CARI BAHAN

Thursday, April 11, 2019

RAJA-RAJA DI MALAYSIA TIADA KUASA MUTLAK

Melantik seorang menteri besar memang dibuat oleh raja dalam negeri. Namun, raja itu tiada kuasa dalam hal tersebut. Kerana istilah melantik hendaklah dijelaskan perbezaannya dengan memilih. Jika majoriti Ahli Dewan  Undangan Negeri menyokong seseorang, raja dalam negeri tiada hak untuk memilih orang lain. Raja perlu formalisasikan perlantikan menteri besar itu. Tidak ada baginya kuasa menolaknya  yang disokong oleh perlembagaan  negara. Perlembagaan negara lebih tinggi dan lebih mulia daripada keberadaan seorang Sultan. Perlembagaan menjaga Sultan dan bukan Sultan yang menjaga perlembagaan. Siapa yang jaga perlembagaan?

Ulasan  Dr. Kamarul Zaman Yusoff  kali ini menarik dan waras untuk diambil kira.

Sehubungan dengan isu pelantikan menteri besar baru Johor yang sedang hangat diperkatakan sekarang, fakta-fakta yang ada di hadapan saya menunjukkan bahawa pandangan beberapa pihak kononnya pelantikan itu berada di bawah kuasa mutlak sultan atau raja-raja Melayu lain adalah tidak benar.


Laporan Suruhanjaya Reid yang menggubal perlembagaan negara sewaktu merdeka pada tahun 1957 dahulu mengakui pada perenggan 177 bahawa perlembagaan-perlembagaan negeri - seperti Perlembagaan Johor 1895 dan Perlembagaan Terengganu 1911 - memperuntukkan pelantikan menteri besar oleh sultan dan pertanggungjawaban beliau kepada sultan.


Keadaan ini menyebabkan Suruhanjaya Reid menganggap raja-raja Melayu waktu itu sebagai raja-raja tidak berperlembagaan dalam konteks kerajaan demokrasi berparlimen dan perlu diubah kepada raja-raja berperlembagaan dengan kuasa terbatas, iaitu tertakluk kepada nasihat menteri besar yang bertanggungjawab kepada dewan undangan negeri (DUN).

Sebab itulah dalam perlembagaan-perlembagaan negeri sekarang ada peruntukan tetap yang menyebut bahawa “Raja boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melantik seorang menteri besar” dan bahawa lantikan itu hendaklah daripada “seorang ahli dewan undangan yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli DUN itu”.

Dan peruntukan inilah yang ada dalam Perkara 4(2)(a) Perlembagaan Johor, dan dalam perlembagaan-perlembagaan negeri lain, iaitu bahawa “the Ruler shall first appoint as mentri besar to preside over the executive council a member of the legislative assembly who in his judgment is likely to command the confidence of the majority of the members of the assembly”.

Walaupun pernah berlaku beberapa insiden raja-raja Melayu melantik seorang menteri besar yang tidak mendapat kepercayaan majoriti anggota DUN, belum ada apa-apa cabaran di mahkamah ke atasnya walaupun ada ura-ura mengenainya dalam pelantikan Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis selepas PRU ke-14.

Begitupun, Sultan Azlan Shah sewaktu masih menjadi Ketua Hakim Negara pernah memberikan pandangan mengenai perkara ini dalam tulisan beliau yang mula-mula disiarkan dalam JMCL [1982] 103-118, dan kemudian disiarkan dalam buku Trindade & Lee pada 1986 dan buku koleksi tulisan dan ucapan naginda pada 2004.

Elak salah tafsir

Dalam tulisan bertajuk The Role of Constitutional Rulers itu, baginda menyebut bahawa, walaupun raja mempunyai budi bicara melantik menteri besar, apabila parti yang memperolehi majoriti dalam PRU mencalonkan salah seorang Adunnya sebagai menteri besar, raja tidak mempunyai pilihan lain selain untuk menerima cadangan tersebut.

Tegas baginda, jika seseorang raja mengetepikan hasrat parti dan melantik Adun lain yang tidak mampu mendapat kepercayaan majoriti DUN, ia boleh membawa kepada timbulnya undi tidak percaya yang akan menyebabkan raja itu sama ada melantik Adun lain atau membubarkan DUN.

Malah, baginda selaku Yang di-Pertuan Agong kesembilan bersama raja-raja Melayu sebenarnya membuat perisytiharan mengenai perkara itu - bersama-sama sembilan perkara lain - untuk "mengelakkan sebarang salah tafsiran mengenai kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa” melalui Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan bertarikh 4 Julai 1992.

Berhubung soal “pelantikan menteri besar” (“appointment of menteri besar”), Agong kesembilan bersama raja-raja Melayu lain mengisytiharkan bahawa:

(1) “Selaras dengan perlembagaan negeri, kita memperkenankan pencalonan seorang yang mendapat kepercayaan sebilangan ahli-ahli dalam DUN sebagai menteri besar (In accordance with the State Constitution, we shall accept the nomination of a person who commands the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly as the Menteri Besar).

(2) “Sekiranya tidak ada parti yang mendapat majoriti jelas di dalam DUN, kita hendaklah menggunakan budi bicara kita dalam pelantikan tersebut selaras dengan prinsip-prinsip tertentu (Where no party has a clear majority in the Legislative Assembly, we shall exercise our own discretion in such appointment in accordance with accepted constitutional principles).

(3) "Apabila kita tidak puas hati atas kesesuaian orang yang dicalonkan sebagai menteri besar, kita boleh merujuk pencalonan tersebut bagi dipertimbangkan semula oleh pemimpin parti berkenaan untuk keputusan muktamad (When we have any reservation as to the suitability of any person nominated as Menteri Besar, we may refer the nomination for reconsideration by the leader of the appropriate party for a final decision)."



Lebih baru ialah pandangan anakanda Sultan Azlan Shah, Sultan Nazrin Shah, yang kini merupakan Sultan Perak.


Baginda menyebut dalam satu syarahan umum The Monarchy in Contemporary Malaysia anjuran Institute Of Southeast Asian Studies Singapura pada 27 Julai 2004 bahawa, raja-raja melantik (tetapi tidak memilih) menteri besar.



Berdasarkan kepada fakta-fakta tadi maka jelaslah, tidak benar kononnya pelantikan seseorang menteri besar berada bawah kuasa mutlak sultan Johor atau raja-raja Melayu yang lain.

Atau kononnya pencalonan seseorang menteri besar memerlukan parti yang memperolehi majoriti dalam PRU mencalonkan lebih daripada seorang nama.



Budi bicara hanya timbul dalam keadaan tidak ada parti yang mendapat majoriti jelas di dalam DUN. Begitu juga apabila terdapat ketidakpuasan hati atas kesesuaian orang yang dicalonkan sebagai menteri besar yang membolehkan ia dirujuk bagi dipertimbangkan semula oleh pemimpin parti berkenaan supaya keputusan muktamad dibuat.



Hakikat bahawa telah pernah berlaku beberapa insiden raja-raja Melayu melantik seorang menteri besar yang tidak mendapat kepercayaan majoriti Adun atau meminta parti yang memperolehi majoriti dalam PRU mencalonkan lebih daripada seorang nama tidak boleh digunakan sebagai hujah untuk melegitimasikannya.



Saya tidak bersetuju dengan sebarang cubaan untuk merendahkan martabat, menjejaskan kedudukan atau mengabaikan peranan raja-raja Melayu.

Saya juga berbeza dalam banyak perkara dengan mereka yang turut lantang memperkatakan isu sama, tetapi dalam perkara ini saya tidak ragu-ragu untuk bersama dengan Dr Mahathir Mohamad.

Konsep kuasa mutlak bukan saja tidak dapat dipertahankan dari sudut perlembagaan dan undang-undang negara, malah tidak juga dapat dipertahankan dari sudut agama.

Diharapkan raja-raja dalam negeri, khususnya negeri Johor dapat memahami hakikat ini agar Kesultanan Melayu dalam negeri dapat dilanjutkan beberapa generasi lagi tanpa sengketa dengan rakyat dan bangsa Melayu secara khususnya.

Krisis Bendahara dengan anak Raja

Tiba-tiba aku teringat kisah dalam sejarah itu. Kisah Tun Besar dibunuh oleh anak raja Melaka bernama Raja Ahmad. ianya akibat yang remeh sahaja. Bola raga yang dimainkan oleh Tun Besar bersama kawan-kawan terpelanting kena kepala anak raja itu. Jatuh destarnya. lantas kerisnya dihunus dan dibunuhnya Tun Besar itu. Tun Besar itu pula anak bendahara Melaka. 

Bendahara Melaka yang anaknya mati dibunuh bakal raja Melaka itu penyabar juga orangnya. Tapi siasatnya dalam dan penuh cermat. Dengan kebijaksanaannya, Raja Ahmad itu tidak dapat jadi raja Melaka. Dia dihantar menjadi raja dinegeri ulu banat sana. Sesuai dengan sifat buasnya itu, jadilah raja negeri yang semak dan mundur. 

Apakah Bendahara Malaysia hari ini dapat berbuat sebijak bendahara Melaka itu. Ada anak raja satu negeri, banyak menimbulkan susah buatnya dalam mentadbir negara. Kelak, bila anak raja itu naik tahta negeri itu, bagaimanalah?Susahlah pentadbiran persekutuan hendak mengatur tadbir negeri. Kacaulah susun atur sistem bernegara. Sekarang ini pun , di waktu Sultan yang ada memerintah, hubungan renggang itu sudah terlihat.  Ada persaingan politik antara sang bendahara agung dengan raja di sebuah negeri. 

Nampaknya, ilmu siasat politik bendahara perlu dikeluarkan habis. Rakyat jelata bakal menyaksikan saiapa yang akan di atas. Siapa yang dapat mengalahkan siasat siapa. Bendahara itu bukan calang-calang juga orangnya. Politiknya cerdik sekali. Besar kemungkinan, anak raja dan ayahnya bakal terhimpit ke tepi.

Wednesday, April 03, 2019

TAN SRI RAFIDAH AZIZ DAN TUDUNG

Tan Sri Rafidah Aziz berikan 5 sebab kenapa dia tidak bertudung. 

1) Suami tak suruh
2) Kabinet menteri tak suruh.
3) Perlembagaan negara tak suruh
4) Itu dosa peribadi
5) Dia wanita yang sudah putus haid.

Rujuk: Astroawani

Pasal alasan pertama, suami Tan Sri kena jawablah. Selama jadi suami, tidak pernah suruh,  kira-kira tak lepaslah. Maknanya, Tan Sri Rafidah ni orangnya bagus juga. Taat kepada suami. Alhamdulillah. Patut semua wanita kena ada sikap macam tu. Taat pada suami. Suami pula kena ingat. Suami yang beruntung adalah yang taat kepada Allah.

Alasan kedua, ini pun nampaknya bagus. Tan Sri ini orang patuh pada majikan. Pimpinan dalam organisasi. Dia menanti arahan daripada majikannya. Kalaulah majikannya masa dia jadi menteri dulu suruh dia pakai tudung, harus-harus dia pakai tudung. Sayangnya, peraturan itu tak ada. Semua yang bekerja kena ada sikap ini. Sikap patuh pada majikan. Buat kerja mesti berpasukan....

Pasal perlembagaan ini, agak pelik. Kalau pasal bertudung pun kena masuk perlembagaan, adalah lebih aula solat 5 waktu kena masuk dalam perlembagaan. Alasan ini lucu dan tak logik.

Memang tak pakai tudung itu mulanya dosa peribadi. Kalau itu alasannya, apa boleh buat. Dakwah sudah sampai dan alasan ia dosa peribadi memang benar. Orang lain tak boleh paksa. Tapi, kalau dedah aurat kepada orang, akhirnya ia jadi dosa terdedah juga. Akhirnya tidak lagi peribadi. Dosa peribadi ni macam duduk dalam bilik, telanjang dan tengok gambar blue. Tak siapa tahu. Itu baru peribadi. Kalau orang nampak, ia bukan peribadi. Lebel tak pakai tudung itu dosa peribadi, aku kurang setuju. Tapi, memang doasa itu tak sebeasar dosa pecah amanah harta awam, rasuah dan seumpamanya.

Soa wanita haid tak perlu bertudung, itu salah faham nas Quran. Cetusan yang tak matang dari aspek hukum. Hal ini telah pun dijawab oleh pakar. Kita lihat apa yang ditulis oleh Dr. Kamilin Jamilin boleh dijadikan bahan renungan.

Wanita Berusia Yang Telah Putus Haid Boleh Buka Tudung??

1. Firman Allah SWT:

وَٱلۡقَوَٲعِدُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ ٱلَّـٰتِى لَا يَرۡجُونَ نِكَاحً۬ا فَلَيۡسَ عَلَيۡهِنَّ جُنَاحٌ أَن يَضَعۡنَ ثِيَابَهُنَّ غَيۡرَ مُتَبَرِّجَـٰتِۭ بِزِينَةٍ۬‌ۖ وَأَن يَسۡتَعۡفِفۡنَ خَيۡرٌ۬ لَّهُنَّ‌ۗ
“Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka” [al-Nur: 60].


2. Ramai yang salah faham dengan maksud “ثياب” yang disebut di dalam ayat dengan menyangka ia bermaksud tudung atau pakaian yang mendedahkan aurat.

3. Para sahabat dan tabiin BERSEPAKAT bahawa “ثياب” yang dimaksudkan di dalam ayat ialah pakaian luar (pakaian atas pakaian) atau apa yang dikenali sebagai jilbab.
Ia merupakan tafsiran dari Ibn ‘Abbas RA, Ibn Mas’ud RA, Ibn ‘Umar RA, al-Sya’bi, Sa’id bin Jubayr, al-Hasan, Mujahid, ‘Ata’ bin Abi Rabah, ‘Ikrimah, Qatadah dan tokoh tafsir ulung lain [Rujuk: Tafsir ‘Abdul Razzaq, Tafsir al-Tabari, dan Tafsir Ibn Abi Hatim].

4. Apa itu jilbab?
Jilbab merupakan pakaian luar bagi wanita seakan selendang besar yang kebiasaannya diletakkan di atas tudung bagi menutupi wajah atau membaluti badan dari ternampak bentuk tubuh seperti yang dipakai di beberapa negara arab atau Iran.
‘Aisyah RA menyebut: “Seorang wanita itu menyandang jilbabnya dari atas kepalanya (bagi) menutupi wajahnya” [Rujuk: Sunan Sa’id bin Mansur].

5. Sebahagian ulama lain menukilkan ijmak akan kewajipan seorang wanita berusia menutupi rambutnya walau berapa sekalipun usianya.
Menyingkapinya secara sengaja sedangkan mampu menutupinya ketika solat boleh membatalkan solatnya [Rujuk: Ahkam al-Quran oleh al-Jassas, dan al-Muhalla oleh Ibn Hazm].
Justeru rambut wanita tua juga adalah aurat sama seperti wanita muda tanpa khilaf. Cuma yang telah tua diberi kelonggaran untuk tidak memakai jilbab.

6. Namun ayat di atas menyebut: “Perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka”, iaitu sifat extra cautious itu merupakan ciri takwa yang lebih baik.
Suatu hari ‘Asim al-Ahwal masuk bertemu Hafsah binti Sirin yang telah tua, lalu Hafsah segera menutupi dirinya dengan jilbab.
Maka ‘Asim pun berkata: “Semoga Allah merahmatimu. Bukankah Allah telah berfirman…(membacakan ayat surah al-Nur tersebut)”?
Lalu Hafsah bertanya kepadanya: “Kemudian apa yang disebut di akhir ayat?”.
Jawab ‘Asim: “Perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka”.
Ujar Hafsah: “Ya, aku memilih untuk berjilbab (kerana itu lebih baik)” [Sunan Said bin Mansur].

-Dr. Kamilin Jamilin - Seni Hadith -

Apapun, para pendakwah Islam perlu berlunak mendepani orang seperti Tan Sri Rafidah ini. Dia percaya kepada Islam, dosa dan siksa kubur.  Kira ada imanlah. Cuma dalam bab tudung dia enggan. Besukurlah. Belum pernah kita dengar dia menghina agama , jilbab dan syiar-syiar agama. Bukan macam sekelompok orang yang tidka punya kedudukan apapun dalam masyarakat, tapi tak jaga lidah  dna mencela perkara-perkara yang telah jadi pegangan umat Islam.

Semoga Allah berikan hidayah yang sempurna dan lestari kepada Tan Sri Rafidah ... kepadaku juga hidayahNya kupohon...