CARI BAHAN

Tuesday, November 14, 2017

Pendirian Berkecuali

Aku membaca ulasan Ustaz Idris Ahmad tentang alasan kenapa Pas berkecuali dan tidak menolak bajet kerajaan  baru-baru ini. Ia menyalahi pakatan Pembangkang lain yang menolak  bajet tersebut.  Alasannya dalam bajet itu ada perkara baik seperti membina sekolah, BRIM, bantuan untuk petani dan nelayan. Logik beliau adalah bagaimana satu yang ditolak, kemudian diminta pula. Tolak bajet tapi minta diadakan sekolah dan segala kemudahan untuk rakyat.

Aku menghormati Ustaz Idris Ahmad selaku seorang ahli politik muslim yang gigih berjuang mengikut garis dasar parti. Namun, logik yang beliau berikan tidak dapat aku terima. Alasan kenapa bajet itu tidak ditolak bersandarkan alasan di dalamnya ada unsur kebaikan, adalah  terlalu rapuh. Jika ia dipegang, tidak ada satu bendapun dalam dunia ini perlu ditolak.

Ambil misalnya arak. Pada arak itu ada kebaikannya. Minum arak boleh buat badan panas dan selesa dan dapat menahan kesejukan cuaca, memberikan tenaga dan juga menjana ekonomi kerajaan. Namun, keburukan akibat arak lebih besar. Itulah alasan kenapa Allah SWT menolaknya dan mengharamkannya. Setiap orang jahat, dalam dirinya ada kebaikan. Persoalannya, mana yang lebih dominan. Jika yang jahat itu dominan, nerakalah habuannya. Sungguhpun kekadang dengan sebab kebaikannya yang sedikit Allah masukkannya ke syurga. Namun, hukum umum, jika jahat banyak tolak sahaja dan habuannnya neraka.

Melihat kepada bajet, apakah yang lebih dominan. Pakar-pakar ekonomi boleh memutuskan. Jika hanya sekadar ada unsur-unsur baik yang sudah menjadi tanggungjawab kerajaan melaksanakannya, maka ia tidak boleh ditolak secara total, maka berapa banyak benda buruk dan jahat yang juga harus kita bersikap berkecuali.

Pendirian berkecuali dalam mendepani penguasa zalim bukan amalan salaf soleh.


No comments: