CARI BAHAN

Sunday, July 30, 2023

NAFSU KEKUASAAN

Dulu, masa Pas asyik kalah dalam pihanraya, belum pernah mencicipi madui kekuasaan, tidak ramai yang mahu jadi calon dalam pilihanraya. Sejak beberapa penggal ke belakang ini, keadaan sudah banyak berubah. Mencalonkan diri atau dicalonkan dalam pilihanraya bukan lagi menjadi satu lambang pengorbanan dan jihad. Ia bukanlah lagi sebuah perjuangan yang suci mulus. Di hujung tujuan menjadi calon, tersemat kemilau kekuasaan yang menjanjikan jawatan dengan pulangan harta dan kesenangan hidup. Sebab itu, rata-rata yang menjaid YB selepas menang pilihanraya bertukar gaya hidup dan penampilan diri. 

Dulu pakai Perodua Kembara, lepas menang beberapa bulan sudah mula berkereta Mazda X5. Ada yang sudah mula bertukar kepada Vellphire atau Alphard. Termasuk pakai Mers dan Toyota Harrier yang harganya ratusan ribu. Pendek kata, perubahan kereta yang dipakai menunjukkan lonjakan pelampiasan nafsu yang selama ini terkekang. 

Maka, mana pemimpin yang meniru gaya Umar Abdul Aziz? Walau dalam kempen dan ceramah sering menyebutkan kepimpinan Islam ala Umar Abdul Aziz. Bila sudah meraih kerusi kepimpinan, datanglah manipulasi hujjah.

Kerana itu, rakyat bawahan jangan lagi terindoktrinasi dengan asakan agama dalam memilih seseorang YB. Jika calon itu orang yang baik , pilihlah dia kerana baiknya dia. Kerana ada harapan yang disandarkan. Jika dia bertukar arah, tinggalkan dia dan pilihanraya mendatang, pilih yang lain. Orang yang dilihat lebih baik. Baik jahat adalah sebuah ukuran relatif dalam konteks politik.

Sehari dua ini, di Kelantan pecah isu. Nik Abduh anak TG Nik Aziz tidak dicalonkan dalam PRN. Bapa saudaranya Nik Din marah dan keluarkan kenyataan agar jangan undi Nik Amar, TMB Kelantan sekarang. TMB itu dianggap watak yang mendalagi konspirasi mematikan hayat politik keluarga TG Nik Aziz. 

Mengamati dan merenung pergelutan dalam parti itu, aku mencapai satu faham. Dalam PAS juga penuh dengan watak-watak yang dahaga kuasa.  Walau sudah banyak penggal berpegang pada jawatan, perasaan sayang pada jawatan sudah menebal. Kalau ikhlas untuk Islam, persiapkan pelapis muda untuk itu. Itu satu lambang tawadhuk dan ketidaktamakan kepada kuasa. Namun, siapa yang sanggup? Hanya yang ikhlas yang sanggup. Adapun Nik Abduh yang merintih dalam diam ketidakpuasan hatinya, juga sedang dipengaruhi oleh ananiyyahnya. 

Kedua-dua pihak ada silapnya. Kedua-duanya adalah ahli politik. Usah dikaitkan dengan Islam dalam hal ini. Ini adalah persaingan peribadi. Bukan persaingan demi Islam!

Demikianlah dalam negeri. Begitu juga dalam negara. Para ahli politik yang bersaing, tuduh menuduh dan cemuh mencemuh, untuk apa? Untuk diri sendiri. Bukanlah demi bangsa. Jauh sekali demi agama. Kalau demi bangsa, lawannya adalah satu bangsa. Kalau demi agama, lawannya juga seagama. Kalau rasa agama diri sendiri lebih baik, itu sudah memiliki sifat yang dicela oleh agama. Sifat tazkiyyah diri. Orang lain lemah iman dan takwa dan diri sendirilah lebih iman dan bertakwa.

Seharusnya, kita selalu berlapang dada. Kalau ada orang lain hendaklah membela agama dan bangsa, kita sokong. Andainya dia khianat agama dan bangsa, kita nasihatinya dan betulkan. Jadi pemimpin bukan mudah. Kalau kita sendiri jadi pemimpin, fitnah yang sama akan menimpa kita.

Hal ini telah terbukti tatkala siri kerajaan bersilih ganti begitu kerap dalam tempoh penggal lepas. Sesiapa yang memerhati, boleh faham bagaimana kuasa menajadi fitnah atas diri. Waktu di luar kandang kuasa, kita pertikaikan orang. Bila sudah di tampuk kuasa, kita tidak dapat buat apa yang kita bisingkan. 

Maka, lebih baik jadi penasihat dalam agama daripada jadi pemimpin. Pemimpin tanggungjawabnya besar. Ramai yang nak jadi pemimpin dewasa ini dikeranakan nampak kemilau harta!


No comments: