaah itu yang disifatkannya perkara bodoh. Jika demikian, kenyataan Zaid tersebut tidaklah mencalar amalan agama. Ia cuma mencabar perlaksanaannya yang mungkin padanya menyasar. Ia semacam mempertikai orang Islam dan bukan mempertikai agama Islam.

Aku cuba merenung dan berfikir kenyataan Zaid Ibrahim ini. Dia kata MEWAJIBKAN SESI SEMBAHYANG iaitu solat berjemaah adalah salah satu perkara bodoh di antara sekian banyak kebodohan yang dilakukan oleh pendidik ke atas pelajar. Antara kebodohan lain yang mungkin maksud Zaid adalah program-program kementerian yang tidak menguntungkan masa depan pelajar seperti Frog Vle, I-think, mengejar jumlah A dalam peperiksaan dan sebagainya.( tidak boleh fikir contohnya sekarang). Maka, Zaid kata menjadikan solat berjemaah itu wajib adalah satu kebodohan. Solat berjemaah itu sunnat atau fardhu kifayah (dalam mazhab Syafie) , tetapi diangkat jadi wajib. Mewajibkan yang sunat itulah dianggap sebagai satu kebodohan.

Namun, sebagaimana tabiatnya para palakun media sosial, kenyataan seseorang selalu dimanipulasi. Ubah ayat sedikit, sudah jadi makna yang lain. Jika benar petikan word by word yang didapati dalam sumber portal tersebut, maka apa yang dibuat printscreen oleh para aktor media sosial tersebut adalah mengubah kalam dari tempatnya. Ia diperhitungkan sebagai satu fitnah.

Fitnah tidak boleh diwajarkan sekalipun atas seornag kafir, aties, leberalis atau munafiq.  Seorang Muslim perlu jujur dan amanah dalam menaqalkan kata sekalipun kebencian membara dalam dada.





No comments: