CARI BAHAN

Tuesday, May 30, 2017

BAZAR RAMADHAN

Setiap tahun bazar Ramadhan dikerumuni orang ramai. Sejak lepas Zohor sudah ada yang berjualan. Ada pula yang membelinya. Di sesetengah tempat, sebelum Zohor sudah mula berniaga. Ada juga celapak awal membelinya. Hanya Allah yang maha mengetahui rahsia di sebalik semua itu.

Aku menjengok juga Bazar Ramadhan di Kuala Nerang. Orangnya ramai macam tahun-tahun lepas juga. Ke hulu hilir menengok gerai jualan, akhirnya aku beli kuih RM3.00 dan buah laici RM10.00. Aku kurang gemar makan makanan yang dijual di bazar Ramadhan. Kerumuanan ramai orang menyebabkan aku rasa ualiti makanan itu tidak terjaga. Pada hematku, penyediaan makanan di bazar dibuat demi mengautkan keuntungan dan dalam situasi tersebut, tentunya mutu makanan tersebut tidak berapa baik.

Aku lebih suka beli bahan mentah dan bawa balik. Isteri masak di rumah lebih baik daripada memburu jualan di bazar Ramadhan.


PANGLIMA

Pada satu tahap, dalam sejarah negara Malaysia yang merdeka, ada satu jawatan yang dinamakan panglima. Pada sangkaanku, panglima itu seornag pahlawan dalam kampung yang handal bersilat. Namun, kata bapa mentuaku, Yahaya bin Saud, tidka semua panglima tahu bersilat. Beliau menyebut contoh seorang panglima di kampung Barokhas, kampungnya sendiri. Iaitu Panglima Syed Omar, bapa kepada Syed Ibrahim. Beliau bukanlah seorang tahu ilmu silat. Namun, dia menjadi panglima.

Jawatan Panglima  adalah di bawah penghulu. Susun atur hierakinya ialah Panglima bertanggungjawab kepada penghulu, manakala penghulu bertanggungjawab kepada DO. DO pula bertanggungjawab kepada Menteri Besar dan Menteri Besar kepada Sultan.

Jawatan Panglima muncul hanya satu kali dan tidak pernah muncul lagi setelah pemegangnya meninggal dunia. Pada zaman Ustaz Azizan menjadi MB Negeri Kedah, belia berhasrat untuk mewujudkan jawatan panglima tetapi cadangannya itu tidak terlaksana. Lalu diwujudkan MCKK menggantikan JKK yang menjadi jawatan proaksi kepada kerajaan persekutuan dalam kerajaan negeri yang diperintah oleh parti pembangkang.

Monday, May 29, 2017

PAK NGAH MUSA MENINGGAL DUNIA.

Malam kelmarin, aku menyolati jenazah Pak Ngah Musa di masjid Kg Masjid. Pak Ngah Musa meninggalkan disebabkan penyakit penat dan khabarnya komplikasi jantung. Namun, apapun, demikianlah suratan takdir. Beliau juga sudah tua. Kalau tidak silap, umurnya lebih kurang sebaya almarhum bapaku. Jika bapaku masih hidup, umurnya  pada tahun ini adalah 76 tahun. Walaupun masih ada yang lebih tua daripada bapaku yang masih menongkah hayat, kian tahun mereka menyambut panggilan ilahi. Jika yang masih ada dan hidup, sedikit sekali yang masih sihat dan bertenaga.

Demikianlah kehidupan. Bila zaman muda belia telah pergi, datanglah zaman tua dan renta. Allah maha mengetahui pada saat mana Dia patut menjemput seseorang mengadapNya.

Pak Ngah Musa adalah kerabat yang bukan jauh daripada keluargaku. Dia dan ibuku berada pada pangkat sepupu. Bapa ibuku dan ibunya  adalah saudara kandung, anak kepada TG Haji Saleh. Bapa ibuku bernama Ismail. Ibu Pakngah Musa pula bernama Tok Piah. Ismail adalah abang kepada Tok Piah. Ismail adalah Tokwan aku. Dia sudah meninggal. samalah juga dengan Tok Piah. Tok Piah menikah dengan panglima Saleh dan melahirkan 5 orang anak. Satunya pak Ngah Musa. Yang lain-lain ialah Mak Tih Midah, Pak Anjang Man Tolak dan Satu orang yang disebut mak Andak yang tinggal di Selangor tetapi balik kampung masjid pada satu tahun dan meninggal di tanah kelahirannya itu. Pada masa aku masih lagi belajar di Universiti Malaya, ketika majlis Konvokasyen aku, seingat aku, Pakngah Musa juga hadir sama dan bersama ibu bapaku mereka ke rumah mak Andak itu. Aku tidak kenal dan anak-anaknya pun aku tak kenal.

Pak Ngah Musa telah kembali dan dia bergabung dengan para leluhurnya. Semoga semua leluhurku berada dalam rahmat Allah SWT. Satu masa, aku juga akan menyusul dan menemui leluhurku di alam sana. Aku berdoa sentiasa agar bapaku, datuk nenekku semuanya dalam rahmat Allah. Masa hidup tidak cukup panjang. Hitungan hari dalam dunia sangat pantas. Akhiran menjadi sangat cepat.


Sunday, May 21, 2017

Kita sentiasa berubah.


Telah aku lihat
Seseorang marahkan seseorang
kemudian bila bebilah hari menjadi tahun
kemarahan pun reda
kebencian bertukar kekaguman.

Telah aku lihat juga
seseorang kasihkan seseorang
kemudian bila bebilah hari menjadi tahun
kasihpun sirna
kekaguman menjadi kebencian
Manusia seperti putaran musim
manusia seperti kembang bunga
manusia berubah dan bisa berubah
lebih pantas daripada mega merah ufuk maghrib
Ketika kasihmu berbunga
beritahulah yang empunya
sebelum bencimu menerpa
merebut segala.
Kita semua
tidak memiliki hati sendiri
seperti kita tidak memiliki tangis
sebagaimana kita tidak memiliki tawa

Friday, May 12, 2017

Goyang sampai jatuh.

Hari ni nak buat kiasan sikit. Siapa faham, fahamlah. Siapa tak faham, sudahlah. Baca dan lupakan sahaja. Berbahasa kiasan ni hanya sekadar menpertajamkan otak. Kalau yang otak tajam, dapat faham. Tapi kalau beritahu orang bahawa dia faham, jadilah pula tumpul. Sebab itu, ada perkara yang bila kita faham, kita diamkan sahaja. Biar ia menjadi nota hati yang disimpan.

Ada seorang sedang duduk celah dahan pokok. Hari itu ada permainan rakyat. Permainan ini dianjurkan 2 tahun sekali sahaja dalam negeri. Dalam permainan ini, orang yang duduk celah dahan itu perlu dijatuhkan ke bawah dengan usaha gigih pencabar menggoyangkan pokok itu dengan kudratnya. Kalau berjaya, orang itu akan mendapat hadiah piala pusingan. Dua tahun kemudian, dia pula akan dicabar dengan hal yang sama.


Namun, sekali peristiwa, dalam satu pesta permainan rakyat itu, telah berlaku khilaf daripada kebiasaan. Ketika juara menanti itu sedang berkapok celah dahan, memegang erat cabang kiri dan kanan, seorang pencabarnya pun memulakan aksi. Tetapi aksinya sangat misteri. Waktu dipegangnya batang pokok untuk menggoyang, keluarlah semut kerengga berjejeran dari bawah lengan bajunya. Semut kerangga itu merayaplah ke atas pokok dan mengerumuni serta menggigit sang juara menanti. Ketika itulah sang pencabar menggoyang sekuat hatinya. Lalu jatuhlah si juara menunggu itu.

Saking tidak puas hati, juara menunggu yang jatuh itu pun merajuk dan pergilah dia meninggalkan negeri yang mereiah dengan pesta permainan rakyat itu. Dia tidak puas hati kerana ia dijatuhkan dengan helah anak kerengga sedangkan belum pernah kaedah itu digunakan dalam permainan rakyat itu sebelumnya. Orang ramai mentertawakannya. Sang pencabar bercekak pingang bangga kerana berjaya.

Para penonton tidak tahu cerita anak kerengga itu. Hanya ada bisik-bisik yang berlegar. Apa yang penonton tahu, juara menanti sudah jatuh dan dia kalah. Ketika sudah tekalah dengan cara itu, juara yang tewas itu pu pergilah meninggalkan kelompok itu dengan malu. dan terhina.

Lain tahun, dibuat lagi pemainan rakyat seumpama itu.Juara lepas kekal tidak bercabar. Tak siapa mahu mencabar. Selain pokok tempat dahannya duduk itu makin kukuh, para pencabar tidak yakin dengan kudrat masing-masing. Tetapi, agar kemeriahana pesta permainan rakyat itu terasa, dibukalah cabaran yang lebih kecil. Satu pokok yang lebih kecil, ada tiga orang johan menunggu di atasnya berkapok menunggu dijatuhkan. Seorang tampil menggoyang pokok tapi tidak jatuh.

Sang pencabar yang gagal pun tersenyum. Dia teringat sang juara yang terjatuh beberapa tahun lepas semasa permainan rakyat. Muka masam dan merah muka kerana geram dan marah.

" Aku bukan seperti juara yang tewas...aku masih boleh tersenyum walau gagal...", kata sang pencabar yang gagal itu.

" Aku tidak akan tinggalkan negeri ini...".

Tuesday, May 02, 2017

Bersuluh diri

Selagi rumahmu Banglo tersegam
atau keretamu mahalnya ratusan ribu ringgit
diberitakan pula pelanconganmu sekeluarga ke kota besar luar  negara
tiada perit ditanggung
tiada sakit disigung
seruanmu akan berlalu dipuput angin.

إبدأ بنفسك ثم غيرك

Rimba penasaran

Dalam rimba misteri itu
dia sesat penasaran
hutan yang disangka kecil
rupanya rimba banat merentas banjaran
jalan yang dicari
tidak membawa destinasi
makin jauh dari jalan pulang.

Pahlawan-pahlawan tak tangguh
hilang upaya menongkah sungguh
sejak  hari masih subuh
hingga kini mentari kian jatuh
daya tubuh kian lusuh.

Wahai pengembara
berhentilah sejenak jangan meraba-raba
langkahmu kian jauh tengah rimba
menempa ragam bahaya
sedang kamu masih percaya
bersamamu limpah kurnia!

Rimba misteri yang telah menelan ramai peneroka
juga penghuni yang berpengalaman lumayan
jangan merasa hebat
kerana memiliki pusaka makrifat
dari leluhur yang terselamat.

Mereka telah menancapkan nama
sedangkan kamu masih digoda
oleh dedemit rimba....