Melantik seorang menteri besar memang dibuat oleh raja dalam negeri. Namun, raja itu tiada kuasa dalam hal tersebut. Kerana istilah melantik hendaklah dijelaskan perbezaannya dengan memilih. Jika majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri menyokong seseorang, raja dalam negeri tiada hak untuk memilih orang lain. Raja perlu formalisasikan perlantikan menteri besar itu. Tidak ada baginya kuasa menolaknya yang disokong oleh perlembagaan negara. Perlembagaan negara lebih tinggi dan lebih mulia daripada keberadaan seorang Sultan. Perlembagaan menjaga Sultan dan bukan Sultan yang menjaga perlembagaan. Siapa yang jaga perlembagaan?
Ulasan Dr. Kamarul Zaman Yusoff kali ini menarik dan waras untuk diambil kira.
Sehubungan dengan isu pelantikan menteri besar baru Johor yang sedang hangat diperkatakan sekarang, fakta-fakta yang ada di hadapan saya menunjukkan bahawa pandangan beberapa pihak kononnya pelantikan itu berada di bawah kuasa mutlak sultan atau raja-raja Melayu lain adalah tidak benar.
Laporan Suruhanjaya Reid yang menggubal perlembagaan negara sewaktu merdeka pada tahun 1957 dahulu mengakui pada perenggan 177 bahawa perlembagaan-perlembagaan negeri - seperti Perlembagaan Johor 1895 dan Perlembagaan Terengganu 1911 - memperuntukkan pelantikan menteri besar oleh sultan dan pertanggungjawaban beliau kepada sultan.
Keadaan ini menyebabkan Suruhanjaya Reid menganggap raja-raja Melayu waktu itu sebagai raja-raja tidak berperlembagaan dalam konteks kerajaan demokrasi berparlimen dan perlu diubah kepada raja-raja berperlembagaan dengan kuasa terbatas, iaitu tertakluk kepada nasihat menteri besar yang bertanggungjawab kepada dewan undangan negeri (DUN).
Sebab itulah dalam perlembagaan-perlembagaan negeri sekarang ada peruntukan tetap yang menyebut bahawa “Raja boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melantik seorang menteri besar” dan bahawa lantikan itu hendaklah daripada “seorang ahli dewan undangan yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli DUN itu”.
Dan peruntukan inilah yang ada dalam Perkara 4(2)(a) Perlembagaan Johor, dan dalam perlembagaan-perlembagaan negeri lain, iaitu bahawa “the Ruler shall first appoint as mentri besar to preside over the executive council a member of the legislative assembly who in his judgment is likely to command the confidence of the majority of the members of the assembly”.
Walaupun pernah berlaku beberapa insiden raja-raja Melayu melantik seorang menteri besar yang tidak mendapat kepercayaan majoriti anggota DUN, belum ada apa-apa cabaran di mahkamah ke atasnya walaupun ada ura-ura mengenainya dalam pelantikan Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis selepas PRU ke-14.
Begitupun, Sultan Azlan Shah sewaktu masih menjadi Ketua Hakim Negara pernah memberikan pandangan mengenai perkara ini dalam tulisan beliau yang mula-mula disiarkan dalam JMCL [1982] 103-118, dan kemudian disiarkan dalam buku Trindade & Lee pada 1986 dan buku koleksi tulisan dan ucapan naginda pada 2004.
Elak salah tafsir
Dalam tulisan bertajuk The Role of Constitutional Rulers itu, baginda menyebut bahawa, walaupun raja mempunyai budi bicara melantik menteri besar, apabila parti yang memperolehi majoriti dalam PRU mencalonkan salah seorang Adunnya sebagai menteri besar, raja tidak mempunyai pilihan lain selain untuk menerima cadangan tersebut.
Tegas baginda, jika seseorang raja mengetepikan hasrat parti dan melantik Adun lain yang tidak mampu mendapat kepercayaan majoriti DUN, ia boleh membawa kepada timbulnya undi tidak percaya yang akan menyebabkan raja itu sama ada melantik Adun lain atau membubarkan DUN.
Malah, baginda selaku Yang di-Pertuan Agong kesembilan bersama raja-raja Melayu sebenarnya membuat perisytiharan mengenai perkara itu - bersama-sama sembilan perkara lain - untuk "mengelakkan sebarang salah tafsiran mengenai kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa” melalui Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan bertarikh 4 Julai 1992.
Berhubung soal “pelantikan menteri besar” (“appointment of menteri besar”), Agong kesembilan bersama raja-raja Melayu lain mengisytiharkan bahawa:
(1) “Selaras dengan perlembagaan negeri, kita memperkenankan pencalonan seorang yang mendapat kepercayaan sebilangan ahli-ahli dalam DUN sebagai menteri besar (In accordance with the State Constitution, we shall accept the nomination of a person who commands the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly as the Menteri Besar).
(2) “Sekiranya tidak ada parti yang mendapat majoriti jelas di dalam DUN, kita hendaklah menggunakan budi bicara kita dalam pelantikan tersebut selaras dengan prinsip-prinsip tertentu (Where no party has a clear majority in the Legislative Assembly, we shall exercise our own discretion in such appointment in accordance with accepted constitutional principles).
(3) "Apabila kita tidak puas hati atas kesesuaian orang yang dicalonkan sebagai menteri besar, kita boleh merujuk pencalonan tersebut bagi dipertimbangkan semula oleh pemimpin parti berkenaan untuk keputusan muktamad (When we have any reservation as to the suitability of any person nominated as Menteri Besar, we may refer the nomination for reconsideration by the leader of the appropriate party for a final decision)."
Lebih baru ialah pandangan anakanda Sultan Azlan Shah, Sultan Nazrin Shah, yang kini merupakan Sultan Perak.
Baginda menyebut dalam satu syarahan umum The Monarchy in Contemporary Malaysia anjuran Institute Of Southeast Asian Studies Singapura pada 27 Julai 2004 bahawa, raja-raja melantik (tetapi tidak memilih) menteri besar.
Berdasarkan kepada fakta-fakta tadi maka jelaslah, tidak benar kononnya pelantikan seseorang menteri besar berada bawah kuasa mutlak sultan Johor atau raja-raja Melayu yang lain.
Atau kononnya pencalonan seseorang menteri besar memerlukan parti yang memperolehi majoriti dalam PRU mencalonkan lebih daripada seorang nama.
Budi bicara hanya timbul dalam keadaan tidak ada parti yang mendapat majoriti jelas di dalam DUN. Begitu juga apabila terdapat ketidakpuasan hati atas kesesuaian orang yang dicalonkan sebagai menteri besar yang membolehkan ia dirujuk bagi dipertimbangkan semula oleh pemimpin parti berkenaan supaya keputusan muktamad dibuat.
Hakikat bahawa telah pernah berlaku beberapa insiden raja-raja Melayu melantik seorang menteri besar yang tidak mendapat kepercayaan majoriti Adun atau meminta parti yang memperolehi majoriti dalam PRU mencalonkan lebih daripada seorang nama tidak boleh digunakan sebagai hujah untuk melegitimasikannya.
Saya tidak bersetuju dengan sebarang cubaan untuk merendahkan martabat, menjejaskan kedudukan atau mengabaikan peranan raja-raja Melayu.
Saya juga berbeza dalam banyak perkara dengan mereka yang turut lantang memperkatakan isu sama, tetapi dalam perkara ini saya tidak ragu-ragu untuk bersama dengan Dr Mahathir Mohamad.
Konsep kuasa mutlak bukan saja tidak dapat dipertahankan dari sudut perlembagaan dan undang-undang negara, malah tidak juga dapat dipertahankan dari sudut agama.
Diharapkan raja-raja dalam negeri, khususnya negeri Johor dapat memahami hakikat ini agar Kesultanan Melayu dalam negeri dapat dilanjutkan beberapa generasi lagi tanpa sengketa dengan rakyat dan bangsa Melayu secara khususnya.
No comments:
Post a Comment