CARI BAHAN

Saturday, January 29, 2022

Perjuangan untuk bangsa

 Dulu, berjuang atas nama bangsa dicop sebagai asobiyyah. Asobiyyah adalah dilarang oleh agama. Dalam hadis, nabi diriwayatkan pernah berkata bahawa bukan kalangan ummatku orang yang asobiyyah. Kerana itu, para pejuang Islam takut kalau jatuh ke dalam asobiyyah. Pejuang Islam tak angkat nama bangsa dalam perjuangannya kerana takut terpalit dengan asobiyyah. Kalau sudah terpalit dengan asobiyyah, maka perjuangan itu jadilah nasionalisme. Nasionalisma berada dalam kandang yang sama dengan sekularisme, komunisme, kapitalisme atau isme-isme lain yang dicipta oleh manusia.

Itulah dulu. Dulu itu beberapa tahun yang lau. Sebelum teori-teori baru politik mengambil tempat. Kini sudut pandang mengalami anjakan. Perjuangan bangsa tidak lagi dilihat sebagai asobiyyah. Sudah ada orang mengangkat hadis nabi SAW yang menyatakan kecintaannya kepada bangsa Quraisy sebagai satu pengiktirafan kepada perjuangan demi bangsa. Ini kerana cinta bangsa membawa kepada perjuangan untuk bangsa. Tak mungkinlah satu orang mendakwa cintakan bangsanya tapi tak berjuang untuk bangsanya. Lantas, keluarlah ayat-ayat muluk bertebaran dalam masyarakat mengenai keutamaan bangsa.

Cintakan bangsa adalah sunnah nabi!

Bangsa Quraisy adalah pemimpin. Ertinya mana bangsa yang kuat seperti Quraisy, bangsa itulah berhak memimpin. Dalam konteks Malaysia, bangsa Melayulah.

Perjuangan demi bangsa Melayu bukanlah asobiyyah, bahkan ia adalah perjuangan Islam kerana dalam Perlembagaan Malaysia diertikan secara sinonim dengan Islam. Yang namanya Melayu, agamanya Islam.Berjuang demi bangsa Melayu ertinya berjuang demi Islam. Dalam hal ini Perlembagaanlah jadi sandaran. Realiti bukan ukuran lagi. Kendati ramai melayu sudah murtad, nama bangsa Melayu tetap dikepilkan bersama Islam. Melayu murtad bukan lagi Melayu. Kata sesetengan pentafsir perlembagaan di kalangan penyair-penyair jalanan.

Hari ini, parti yang pernah menjadi gendang Islam pun telah metekakan perjuangan bangsa sebahagian dari Islam. Bahkan, kekadang perjuangan bangsa mendominasi keadaan melebihi perjuangan atas nama Islam itu sendiri. Bersilat dengan perkauman ini ibarat berdansa dengan iblis. Sama ada menguasai atau dikuasai. 

Sedangkan Barsisa lagi tersungkur, apalah sangat yang lain...

No comments: