Berapa ramai orang dalam dunia ini
dia sangka dia buat banyak pahalaorang lain pun kagum dengan amal baiknya.
Tidak sedikit orang yang bercita-cita mahu jadi sepertinya.
Tapi...di hari akhirat kelak,
orang yang rasa banyak buat baik dalam dunia
yang rasa dia orang soleh
banyak pahala yang dipungutnya hasil kerja baiknya
tiba-tiba didapatinya dia kontang pahala.
Apa yang dibuat dalam dunia tidak memberi pulangan kepadanya.
Itulah hari yang mengejutkan!
Terkejut kerana pahala sedekahnya tiada
Pahala solatnya tiada
pahala amal hajinya pun tiada
pahala korbannya tiada
pahala uruskan korban orang ramai di serata ceruk rantau dunia tak ada.
Pahala bawa bantuan sumbangan orang ramai ke pusat tragedi tidak ada dalam kantung amal!
Kenapa?
Dulu masa hidup ada orang yang hebat kutip derma buat masjid.
Kutip sumbangan untuk bantu ummat Islam mangsa peperangan di luar negara.
Jadi pengurus para hujjaj ke Makkah.
Jadi mutawwif bawa ratusan Muktamirin saban tahun.
Bina mahad tahfiz berjuta-juta hasil waqaf orang ramai
Bina rumah-rumah anak yatim
Asaskan NGO yang nampak banyak bantu orang susah.
Kenapa ada kemungkinan kejadian mengejutkan berlaku di hari Mahsyar?
Hari ditimbangnya amal baik dan jahat
Apakah mungkin sedemikian banyak amal baik masa hidup, lalu pada hari Mahsyar di dapati kosong? Sudahlah kosong, ada bencana lain pula yang datang. Bencana yang tidak disangka-sangka. Bencana yang membawa diri memikul beban dosa yang bertimbun-timbun.
Pada musim haji ini, ada orang yang kononnya menguruskan haji. Bantu para Hujjaj ke Makkah. Tapi rupanya makan harta secara batil. Visa haji diniagakan. Orang kaya sahaja yang mampu bayar. Pakcik makcik yang susah di kampung-kampung hanya terlopong. Penantian bertahun patah tiada harapan bersambung.
Musim orang korban, ramai orang kutip duit orang ramai buat korban di luar negara. Ke bumi Afrika, Kemboja dan ceruk rantau mana sahaja yang lembu kambingnya murah. Tempat di mana warganya biasa dengan lembu kambing. Ternakannya banyak tak terpermanai. Harganya murah. Tak kena main harga dengan lintah darat macam dalam negara. Sudah kutip duit korban, pergilah beramai-ramai ke luar negara. Ada yang niatnya sambil bawa amanah orang, inilah peluang lihat negeri orang, katanya. Nampak macam buat amal baik yang sangat hebat. Tapi, Allah sahaja yang maha tahu apa yang terselit dalam hati. Tepuk dada tanyalah iman.
Ada orang jadi pengurus masjid. Dari mula bina hingga masjid siap. Dana dipungut daripada orang ramai. Malangnya ada peratus yang masuk ke kantung. Kalau tidak pun ada belanja yang dibuat untuk kepentingan diri. Jawatankuasa pengelola buat lawatan umarah. Kononnya sebagai penghargaan penat lelah kutip derma. Kos diambil daripada tabungan.
Ada yang bina mahad tahfiz. Harganya bukan main. Kutip derma orang ramai. Mudirnya hidup mewah. Beli kereta diambil hasil sumbangan waqaf dan derma. Duit melimpah. Lebih daripada keperluan mahad tahfiz.
No comments:
Post a Comment