CARI BAHAN

Sunday, August 30, 2015

Mendidik Generasi Masa Depan.

Ada murid bertanyaku tadi, tentang bagaimana ada orang Cina dan India di Malaysia. Aku ceritakan bahawa di zaman dahulu, ketika British buka estate lombong-lombong bijih mula diteroka, dibawa datanglah orang Cina dan India ke Tanah Melayu. Sejak itu jadilah mereka penduduk Tanah Melayu dan akhirnya menjadi rakyat negara kita.

" Kenapa mereka tidak pulang ke negara mereka?", murid itu mempersoalkan.


" Mereka rakyat negara ini seperti kita juga dan mereka sayangkan negara kita ini. Kekadang kita orang Melayu sendiri tidak sayangkan negara kita. Kerana itu suka memusnahkan khazanah alam negara, membuang sampah dan mengotorkan alam sekitar...", aku menerangkan dan cuba menipiskan asobiyyah Melayu yang mungkin terpalit dalam pemikirannya hasil tarbiah salah daripada sentimen "anti-Cina " yang banyak dimainkan 'orang tertentu' lewat terakhir ini.

Generasi baru hari ini perlu dibebaskan dari kulat pemikiran kebangsaan Melayu yang negatif itu. Rasa sayang dan menghormati bangsa lain sebagai warga negara milik bersama akan lebih mengangkat darjat dan kedudukan mereka di masa depan. Mereka tidak perlu didodoi dengan lagu lama yang mengumpan syak wasangka dan prejudis terhadap bangsa yang lain daripada mereka.

" Nanti mereka menguasai negara kita, lihat sahaja di Pulau Pinang", murid itu tidak puas hati dengan penawar hati yang aku suntikkan. Rupanya dos anti-Cina dalam hatinya lebih tinggi daripada dos kesatuan warga yang cuba aku tanamkan.

Sebagai anak-anak generasi Melayu yang tinggal di daerah pinggiran Pulau Pinang, mereka dihasut kerisauan mengenai nasib Pulau Pinang. Namun, apa yang mengacau dalam fikirannya itu adalah hasil manipulasi berat sebelah media massa arus perdana yang yang secara halus memburukkan kerajaan Pinang.

Aku tidak bimbang. Generasi yang aku didik hari ini tentunya akan lebih matang dan bijak daripada generasi lapisanku. Hanya mereka perlu masa dan mereka perlu didengari dan diajak berbincang. Fikiran mereka lebih terbuka hasil prasarana persekitaran langit terbuka yang melengkari mereka.

Manusia dipengaruhi angkubah.

Manusia adalah makhluk yang sentiasa berubah. Dari air mani jadi 'alaqah dan kemudian jadi mudhghah sebelum menjadi janin. Sesudah itu lahir jadi bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, tua dan akhirnya jadi debu tanah yang bekecai bergaul dalam bumi.

Seperti fizikal menerima perubahan, mental juga berubah. Satu aspek mental yang paling terdedah kepada perubahan adalah pemikiran. Dulu lain yang yang difikirnya, tetapi sekarang lain pula. Perubahan pemikiran bukanlah satu yang keji dan bukan tanda tidak istiqamah. Ia adalah tanda bahawa yang berubah itu manusia dan bukan sebongkah batu.


Sebongkah batu pun berubah bila masa beredar lama...

Kerana itu, aku menulis ringkas sebelum ini tentang angkubah dalam kehidupan. Bila angkubah berubah, berubahlah kita.

Baru tahun lepas, Tun Dr. Mahathir melarang acara demonstrasi dan menyifatkannya sebagai merenggut hak rakyat majoriti. Ketika itu hati dan jiwanya masih menyimpan harapan yang baik buat pemerintah yang ada. Tetapi, ketika Bersih 4 kemarin, dia hadir dan memberi semangat dan berkata " teruskan...teruskan".

Apa ini?Kenapa berubah sikap?Kenapa sokong dmonstrasi yang pernah ditentang. Tidak lain kerana wujudnya angkubah. Sedia berubah mengikut angkubah adalah tanda masih ada sifat manusiawi yang menjadikan akal fikiran sebagai kayu ukur.

Kerana itu juga, aku tidak menyalahkan pelakun-pelakun watak dalam pentas politik yang berubah. Kemarin kata lain, hari ini kata lain. Kemarin bersama, hari ini menukar haluan. Disebabkan manusia makhluk yang sentiasa berdepan dengan angkubah, kita tidak boleh memaksanya untuk kaku beku pada posisi sebelumnya.

Berubah bukan semutlaknya tanda hilang istiqamah. Istiqamah pula bukan berdiri kekar menepis segala lintasan, godaan dan hasutan. Bukan. Istiqamah adalah mencari dan memasakkan keyakinan benar yang diyakini serta memperjuangkannya.

Tidak disuruh.

Waktu aku mengajar di Sabah, aku pernah terkeliru dengan jawapan murid-murid bila kutanyakan soalan kepada mereka.

"Kenapa tak datang sekolah kemarin?", demikian aku pernah bertanya seorang murid yang ponteng.


"Ibu tak suruh", jawabnya.

Mulanya aku anggap murid ini sengaja buat-buat alasan. "Tidak disuruh" ibu pula jadi andal.

Ada sekali, aku tanya murid yang enggan minum susu 1Malaysia yang diedarkan waktu pagi.

"Kenapa tak nak minum?"

"Ibu saya tak suruh", jawab murid.

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Parah kalau begini. Takkan semua perkara mahu disuruh ibu baru mahu dibuat. Mampukah ibunya menyuruhnya buat itu dan ini semuanya?

Lama-lama aku faham. Bila murid menjawab " tidak disuruh ibu", di kalangan mereka bermaksud ibu melarang mereka melakukan perkara itu. Ia adalah bahasa lunak untuk melarang. Seni bahasa ini ada di kalangan masyarakat tertentu di Sabah.

-Orang Sabah boleh mengesahkan.

Friday, August 21, 2015

KETIKA AKU BERFIKIR-KU LI BUKAN PILIHAN RAKYAT

Aku tidak minat Ku Li. Aku tahulah sikit-sikit pasal Ku Li itu. Dulu dia lawan Dr. Mahathir  sampai UMNO kena haram. Dr. Mahathir buat UMNO baru dan Ku Li buat parti Semangat 46. Semangat 46 bergabung dengan Pas  wujudkan Perpaduan Ummah. Tapi, tak tahan lama, Perpaduan Ummah bubar dan Ku Li masuk UMNO semula. Masa Pakatan Rakyat bekerja keras mahu menumbangkan kerajaan UMNO-BN, Ku Li masih tetap dalam UMNO.

Tiba-tiba pecah cerita bahawa Ku Li adalah calon PM pilihan Pas setelah Anwar ditolak sebagai pilihan PM Malaysia oleh PAS.  Apa yang terdedah ini agak mengejutkan. Bagaimana tega seorang pemimpin UMNO dipilih sebagai calon PM oleh pemimpin PAS. Bercinta dengan orang lain, tetapi mahu menikah dengan orang lain.

Ini satu yang luar kudratku untuk menerimanya sebagai sebuah kefakihan politik. Aku tidak suka Ku Li sebagai PM kerana dia orang UMNO. Daripada Ku Li sebagai PM, baik pilih Nasaruddin Mat Isa yang waktu itu dan sehingga kini masih lagi ahli PAS!

Namun, politik ini memang penuh dengan racau dan igau.

KETIKA AKU BERFIKIR-Abu Bakar Telah Ijazahkan Quran

Aku mendengar dalam satu rancangan TV. Seorang pak ustaz membacakan beberapa potongan ayat Quran. lalu dia menyatakan bahawa dia mengijazahkan ayat tersebut kepada mereka yang berada dalam majlisnya itu. Persoalannya, apakah ijazah masih diperlukan untuk mendapat beberapa potongan ayat Quran dan mengamalkannya? Bukankah, dengan kerja keras Muaz bin Jabal, Al-Quran itu telah dijazahkah buat seluruh ummat. Bahkah kepada seluruh manusia.

Istilah ijazah yang digunakan itu lebih kepada upaya orang tertentu untuk mentafdhilkan diri di atas orang lain dengan perkara yang telah pun dimiliki orang.