Kaum yang lemah selalu mencari alasan. Jika dia tewas, akan disandarkan ketewasan itu kepada faktor-faktor yang tidak ada kautan dengan kelemahan dirinya. Akan dikatakannya musuh terlalu ramai, musuh ada kelengkapan senjata yang canggih, musuh di posisi yang berkelebihan dan sebagainya. Sementara diri tiada apa-apa kesalahan.
Tabiat kaum yang lemah ini dapat dilihat dalam gejolak rasa setengah ekstremis perjuangan kalimah Allah. Antara alasan pokok mengapa mereka mahu mengeksklusifkan nama Allah adalah untuk menjaga akidah ummat Islam. Kononnya, ummat akan keliru dan terjebak ke dalam akidah menyimpang agama lain, khasnya Kristian, jika nama Allah digunapakai oleh masyarakat Kristian.
Tanggapan kaum yang lemah sahaja membimbangi hal ini. Selama mana ummat mahu dijaga dan dipelihara dengan cara itu? Itu bukanlah penawar bagi mengubati kelemahan akidah ummat. Ketika belum lagi isu penggunaan kalimah Allah dikumandangkan, masalah kemurtadan telah menghantui. Itu menunjukkan bahawa mereka murtad bukan sebab agama lain cuba menggunakan kalimah Allah.
Kaum yang kuat akan berani mendepani cabaran dengan positif. Apa yang disangka merugikan diri, akan ditukar menjadi keuntungan bagi diri sendiri. Musuh akan terkulat-kulat di depan kaum yang kuat. Kuat bukan bereerti berjaya menghalang musuh menyebarkan agamanya atau musuh menggunakan kalimah Allah dalam ibadah mereka.
Kuat ertinya mampu menentang dogma mereka dengan kesantunan akidah Islam. Di mana mahu dicari kebijakan ini di kalangan kaum lemah yang sentiasa defensif?
No comments:
Post a Comment