CARI BAHAN

Sunday, February 11, 2024

Ragam orang berkuasa.

 Berkuasa itu ibarat sebuah kelekaan bermain air di musim panas. Kuasa melekakan. Kuasa mencuaikan wawasan. Kuasa melenakan atas alas empuk.

Sebelum mendapat kuasa, adda sederet tuntutan. Ada wewasan murni yang dimahukan. Ada perjuangan yan g dijunjung. Ada impian yang dikarang.

Allah berikan kuasa, tuntutan dilupakan. Wawasan murni diabaikan. Perjuangan ditinggalkan. Impian menjadi bertaburan!

Demikian fitnah kuasa. Perhatikan merekan yang Allah pinjamkan kuasa, apakah mereka lakukan apa yang dikata. Tidak kira siapa. Ulama atau pendeta. Cendikia atau Militia. Santri atau menteri. Semua menjadi bak kakak tua yang pernah berbicara.

Inilah mainan kata-kata. Aku tidak marah. Itu lumrah orang mengejar kuasa. Cuma, aku mahukan orang semua tidak menjadi penagih atau pemeluk setia kata-kata. Dengar sahaja dan berpada. Jangan terpesona dengan kalam mulia yang diutarakan. Bicara sang pendeta tentang kuasa, dengar dan waspada. Jangan telan semua. Bicara ulama tentang kuasa, dengar tapi jangan percaya semua. Bicara lebai berjanggut dan berserban tentang kuasa, boleh dengar tetapi hendalah pandai mencerna. 

Akal dalam kepala jangan dipajak kepada mereka. Kata-kata ahli politik adalah sebuah bayan yang mengadungi sihir. Bacalah mentera pendinding yang ditinggalkan para pujangga sepanjang zaman, insya Allah selamatlah dirimu dari terpesona. Adalah benteng yang akan menahan dirimu dari karam.

Kemarin kau dengar, ada orang melaungkan hukum Allah agar ditegakkan. Tika meraih kuasa kuasa, leka bermain dengan isu jawatan dan ekonomi yang mahu diperkasa. Hukum Allah diketepikan buat sementara katanya. Hingga masa bersedia untuknya. 

Kemarin kau dengar ada orang laungkan reformasi. Tika meraih kuasa, reformasi tidak terlaksana sempurna. Kekangan dan pelanggaran dilakukan depan mata. Memang payah melaksanakan kata-kata. Kata-kata ringan seringan getaran lidah!

Kuasa menghilangkan zuhud. Dulu masa belum ada kuasa, berbangga dengan kereta biasa. Saat kuasa ditangan, kelihatannya mula mengenderai kereta berjenama. Bukan guna duit pusaka keluarga atau usaha sendiri. Duit rakyat yang dirompak dan dilegalkan.

Banyak sudah contoh dalam putaran zaman tentang rebahnya para ulama depan kemilau kuasa. Contoh pun banyak orang miskin jadi kejam berdarah dingin setelah meraih kuasa. Namun, sedemikian banyak contph dalam potret sejarah, tetap ada ornag yang menjilat para penguasa dan lupa bahawa penguasa itu adalah kerikil bersambung sebuah permainan kuasa dalam dunia.

No comments: