Cuti Hari Buruh bersambung dengan hari Wesak dibawa kepada hari Ahad dan Isnin. Aku menyertai rombongan sanak saudara dari kampung ke majlis kenduri kahwin di Senawang, Negeri Sembilan. Mohd Afifi anak Paktih Mat berjodoh dengan orang Negeri Sembilan. Sanak saudara isteri pergi dengan sebuah bas manakala aku dna keluarga menaiki kereta. Aku tidak gemar naik bas kerana terikat dengan jadual perjalanan orang. Lagi pun, aku merencana perjalanan sendiri sesudah selesai urusan kenduri kahwin. Paling tidak pergi melawat Kota A Famosa di Melaka yang sudah lebih 17 tahun lalu aku melawat buat kali pertama.
Melalui perjalanan berkereta menelusuri lebuh raya Utara-Selatan, aku melihat jejeran kereta yang bersesak-sesak pada perjalanan menuju ke Utara. Beberapa tempat berlaku kesesakan yang dahsyat. Mujurlah perjalananku ke Selatan tidak diganggu oleh kesesakan tersebut. Orang-orang di Kuala Lumpurmungkin sedang mengambil peluang untuk bercuti ke utara. Ada yang balik kampung dan mungkin sesetengahnya mahu ke Langkawi sebagai destinasi percutian keluarga.
Dari pukul 9.45 waktu betolak, aku dapat tiba bandaraya Ipoh untuk solat Jumaat di sana. Masjid Sultan Idris Syah menjadi pilihan. Khutbah JUmaat berkisar pentingnya rakyat mentaati Sultan dan Tanggungjawab Sultan kepada rakyat. Ia adalah khutbah sempena istiadat pertabalan Sultan Nazrin sebagai Sultan Perak yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Di Masjid Sultan Idris ini, aku lihat begitu ramai Bangla yang datang solat. Sekilas pengamatanku, Bangla adalah majoriti ahli jemaah Jumaat pada hari ini. Bagusnya Bangla berbanding Melayu, mereka rajin solat di masjid. Di sebalik kebanjiran Bangla di Malaysia, aku tidka pasti apakah ia mengandungi kebaikan atau keburukan untuk masa depan Malaysia. Berfikir positif, ia sebenarnya menambahkan kekuatan tubuh kaum muslimin di bumi bertuah ini yang nampak goyah untuk ditatang oleh anak bangsanya, Melayu.
Menunggu solat Jumaat, sempat makan tengahari berhidangkan bekalan yang dimasak dari rumah. Aku, isteri, Mak mentua, MIla, Angah dna Qibah menikmati hilangan ala-ala perkelahan di bawah teduhan pokok di parkir masjid
Setelah itu, perjalanan diteruskan. Terasa masih awal dna punya kesempatan untuk meloncong ke Telok Intan. Di sana ada menara condong yang terkenal sebagai tarikan pelancong. Aku mahu menjengok destinasi itu. Namun terpaksa batalkan hasrat ketika perjalanan sudha separuh kerana merasakan ia membuang waktu. Lencongan sangat jauh dna bimbang akan kemalaman di sana. Akhirnya aku bertukar arah ke Tapah dan mengambil jalan lebuhraya semula menuju ke Kuala Lumpur.
Ini kali pertama aku memandu kereta Sorento menembusi dada kota. Walaupun tidak biasa dengan jalan-jalan baru Kuala Lumpur, aku berpandukan dengan GPS dari ipad mini yang kubawa bersama. Ia banyak membantu. Perjalana menuju ke Seremban perlu melalu jalan menuju KLIA. ia tidak jauh dari jalan ke Putrajaya. Sebab itu, melawat Putrajaya adalah tindakan sepontan. Kami singgah ke Taman Botani dan tiada apa yang menarik di sana. Ketika azan maghrib berkumandang, kami bergegas ke masjid Putrajaya dan solat jamak di sana. Orang ramai seperti ada pesta. Sukar sekali mencari parkir kkereta.
Selepas solat maghrib, perjalanan diteruskan ke Seremban dengan mengambil jalan melalui lebuhraya KL-Seremban. Tiba di Senawang sekitar jalm 10 malam. Sebuah homestay yang disediakan di Taman rasa Sayang, No. 154 dan 155. Ia berhadapan dengan dengan sebuah masjid bernama masjid Ar-Raudhah. Di homestay itulah semua sanak saudara yang datang dengan bas akan berkumpul.
|
Ust Ismail |
Mentua Afifi bernama Ust. Ramadhan. majlis akad nikah dan kenduri kahwin diadakan di kediamannya di rumah bernombor 370, Taman Palma Jaya, berhadapan dengan Homesweet Homestay . Ketika di rumah kenduri, aku bertemu dengan berkenal dengan
Ust Ismail yang bertugas di sebuah PPD di negeri Sembilan. Dia berasal dari Padang Gelenggang, Kedah dan merupakan anak angkat Paktih Mat.
Selepas selesai makan kenduri, aku mengambil haluan ke negeri Melaka. Hajat ingin melihat kota bersejarah itu. Namun, ketika mula masuk ke Bandaraya Melaka, kesesakannya amat teruk. Beberapa percubaan mendekati pusat bandar acap tersangkut dalam kesesakan. Maka, aku mengambil keputusan untuk pulang mengikut jalan persisiran menuju ke Port Dickson melalui daerah Linggi. Aku singgah solat jamak di masjid Tanah. Kemudian berdesup mengejar masa ke Port Dickson dengan harapan dapat mengambil penginapan di sana. Malangnya, Port Dickson juga sedang dikerumuni manusia dan jalannya "Jem". Tiada hotel yang kosong. Semuanya "full". Lalu, terpaksalah pulang ke Seremban dan mencuba nasib di sana. Jalm sudha menjangkau 12 malam apabila kami bernasib baik menemui sebuah hotel di Bandar Seremban. Lake View namanya. Hotelnya tak terurus dan tangga naik ke tingkat atas kotor. Bau arak dapat dikesan ketika melalui lorong menuju bilik murah yang aku, isteri dan anak bakal melelapkan mata menghilangkan penat. hanya RM50 semalam.
Pagi esoknya pulanglah kami ke Kuala Lumpur. singgah meninjau pameran Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung di PWTC. Sudah lama aku tidak melilau di Kuala Lumpur. Payah juga hendak temui jalan ke sana. Pakai GPS banyak membantu. Aku beli beberapa buah buku sebelum beredar dan mandi serta solat jamak zohor asar di masjid negara. Kemudian, perjalanan seterusnya adalah merentas lebuhraya pulang ke Kulim-Lunas. Kelihatannya arus kereta dari Utara ke Selatan sedang membentuk kesesakan di beberapa tempat. Perjalanan balik ke utara memang lancar. Hujan turun di beberapa tempat sepanjang lebuhraya. Bila penat, aku berhenti dan melelapkan mata.
Akhirnya sampai juga di Lunas dengan selamat. Jam ketika itu sekitar 10.30 malam. Perjalanan percutian kali ini agak mengecewakan kerana terperangkap dalam kesesakan. Lain kali, kalau mahu bermusafir, aku akan berhati-hati memilih hari. Jika cuti umum, baik jangan melakukan perjalanan jauh melalui lebuh raya. Ia hanya akan menyendatkan otak dan melenguhkan perut betis.
Demikian sebuah musafir yang aku catatkan sebagai sebuah kenangan. Semoga jadi kenangan berharga di belakang hari.