CARI BAHAN

Friday, October 12, 2018

Oktoberfest 2018

Saya percaya para menteri yang beragama Islam itu semuanya tak suka Oktoberfest iaitu Pesta Arak yang dirancangkan. Para netizen yang menentang Oktoberfest itu, Alhamdulillah, telah menunjukkan semangat yang baik. Kemaksiatan perlu ditentang. Tentang dengan perkataan atau setidaknya dengan hati. Bab tentang dengan tangan itu, biarlah pihak berkuasa yang buat. Itu memang tugas mereka yang diberikan kuasa.

Namun, semangat yang baik itu dirosakkan dengan tanggapan negatif kepada semangat dan kemahuan orang lain. Saya membaca banyak komen , posting dan printscreen yang dikongsikan. Menuduh seseorang menyokong Oktoberfest adalah satu tuduhan tanpa asas. Hanya berdasarkan kenyataan yang dipetik daripada mana-mana portal oleh individu tertentu, kesimpulan terus dibuat. Umpamanya, yang dipetik, Khalid Samad, Menteri Wilayah berkata Oktoberfest tidak dapat dihalang. Jika benar dia mengucapkan demikian, ucapan penuh perlu diserta. Perkataan tidak dapat dihalang pula tak sama dengan tak boleh halang. 

Dendam politik membuatkan orang berani sekali menabur fitnah dan tidak takut dosa. Sekaligus melihat orang lain tidak sayangkan agama dan hanya diri sendiri yang hebat dalam membela agama. Ini sikap buruk yang tidak perlu disimpan. Setiap orang Islam perlu bersangka baik dengan muslim yang lain. Hatta, sekalipun kata-katanya membawa konotasi negatif, sebelum dapat penjalasan tentang kata-katanya, adab seornag muslim hendaklah mentakwilnya jadi positif.

Pesanan para ulama dalam pengajaran kisah hadis ifki yang menimpa Aisyah , tidak masuk bersemadi dalam fikiran para netizen muslim mujahid pembela agama ini. Apabila keluar ayat membela agama, keluar bersamanya cemuhan dna perlecehan ke atas orang lain. Ibarat orang yang menyiram pokok yang layu, bersama siraman disimbah minyak buat nyalaan api. Atau dengan ibarat lain, menyiram air bercampur minyak tanah. Apalah faedahnya.

Jika seseorang dapat menjaga apa yang ada antara misai dan janggutnya serta apa yang ada di celah kangkangnya, Nabi sebut dalam hadis, jaminan baginya syurga. Malangnya, dua anggota itu susah amat dijaga. Terutama yang ada antara dua janggut itu. Janggut atas dan janggut bawah.

Ada pula yang dunggu tumpang share printscreen berunsur fitnah adu domba. Perlu diingat, dosanya sama. Si pembuat dan si penyebar sama sahaja. Inilah yang aku maksudkan dalam catatan aku sebelim ini tentang sampah-sampah yang dibuang. Jangan jadi tukang kutip. Sayangnya hari ini orang dok kutip. Yang dok kutip itu pula, rakan-rakan yang kenal selama ini sebagai pembela agama, pejuang dan pencinta Islam. 

Entahlah....kemelut fitnah ini membingungkan. Seperti lelayang putus tali, bagi mereka, membujur lalu melintang patah. Keadaan sudah tidak terkawal. Kerana itu, aku katakan kepada diriku, buatlah apa yang kamu mahu buat. Aku berlepas diri. Setelah tahun-tahun panjang ditarbiah, bahan tarbiah itu tidak dapat mendidik pekerti, teruskanlah apa yang anda rasa baik. 

Aku tidak sekali-kali bekongsi kecelakaan ini.

Aku benci Oktoberfest. Aku bantah dan aku menyimpan kepercayaan bahawa para menteri juga benci. Cuma kudrat, siasat dan cara mereka tidak semestinya seperti yang aku mahu. Namun mengatakan mereka sokong dan suka, anjur serta bantu, aku tidak sanggup melemparkan tuduhan liar sedemikian.

Aku mahu menjaga lidahku daripada menjilat bangkai-bangkai busuk dengan mengunjing saudara seagama. Ya Allah...peliharalah aku...

No comments: