CARI BAHAN

Friday, September 24, 2010

Nostalgia Mahathir

Tun Mahathir seorang tua. Diberi gelaran negarawan pula. Dia seperti bebas berkata apa sahaja dan memberi pandangannya. Kritikan apapun yang dilemparkan kepadanya mungkin cuma seperti melempar tahi hidung ke dalam lautan luas. Namun, sebagaimana dia merasakan dia bebas mengkritik itu dan ini, maka aku tidak punya pantang apa-apa untuk mengkritiknya.

Kenyataan terbarunya mendakwa bahawa Melayu akan hilang kuasa jika PR mengambil alih kuasa adalah kenyataan seorang politikus senja yang masih tebal nostalgia dengan UMNO (Rujuk: The Malaysian Insider). Kenyataan itu masih berbau tahyul bahawa hanya BN sahaja yang pandai memerintah. Dengan mengambil contoh kes kerajaan PR di Perak yang tidak habis-habis dituduhnya sebagai kerajaan boneka Cina, dia mengatakan itulah akan terjadi bila PR memerintah.

Hikayat Tun Mahathir itu bukan boleh dipercayai dengan mudah dalam dunia hari ini yang maklumat beredar di hujung jari. Kalau 10 tahun atau 20 tahun dahulu dia berkata begitu, mungkin orang akan percaya. Waktu itu hanya TV dan akhbar penjilat kerajaan yang ada itulah sahaja sumber maklumat utama. Hari ini, internet telah menjadi sumber maklumat utama rakyat. 

Rakyat tahu bagaimana kerjaan Perak itu dirampas. Rakyat juga tahu sampai sekarang MB kerajaan haram itu tidak pernah berani untuk membuat persidangan dewan sebagaimana negeri-negeri lain. Rakyat menanti pilihanraya akan datang untuk memberi pengajaran kepada kerajaan haram tersebut.

Tun Mahathir masih bercakap pasal melayu memerintah. Aku telah tulis sebelum ini bahawa hakikatnya Melayu tidak memerintah. Melayu hanya ditunggani elit pemerintah yang mendakwa mereka Melayu. Selama lebih 50 tahun BN memerintah, banyak sudah derita yang Melayu tanggung. Paling perit, Melayu terus kekal sebagai bangsa yang mundur dari segi penguasaan ekonomi. Itulah hasil pemerintahan yang dikatakan dikuasai Melayu.

Keadilan menurut kacamata pemimpin UMNO khasnya Tun Mahathir sendiri adalah berkisar di sekitar diri mereka. Jika elit mereka terus berkuasa, itulah keadilan. Jika kroni mereka mendapat habuan, itulah tanda Melayu untung. Kayu ukur kemelayuan mereka adalah mereka dan angkatan mereka. Sekalipun angkatan mereka itu seorang Cina. Masih terngiang-ngiang di telingaku  kata-kata Tun Mahathir sewaktu dia berkuasa dahulu. Katanya, kerajaan tidak dapat menjadikan Melayu kaya semua. Kerajaan hanya boleh kayakan bebebrapa individu dengan kekayaan individu Melayu itulah makan bangsa Melayu akan menumpang tuah.

Sehingga kini, mana individu kaya ciptaan Tun Mahathir yang membela Melayu? Melainkan, mereka itu semakin bernafsu memperkayakan diri sendiri. Mereka terus memerah keringat rakyat sehingga rakyat yang sudah miskin menjadi bertambah miskin. Teori ekonomi Tun Mahathir berpaksikan kapitalisme dan ternyata sehingga kini dia tidak benar-benar menerima sistem Islam dalam kehidupannya. Dia masih bercakap dengan lidah kapitalisme, nasionalisme dan malang sekali seorang yang sudah tidak berkuasa, sudah di penghujung usia tidak mahu kembali kepada sifat tunduk kepada peraturan Allah di dunia.

Sebenarnya, siapakah melayu pelupa yang Tun Mahathir sebutkan? Siapa pula Melayu haprak yang pernah Tun Mahathir nistakan? Melihat kepada perkembangan Melayu baru yang dengan siagap bangun menyokong agenda pembaharuan PR, aku percaya mereka tidak haprak. Mereka bukan pelupa. Yang haprak dan pelupa adalah elit Melayu yang bakal hilang kuasa itu.



"Sesungguhnya Allah tidak akan memberi hidyah kepada orang yang zalim".Maksud Al-Quran.

No comments: