CARI BAHAN

Tuesday, October 24, 2017

SYUKURLAH AKU TIDAK HIDUP ZAMAN RASULULLAH

Hidup di zaman Rasulullah tentulah punya kelebihan. Zaman terbaik  dalam sejarah kemanusiaan. Maka, hati kita kekadang terlintas impian. Kalaulah aku lahir pada zaman itu, alangkah indahnya.

Marilah kita berfikir sejenak tentang impian kita itu. Impian untuk hidup sezaman dengan Rasulullah SAW. Terlintas dalam fikiran kita, alangkah baiknya kalau aku hidup di zaman Rasulullah. Aku boleh jadi pengikut setianya. Aku akan mendapat kelebihan dan syurga sebagaimana yang didapati oleh sahabat-sahabatnya yang terkenal.

Kita bayangkan kita akan jadi sehebat Abu Bakar, Umar, Usman atau Ali. 

Akan tetapi kita terlupa satu hal. Di zaman nabi, bukan semua orang menjadi penyokongnya. Pakciknya sendiri jadi musuh ketatnya, iaitu Abu Lahab. Saudara mara bagindalah yang menjadi musuhnya dalam dakwah di Makkah.

Bagaimana kita boleh berfikir bahawa kita hanya akan jadi pendokong nabi kalau kita hidup di zamannya. Apakah tidak mungkin kita akan jadi seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Ummayyah bin Khalaf dan selainnya?

Sahabat Huzaifah Al- Yamani pernah ditanyakan seorang pemuda pada zamannya sewaktu beliau berdomisil di Kufah, iaitu sesudah wafatnya Rasulullah SAW. Pemuda itu bertanya tentang persahabatannya dengan Rasulullah SAW. Huzaifah menceritakan tentang perjuangan para sahabat bersama Rasulullah SAW. Sang pemuda yang penuh semangat itu pun berkata:

" Demi Allah, kalau kami hidup sezaman baginda, kami tidak akan biarkan baginda berjalan kecuali atas pundak kami".

Sungguh bersemangat. Seolah-olah pengorbanan para sahabat nabi tidak cukup hebat. Dia akan berbuat yang lebih hebat daripada apa yang telah para sahabat lakukan.

Huzaifah menceritakan peristiwa di malam perang Ahzab. Ketika Rasulullah bertanya kepada para sahabat:

" Siapa antara kalian yang sanggup pergi ke tempat musuh dan kembali bawa khabar, aku jamin untuknya syurga", 

Seorang pun sahabat tidak berani tampil bangun. 

Hatta Nabi mengulangi lagi tawarannya. Kali ini dengan tawaran jadi teman baginda dalam syurga. Pun tiada. Sehingga Rasulullah menunjukkan Huzaifah. Huzaifah pun tidak bangun ketika ditunjukkan. Semuanya kerana pengaruh keadaan yang penuh takut, sejuk dan dan lapar.

Demikianlah yang berlaku pada zaman Rasulullah dan orang-orang terbaik yang bersahabat dengan Rasulullah SAW. Apakah boleh kita berkata:

" Kalau aku ada ketika itu, aku akan bingkas bangun dan berkata, akulah orangnya ya Rasulullah!".

Siapa tahu, kalau kita saat itu, sebelum perang Ahzab meletus, sudah sudah  lari meninggalkan Kota Madinah dan bersembunyi di kampung-kampung Badawi! Kita akan lebih bacul daripada sahabat yang setia di samping Rasulullah ketika itu, biarpun dalam keadaan takut, cemas dan gelisah.

Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa seorang memuji dua mata Miqdad bin Amru yang pernah menatap Rasulullah SAW. Lantas Miqdad pun menempelak dengan mengatakan berapa banyak mata yang melihat nabi tetapi Allah melaknat mata itu dan pemiliknya menjadi isi neraka.

 جلسنا إلى المقداد بن الأسود يوما فمر به رجل فقال : طوبى لهاتين العينين اللتين رأتا رسول الله صلى الله عليه وسلم ، لوددنا أنا رأينا ما رأيت ، وشهدنا ما شهدت ، فاستغضب ، فجعلت أعجب ما قال إلا خيرا ، ثم أقبل إليه فقال : ما يحمل الرجل على أن يتمنى محضرا غيبه الله عنه لا يدري لو شهده كيف كان يكون فيه ، والله لقد حضر رسول الله صلى الله عليه وسلم أقوام أكبهم الله على مناخرهم في جهنم لم يجيبوه ولم يصدقوه ، أولا تحمدون الله إذ أخرجكم لا تعرفون إلا ربكم مصدقين لما جاء به نبيكم قد كفيتم البلاء بغيركم ، لقد بعث الله النبي صلى الله عليه وسلم على أشد حال بعث عليها نبيا من الأنبياء في فترة من جاهلية ، ما يرون أن دينا أفضل من عبادة الأوثان ، فجاء بفرقان فرق به بين الحق والباطل وفرق بين الوالد وولده حتى إن كان الرجل ليرى والده وولده أو أخاه كافرا وقد فتح الله قفل قلبه للإيمان يعلم أنه إن هلك دخل النار فلا تقر عينه وهو يعلم أن حبيبه في النار ، وإنها التي قال الله تعالى { والذين يقولون ربنا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين }
الراوي: جبير بن نفير (تابعي) المحدث: ابن كثير - المصدر: تفسير القرآن - الصفحة أو الرقم: 6/142
خلاصة حكم المحدث: إسناده صحيح

Lihat sahaja bagaimana kelakuan orang Islam hari ini. Orang yang bila ditanya, mahukah hidup di zaman Rasulullah SAW, jawapan mereka ialah sudah tentu. Tidak hidup di zaman Rasulullah, tetapi buat cerita Rasulullah datang dalam majlisnya. Kalau mereka hidup di zaman Rasulullah SAW, apakah mereka akan memuliakan Rasulullah lebih daripada yang pernah sahabat baginda berikan?

Ketika azan dilaungkan, masih boleh duduk lepak di kedai kopi hingga solat jemaah usai di masjid.

Lihat bagaimana seorang boleh duduk hisap rokok di beranda masjid, bahkan ada yang berani menyedut  benda haram itu di dataran ka'bah.Kalangan mereka ada yang sanggup dia hisap rokok dan syisya  sewaktu melaksanakan wuquf di padang Arafah.

Berangan-angan mahu jadi sahabat nabi, tetapi nak solat tahajjud pun susah. Solat wkatu pun selalu lewat.

Cuba fikir, ada seorang lelaki cinta habis seorang wanita yang cantik jelita pujaan hatinya. Dia berusaha untuk menyuntingnya dan menghadapi pelbagai halangan untuk itu. Sebelum berjaya mengahwininya, dia katakan kalau aku dapat kahwin dengannya, semua wanita lain sudah tidak menarik di matanya. Namun, bukankah ada lelaki yang semacam ini, bila sudah dapat wanita dambaannya, dikahwininya beberapa tahun, dia pun kemudiannya jemu dan berselengkoh dengan perempuan lain. Mana pergi kata-katanya sebelum dapat dulu. Kata-kata yang bersulam cinta.

Selalu sahaja kita dengar orang berakata, kalau aku kaya, akan aku bina rumah anak yatim, derma di sana sini dan berbuat pelbagai kebajikan. Takdir Allah, dia pun kaya. Ramai yang lupa janji. Sebelum kaya janji manis, lepas kaya bakhil kedekut habis. Situasi begini kerap terjadi.

Sebab itu, sungguh banyak angan-angan dan harapan tidak berjalan dalam bentuk amalan. Ia hanya kata-kata yang tidak mampu dilaksana. Kalau kita dilahirkan dan hidup pada zaman selepas 14 kurun zaman nabi, bersyukurlah kerana kita masih Islam. Kerana zaman ini sesuai untuk orang macam kita, Allah lahirkan kita pada zaman ini. Kita yang kedekut, pemalas, penakut dan banyak penyakit hati. Kita zaman ini yang lebih banyak baca whatsapp, FB dan surat khabar. Cepat letih dan jemu bula baca Quran.

Syukurlah aku tidak lahir di zaman Rasulullah SAW yang sarat dengan mehnah dan tribulasi. Kerana itu sku tidak disaring dengan ujian yang tidak tertanggung!Alangkah ruginya kalau lahir di zaman Rasulullah, tetapi jadi gerombolan Sanadid Quraisy atau Munafiq menyimpan kebencian kepada nabi.

Biarlah kita baca kisah nabi dan ikut nabi dari zaman yang jauh. Kita melihat kesempurnaan seorang insan bernama Muhammad lalu menyemai cinta kepadanya dari masa yang yang jauh ke belakang. Kita telah melihat keseluruhan dan meyakininya. Sedang mereka sezamannya hanya melihat beberapa bahagian dna berjuang meyakininya dalam putaran permainan perasaan dan keraguan.




Saturday, October 21, 2017

Taubat yang majhul

Orang Islam, kalau mahu bertaubat, tak payah pergi cari ulama untuk membuat pengakuan. Dalam hatinya ada harapan terhadap Tuhan. Ungkap penyesalan dalam munajat bersama Tuhan. Tidak perlu cari ustaz, pagawai pejabat agama maupun ulama-ualama terkemuka untuk bertaubat. Malah, para ulama itu sendiri memrlukan taubat sebagaimana para pendosa perlukan taubat. Antara Allah dan hambaNya, tidak perlu ada peraih agama yang mengaut keuntungan kedudukan dan penghormatan.

Kerana itu, jika anda melihat seorang yang telah melakukan dosa masa lalu dan dosa itu telah menjadi sejarah, jangan lagi ditanya kepadanya. Sudahkah anda bertaubat. Pertanyaan sedemikian boleh sahaja dijawab dengan mudah. Kalau aku beertaubat, perlukan kamu tahu. Apabila si pendosa telah tinggalkan perbuatan angkaranya dan sedang berbuat baik, itulah tandanya sedang bertaubat. Orang yang tidak pernah rasa berdosa, dan tidak pula berbuat baik pada masa sekarang, itu lebih teruk daripada pendosa tadi.

Allah taala yang memiliki pengampunan dan keampunan itu tidak di'subkontrak' kepada ssesiapa di kalangan manusia yang tidak pernah maksum.

Berdoalah agar Tuhan mengampunkan diri sendiri. Setiap diri punya dosa dan sifat kibriya' dalam diri selalu menghasut kita hingga lupa bahawa kita insan berdosa.

Wednesday, October 18, 2017

Usah menebar sengketa

sejak kau sibuk melontar panah
bersama para algojo penyeranah
ketenanganmu akan hilang dimamah
akan kau kobar api ananiyyah...

Para makhluk yang beraraksi
di kanvas perebutan kerusi
jangan diikuti seperti nabi
usah dijadikan alat menggapai visi

 biarlah mereka menarah bukit amal sendiri
janganlah pula tumpang sekaki
tanpa habuan dunia tapi akhiratmu lari
kau rugi paling rugi.

Pergilah bersendiri di puncak tinggi
atau berteleku di dalam sampan tengah lautan
kau tutup lampu yang membuatkan kau kelihatan
usah biarkan kamu jadi tunggangan

Sejak kau sibuk menyemai sengketa
telah kuduga kau akan mendapat palit noda
bukan yang kau pinta
katamu: aku dianiaya!
itulah buahnya
dari sebuah sayembara penuh angkara.

Friday, October 13, 2017

JADILAH CIAK, USAH JADI GAGAK

Kalau sudah resmi gagak
sampahlah juga ia tabrak
manakan bisa seperti ciak
terbang senyap di celah semak.

Perkara kecil diulang sebut
walau sudah diputuskan turut
hatinya jengkel masih serabut
printah turut dianggap karut.

madah ini kritik tersirat
buat orang silap makrifat
merasa diri sentiasa tepat
terlupa dia kepada hakikat.

Perkara khilaf diputuskan Sultan
itulah dia sebaik jalan
agar negeri kekal aman
hukum bukan di tangan preman.

Siapa tidak redha hatinya
itulah tanda bersarang kibriya
bukan semua dapat dicapainya
ada tempat ikut sahaja.

Kalau lidah biasa mencela
bahasa lembut berbunyi durja
perintah raja ditangkis sahaja
atas nama kebebasan bersuara

Apalah salah kiranya akur
raja melarang perkara terlanjur
rakyat jelata  tersalah cebur
tahi burung disangka kapur.


ULAMA BERJASA BESAR

Di antara pemikiran Kasim Ahmad adalah menyifatkan ulama dalam Islam sebagai sebuah sistem ala-kepadrian dan sisitem ini tidak ada dalam Islam. Oleh kerana itu, menurutnya, perkataan para ulama tidak boleh dijadikan rujukan . Bahkan, sejajar dengan penolakkannya trehadap otoriti hadis, dia meletakkan kesalaman kepada Imam Syafie rahimahullah sebagai pemula kepada penyelewengan agama iaitu menjadikan hadis sebagai sumber kedua dalam Islam.

Menerjah pemikirannya, orang selalu mempersoalkan bagaimana mahu menunaikan solat jika tidak bergantung kepada hadis. Perkara ini ada jawapan menurut pemikiran Kasim Ahmad. Solat yang kita lakukan hari ini adalah warisan daripada ajaran nabi Ibrahim dan ummat Islam hanya meneruskan. Ia bukan ditunjukkan oleh ilmu hadis.

Banyak hal yang boleh dihujah balas. Sekali imbas, seperti ada keunikan dalam cara berfikir Kasim Ahmad. Namun, pemikirna seperti demikian adalah seperti sarang labah-labah. Walaupun nampak dijalin cantik, ia mudah dorobek oleh tiupan angin dan terjahan serangga lain sekalipun.

Apa yang telah dijalani oleh para ulama sepanjang zaman( yang disifatkan sebagai kasta paderi oleh Kasim Ahmad), mempunya peranan besar dalam menyumbang kepada tamadun pemikiran ummat. Kemajuan dan pencapaian Islam sepanjang zaman yang turut dikongsi dengan kebanggan oleh beliau, adalah disumbangkan oleh tamadun ilmu para ulama . Ulama yang menjadikan hadis nabi sebagai sandaran.

Ulama berjasa besar sungguhpun memang ada segelintir yang dijelmakan oleh pengikut taasubnya sebagai kasta paderi!

PEMIKIRAN KASIM AHMAD

Kata sesetengah orang, Kasim Ahmad sudah mati. Maka, kita perkatakan sahaja yang baik-baik tentangnya. Usah lagi diungkit segala kontroversi yang dia timbulkan masa hidupnya. Nabi SAW mengingatkan dalam sebuah hadis agar menyatakan yang baik untuk orang yang telah mati kerana mereka telah pergi bertemu Allah membawa segala apa yang mereka buat. Usah lagi dicemarkan lidah kita dengan memakan dagingnya.

Memang! Demikianlah jika orang sudah mati meninggalkan dunia fana ini. Kita tidak perlu sebut kejahatannya. Bahkan sebutlah kebaikannya.

Namun, saranan dalam hadis itu adalah untuk orang yang mati membawa bersaqmanya dosa-dosanya yang bersifat peribadi. JIka dia mati membawa dosa umum yang membabitkan ornag ramai, ada hadis lain yang membenarkan menyebutkan kejahatannya.

Di kalangan manusia, ada yang mati meinggalkan contoh yang jahat dan diikuti orang. Termasuk yang meninggalkan ajaran, pemikiran dan tauladan buruk yang dianut orang. Jika tidak boleh menyebut hal-hal kejahatan yang ditimbulkannya, bagaimana hendak memberhentikan pengaruh pemikirannya. Maka, hendaklah diterangkan bahaya pemikirannya dan itu tidak dapat tidak melainkan menyebutkan tentang si folan itu.

Pemikiran Kasim Ahmad dalam soal hadis, otoriti ulama, tafsir Al-Quran dan pelbagai lagi adalah menyalahi pegangan Jumhur Ummah. Bahkan dia membawa alirang yang menyanggal perkara-perkara yang sudah dipegang ummat tanpa pertikaian. Maka hal tersebut perlu diperjelaskan kepada masyarakat dan diterangkan kesesatannya.

Monday, October 02, 2017

HARTA PUSAKA MELAYU

Melayu itu dulunya kaya
banyak harta pusaka
warisan para nenda

Ada pusaka menjadi saka
anak cucu menaggung sengsara

Ada pusaka  bawa bencana
jadi rebutan punca sengketa

Ada pusaka teramat rapuh
seperti keris tidak disepuh

Pusaka melayu hingga kini
itulah kuasa memerintah negeri

Kata Mat Taib bekas MB
UMNO itu angsa bertelur emas
orang Melayu usah cemas
jangan mudah karam lemas
biarlah susah hidup hak dirampas
asal kuasa Melayu tetap di atas.

Cuma mahu bertanya
jika tanah Sg Besi sudah terlepas
Syarikat Negara Cina jadi pemilik
Kalau CEO Proton bukan lagi Melayu
banyak pusaka bangsa dijual kepada bangsa asing
apakah lagi dibanggakan dengan pusaka kuasa
rakyat Melayu habis dikuras
tekanan hidup kian buas...

Apa lagi boleh dibangga
pada Angsa bertelur emas.


Response kepada: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/10/02/kuasa-politik-satu-satunya-harta-pusaka-melayu-kata-mat-taib/



Cinta palsu

Kita akan sentiasa melihat
orang menabur cinta palsu
untuk satu musim yang bersemi
orang datang berlari
kemudian bila habis musim bercinta
mereka pun pergi tanpa permisi

Usahlah terpesona
dengan eratnya genggaman jari
sewaktu bersalam dua orang bercinta
kerana esok boleh sahaja
bertukar menjadi pukulan cota

Seperti dewa yang dipuja
bukan untuk selamanya
ada jatuh  bangunnya
masa mengubah segala