Malam kelmarin, aku menyolati jenazah Pak Ngah Musa di masjid Kg Masjid. Pak Ngah Musa meninggalkan disebabkan penyakit penat dan khabarnya komplikasi jantung. Namun, apapun, demikianlah suratan takdir. Beliau juga sudah tua. Kalau tidak silap, umurnya lebih kurang sebaya almarhum bapaku. Jika bapaku masih hidup, umurnya pada tahun ini adalah 76 tahun. Walaupun masih ada yang lebih tua daripada bapaku yang masih menongkah hayat, kian tahun mereka menyambut panggilan ilahi. Jika yang masih ada dan hidup, sedikit sekali yang masih sihat dan bertenaga.
Demikianlah kehidupan. Bila zaman muda belia telah pergi, datanglah zaman tua dan renta. Allah maha mengetahui pada saat mana Dia patut menjemput seseorang mengadapNya.
Pak Ngah Musa adalah kerabat yang bukan jauh daripada keluargaku. Dia dan ibuku berada pada pangkat sepupu. Bapa ibuku dan ibunya adalah saudara kandung, anak kepada TG Haji Saleh. Bapa ibuku bernama Ismail. Ibu Pakngah Musa pula bernama Tok Piah. Ismail adalah abang kepada Tok Piah. Ismail adalah Tokwan aku. Dia sudah meninggal. samalah juga dengan Tok Piah. Tok Piah menikah dengan panglima Saleh dan melahirkan 5 orang anak. Satunya pak Ngah Musa. Yang lain-lain ialah Mak Tih Midah, Pak Anjang Man Tolak dan Satu orang yang disebut mak Andak yang tinggal di Selangor tetapi balik kampung masjid pada satu tahun dan meninggal di tanah kelahirannya itu. Pada masa aku masih lagi belajar di Universiti Malaya, ketika majlis Konvokasyen aku, seingat aku, Pakngah Musa juga hadir sama dan bersama ibu bapaku mereka ke rumah mak Andak itu. Aku tidak kenal dan anak-anaknya pun aku tak kenal.
Pak Ngah Musa telah kembali dan dia bergabung dengan para leluhurnya. Semoga semua leluhurku berada dalam rahmat Allah SWT. Satu masa, aku juga akan menyusul dan menemui leluhurku di alam sana. Aku berdoa sentiasa agar bapaku, datuk nenekku semuanya dalam rahmat Allah. Masa hidup tidak cukup panjang. Hitungan hari dalam dunia sangat pantas. Akhiran menjadi sangat cepat.
No comments:
Post a Comment