Ramai orang sangat boros. Boros dalam membelanjakan tulisannya di media sosial ke jalan yang menempah defisit pahala di akhirat. Jika dibaca tulisan mereka , tidaklah nampak menurut citra agama atau akal waras sekalipun, menyuburkan pahala. Tidak mungkinlah Allah SWT sebagai Tuhan yang menganugrahkan pahala dan membalas dosa , akan mengurniakan pahala buat tulisan yang berbaur kebencian, perlecehan, menjatuhkan maruah, adu domba dan umpat keji. Tak mungkin!
Samada mereka yang suka membuat tulisan sedemikian merasakan ia berpahala atau gagal menahan diri sendiri. Jika disangka berpahala, nyatalah bahawa tahap kefahaman agama mereka berada pada tahap yang rendah. Kalau gagal menahan diri, itu tandanya kelemahan diri dan menjadi dalil bahawa diri tidaklah lebih baik daripada orang yang dinistakan.
Mungkin mata-mata yang membuat tulisan sedemikian tidak putus memerhati berapa banyak "like" yang diperolehinya. Alangkah seronaknya kalau like menjadi ribu riban. Dirasakanlah bahawa dia hebat di media sosial. Dia jaguh dalam menjadi influencer di tiktok, insta, FB dan sebagainya. Namun, satu hal yang dia lupa, dia bakalan muflis di akhirat sana!
Banyaklah berdiam diri dewasa ini. Mungkin kita tidak mampu menghalang diri daripada membaca dan mendengar segala tulisan dan ocehan di media sosial. Namun, berjaya menahan diri dari membuat komen atau mengongsikannya, itu adalah kekuatan yang yang menguntungkan khirat anda.
Nilailah hamburan dan semburan anda, apakah ia berdosa atau berpahala. Tepuk dada tanya iman!
No comments:
Post a Comment