CARI BAHAN

Monday, October 31, 2022

Parti-parti yang dahagakan kuasa.

Kritikan ini ditujukan kepada sebuah parti yang bernama PSM (Parti Sosialis Malaysia). Pada musim mendekati garis akhir penamaan calon pada 5hb ini bagi PRU15, kita lihat bagaimana PSM memperlihat ketidakselesaannya dengan PH. Berikutan masalah kerusi yang patut mereka tandingi belum diberikan kata putus oleh para pemimpin PH, mereka mula mempersoalkan tentang hak mereka. Mereka mengungkit tentang janji yang diberikan buat mereka.

Saya yang kurang minat dalam politik, tidak terlepas dalam memerhatikan gelagat beberapa parti yang kecil seperti PSM ini. Mereka nampaknya sedang mencari dahan untuk berpaut. Selama ini, mereka kekal bukan sebagai komponen PH. Namun bila menjelang PRU15, mereka beraksi seolah-olah mereka komponen PH. Bila tidak diperuntukkan kerusi, mereka berang. 

Kita rakyat yang bukan dalam hagemoni politik tidak tahu apa yang berlegar kalangan para tuan politik. Mungkin PSM mahu kerusi-kerusi boleh menang yang sudah ada penyandang sebelumnya dari PKR atau lain-lain komponen PH. Bila rundingan ke arah itu gagal mencapai natijahnya , mereka tidak ditawarkan kerusi. 

Nasiblah, PSM tidak pernah menang dan tidak diminati serta bukan pilihan ramai. Kalau mereka bertanding sendiri pun sekadar bertanding dan mungkin hilang deposit. Apa yang kita boleh lihat, tujuan parti sebegini hanya pamrih kuasa. Kalau ada seorang ahli parlimen mereka, mereka mungkin berkira boleh membuat beberapa tuntutan sesuai dengan ideologi sosialis mereka. Antara penyokong parti adalah Siti Kasim, musuh ramai orang Melayu.

Seharusnya, parti sebegini tidak perlu dibawa berbincang. Ada tak menambah, tiada tidak mengurang!

Saturday, October 29, 2022

Makar yang tidak habis

Umno dilaporkan menolak cadangan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu di Tambun untuk menewaskan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan menamatkan kerjaya politiknya.

Laporan Free Malaysia Today memetik Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata bahawa BN akan meletakkan calonnya sendiri di sana dan mereka yakin berpeluang memenangi saingan pelbagai penjuru di Tambun.

"Kita tidak mempunyai sebarang pakatan (untuk BN) untuk memberi laluan (kepada mana-mana parti lawan) di mana-mana kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15)," katanya dipetik sebagai berkata.

Ahmad dilaporkan berkata demikian sebagai menjawab cadangan ahli jawatankuasa PAS pusat Zuhdi Marsuki, yang mencadangkan kerjasama antara Umno, PAS dan Bersatu untuk mengalahkan Anwar bagi kerusi parlimen Tambun pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Zuhdi dilaporkan berkata Anwar adalah penyumbang utama kepada "krisis politik yang tidak berkesudahan" di Malaysia dan mengalahkannya di Tambun akan menamatkan kerjaya politiknya.

"Sebagai balasan, Umno boleh meletakkan calon untuk kerusi DUN Hulu Kinta mana
kala PAS boleh melakukan perkara yang sama di Manjoi," katanya.

(Petikan: Sumber FMT yang dipetik Malaysiakini)


Politik seperti ini adalah "telunjuk lurus kelingkin berkait". Dalam degar ceramah menyatakan kebobrokan UMNO sebagai parti perasuah, mengajak rakyat menolak UMNO dan mengundi Perikatan, boleh ada usul daripada seorang Ahli Jawatankuasa Pusat Pas untuk berpakat dengan UMNO dalam rangka untuk mengalahkan DS Anwar. Politik ini tidak tulus. Tidak jujur dan tidak adil. Kata tidak dikota. Depan para penyokong dinyatakan bahawa UMNO parti kelptokrat. Menang UMNO negara akan musnah. Tapi, dalam senyap-senyap cuba melakukan perbincangan untuk mencapai matlamat yang cuba disamakan antara dua gabungan itu. Matlamat menewas seorang politikus yang sekian lama dimusuhi.


Allahu...akal sihatku tidak boleh menerima permainan kotor sebegini. Hati Zuhdi Marsuki lebih berkabus, berbelang dan berceloreng berbanding Ahmad Maslan. Dalam soal ini, penolakan Ahmad Maslan adalah berprinsip. Idea Zuhdi Marsuki untuk memasukkan ramuan politik " kita sepakat di sini dan bergaduh di tempat lain" adalah sebuah nifak politik. Politik memperbodohkan rakyat. Politik belakang tabir yang tidak pernah padam dan menjadi bidak catur sebahagian politikus Pas sejak al-Marhum TG Nik Aziz masih hidup.


Kita tidak lupa episod lepas yang belum tamat dan to be contunued. Episod yang pecah tembelang ini adalah salah satu sambungan cerita makar politik dalam episod lepas. Rakyat yang cerdik dan celik maklumat tidak menyukai mainan bersimpang siur seperti ini. Tidak mustahil dan amat mungkin sekali, selepas PRU15, akan ada lagi mainan kotor yang akan dipalu.


Semua itu demi sebuah kemahuan. Menjatuh seseorang dan menaikkan seseorang. Tidak lain, tujuan daripada falsafah itu , hanyalah demi memburu al-jah serta haloba kuasa.


Allahul musta'an...Aku berlindung dari siasah!(memetik kata-kata Said An-Nursi)

Thursday, October 27, 2022

Fitnah-fitnah para politikus

Politik yang dimainkan orang (para politikus) membawa kepada  banyak dosa. Ketika perebutan kuasa sedang memuncak dalam sebuah sistem demokrasi, lihatlah bagaimana upaya para politikus meraih kepercayaan massa. Penampilan watak suci menjadi-jadi. Jiwa elit bertukar menjadi jiwa rakyat marhaen. hati singa menjadi hati domba. Busana iblis menjadi busana malaikat!

Saksikan, bagaimana fitnah meluncur laju bagai panah terlepas dari busurnya. Tidak kira siapa. Apakah politikus itu seorang leberalis, chauvinis, sosialis, komunis,  nasionalis, agamis, fundamentalis atau akademis. Terjebak dalam politik, menyebabkan semua warganya mencecah kancah berkumbahan.

Aku kasihan melihat mereka semua. Tapi apakan daya. Politik dan kehidupan tidak dapat diasingkan. Dari soal masuk tandas hingga terbang para roh menuju Mala'ul A'la, pengaruh politik menentukannya.

Tidakkah pernah kita alami dulu, sewaktu PKP, kisa solat berjaraj di masjid-masjid? Siapa di belakang arahan itu? Mufti? 

Bukan!

Di belakangnya adalah ahli politik!

Jika belum jelas, tanyalah dirimu, mangkuk tandas yang ada di Malaysia, samakah dengan mangkuk tandas yang ada di wilayah selatan Thailand??

Berbeza bukan? Kenapa berbeza?Siapa punya kerja yang menyebabkan perbezaan itu wujud?

Tentu peranan para ahli politik tidak dapat dinafikan! Merekalah yang akan membuat undang-undang, perniagaan eksport dan import yang menentukan mangkuk tandas bagaimana yang boleh masuk dan dijual di pasaran dalam negara!

Semua politikus yang menebarkan fitnah akan menuai hasilnya bila tiba musim panennya!

Tuesday, October 25, 2022

3 TPM

Tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kembali bersipongang di musim pilihanraya ini.UMNO tawarkan buat penduduk Sabah dan Sarawak.Apakah ini umpan UMNO atau tuntutan pemimpin politik di Sabah? Apakah ini kehendak sebenar rakyat Sabah? Apa untungnya jawatan TPM buat rakyat Sabah?

Rakyat Sabah seharusnya lempar buang pemimpin-pemimpin yang hanya memikirkan jawatan. Berapa banyak wang negara disia-siakan untuk jawatan yang fungsinya tidak seberapa. Para pemimpin politik akan makan gaji buta sedangkan rakyat disuruh bekerja penuh didikasi.

Inilah kebobrokaan para ahli politik. Mendapat jawatan dan tiada pekerjaan yang boleh dibuat!

Saturday, October 22, 2022

Exit Door

Exit door adalah jalan keluar saat diperlukan. Kalau sudah habis pintu dan tingkap dipalang, ada exit door. Exit door kena dirahsiakan. Jangan bagi ornag tahu. Kalau nak sebut pun kena kias sahaja. Itulah Exit door.

Dalam politik, kita akan nampak ada pihak yang simpan exit door. Waktu bergaduh dan berperang bagai nak rak dengan seteru politik, ada bahagian yang didamaikan. Bak kata orang, pukul lawan jangan sampai luka. Nanti bila habis sayembara, lawan boleh maafkan. Itu exit door namanya. Apabila rancangan nampak gagal, harapan tinggal pada exit door sebagai penyelamat.

Itulah Exit door dalam politik. Perhatikan baik-baik permainan yang menyimpan exit door itu. Ia dapat difahami dari perkataan dan tidnakan para politikus.

Siapa Ahzab?

 Dalam pertembungan politik, ada pihak menuding jari. 

Kalian adalah pasukan Ahzab! Pasukan Ahzab akan dikalahkan!

Ahzab adalah sebuah pengalaman sejarah. Saat Nabi SAW dan kaum Muslimin terkepung dalam negara Madnah, datanglah pasukan Ahzab menyerang Madinah. Pasukan itu terdiri daripada tentera kafir Quraisy dan juga gabungan kabilah-kabilah yang pelbagai. Ditambah pula oleh musuh dalam selimut Yahudi Bani Quraizoh.Keadaan umat Islam memang getir saat itu. Mujur ada idea penggalian parit sebagai jalan pertahanan oleh sahabat Nabi bernama Salman Al-Farisi. Maka kemaraan pasukan Ahzab dapat disekat. Rancangan mereka menyerbu Kota Madinah dapatlah digendalakan. Kemudian, dengan siasat Nuaim bin Mau'sud. seorang pemuka kabilah Bani Ghtafan yang masuk Islam secara rahsia, persekutuan Bani Quraizoh dalam gerombolan Ahzab dapat diretakkan. Sehinggalah pasukan Ahzab dikalahkan dengan bantuan Allah berupa angin ribut yang membadai khemah dan peralatan mereka. 

Bila berlaku pergaduhan politik antara kaum muslimin, ada pihak yang dituding sebagai Pasukan Ahzab?Tudingan ini adalah kiasan yang menutup makna-makna tersirat yang tidak diucapkan. Di sebaliknya, ada anggapan bahawa masuh politik adalah kafir, musuh Allah dan akan dikalahkan dengan bantuan Allah! Ini tentu membawa kepada situasi yang merbahaya kerana lama-kelamaan ia akan menyubur budaya kafir mengkafirkan antara sesama muslim.

Alangkah baik jika peristiwa Ahzab dikenang sebagai sejarah dalam ruangnya lingkupnya. Ia tidak harus dipolitikkan sehingga membawa makna yang salah dan sarat dengan kepentingan hizbiyyah. 

Kepentingan Hizbiyyah tidak mewakili Allah dan Rasulnya. Ia adalah kecenderungan mansiawi yang tidak pernah usai sejak berzaman berzaman dan sentiasa bartajaddud mengikut lokal dan zaman. Sesiapa yang meneyelak lembaran sejarah fasa pemerintahan khilafah, terutama selepas terbunuhnya Khalifah Uthman dan berterusan hingga tumbangnya khilafah Othmaniyyah pada tahun 1924, sentiasalah ada partisan di kalangan ummat Islam. Ia wujud dalam bentuk pembangkang, pemberontak, penentang dan musuh kerajaan yang memerintah. 

Ia berlangsung dan nampaknya tidka akan menemui noktahnya.