CARI BAHAN

Monday, February 17, 2014

Suami terakhir

Bagi wanita yang bersuami lebih dari satu, maka suami terakhirnya yang akan menjadi temannya dalam syurga. Imam Al-Qurtubi dalam kitabnya At-Tazkirah menyebutkan sebuah riwayat atsar dari Huzaifah yang telah berkata kepada isterinya:

" Jika kamu suka untuk menjadi isteriku dalam syurga andainya kita dihimpunkan bersama di dalamnya, maka janganlah kamu berkahwin lagi sesudahku. Maka sesungguhnya seseorang perempuan itu akan berkahwin di akhirat nanti dengan suami terakhirnya di dunia".

Riwayat ini juga boleh ditemui di dalam Sunan Al-Kubra oleh Baihaqi 7/69 dan juga dalam Siyari A'lam An-Nubala' oleh Az-Zahabi 2/208/

Ad-Dailami dalam Firdaus menyebutkan riwayat bahawa Mu'wiyah bin Abi Sufian  pernah meminang Ummu Ad-Darda' akan tetapi Ummu Ad-Darda' enggan dan berkata: Aku mendengar Abu Ad-Darda' meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW dengan sabdanya: Seorang perempuan itu adalah isteri kepada suami terakhirnya di dunia". Abu Ad-Darda' berpesan: Jika kamu ingin menjadi isteriku di akhirat, maka janganlah berkahwin lagi sesudah matiku".

Thursday, February 13, 2014

Sumpah bahasa nifaq

Bersumpahlah dengan Al-Quran
Bahawa kamu tidak berzina
Bahawa kamu tidak makan rasuah.
Bahawa kamu akan mengundi kami
Bahawa kamu tidak menipu

Quran yang diturunkan sebagai petunjuk kehidupan
Hanya jadi dagangan sumpahan

Dari ruang parlimen hingga ke mahkamah
Dari dalam masjid ke padang bola sepak.

Ketika betikai soal maruah diri
Sumpah Al-Quran yang diminta
Ketika bergaduh kerana sebiji bola
Sumpah Al-Quran dicabar

Apa yang kamu faham tentang Al-Quran?

Nanti kelak
Para pelacur berebut pelanggan
Minta sumpah dengan Al-Quran.
Serigala dan dubuk berebut bangkai
Sumpah Al-Quran jadi penentu...

Aduhai...

Monday, February 10, 2014

Syair Hamzah Fansuri

Hamzah Fansuri menghasilkan karya syair yang indah. Ia banyak membicarakan soal kerohanian. Hanya, dia terpengaruh dengan idea Ibn Arabi yang mengasakan fahaman sufisme Wehdatul Wujud. Walaupun ada orang mempertahankan kebenran fahaman sedemikian dan meletakkan Ibn Arabi sebagai orang yang berada di atas jalan yang benar, aku tidak berminat dengan fahaman sedemikian. Ada sesetengah tokoh menghukumkan Ibn Arabi sebagai kafir berasaskan cetusan karyanya yang mengandungi tinta-tinta kufur. Soal itu, Wallhu 'Alam. Cukuplah kita mengetahui konflik itu dan biarlah ia menjadi sejarah. 

Aku lebih suka memilih fahaman "wehdatus Shuhud" dan menolak fahaman "wehdatul Wujud" yang mengelirukan.

Maka demikian, Hamzah Fansuri telah menganut fahaman Wehdatul Wujud dan pada zamannya dan konflik pun terjadi antaranya dengan Nuruddin Ar-Raniri yang merupakan ulama penasihat kepada kerajaan Aceh yang waktu itu di bawah pemerintahan Iskandar Thani.

Namu, itu tidak bermakna kita menghilangkan penghargaan ke atas hasil karya indah yang dicetuskan oleh Hamzah Fansuri. Semoga Allah mengampukannya jika beliau ada kekeliruan. Yang lebih penting, kita sendiri perlu berwaspada daripada keliru. 

Lihatlah secebis tintanya yang dinamakan Syair Perahu:

Inilah gerangan suatu madah
mengarangkan syair terlalu indah,
membetuli jalan tempat berpindah,
di sanalah i’tikat diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu,
ialah perahu tamsil tubuhmu,
tiadalah berapa lama hidupmu,
ke akhirat jua kekal diammu.

Hai muda arif-budiman,
hasilkan kemudi dengan pedoman,
alat perahumu jua kerjakan,
itulah jalan membetuli insan.

Perteguh jua alat perahumu,
hasilkan bekal air dan kayu,
dayung pengayuh taruh di situ,
supaya laju perahumu itu

Sudahlah hasil kayu dan ayar,
angkatlah pula sauh dan layar,
pada beras bekal jantanlah taksir,
niscaya sempurna jalan yang kabir.

Perteguh jua alat perahumu,
muaranya sempit tempatmu lalu,
banyaklah di sana ikan dan hiu,
menanti perahumu lalu dari situ.

Muaranya dalam, ikanpun banyak,
di sanalah perahu karam dan rusak,
karangnya tajam seperti tombak
ke atas pasir kamu tersesak.

Ketahui olehmu hai anak dagang
riaknya rencam ombaknya karang
ikanpun banyak datang menyarang
hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
di manakan lalu sampan dan rakit
jikalau ada pedoman dikapit,
sempurnalah jalan terlalu ba’id.

Baiklah perahu engkau perteguh,
hasilkan pendapat dengan tali sauh,
anginnya keras ombaknya cabuh,
pulaunya jauh tempat berlabuh.

Lengkapkan pendarat dan tali sauh,
derasmu banyak bertemu musuh,
selebu rencam ombaknya cabuh,
La ilaha illallahu akan tali yang teguh.

Barang siapa bergantung di situ,
teduhlah selebu yang rencam itu
pedoman betuli perahumu laju,
selamat engkau ke pulau itu.

La ilaha illallahu jua yang engkau ikut,
di laut keras dan topan ribut,
hiu dan paus di belakang menurut,
pertetaplah kemudi jangan terkejut.

Laut Silan terlalu dalam,
di sanalah perahu rusak dan karam,
sungguhpun banyak di sana menyelam,
larang mendapat permata nilam.

Laut Silan wahid al kahhar,
riaknya rencam ombaknya besar,
anginnya songsongan membelok sengkar
perbaik kemudi jangan berkisar.

Itulah laut yang maha indah,
ke sanalah kita semuanya berpindah,
hasilkan bekal kayu dan juadah
selamatlah engkau sempurna musyahadah.

Silan itu ombaknya kisah,
banyaklah akan ke sana berpindah,
topan dan ribut terlalu ‘azamah,
perbetuli pedoman jangan berubah.

Laut Kulzum terlalu dalam,
ombaknya muhit pada sekalian alam
banyaklah di sana rusak dan karam,
perbaiki na’am, siang dan malam.

Ingati sungguh siang dan malam,
lautnya deras bertambah dalam,
anginpun keras, ombaknya rencam,
ingati perahu jangan tenggelam.

Jikalau engkau ingati sungguh,
angin yang keras menjadi teduh
tambahan selalu tetap yang cabuh
selamat engkau ke pulau itu berlabuh.

Sampailah ahad dengan masanya,
datanglah angin dengan paksanya,
belajar perahu sidang budimannya,
berlayar itu dengan kelengkapannya.

Wujud Allah nama perahunya,
ilmu Allah akan [dayungnya]
iman Allah nama kemudinya,
“yakin akan Allah” nama pawangnya.

“Taharat dan istinja’” nama lantainya,
“kufur dan masiat” air ruangnya,
tawakkul akan Allah jurubatunya
tauhid itu akan sauhnya.

Salat akan nabi tali bubutannya,
istigfar Allah akan layarnya,
“Allahu Akbar” nama anginnya,
subhan Allah akan lajunya.

“Wallahu a’lam” nama rantaunya,
“iradat Allah” nama bandarnya,
“kudrat Allah” nama labuhannya,
“surga jannat an naim nama negerinya.

Karangan ini suatu madah,
mengarangkan syair tempat berpindah,
di dalam dunia janganlah tam’ah,
di dalam kubur berkhalwat sudah.

Kenali dirimu di dalam kubur,
badan seorang hanya tersungkur
dengan siapa lawan bertutur?
di balik papan badan terhancur.

Di dalam dunia banyaklah mamang,
ke akhirat jua tempatmu pulang,
janganlah disusahi emas dan uang,
itulah membawa badan terbuang.

Tuntuti ilmu jangan kepalang,
di dalam kubur terbaring seorang,
Munkar wa Nakir ke sana datang,
menanyakan jikalau ada engkau sembahyang.

Tongkatnya lekat tiada terhisab,
badanmu remuk siksa dan azab,
akalmu itu hilang dan lenyap,
(baris ini tidak terbaca)

Munkar wa Nakir bukan kepalang,
suaranya merdu bertambah garang,
tongkatnya besar terlalu panjang,
cabuknya banyak tiada terbilang.

Kenali dirimu, hai anak dagang!
di balik papan tidur telentang,
kelam dan dingin bukan kepalang,
dengan siapa lawan berbincang?

La ilaha illallahu itulah firman,
Tuhan itulah pergantungan alam sekalian,
iman tersurat pada hati insap,
siang dan malam jangan dilalaikan.

La ilaha illallahu itu terlalu nyata,
tauhid ma’rifat semata-mata,
memandang yang gaib semuanya rata,
lenyapkan ke sana sekalian kita.

La ilaha illallahu itu janganlah kaupermudah-mudah,
sekalian makhluk ke sana berpindah,
da’im dan ka’im jangan berubah,
khalak di sana dengan La ilaha illallahu.

La ilaha illallahu itu jangan kaulalaikan,
siang dan malam jangan kau sunyikan,
selama hidup juga engkau pakaikan,
Allah dan rasul juga yang menyampaikan.

La ilaha illallahu itu kata yang teguh,
memadamkan cahaya sekalian rusuh,
jin dan syaitan sekalian musuh,
hendak membawa dia bersungguh-sungguh.

La ilaha illallahu itu kesudahan kata,
tauhid ma’rifat semata-mata.
hapuskan hendak sekalian perkara,
hamba dan Tuhan tiada berbeda.

La ilaha illallahu itu tempat mengintai,
medan yang kadim tempat berdamai,
wujud Allah terlalu bitai,
siang dan malam jangan bercerai.

La ilaha illallahu itu tempat musyahadah,
menyatakan tauhid jangan berubah,
sempurnalah jalan iman yang mudah,
pertemuan Tuhan terlalu susah.

ERTI DARI SECEBIS JANGGUT

Aku setuju soal wajib berjanggut atau tidak bagi seorang lelaki muslim, itu soal khilafiah.Usah diperdebatkan.Kebanyakan ulama zaman silam menghukumkannya sebagai wajib. Ramai pula tokoh ulama masa kini menghukumkannya sebagai sunnat. Dengan kata lain, pandangan yang mewajibkan simpan janggut turut mengharamkan perbuatan mencukur janggut. Sementara pandangan yang mengatakan sunat menyimpan janggut, maka mencukurnya dihukumkan makruh.

Beberapa tokoh besar dalam fatwa masa kini menghukumkan perbuatan mencukur janggut sebagai makruh. Antaranya Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Buti, Syeik Yusuf Al-Qaradhawi dan ramai lagi. Sementara tokoh-tokoh ulama Salafi seperti Syeikh Bin Baz, Uthaimin dan yang seumpama dengan mereka menghukumkan haram.

Haram atau makruh?
Mana satu yang betul?

Kenapa mesti bengung?

Kedua-dua pandangan itu betul. Namun, jalan keluarr dari khilaf tersebut, simpan sahaja janggut. Habis cerita. Lagipun, bukankah janggut itu sunnah nabi. Tak ada orang mempertikaikan bahawa nabi berjanggut. Cuma yang jadi perselisihan adalah, apakah boleh tidak berjanggut. Kalau memang jenis baka tiada janggut memang tak timbul masalah. Ini yang jenis ada janggut tetapi suka melicinkannya.

Apa cerita? Apa sebab? Tidak sukakah ikut nabi?

Ah! aku bukan alim sangat. Nanti kalau ada janggut orang kata aku alim. Sesetengah orang memberikan alasan.  Adakah patut kerana takut dikatakan orang alim, maka berat untuk simpan janggut. Apakah alim itu sifat negatif. Patutnya, bertambah sukalah kalau dikatakan sebagai orang alim. Yang bukan ustaz, bila mula simpan janggut, orang panggil ustaz. Patut rasa bangga. Panggilan ustaz bukan satu penghinaan. Ia satu kemuliaan.  Maka, apa perlunya merasa malu?

Soal hukum bukan jawapan kepada semua permasalahan. Kita tidak boleh terlalu larut dalam membahaskan hukum. Banyak sangat bicara soal hukum, akan membawa hati menjadi keras. Kekadang, soal moral dan kerohanian juga perlu dipertimbangkan. Kalaupun kita menganut fatwa yang menghukumkan pendekkan jangggut itu sebagai makruh, apakah kita perlu mengamalkan pemotongan janggut? Kenapa kalau makruh kita meringankannya. Tetapi bila sunat kita tidak pula terdorong?

Padahal kita pun tahu bahawa nabi berjanggut. Kita pun tahu bahawa nabi suruh nipiskan misai dan simpan janggut. Maka, kedegilan apa lagi yang mahu kita pertahankan sehingga memilih untuk menyalahi nabi. Kata cinta nabi? Kata Sayang nabi.

Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jambi pula dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Mengapa nabi tidak diikutkan?

Adakah hanya kerana potong janggut hanya makruh, maka kita pun memilih melicinkan muka dari semua bulu-mulu yang menjadi izzah seorang lelaki? Kalau begitu, kita telah benar-benar berwatak keras dan degil. Watak yang lahir bila terlalu membicarakan soal hukum. Mari lupakan soal hukum. ia tidak menemui kesepakatan para ulama. Tetapi, ada yang disepakati. Itulah kenyataan bahawa nabi berjanggut. Sebab itu rata-rata ulama berjanggut. Sedikit atau banyak, pasti mereka ada janggut.

Pemuda Pas perlu lenggok baru

Pemuda Pas kalau nak menjadi juara masyarakat, tidak boleh lagi dilihat sebagai pejuang anti maksiat semata-mata. Itulah antara kritikan pedas yang dilontarkan oleh beberapa komentator politik yang bebas dan kelihatan tidak memihak. Selama ini masyarakat sering didendang dengan sikap pemuda Pas yang begitu responsif terhadap isu-isu kemaksiatan seperti konsert maksiat, sambutan hari velentine, premis arak dan judi serta sebagainya.

Sekarang ini, medan yang terbuka menanti sikap Pemuda Pas. Kebajikan rakyat yang melibatkan isu kemiskinan, perumahan, penindasan dan sebagainya adalah lapangan baru yang lebih bererti.

Dalam sebuah kerajaan yang kurang kepedulian agamanya, soal membanteras kemaksiatan tidak menjadi faktor yang boleh meng'crowd" sokongan rakyat.Lagipun soal tersebut memerlukan tangan-tangan kuasa yang masih gagal direbut dari tangan pemerintah.

Thursday, February 06, 2014

Aduhai Melayu.

Suara-suara melayu haprak kian merintih
hanya memalukan bangsa
tahap pemikiran setaraf angsa
tidak berharga hilang bijaksana

Majlis Ayahanda apenama?
minta dinyahkan segera
orang Cina India
yang tak pandai berbahasa
Melayu buta bahasa bagaimana?
asyik dok cakap bahasa penjajah saja
buat projek majukan bahasa mereka
takkah diusir sama?

Melayu buat malu
menggelepar macam ayam kena palu
tidak sebab jadi haru biru
tuduh orang sana sini
sebagai punca diri hilang jati
padahal memang empunya malas muhasabah diri.

Melayu PERKASA
Melayu PEKIDA
Melayu bertopeng agama
menggugat tatakerama negara

kalau mahu tahu
itulah warisan Khawarij sejarah
pemikiran tidak seiya sekata
hanya berkisar di lingkungan diri cuma.

Saturday, February 01, 2014

ORANG SELANGOR

Tidak adakah lagi orang Selangor yang berkelayakan untuk jadi calon PRK Kajang. Demikian melantun pertanyaan menempelak oleh seorang panelis dalam siaran langsung TV1 semalam. Ini kerana, PR telah  memutuskan calon PRK Kajang bagi PR adalah DS Anwar Ibraim. Belia bukanlah orang Selangor tetapi orang Pulau Pinang. 

Mengapa tiba-tiba timbul soal negeri asal? Satu ketika dulu, Datuk Syafie Afdal pernah dilantik menjadi Ketua Perhubungan UMNO Kedah. Tiada puala bantahan dari kalangan asobiah kenegeriaan di Kedah. Datuk Syafie Afdal adalah orang Semporna, Sabah. Jauh amat tanah asalnya dari tanah Kedah. Malah, Datuk Najib sendiri pernah menjadi Ketua Perhubungan UMNO Selangor. Waktu itu, tiada pula timbul soal tiadakah lagi orang Selangor yang berkaliber.

Pertanyaan berhubung tiadakah orang Selangor untuk dipilih menjadi calon PRK Kajang adalah pertanyaan orang-orang yang meracau dengan kejutan terpilihnya DS Anwar sebagai calon. Nampaknya, rasa anti Anwar Ibrahim sangat mendalam. Masih ada cubaan panelis untuk melebelkan DS Anwar Ibrahim sebagai insan yang sangat teruk dan menyeru agar rakyat menolaknya. Namun, sehingga kini, musuh politik Anwar Ibrahim sendiri masih gagal membuktikan jenayah DS Anwar sama ada dari segi moral mahukan rasuah.

Dalam dunai merentas sempadan hari ini, bicara kenegerian telah menjadi "out dated". Siapa lagi yang berminat sentimen kenegerian dimainkan?