CARI BAHAN

Saturday, January 31, 2026

Hidup menempuh kematangan

 Ini tahun 2025. Usiaku sudah mengjangkau 53 tahun. Banyak yang sudah berubah tentang diriku.Aku diubah oleh keadaan. Cara berfikir juga mengubahku. Ini adalah lumrah dalam kehidupan. Tiada manusia yang statik. 

Dari sudut keupayaan dan kesenangan hidup, aku boleh dikatakan berada dalam zon complasent sekarang ini. Ada keluarga , rumah, tanah dan wang simpanan. Ada juga saham-saham yang walaupun kuntungannya dormant, masih boleh diharapkan modal bila dijual.

Dari sudut fikrah agama, aku cenderung kepada manhaj salafi. Orang banyak tuduh itu sebagai wahabi. Aku tidak peduli. Aku lebih suka beragama tanpa taksub dan menapis ketat amalan yang datang tanpa hujjah dalil. Aku tidak senang dengan bid'ah yang dihisai dengan amalan tok guru atau wali Allah. Aku juga tidak beriktikad bahawa wali Allah itu dilantik dan berkerajaan ghaib!

Aku tidak peduli pasal asya'irah , maturidiyyah atau siapa sahaja. Kiblatku dalam agama tidak bersuluh kepad tokoh. Aku cuma katakan samai'na wa ato'na kepada Rasulullah SAW.Tidak jadi dosa kalau tak kenal Ash'ari, maturidi, Ibn Taimiyyah  atau bagainya. Cuma dosanya kalau aku buat "agah" dengan Nabi Muhammad.

Dari sudut politik, aku pernah bergelut dalam politik PAS. Aku pernah menjabat posisi pimpinan dalam pemuda dan menjadi naqib usrah dan penyampai ucapan dasar pemuda. Namun, pendek cerita, selepas kemelut melanda PAS, aku mengundurkan diri. Aku melihat PAS terolang oleng tak menentu dan mengikut gaya pemimpin yang bersilih ganti. Dari zaman Pakatan Rakyat, Gagasan Sejahtera,  MN dan PN , aku menyaksikan sebuah episod yang cepat berubah-ubah. Lalu aku tarik diri dan tidak lagi mempercayai akidah perjuangan dalam politik. Politik adalah mainan manusia dan akidah adalah wahyu Tuhan.Biarkan orang politik bersayembara merebut kuasa. Aku tidak mahu lagi ditunggangi.

Islam telah menempuh sejarah panjang dan ia tetap lestari dalam ri'ayah Allah.

Lelaki suka cakap nak kawin dua, tiga dan empat. Aku cukup dengan seorang. Keinginan kepada perempuan lain, Alhamdulillah, tidak menghantuiku. Aku tida nafsu menggebu-gebu dengan wanita sana sini. Cukup dengan isteri. Aku sedar hidup yang semementara meniti garis masa menuju mati. Dalam syurga ada tawaran bidadari. Aku harap aku ahlinya.Maka, aku selesa denagn monogami walaupun poligami itu pilihan sebahagian lelaki. Aku anggap mereka memerlukan.

Aku sudah lama hidup di rantau orang. Aku pernah menempuh hidup perkotaan yang sibuk. Pernah hidup di rantau yang terasing. Di pulau tanpa elektrik dan bekalan air. Di taman-taman perumahan separa bandar. Kini aku balik kampung. Hidup di kampung memang akhir sebuah perjalanan yang aku suka.


Friday, January 23, 2026

ISU 6 TAHUN MASUK TAHUN 1 PADA 2027

 Isu kemasukan murid ke tahun 1 pada usia 6 tahun memancing reaksi pelbagai apabila perkara itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidik. Ada yang memandang sinis dan menyifatkannya tidak wajar dilaksanakan. Ada pula yang melihatnya secara positif. 

Sejauh pengamatanku beberapa tahun ke belakangan ini, isu-isu berkaitan pendidikan dan dasar-dasar pendidikan menarik perhatian ramai dan seringkali jadi isu panas bak goreng pisang. Apa sahaja perkara baru yang diumumkan oleh Kementerian pendidikan akan memercikan reaksi marak kalangan massa, terutama para netizen. Dunia medsos kini sangat rencam dan kejam. Tapi , di sinilah juga ornag bijak dan bodoh mengangkat suaranya.

Sebagai seorang guru yang melihat kemasukan murid ke tahun 1 saban tahun dan melihat perkembangan dan kemampuan mereka yang pelbagai dan tidak sekata, saya punya sikap yang positif terhadap dasar baru Kementerian Pendidikan itu. Saya beranggapan bahawa dunia hari ini perlu bersedia menghadapi aneka perubahan yang bergerak sesuai dengan zaman. Sudah berdekad-dekad kita disogokkan denga logik bahawa hanya umur 7 tahun barulah layak masuk tahun 1. Itu hanya satu bentuk mindset. Tidak semestinya mindset kekal paa satu tahap. Mindset perlu berubah dan memang ia bersifat berubah. Kalau ada  kemahuan, perubahan boleh dibuat sekarang.

Lambat laun, akan sampai juga masanya. Hari ini orang bantah, 10 tahun lagi orang akan puji dan sokong.

Generasi hari ini bukan macam dahulu lagi. Seawal umur 2 tahun pun anak-anak sudah pandai bermain  gajet. Tiga pula tahun lalu, umur 5 atau 6 tahun , anak-anak tak masuk pra sekolah. Anak-anak mengisi masa main guli dan lain-lain aktiviti permainan tanpa belajar secara formal. Hanya segelintir ibu bapa yang hantar anak-anak ke tadika yang belum banyak. Pra sekolah belum ada pada masa itu. Ramai yang tidak menempuh pendidikan awal.

Kemudian, wujud prasekolah dan ibu bapa pun sudah biasa dan terbentuk mindset mereka, pada usia 5 tahun atau 6 tahun anak-anak mereka sudah dihantar ke sekolah pra, Pasti, Taski atau Tadika Swasta yang beraneka. Jarang lagi ada anak-anak usia 5 dan 6 tahun yang menganggur. Bahkan kini , seusia 4 tahun pun sudah ada yang menjalani proses pendidikan formal.

Jadi, apa nak diherankan kalau tahun 6 masuk tahun 1. Lagi pula kementerian mahu melaksanakannya secara pilihan. Ini adalah langkah beransur-ansur untuk ubah mindset rakyat. Menjelang beberapa tahun ke depan, semua anak-anak kana memulakan persekolahan tahun 1 pada usia 6 tahun

Alasan bahawa wujud diskrimasi antara anak-anak yang masuk umur 7 tahun dan 6 tahun tidak boleh diterima. Kononya anak 7 tahun yang masuk tahun 1 dizalimi kerana dia terlewat setahun. Vuba kita fikir sebaliknya pula. Amnak yang umur 6 tahun dizalimi kerana dia terhalang memulakan tahun 1 sedangkan tahap kognitifhnya telah berkembang pesat. 

Murid-murid tak sama tahapnya. Jika ada anak berusia 6 tahun yang bijak, pandai membaca dan petah bercakap biarkanlah dia mulakan persekolahan lebih awal. Jangan korbankan masa depannya demi nak sama rata dengan anak-anak lain yang tidak berkebolehan. Generasi ke depan perlu dibenarkan mencapai apa yang layak berdasarkan meritnya. 

Kita sudah saksikan ghuyubnya beberapa nama murid pintar yang jadi terkenal. Wadah pendidikan Malaysia tidak menyokong mereka. Mereka kena mengikut sistem standard yang tidak sesuai dengan mereka. Cuma...lewat terakhir ini pihak kementerian telah sedar dan wujudkan sistem yang meraikan murid-murid genius ini seperti Permata Pintar dan seumpamanya. Dulu mana ada? 

Mereka yang membantah perlu berfikir ke depan. Umur 6 tahun adalah sasaran jangka pendek pendidikan anak-anak. Elok sekali kita meneroka satu starting baru bagi anak-anak ke alam persekolahan. Percayalah, kalau dunia masih begini, 100 tahun ke depan, oramng mula memikirkan untuk memulakan tahun 1 pada usia 5 tahun pula!

Dunia berubah. Kita berlapang dada dengan perubahan itu. Jangan bina blok dalam minda.Luaskan dan berfikir positif.

Wednesday, January 07, 2026

Nikmat yang tidak disyukuri akan hilang

 Tajuk ini adalah berfokus kepada isu politik. Walau tidak suka kepada rencah politik hari ini, aku tidak dapat lari daripada melirik mata kepadanya. Mutakhir ini adalah isu UMNO keluar daripada kerajaan dan beraksi sebagai pembangkang. Ia bermula bila KP UMNO, Dr. Akmal Saleh membuat gesaan tersebut dalam Konvensyen Pemuda UMNO yang diadakan. Tanpa basa basi, Dr Akmal mendangkan UMNO bergabung dengan PAS untuk membina front pembela Melayu yang tangguh dalam menghadapi ancaman masa kini. 

Lontaran cadangan dan gesaan Akmal itu menarik reaksi pelbagai. 

Sekarang ini UMNO tengah bersedap-sedap di atas kerusi empuk kekuasaan biarpun  tidak sebagai zaman pemerintahannya dulu selama 6 tahun. UMNO terpaksa berbagi kuasa dengan Pakatan Harapan yang dilihat dalamnya ada DAP yang mengancam survival perjuagan Melayu dan asobiyyahnya.

Tarik diri keluar daripada kerajaan ini bermakna UMNO hilang semuanya nikmat kuasa. Hanya kerana ingin jadi bermaruah, mencari maruah yang penuh kejantanan, UMNO perlu rela hilang kuasa. Ini satu dilema yang perlu difikir masak-masak oleh para mala-ul a'la dalam UMNO.Bukan sahaja 8 menteri dan juga beberapa timbalan menteri akan tergelungsur turun daripada kerusi kuasanya, tetapi beberapa negeri juga akan rebah dan UMNO hilang kepimpinannya. Itu belum lagi dilihat peringkat grassroot seperti Ahli Mahlis, JKK dan Ketua kampung. Semua itu akan lenyap dalam tempoh berbaki tak sampai 2 tahun lagi sebelum PRU ke16.

Di tambah pula dengan kesukaran menyelesaikan isu peranan dan pembahagian kerusi antara PAS dengan Bersatu, maka UMNO akan termanggu jauh sebelum keputusan muktamad berani dibuat untuk keluar daripada kerajaan Madani.

Ditelan mati ibu diluah mati bini dikemam mati ayah. Oh...memang sukar. Tapi, politikus sejati ada seribu helah. Yang tidak makan makanan politik memang sukar nak baca riak dan angin. Macam aku dan macam juga Dr. Akmal yang masih mentah. Umur pun belum 40 tahun. Dia tak faham sepak terajang politik lagi. Aku juga tak percaya dengan ulasan para profesor politk yang membebel dari kamar pejabatnya di universiti. Yang benar-benar ahli dalam hal politik adalah para politikus, terlebih lagi yang otai dan telah lama berkecimpung.

Sekadar mencongak, aku mengjangkakan bahawa nikmat yang UMNO sedang nikmati ini akan lenyap ghuyub kalau ia buat keputusan ikut gegabah Dr. Akmal.Hannya didorong emosi yangada masa naik dan ada masa turun, UMNO akan menuai hasil padi yang hampa.

Kata bijak pandai, nikmat yang tidak disyukuri akan menatijahkan hilang dari mata. Apa guna kalau dengar guruh berdetum di langit, air di temapayan dicurahkan. Saf pembangkang dan Saf kerajaan adalah dua barisan soldadu yang siap berperang dan sibuk mengatur strategi siang dan malam. Masing-masing mahu satu tempat yang namanya KUASA.  Pembangkang hari ini juga pernah diberikan Allah kuasa. Allah SWT yang menjadi pemilik kuasa yang tunggal membolak balikkan kuasa di tangan manusia agar kita dapat menilai dan melihat apa yang dilakukan semasa berkuasa. 

Idealisma, ghayah bahkan prinsip dan dasar bukan laksanan gunung everest yang tidak pernah berubah tempatnya sejak jutaan tahun. Manusia sifatnya berubah dan demikian apa yang dijunjung manusia daripada idealisma, ghayah dan prinsip juga boleh berubah. Idealisma reformasi juga ada yang kendur. Ghayah negara Islam dan menegakkan syariat Islam juga bukan simpul mati. Dasar yang berpijak atas Quran dan Sunnah pun tidak kekal di tangan manusia yang berjuang untuknya. Ia bergantung pada naluri dan emosi manusia yang sifatnya bertaqallub sentiasa. 

Maka, saya tidak terpesona dengan seruan apa yang akan dilakukan, tetapi saya mahu lihat dan hanya akan lihat apa yang sedang kau lakukan. 

Andaikan, UMNO berani keluar kerajaan , siapa boleh jamin PAS dan Bersatu akan menanti digerbang perlepasan dengan mendepangkan tangan menyambut kedatangan UMNO. Boleh jadi waktu itu datang hasutan lain. Ada bilik kosang dalam istana kekuasaan. Maka, dari pintu dapur mereka masuk mengisi kekosongan itu. Berdepan denngan kuasaan, ramai yang tersungkur. Kawan setia hanya di bibir. Peluang dan kuasa boleh mengubah persahabatan.

Apakah ini sikap negatif dan penuh syak wasangka? Bukan! Ini adalah pengallaman dan pemerhatian. Ini adalah tafakkur. Ini adalah kefahaman tentang falsafah hidup di dunia. Ini adalah hakikat bahawa dunia bukan syurga. Ulama sehabat Bal'am bin  Ba'ura lagikan terpeleset, apalah sangat dengan orang yang hidup di abad 21 ini. Abad kilauan kebendaan yang menyilau mata.

Perhatikanlah dan hubaya-hubaya. Yang selamat hanya yang diberi rahmat. Allahummarhamna!