CARI BAHAN

Thursday, October 18, 2018

ROMBONGAN MENONTON WAYANG

Kelmarin pergi ke panggung wayang Bukit Mertajam. Inilah kali pertama dalam hidupku masuk panggung wayang. Sekolah anjurkan program bawa murid-murid pergi menonton wayang cerita Paskal, Sebuah cerita Melayu yang sedang ditayangkan di pangung wayang. Khabar dalam berita, lebih 20 juta berjaya dipungut oleh filem tersebut setakat ini.

Murid-murid tahun 4 dan 5 dipilih untuk menyertai rombongan ini. Bayaran dikena RM20 seorang. Sekitar 120 murid dan guru menyertai rombongan tersebut.

Cerita Paskal mengisahkan keberanian dan pengorbanan sekumpulan komando terlatih berkhidmat demi negara. Lt. Col Arman bion Anuwar yang mengetua pasukan itu telah berjaya dalam misinya. Pertama misi di Laut Aden, menyelamatkan kapal tangki milik negara Malaysia daripada rompakan lanun-lanun Somalia.

Kemudian....kemudian aku pun malas mencatatnya. Tonton sendiri...

Friday, October 12, 2018

Membumikan Quran

Kita banyak hafal Quran. Tapi kita sedikit dalam mangambil faedah daripadanya. Ayat-ayat yang kita baca, jarang sekali kita boleh jadikan istidlal untuk sesuatu tindak tanduk. Sama ada tindak tanduk kita maupun orang lain.Nampaknya kita tidak dapat berta'amul dengan al-quran sebagaimana sepatutnnya. Dalam situasi yang kerap terjadi, kita tidak dapat manfaatkan Quran dan dapat pula manfaatkan intisari sesebuah hadis. Jika hadis itu Saheh, tidaklah berapa terkilan. Malangnya, hadis yang dilebihkan perhatiannya berbanding Al-Quran itu adalah Daif , bahkan mauduk.

Perkara ini ada disebutkan oleh Syeikh Muhamamd Al-Ghazali dalam bukunya " Sunnah Nabawiyyah, antara Ahli Feqah dan Ahli hadis". Keghairahan menjadikan hadis sebagai rujukan, membuatkan sebilangan ulama tidka dapat mengambil manfaat terbaik dan terbesar daripada ayat-ayat Al-Quran.

Cuba anda perhatikan. Antara kemelampauan mencitai ilmu hadis dengan kemelampauan anti ilmu hadis. Mereka yang didakwa umum sebagai anti hadis, seringkali memetik isi kandungan Al-Quran dan menjadikannya hujjah dan paku bicara mereka. Mereka yang tergolong kalangan ahli hadis pula tenggelam dalam perbahasan mengenai konten hadis sehingga Al-Quran hanya sekali sekala meniti di bibir mereka. Ada ketika, mereka kalah kepada golongan anti hadis.

Saya terfikir hal ini. Orang kata Kasim Ahmad itu anti hadis. Ya, memang begitulah. Sudah seperti kepercayaan ramai bahawa dia anti hadis. Penganut fahamannya, ( Samada seluruhnya atau bab-bab tertentu sahaja) adalah antaranya,  Tun Dr. Mahathir. Tun Dr. Mahathir boleh dikatakan tidak pernah memetik kalam hadis nabi. Tapi dia sering pula memetik ayat Quran. Ada ketika, petikannya itu lebih jitu berbanding cara kita memetik. 

Beliau selalu memetik ayat yang bermaksud "Allah tidak mengubah nasib seuatu kaum selama mana kaum itu tidak mahu mengubah nasib mereka sendiri". Dia baca aayat itu dan dia faham atas kapasitinya sebagai pemimpin bangsanya. Dia mengkritik bangsanya dalam sajaknya, tulisannya dan ucapannya. Ayat tersebut menjadi dalil pentingnya. Dia benar-benar ulas dan manfaatkan ayat itu. Lebih daripada kita yang banyak baca Quran, hafal dan mengerti maksudnya. Ayat yang sedikit daripada Quran, huraiannya boleh jadi merentas tema pelbagai. Boleh jadi dalil dalam tulisan yang jika dibukukan, jadi berjilid-jilid.

Saya bukan nak puji Dr. Mahathir pun. Tapi, saya tidak boleh benci dia. Bahkan, siapa pun saya tak mahu benci, lebih-lebih lagi kerana khilaf politik sebagai dasarnya. Cuma saya harap kita ambil pelajaran dan iktibar daripada kesungguhan orang yang dilihat jahil agama mengambil iktibar daripada Quran. Ayat sedikit yang dia dengar, jadi buah mulutnya. Ayat banyak yang kita ingat, apakah ia jadi buah mulut kita? Kalau jadi buah mulut, untuk tujuan apa pula? Jika sekadar menjadi hujjah menyucikan diri, itu bukan tujuan Al-Quran. Jika jadi hujjah melariskan barang niaga, Quran jauh sekali daripada maksud itu.



TAHAN DIRI, KEPUNGLAH PAHALA SENDIRI.

Jika anda marah seseorang, elakkan mencelanya di FB. Anda Marahlah dalam kereta waktu memandu seorang diri. Celalah dia waktu anda dalam bilik tidur seorang diri. Celalah, umpat dan sumpahlah semahumu. Jika ia dosa, ruang legar dosanya tidak seberapa. Berbanding anda marah dia dalam FB. Anda cela dan cemuhnya dalam FB. Gelanggang tempatnya mengamuk besar sekali. Ufuk timur dan barat pun bukan batasnya.

Kalau anda sabar dan tidak mengeluarkan cemuhan, itulah yang paling mulia. Namun, kebanyakan kita tak mampu. Gejolak dalam jiwa jarang dapat dibendung. Ia tetap mahu melimpah dan membuak.


Lalu, jangan buatkan limpahannya menjadi banjir. Malang kalau jadi tsunami. Berfikir berkali-kali sebelum mengangkat diri menjadi syattan atau lammam. Amat besar kerugiannya. Amat tragis penyesalannya di kemudian hari. Hari diperhitungkan pahala sendiri buat membayar harga murah huruf-huruf atau liur yang ditumpahkan.

Banyak benar aksi yang memagut amarah kita. Tidak cukup jemari tangan untuk menaip. Kalau bisa dengan jemari kaki sekali. Itupun tak cukup lagi.Yang bersiponggang dalam hati lebih meriah daripada yang mampu dicercakan.

Selama mana ia bersenandung di dalam sana, ia tidak mengguris amal anda. Seringkali, yang kita rasa berpahala, ianya hanyalah kumbahan dosa. Apatah lagi yang memang kitapun melihatnya sebagai ceracak dosa. Ia akan menjadi beban-beban gunung sengsara di hari muka.

Oktoberfest 2018

Saya percaya para menteri yang beragama Islam itu semuanya tak suka Oktoberfest iaitu Pesta Arak yang dirancangkan. Para netizen yang menentang Oktoberfest itu, Alhamdulillah, telah menunjukkan semangat yang baik. Kemaksiatan perlu ditentang. Tentang dengan perkataan atau setidaknya dengan hati. Bab tentang dengan tangan itu, biarlah pihak berkuasa yang buat. Itu memang tugas mereka yang diberikan kuasa.

Namun, semangat yang baik itu dirosakkan dengan tanggapan negatif kepada semangat dan kemahuan orang lain. Saya membaca banyak komen , posting dan printscreen yang dikongsikan. Menuduh seseorang menyokong Oktoberfest adalah satu tuduhan tanpa asas. Hanya berdasarkan kenyataan yang dipetik daripada mana-mana portal oleh individu tertentu, kesimpulan terus dibuat. Umpamanya, yang dipetik, Khalid Samad, Menteri Wilayah berkata Oktoberfest tidak dapat dihalang. Jika benar dia mengucapkan demikian, ucapan penuh perlu diserta. Perkataan tidak dapat dihalang pula tak sama dengan tak boleh halang. 

Dendam politik membuatkan orang berani sekali menabur fitnah dan tidak takut dosa. Sekaligus melihat orang lain tidak sayangkan agama dan hanya diri sendiri yang hebat dalam membela agama. Ini sikap buruk yang tidak perlu disimpan. Setiap orang Islam perlu bersangka baik dengan muslim yang lain. Hatta, sekalipun kata-katanya membawa konotasi negatif, sebelum dapat penjalasan tentang kata-katanya, adab seornag muslim hendaklah mentakwilnya jadi positif.

Pesanan para ulama dalam pengajaran kisah hadis ifki yang menimpa Aisyah , tidak masuk bersemadi dalam fikiran para netizen muslim mujahid pembela agama ini. Apabila keluar ayat membela agama, keluar bersamanya cemuhan dna perlecehan ke atas orang lain. Ibarat orang yang menyiram pokok yang layu, bersama siraman disimbah minyak buat nyalaan api. Atau dengan ibarat lain, menyiram air bercampur minyak tanah. Apalah faedahnya.

Jika seseorang dapat menjaga apa yang ada antara misai dan janggutnya serta apa yang ada di celah kangkangnya, Nabi sebut dalam hadis, jaminan baginya syurga. Malangnya, dua anggota itu susah amat dijaga. Terutama yang ada antara dua janggut itu. Janggut atas dan janggut bawah.

Ada pula yang dunggu tumpang share printscreen berunsur fitnah adu domba. Perlu diingat, dosanya sama. Si pembuat dan si penyebar sama sahaja. Inilah yang aku maksudkan dalam catatan aku sebelim ini tentang sampah-sampah yang dibuang. Jangan jadi tukang kutip. Sayangnya hari ini orang dok kutip. Yang dok kutip itu pula, rakan-rakan yang kenal selama ini sebagai pembela agama, pejuang dan pencinta Islam. 

Entahlah....kemelut fitnah ini membingungkan. Seperti lelayang putus tali, bagi mereka, membujur lalu melintang patah. Keadaan sudah tidak terkawal. Kerana itu, aku katakan kepada diriku, buatlah apa yang kamu mahu buat. Aku berlepas diri. Setelah tahun-tahun panjang ditarbiah, bahan tarbiah itu tidak dapat mendidik pekerti, teruskanlah apa yang anda rasa baik. 

Aku tidak sekali-kali bekongsi kecelakaan ini.

Aku benci Oktoberfest. Aku bantah dan aku menyimpan kepercayaan bahawa para menteri juga benci. Cuma kudrat, siasat dan cara mereka tidak semestinya seperti yang aku mahu. Namun mengatakan mereka sokong dan suka, anjur serta bantu, aku tidak sanggup melemparkan tuduhan liar sedemikian.

Aku mahu menjaga lidahku daripada menjilat bangkai-bangkai busuk dengan mengunjing saudara seagama. Ya Allah...peliharalah aku...

Wednesday, October 10, 2018

Learning Curve

Kata Dr.Wan Azizah sewaktu ditanya tentang prestasi kabinet menteri kerajaan PH:


“Beri kami sedikit masa kerana kami masih dalam ‘learning curve’ (keluk pembelajaran),” 

Learning Curve bermaksud:

 The rate of a person's progress in gaining experience or new skills.

Wiki menyatakan:

 The term learning curve is used in two main ways: where the same task is repeated in a series of trials, or where a body of knowledge is learned over time. The first person to describe the learning curve was Hermann Ebbinghaus in 1885, in the field of the psychology of learning, although the name wasn't used until 1903. In 1936, Theodore Paul Wright described the effect of learning on production costs in the aircraft industry. This form, in which unit cost is plotted against total production, is sometimes called an experience curve

Kerana belum berpengalaman jadi kerajaan, graf para menteri mempelajari sesuatu perkara berkaitan pemerintahan tidka kelihatan lancar. Ada sahaja salahnya. Salah dalam kenyataan banyak berlaku. Lihat sahaja kesalahan ucapan beberapa menteri sejak awal memegang tampuk pemerintahan. 

Hal-hal seperti ini biasa. Asalnya jangan salah dalam songlap duit rakyat, kesalahan dalam keluk pembelajaran ini boleh dimaafkan.  

Lagipun, ia hanya sebuah kenyataan verbal. Belum lagi dilaksanakan. Sedangkan ulama terkemuka dalam ilmunya pun salah dalam bidangnya. Apatah lagi kalau pak menteri yang bari belajar memerintah.

It's okey...

Wednesday, October 03, 2018

Jangan Mudah Mengeluarkan Orang Dari Iman

Perangai buruk sebilangan orang Islam adalah cenderung menghukumkan seseorang keluarkan dari kota Islam dan Iman. Berdasarkan perkataan orang itu, difahamkan cacatnya pada akidah, lalu dijatuh hukum keluar dari Islam. Berdasarkan perbuatan seseorang itu, dihukumkan terkeluar dari Islam. Sedangkan orang itu tidak ditanya tentang perkataannya. Tidak disoal dan diselidiki tentang perbuatannya.

Kerja orang beriman adalah memasukkan sekian banyak manusia ke dalam Islam dan iman. Bukan mengeluarkannya. Ironinya, satu ornag yang tidak pernah memasukkan satu jiwa pun ke dalam Islam dan Iman, ghairah mengeluarkan fulan bin fulan daripada kota Islam dan pagar iman. 

Lizimul Qaul Laitsa bil Qaul. Satu yang anda faham daripada kata-kata seseorang, tidak boleh jadi alasan anda menghukumnya. Anda perlu tanya si penutur itu maksud kata-katanya Jika dia mengaku maksudnya sebagaimana yang anda faham, maka jadilah Lazimul Qaul huwal Qaul. Jika tidak, ia akan tegak atas prinsip asal iaitu lazimul Qaul laitsa bil Qaul.

Kaedah ini bukan sahaja untuk perkataan. Ia termasuk perbuatan. Perbuatan seseorang itu juga perlu ditanya kepadanya. Jika jelas seperti yang anda faham, maka itulah perbuatannya.

Bukan semudah makan kacang untuk kafirkan orang atau nifaqkan orang. Alangkah besarnya musibah bagi para algojo agama yang gelojoh. Sangkanya sebagai pembela agama tetapi agama sendiri runtuh ranah kerana kebuasan lidah sendiri. Dalam dunia moden ini, dunia jemari ligat menyusun bait kata dan mengetuk kewboard, agama sendiri runtuh kerana kelancangan di hujung jari.

Kala anda mendengar bicara seseorang, anda mungkin cepat melatah dan mungkin arah. Akal anda faham kata-katanya itu tetapi tidak semestinya yang anda faham itu, itulah yang dimaksudkannya. Sekalipun anda lihat seorang Islam masuk ke kuil, anda belum boleh hukumkan dia murtad atau terjejas akidah. Jika adan lihat dia tabur bunga depan patung hindu sekalipun, belum cukup hak anda menghukumkannya kafir. Anda perlu pastikan dengan bertanya dia. Apakah dia masih percaya Allah dan rasulnya. Jika jelas dia mengaku bahawa dia bukan beriman lagi dengan Allah dan rasulnya, tetapi sudah percaya patung dewa dewi itu bolehlah anda hukumkan kekafirannya. Itulah setelah dipastikan dia tidak lupa, jahil atau terpaksa!

Hubaya-hubaya....jaga agamamu juga dan jangan hanya perihati akidah pegangan orang. Lembu Seberang laut nampak tapi Dinasour depan mata tidak dapat dilihat.

Tuesday, October 02, 2018

MUT'IM BIN ADI YANG BERJASA

Budi baik dan jasa orang kafir hendaklah dihargai. Soal kekafirannya adalah soal lain. Jika ada kebaikannya, maka kebaikannya itu perlu dibalas baik. Inilah akhlak mulia ajaran Islam yang diajarkan nabi SAW. Sikap ini boleh dilihat bagaimana luahan nabi SAW terhadap kebaikan seorang kafir Makkah yang bernama Mut'im bin  'Adi. Selama nabi berdakwah di Kota makkah, dia tidak memusuhi nabi SAW, bahkan dia membela nabi serta orang Islam.

Ahli sejarah meriwayatkan bahawa di kalangan enam ornag perwakilan Kota Makkah yang menyokong pembatalan pemulauan ke atas Bani Hasyim , salah satunya adalah Mut'im bin 'Adi. 

Ketika nabi mendapat musibah dalam dakwahnya di Taif, baginda mahu kembali semula ke Makkah. Namun, pemuka Quraisy seperti Abu Jahal dan yang seangkatan dengannya menghalang nabi SAW kembali semula ke Makkah.  Akan tetapi, Mut'im bin "adi, atas kebertanggungjawapannya sebagai orang berpengaruh di Kota Makkah, telah membawa nabi masuk semula dan mempertahankan hak nabi untuk kembali ke Kota Makkah. Dia membela nabi daripada diapa-apakan oleh pemuka -pemuka Makkah yang membencinya.

Kerena kenangan indah dna budi baik Mut'im itu, nabi SAW menyebutkan dalam peristiwa tawanan perang Badar:


 
" Kalau seandainya Mut'im bin Adi masih hidup dan dia datang minta aku bebaskan tawanan perang Badar itu, nescaya aku bebaskan mereka".

Inilah akhlak Islam.Akhlak Islam mengajar kita mengenang kebaikan orang sekalipun daripada orang kafir. Jangan kerana seseorang itu kafir atau musyrik, kita menafikan keperluan memuji kebaikannya.