CARI BAHAN

Tuesday, October 24, 2017

SYUKURLAH AKU TIDAK HIDUP ZAMAN RASULULLAH

Hidup di zaman Rasulullah tentulah punya kelebihan. Zaman terbaik  dalam sejarah kemanusiaan. Maka, hati kita kekadang terlintas impian. Kalaulah aku lahir pada zaman itu, alangkah indahnya.

Marilah kita berfikir sejenak tentang impian kita itu. Impian untuk hidup sezaman dengan Rasulullah SAW. Terlintas dalam fikiran kita, alangkah baiknya kalau aku hidup di zaman Rasulullah. Aku boleh jadi pengikut setianya. Aku akan mendapat kelebihan dan syurga sebagaimana yang didapati oleh sahabat-sahabatnya yang terkenal.

Kita bayangkan kita akan jadi sehebat Abu Bakar, Umar, Usman atau Ali. 

Akan tetapi kita terlupa satu hal. Di zaman nabi, bukan semua orang menjadi penyokongnya. Pakciknya sendiri jadi musuh ketatnya, iaitu Abu Lahab. Saudara mara bagindalah yang menjadi musuhnya dalam dakwah di Makkah.

Bagaimana kita boleh berfikir bahawa kita hanya akan jadi pendokong nabi kalau kita hidup di zamannya. Apakah tidak mungkin kita akan jadi seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Ummayyah bin Khalaf dan selainnya?

Sahabat Huzaifah Al- Yamani pernah ditanyakan seorang pemuda pada zamannya sewaktu beliau berdomisil di Kufah, iaitu sesudah wafatnya Rasulullah SAW. Pemuda itu bertanya tentang persahabatannya dengan Rasulullah SAW. Huzaifah menceritakan tentang perjuangan para sahabat bersama Rasulullah SAW. Sang pemuda yang penuh semangat itu pun berkata:

" Demi Allah, kalau kami hidup sezaman baginda, kami tidak akan biarkan baginda berjalan kecuali atas pundak kami".

Sungguh bersemangat. Seolah-olah pengorbanan para sahabat nabi tidak cukup hebat. Dia akan berbuat yang lebih hebat daripada apa yang telah para sahabat lakukan.

Huzaifah menceritakan peristiwa di malam perang Ahzab. Ketika Rasulullah bertanya kepada para sahabat:

" Siapa antara kalian yang sanggup pergi ke tempat musuh dan kembali bawa khabar, aku jamin untuknya syurga", 

Seorang pun sahabat tidak berani tampil bangun. 

Hatta Nabi mengulangi lagi tawarannya. Kali ini dengan tawaran jadi teman baginda dalam syurga. Pun tiada. Sehingga Rasulullah menunjukkan Huzaifah. Huzaifah pun tidak bangun ketika ditunjukkan. Semuanya kerana pengaruh keadaan yang penuh takut, sejuk dan dan lapar.

Demikianlah yang berlaku pada zaman Rasulullah dan orang-orang terbaik yang bersahabat dengan Rasulullah SAW. Apakah boleh kita berkata:

" Kalau aku ada ketika itu, aku akan bingkas bangun dan berkata, akulah orangnya ya Rasulullah!".

Siapa tahu, kalau kita saat itu, sebelum perang Ahzab meletus, sudah sudah  lari meninggalkan Kota Madinah dan bersembunyi di kampung-kampung Badawi! Kita akan lebih bacul daripada sahabat yang setia di samping Rasulullah ketika itu, biarpun dalam keadaan takut, cemas dan gelisah.

Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa seorang memuji dua mata Miqdad bin Amru yang pernah menatap Rasulullah SAW. Lantas Miqdad pun menempelak dengan mengatakan berapa banyak mata yang melihat nabi tetapi Allah melaknat mata itu dan pemiliknya menjadi isi neraka.

 جلسنا إلى المقداد بن الأسود يوما فمر به رجل فقال : طوبى لهاتين العينين اللتين رأتا رسول الله صلى الله عليه وسلم ، لوددنا أنا رأينا ما رأيت ، وشهدنا ما شهدت ، فاستغضب ، فجعلت أعجب ما قال إلا خيرا ، ثم أقبل إليه فقال : ما يحمل الرجل على أن يتمنى محضرا غيبه الله عنه لا يدري لو شهده كيف كان يكون فيه ، والله لقد حضر رسول الله صلى الله عليه وسلم أقوام أكبهم الله على مناخرهم في جهنم لم يجيبوه ولم يصدقوه ، أولا تحمدون الله إذ أخرجكم لا تعرفون إلا ربكم مصدقين لما جاء به نبيكم قد كفيتم البلاء بغيركم ، لقد بعث الله النبي صلى الله عليه وسلم على أشد حال بعث عليها نبيا من الأنبياء في فترة من جاهلية ، ما يرون أن دينا أفضل من عبادة الأوثان ، فجاء بفرقان فرق به بين الحق والباطل وفرق بين الوالد وولده حتى إن كان الرجل ليرى والده وولده أو أخاه كافرا وقد فتح الله قفل قلبه للإيمان يعلم أنه إن هلك دخل النار فلا تقر عينه وهو يعلم أن حبيبه في النار ، وإنها التي قال الله تعالى { والذين يقولون ربنا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين }
الراوي: جبير بن نفير (تابعي) المحدث: ابن كثير - المصدر: تفسير القرآن - الصفحة أو الرقم: 6/142
خلاصة حكم المحدث: إسناده صحيح

Lihat sahaja bagaimana kelakuan orang Islam hari ini. Orang yang bila ditanya, mahukah hidup di zaman Rasulullah SAW, jawapan mereka ialah sudah tentu. Tidak hidup di zaman Rasulullah, tetapi buat cerita Rasulullah datang dalam majlisnya. Kalau mereka hidup di zaman Rasulullah SAW, apakah mereka akan memuliakan Rasulullah lebih daripada yang pernah sahabat baginda berikan?

Ketika azan dilaungkan, masih boleh duduk lepak di kedai kopi hingga solat jemaah usai di masjid.

Lihat bagaimana seorang boleh duduk hisap rokok di beranda masjid, bahkan ada yang berani menyedut  benda haram itu di dataran ka'bah.Kalangan mereka ada yang sanggup dia hisap rokok dan syisya  sewaktu melaksanakan wuquf di padang Arafah.

Berangan-angan mahu jadi sahabat nabi, tetapi nak solat tahajjud pun susah. Solat wkatu pun selalu lewat.

Cuba fikir, ada seorang lelaki cinta habis seorang wanita yang cantik jelita pujaan hatinya. Dia berusaha untuk menyuntingnya dan menghadapi pelbagai halangan untuk itu. Sebelum berjaya mengahwininya, dia katakan kalau aku dapat kahwin dengannya, semua wanita lain sudah tidak menarik di matanya. Namun, bukankah ada lelaki yang semacam ini, bila sudah dapat wanita dambaannya, dikahwininya beberapa tahun, dia pun kemudiannya jemu dan berselengkoh dengan perempuan lain. Mana pergi kata-katanya sebelum dapat dulu. Kata-kata yang bersulam cinta.

Selalu sahaja kita dengar orang berakata, kalau aku kaya, akan aku bina rumah anak yatim, derma di sana sini dan berbuat pelbagai kebajikan. Takdir Allah, dia pun kaya. Ramai yang lupa janji. Sebelum kaya janji manis, lepas kaya bakhil kedekut habis. Situasi begini kerap terjadi.

Sebab itu, sungguh banyak angan-angan dan harapan tidak berjalan dalam bentuk amalan. Ia hanya kata-kata yang tidak mampu dilaksana. Kalau kita dilahirkan dan hidup pada zaman selepas 14 kurun zaman nabi, bersyukurlah kerana kita masih Islam. Kerana zaman ini sesuai untuk orang macam kita, Allah lahirkan kita pada zaman ini. Kita yang kedekut, pemalas, penakut dan banyak penyakit hati. Kita zaman ini yang lebih banyak baca whatsapp, FB dan surat khabar. Cepat letih dan jemu bula baca Quran.

Syukurlah aku tidak lahir di zaman Rasulullah SAW yang sarat dengan mehnah dan tribulasi. Kerana itu sku tidak disaring dengan ujian yang tidak tertanggung!Alangkah ruginya kalau lahir di zaman Rasulullah, tetapi jadi gerombolan Sanadid Quraisy atau Munafiq menyimpan kebencian kepada nabi.

Biarlah kita baca kisah nabi dan ikut nabi dari zaman yang jauh. Kita melihat kesempurnaan seorang insan bernama Muhammad lalu menyemai cinta kepadanya dari masa yang yang jauh ke belakang. Kita telah melihat keseluruhan dan meyakininya. Sedang mereka sezamannya hanya melihat beberapa bahagian dna berjuang meyakininya dalam putaran permainan perasaan dan keraguan.




No comments: