CARI BAHAN

Saturday, October 29, 2022

Makar yang tidak habis

Umno dilaporkan menolak cadangan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu di Tambun untuk menewaskan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan menamatkan kerjaya politiknya.

Laporan Free Malaysia Today memetik Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata bahawa BN akan meletakkan calonnya sendiri di sana dan mereka yakin berpeluang memenangi saingan pelbagai penjuru di Tambun.

"Kita tidak mempunyai sebarang pakatan (untuk BN) untuk memberi laluan (kepada mana-mana parti lawan) di mana-mana kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15)," katanya dipetik sebagai berkata.

Ahmad dilaporkan berkata demikian sebagai menjawab cadangan ahli jawatankuasa PAS pusat Zuhdi Marsuki, yang mencadangkan kerjasama antara Umno, PAS dan Bersatu untuk mengalahkan Anwar bagi kerusi parlimen Tambun pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Zuhdi dilaporkan berkata Anwar adalah penyumbang utama kepada "krisis politik yang tidak berkesudahan" di Malaysia dan mengalahkannya di Tambun akan menamatkan kerjaya politiknya.

"Sebagai balasan, Umno boleh meletakkan calon untuk kerusi DUN Hulu Kinta mana
kala PAS boleh melakukan perkara yang sama di Manjoi," katanya.

(Petikan: Sumber FMT yang dipetik Malaysiakini)


Politik seperti ini adalah "telunjuk lurus kelingkin berkait". Dalam degar ceramah menyatakan kebobrokan UMNO sebagai parti perasuah, mengajak rakyat menolak UMNO dan mengundi Perikatan, boleh ada usul daripada seorang Ahli Jawatankuasa Pusat Pas untuk berpakat dengan UMNO dalam rangka untuk mengalahkan DS Anwar. Politik ini tidak tulus. Tidak jujur dan tidak adil. Kata tidak dikota. Depan para penyokong dinyatakan bahawa UMNO parti kelptokrat. Menang UMNO negara akan musnah. Tapi, dalam senyap-senyap cuba melakukan perbincangan untuk mencapai matlamat yang cuba disamakan antara dua gabungan itu. Matlamat menewas seorang politikus yang sekian lama dimusuhi.


Allahu...akal sihatku tidak boleh menerima permainan kotor sebegini. Hati Zuhdi Marsuki lebih berkabus, berbelang dan berceloreng berbanding Ahmad Maslan. Dalam soal ini, penolakan Ahmad Maslan adalah berprinsip. Idea Zuhdi Marsuki untuk memasukkan ramuan politik " kita sepakat di sini dan bergaduh di tempat lain" adalah sebuah nifak politik. Politik memperbodohkan rakyat. Politik belakang tabir yang tidak pernah padam dan menjadi bidak catur sebahagian politikus Pas sejak al-Marhum TG Nik Aziz masih hidup.


Kita tidak lupa episod lepas yang belum tamat dan to be contunued. Episod yang pecah tembelang ini adalah salah satu sambungan cerita makar politik dalam episod lepas. Rakyat yang cerdik dan celik maklumat tidak menyukai mainan bersimpang siur seperti ini. Tidak mustahil dan amat mungkin sekali, selepas PRU15, akan ada lagi mainan kotor yang akan dipalu.


Semua itu demi sebuah kemahuan. Menjatuh seseorang dan menaikkan seseorang. Tidak lain, tujuan daripada falsafah itu , hanyalah demi memburu al-jah serta haloba kuasa.


Allahul musta'an...Aku berlindung dari siasah!(memetik kata-kata Said An-Nursi)

No comments: