CARI BAHAN

Saturday, February 28, 2015

Faqih...

Jika kamu di jagat persilatan
fahamlah segala pencak dan jurus
Dinamalah kamu faqih silat.


Jika kamu di medan siasah
fahamlah segala permainan musuh
tahu membeza tipu dan sungguh
tinggi seni bijak mengolah
Dinamalah kamu faqih politik

Jika pandai hukum feqah
menjawab tanya sebarang masalah
hukum hakam ketentuan Allah
menerangkah batal dan sah
wajib, haram, makruh dan mubah
dinamakanlah engkau faqih feqah.

Jika bermain di padang datar
tidak serupa dalam belukar

Jika mahir menari samba
lain cara menari zumba
Jika memilih jadi gembala
tidak berguna kemahiran menjala
jika biasa mengajar kitab
tidak sama melatih kuttab

Faqih ketua menjadi syarat
bukan bermakna menghafal ayat
tapi faham medan siasat
bijak mengatur tipu muslihat.

faqih Khalid di medan perang
faqih Bukhari di medan riwayat
faqih penyair malam mengambang
faqih pencuri di malam zulmat.

Thursday, February 26, 2015

Sekutil nasihat buat yang berlidah.

Nenek moyang telah berpesan
Kerana pulut binasanya santan
Kerana mulut celakanya badan
Mengapa cucu tak ambil ingatan?


Siapa banyak tutur bicaranya
banyaklah berlaku silap salahnya
banyak salah jenuhlah dosanya
jenuh dosa, nerakalah balasannya.

Lidah siapa rajin bicara?
sekalipun mengajar ilmu agama
jangan bercakap ikut suka
telajak lidah hati terluka.

Antara sekian banyak manusia
Para ulama diperhati katanya
hendaklah lidah sentiasa dipelihara
kerana lidah binasalah empunya

Sang guru dan murid.

Guru memperingatkan murid agar menjaga adab murid terhadap guru. Namun, siapa yang akan memberikan adab guru terhadap murid?

Dalam banyak hal, pihak yang di atas melupakan apa yang perlu dilakukan olehnya. Hanya disebut tanggungjawab bawahan. Kerana itulah tergelincirnya penguasa lebih banyak dari rakyat.


Umpamanya, diperingatkan tentang adab-adab dalam memberi teguran kepada pimpinan. Namun, adab-adab pemimpin bila menerima teguran tidak diperkatakan. Padahal, kedua-duanya ada ikatan yang wajib dipatuhi....

Edan

Zaman ini
zaman edan

Sang Qori tidak lagi mengaji
lebih suka menyanyi
lagu para gipsi


Para wali tidak lagi berzikir
lebih suka berdikir
lagu pak pandir.

Bahasa pendeta tidak lagi bijaksana
lebih bermakna bahasa pengembala.

Air di puncak legeh.

Air sejuk dan jernih
dari mata air gunung
memancut dari legeh tinggi


turunlah mengalir ke lembah
melatalah ke celah rimba
tembusilah desa dan kota
baru dikenal adanya jasa

Deruan syahdu
deburan atas batu
tidak membawa erti
jika tidak bergabung di kuala
hujung sebuah kali....

Aku termenung sugul di tepi kali...

Fikiranku berkocak mengalun memikirkan perangai segolongan para ustaz yang cuba memposisikan diri sebagai ulama di zaman ini. Ilmu belum penuh dalwa, karya tulis pun tiada dan amal soleh sekecil hama, di muka zaman telah mengaku ulama mulia. Menjadi ulama lebih mudah daripada menjadi jutawan. Padahal jutawan itu debu dunia sahaja. Aneh sekali jika debu dunia sukar digapai, tetapi mutiara akhirat melanai pula untuk direbuti dan dimahkotakan atas kepala sendiri.


Orang berlumba mahu digelar ulama. Bila nama ulama sudah dijinjing, terasa sudah dikendong. Dari kendongan itu timbul rasa mahu didokong. Maka hadirlah cinta gelaran ulama pada diri. Di situlah merebaknya "hubbul jah". Kedudukan sebagai ulama telah menjadi sebuah batu "Jah".

Ulama bukan pada nama. Digelar ulama kerana feel yang saksama seiring dengan ilmu yang saujana.

Monday, February 16, 2015

Sucikan hati (1)

Hati kita telah menjadi kotor dengan sebab dosa-dosa kita.

Kita sering memandang orang lain kurang darjatnya dalam kebaikan berbanding kita. Kita memicing mata kepada insan lain dan kita merasa hebat untuk diri sendiri. Kita mungkin menyangka kita paling mencintai kebaikan dan orang lain mencintai kejahatan. Inilah maksiat buat hati kita dan ia mencemarkan dan menambah kotor jiwa.


Ayuhlah kita bersihkan hati dan berbaik sangkalah kepada orang lain. Buangkan rasa ujub, takbur dan sum'ah, kerana ia merosakkan amal kebaikan kita.

Jadikan rahsia kita lebih bersinar daripada apa yang terdedah tentang diri kita.


‪#‎catatan‬ subuh yang bening.

Saturday, February 14, 2015

Pencak waspada.

Setelah memasang umpan
barulah tahu rupanya kail

Dalam senandung zikir wali
rupanya terselit mantera syaitan

Masakan musuh datang bersimpuh
kalau tidak menyimpan selingkuh.

Tewas pendekar kerana leka
disangka lawan cuma bersenda.

Setelah galak menebar padi
sawah bendang kelak dicuri.

Masa hayat asyik disebat
setelah tiada baru dinobat
tentu ada yang tersirat
dikenal hanya si tajam makrifat.

Friday, February 13, 2015

Buana pucat.



Pejuang rakyat
dalam masyarakat
sebagai ubat
untuk jagat
dialah berkat.


Telah gerhana ufuk siasah
kala aktornya dihukum bersalah
atau bertukar jadi gemulah
buana pucat tidak berdarah.

Telah direnggut mutiara negara
seorang dihumban ke dalam penjara
setelah berbuat banyak perkara
merubah lanskap politik negara

Seorang dijemput ke langit tinggi
meninggalkan harum semerbak setanggi
di bawah langit selaku murabbi
dunia siasah menanggung rugi.

Walau ketawa dubuk lapar
atau menangis segala camar
mutiara hilang yang disambar
jadi musibah meninggalkan calar

Buana ini bertambah pucat
kemarin mega merah di langit barat
semalam gerhana di balik awan larat
hari ini kami terduduk menanggung sarat
esok menunggu jalan berselirat.

Lunas,
13.02.2015

Thursday, February 12, 2015

Dedikasi pilu kehilangan TGNA.

Berpulanglah sudah
Seorang ulama terbilang
Guru siasah nan cemerlang
Hati ini berkeluh walang
Mendepani  kemelut hari mendatang.

Memang demikianlah hamba pilihan
Bila habis tugasan Tuhan
Memimpin negeri bernama Kelantan
Hidup berbaki dalam bilangan.
Pahala memimpin sudah berkurangan
Maka hayat bertemu kesudahan.

Adapun manusia bukan pilihan
Walau telah lepas jawatan
Umur masih lagi berlanjutan
Baki hidup menambah beban
Dosa bertambah siang dan malam.

Dia ulama berakal cemerlang
Cermat ijtihad menambah terang
Gelap ragu dapat dibuang
Dapat menambah yakinnya orang

Kehilangan ini di waktu berkabus
Sukar dicari seorang penerus
Sebuah legasi setegak turus
Tegak simbul bijak urus.

Esok belum dapat dipasti
Apakah kabus  sirna sebelum dini
Atau berlanjut hingga pagi
Tiba-tiba kita hilang seorang  murabbi

Semoga Allah  bawakan pengganti
Pacakkan harapan walau seratus tahun lagi.
 


Kita miskin sosok hebat.

Hakikatnya, tidak seorang pun pemimpin muda kita yang dapat berpencak dengan bergaya di pentas politik. Lebih malang lagi, kalangan yang menampilkan wajah penerus gerakan politik Islam, masih corot berbanding mereka yang bercakap dengan bahasa politik nasional maupun sekular. Khalayak sedang menonton dan menyaksikan gelagat serta mengukur kebijakan para pemuka yang sedang beraksi. Sayang sekali, ramai kalangan yang mendokong suara Islam dan agama  sebagai perjuangan masih mempamerkan kepongahan dan kedungguan.

Islam jauh dari kepongahan dan kedungguan. Islam mendidik para aktornya menjadi bijak laksana, sabar dan sentiasa berpandangan jauh. Para pendekar Islam bukan robot-robot yang dikaderkan untuk berfikir dan melaksanakan apa yang dicorak dan diwawaskan oleh para pendahulu. Seharusnya sosok-sosok yang membawa selogan perjuangan nabi adalah mereka yang mengkagumkan rakyat dari segi keperibadian dan wawasannya. 

Memang akan ada yang memusuhi dan memperlecehkan. Namun permusuhan dan perlecehan yang datang dari orang-orang yang waras dan ideal adalah satu kejanggalan buat pejuang hebat yang menjulang nama Islam. 

Muhasabahlah diri dan jangan merasa diri sebagai kaswari yang terbang bebas mulia di bawah langit dan atas awan gemawan.

Tuesday, February 10, 2015

17 tahun sudah berubah.

Aku telah tua
lelah kian terasa
17 tahun lalu bersilih masa
aku mendengar kicau margastua
kini diganggu perkelahian serigala
malam aman hilang sirna
pejam mata tak juga lena.

Kembali bersenandung rintihan ungka
dari kebuasan perut belantara.

telah sirna merdunya sintar
masjid agung bertukar menjadi pasar
rumah dibina lantainya gelegar
panah meluncur tidak dari busar.

Hinggusan merangkak kini sudah berpencak
sudah bersilat berdika jalak
pasang kekuda di bumi terpacak
ke langit tinggi telunjuk tegak.

Aku lelah membilang bilah
17 tahun lalu...kini berubah
tingal memori indah
mengenang kenangan bersama gemulah.

Kampung lama kini berubah
kacang gila tumbuh menjalar sudah...

Anwar dijatuhi hukum bersalah.

Pada hari ini, Anwar Ibrahim diputuskan bersalah oleh Mahkamah Rayuan. Keputusan ini, barangkali tiada lagi signifikannya bagi sebilangan orang. Mereka sudah letih bergelut dengan Isu tuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim. Ia sudah berlarutan lebih 15 tahun dan seperti tiada akhirnya. Dari isu keadilan sejagat dan soal hak, ia kini terperosok menjadi soal peribadi Anwar Ibrahim. Demikianlah tanggapan sebilangan orang. Ada yang masih setia dan ada juga sudah berpatah arang. 

Dunia memang tidka akan menyelesaikan semua persoalan. Kalau soal keadilan dapat ditegakkan secara tuntas, bukan lagi dunia namanya. Baki dan sisa keadilan itu akan dicernakan pada hari muka di depan mahsyar Allah SWT.

Dunia ini pula hanya pusingan roda. Pada satu ketika, akan ada lagi mangsa yang dihadapkan dengan tuduhan liwat. Ketika itu mungkin syeikh dan maulana mana. Pada saat sudah ada precedent bagi kes untuk menyimpulkannya sebagai persoalan peribadi, pada hari tersebut pun akan berlaku yang sama. Ketika itu, anda akan mendapati diri anda tidak dibela dan anda akan mengeluh. Padahal orang lain akan berkata: "Itu soal peribadi kamu!".

Soal peribadi.

Aku hanya manusia kerdil. Bukan pemimpin panutan rakyat. Apa yang aku lakukan ia adalah soal peribadi. Tidurku tidak menyangkut siapa. Jagaku tidak dinanti pula.

Kiranya aku pemimpin panutan ramai, tentu hal-hal berkaitan denganku akan jadi soal rakyat. Sedihku akan jadi sumber air mata rakyat. Gembiraku akan merangsang semangat rakyat. Tidurku dan jagaku akan menyangkut hal rakyat.


Tentu tak sama soal-soal peribadi seorang rakyat biasa dengan soal yang dikatakan peribadi pada seorang pemimpin massa. Kepimpinan itu adalah penzahiran, maka bila dizahirkan, jadilah ia ia kepunyaan orang ramai. Seumpama dosa, selama tidak dizahirkan, ia jadi soal peribadi. Bila dizahirkan, ia akan jadi soal khalayak dan dosa itu wajib diperihatinkan.

Kerana itu, bila seseorang berbicara tentang soal peribadi seorang pemimpin, satu hal yang perlu disedari adalah, pemimpin amat sedikit sekali punya hal peribadi. Hal-hal yang dianggap terlalu peribadi pun menjadi hak rakyat dan pengikutnya.

Buang dinasour ganti dengan aligator.

Seruan Dr. Maza agar para dinasour politik disingkirkan dari persada politik dan digantikan dengan muka baru sememangnya satu impian politik yang muluk. Namun, ia bukan satu idea yang praktikal dan mudah untuk dilaksanakan. Jika politik itu sebuah kerjaya, mungkin idea itu bernas. Namun, jika politik itu jadi sebuah perjuangan, maka perjuangan tidak menamatkan hayat dinasournya.

Secara gampang lontaran Dr. Maza itu dapat dilihat merujuk kepada keberadaan berterusan Anwar Ibrahim dalam pesada politik. Itu mungkin merimaskannya. Namun, dinasour politik juga akan melibatkan TGHH, TGNA, Dr. Mahathir dan ramai lagi veteran politik yang masih bergiat di arena politik.

Kerana politik itu adalah dakwah bagi sesetengah orang, aku tidak menyetujui melebelkan semua orang lama dalam medan politik sebagai dinasour. Bukan hanya persaingan politik yang mengkucar kacirkan manusia, persaingan dalam dunia keilmuan juga memporakperandakan manusia. Jika dalam politik ada dinasour, dalam bidang agama juga akan ada dinasour.

Seruan supaya para dinasour berundur juga perlu diandalkan untuk para agamawan tua yang kini sedang berpaut ditali pemerintahan sebagai mufti, yang dipertua majlis dan sebagainya. Berikan peluang untuk muka baru.

Jika penglibatan jadi jalan cari makan, memang wajar disebut dinasour, Tapi jika penglibatan, dalam bidang apa pun, adalah untuk perjuangan, maka tidak haruslah pelakunnya digelar sebagai dinasour. Satu saat, bila kita tua, anak muda lain akan memanggil kita sebagai dinasour.

Jika saat itu kita seorang tua yang menjabat jawatan sebagai Yang Dipertua Yadim, mufti atau apa sahaja seumpamanya, relakah kita disebut sebagai dinasour.

"wahai dinasour...minggirlah, biar kami pula mengambil tempatmu!"

Satu masa kelak, kita bakal menjadi tua dan berubah jadi dinasour.

Sunday, February 08, 2015

Hilang keselamatan diri.

Kita sedang melintasi hari-hari yang penuh misteri. Dunia menapak ke hari-hari yang kian renta. Dua hari lepas, seorang gadis dibunuh. Namanya Shuhada. Kita dengar mengenainya dan dia disebutkan ramai orang sebagai gadis yang baik.

Tapi dia dibunuh orang.

Dunia menuju hari-hari akhir. Salah satu ciri dunia akhir zaman adalah banyak terjadinya pembunuhan. Banyaknya pembunuhan itu, hinggakan seorang yang membunuh tidak tahu kenapa dia membunuh. Mangsa juga tidak tahu atas kesalahan apa dia dibunuh.

Nabi SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لا يَدْرِي الْقَاتِلُ فِي أَيِّ شَيْءٍ قَتَلَ , وَلا يَدْرِي الْمَقْتُولُ عَلَى أَيِّ شَيْءٍ قُتِلَ

Demi Yang jiwaku di dalam kekuasaanNya, akan tiba satu zaman ke atas manusia, sang pembunuh tidak tahu apa sebab dia membunuh dan mangsa yang terbunuh pun tidak tahu kenapa dia dibunuh.
(Hadis Riwayat Muslim)

Suasana ini menggambarkan hilangnya rasa selamat dalam kehidupan. Hilangnya rasa selamat ini adalah petanda sirnanya pemerintahan yang diberkati. Ini dapat difahami daripada hadis nabi yang menyatakan bahawa pada saat Islam memerintah di dunia, seseorang boleh berjalan dari San'a ke Hadhramaut tanpa rasa bimbang. Hatta, kambing pun tidak risaukan ganasnya serigala.

Taat dan wala'

Ketika kalimah itu
disyairkan lalu
aku teringat para pendahulu
yang telah berwirid begitu
ketika mereka ditandu
wala' dan taat jadi lagu
dibaca untuk pengikut beribu
agar dipakai sebagai baju
jadi junjungan perjuangan nan satu.

telah banyak melontar wala'
banyak sekali penuntut taat
kala rasa mula bergolak
janji setia tega disiat.

Kerana itu
lagu wala' senandung taat
dipandang kini hanyalah alat
untuk golongan bersila makrifat
sebagai pendeta telunjuk malaikat.

Generasi baru
tidak lagi berbahasa leluhur.

Kenapa teman perjalanan menyepi?

Kali ini, aku nak menyatakan satu falsafah hidup. Tak perlu terjah untuk memahami maksudnya. Fikir sahaja dan apa yang mampu ditafsirkan, tafsiran itu adalah sah. Ia bebas.

Aku mahu berkata:" Kalau kelmarin kau berjalan sendirian, maka janganlah hari ini mengharapkan akan ada orang menemanimu".

Itulah falsafahku. Falsafah ini tentunya berkaitan dengan orang yang hidup. Tak berguna kalau hanya menyangkut orang yang sudah mati. Tak berfaedah juga untuk tidak mengaitkan yang masih hidup atau telah mati

Hati bernanah sakit

Sahabat...
ucapkan kalam malaikat,
usah bicara bahasa musibat.

sumpah amarah umpat
hanya terbit dari hati yang zulmat
dari jiwa hitam pekat
penagih madat yang terkulat.

Sahabat...
usah terpesona tarannum syaitan
usah terpana pujangga dendam
tak akan kumbahan menebar haruman

Jika berbahasa lurus berkait
sambil mengusap telunjuk menjentik
itulah hasil jiwa berpenyakit

Dari jiwa yang suci
tak akan lahir caci maki
walau mengaku wali suci...

Tuesday, February 03, 2015

Berhentilah bergaduh.

Pergaduhan PAS-DAP dalam isu-isu picisan akhir-akhir ini cukup membosankan. Pemimpin kedua-dua parfti itu nampaknya masih menyimpan penyakit lama yang mereka warisi sebelum terbentuknya Pakatan Rakyat. Penyakit itu ialah penyakit tidak boleh duduk berbincang dan saling berperasangka. Natijah daripada penyakit itulah, maka hari ini kita sedang menyaksikan episod-episod yang membawa kepada retaknya Pakatan Rakyat.

Rakyat bukan mahu dengar ocehan-ocehan mengenai apa yang ditimbulkan. Rakyat mahu lihat para pemimpin bersatu dan cerdik bermain politik. Bergaduh dan bertengkar, sudah kerap kali disaksikan sejak zaman hinggusan lagi. kanak-kanak bergaduh merebut biji guli. Remaja bergaduh merebut pasangan cinta monyet. Bila dewasa, berebut nak dapat laba dan keuntungan. Sekarang, dalam politik pun asyik bergaduh?

Aduh!