CARI BAHAN

Friday, August 13, 2021

Bukan semua kitab membawa kebaikan.


" Ustaz tahu kenapa orang Islam hari ini minum arak dan main judi?" lelaki itu melontarkan pertanyaan kepadaku. Dia mampir ke kantin sekolah saban hari. Kalau para guru sedang makan waktu rehat, kala itulah dia juga ada di sana. Dia warga desa yang banyak masa anggurnya. Dia selalu duduk dan membuka cerita.

Di sebuah sekolah kampung. Kampung di sebuah tanah pulau di perairan Sulu. Aku telah berada di sana selama 5 tahun, bergelumang dengan kerencaman amalan dan pemikiran warga. Hari itu, persoalan itu dilontarkan kepadaku. Mungkin mahu menguji pengetahuanku atau mungkin mahu mengumpan emosiku.

" Orang Islam minum arak dan main judi, itu bukan ajaran Islam. Itu ajaran hawa nafsu dan syaitan...", aku membalas sambil menghirup secawan kopi di depanku. Beberapa teman guru juga duduk sambil makan.

" Itulah ustaz, ustaz tak tau...orang Islam minum arak dan main judi sebab Nabi Muhammad pun minum arak dan main judi", balasnya. Dia bangga kerana aku tak tahu apa yang dia tahu.

"Apa? mana kamu dapat cerita macam ni?", aku terkejut dan hampir tersedak.

" Ada dalam kitab suku kami ustaz", balasnya selamba.

" Bawa ke mari kitab tu, saya nak tengok", tukasku.

" Nanti saya bawakan, biar ustaz tengok", balasnya sambil menyedut rokok daunnya.

" Ya, bawakan, kitab apa ,macam tu, saya bawakan ke pejabat Agama...", aku merugut.

" Oh...kalau macam tu tak bolehlah ustaz", warga itu membalas.

Kemudian, cerita pasal kitab itu pun hilang begitu sahaja. Aku pun tidak lagi meminta warga itu bawakan kitab itu di kala dia berselisih denganku di denai-denai kampung mapun kala mampirnya ke sekolah.Entah benar-benar ada kitab semacam itu atau hanya dongeng autanya. Aku tidak pasti dan aku tidak berminat untuk mencari tahu mengenainya.

Cerita pasal kitab yang jadi rujukan orang tententu ini bukan sahaja ada dalam cerita memoriku itu. Di kalangan orang terpelajar, para ustaz, lebai-lebai dan tok guru juga ada kitab-kitab yang nadir berlegar secara senyap. Ada kitab firqah-firqah tertentu yang tidak diketahui oleh orang awam. Dalam kitab-kitab sebeginilah tersimpan apa yang dikatakan "ilmu rahsia".

Antara kitab yang sedemikian adalah apa yang dinamakan "Tajul Muluk Al-Murossa'" sebuah kitab jawi lama yang di kulitnya tidak tercatat nama pengkaryanya. Majhul. Dalam kitab ini terkandung aneka ragam "ilmu rahsia". Ilmu tagkal azimat, khasiat benda, ramalan tubuh badan, hari dan alamat-alamat yang boleh dilihat.

Sehinggakan kitab ini telah diwarta dalam fatwa oleh JAKIM sebagai kitab terlarang lantaran banyak penyimpangan yang ada di dalamnya. Ia boleh buatkan orang yang membacanya tanpa asas akidah yang kukuh akan mengamalkannya. Lalu terkerumus ke dalam jejak-jejak yang membawa kepada kesyirikan.

Sebagai contoh, dalam kitab ini disebutkan satu perkara pada ms 21, Fasal pada menyatakan Hari Awal tahun yakni sehari bulan Muharam(Kata) Syeikh Muhammad Marzuq dalam Syarah Natijatul Miqat, maka apabila masuk awal tahun itu hari....

" Adapun jika adalah awal tahun itu hari (selasa) maka toli'nya bintang Marikh, maka adalah tahun itu menunjuk atas mati segala orang besar-besar dan banyak orang bertumpah darah dan sangat mahal dagangan dan mahal makanan dan sedikit hujan...",

Ada orang percaya apa yang diramalkan oleh pengarang kitab ini. Tahun ini 1 Muharam jatuh hari Selasa. Maka tahun 1443 ini adalah tahun malang. Tahun ini orang besar dalam negara akan mati. Akan ada tumpah darah, barang jadi mahal (barang dah mahal pun) dan hujan kurang. Inilah ramalan masa depan berdasarkan tarikh jatuhnya 1 Muharram.

Apakah ramalan sedemikian dibenarkan? Sedangkan perbuatan meramal apa yang terjadi pada masa depan adalah dicela dalam hadis-hadis yang soheh. Ia adalah bahagian daripada tanajjum dan tanajjum adalah sebahagian sihir.

Tidak wajar asal ada dalam kitab, kita sebarkan kepada masyarakat. Kalau mahu dikira kitab, macam-macam kitab ada. Ada kitab Syiah. Ada kita puak Batiniah Ismailiah. Ada Kitab Puak Ahmadiah. Ada Kitab ilmu Kanuragan dan Kejawen. Ada kitab ilmu silat, ilmu bomoh dan serba mak nenek lagi. Beribu kitab ada. Apakah asal ada dalam kitab kita mesti terima? Itu pasal kita kita kena timbangkan kitab dengan Quran dan Sunnah. Baru tidak sesat.

Apa yang ada dalam kitab, jika tidak lulus setelah dipandu uji dengan Quran dan Sunnah, lemparkan sahaja. Jerukkan sahaja di bawah timbunan ilmu jika tidak mahu buangkan. Jangan ceritakan isinya kepada orang kalau nampaknya menyimpang. Bukan semua yang namanya ilmu pengetahuan perlu di lepaskan ke corong awam. Nabi Muhammad ada menegaskan(Dalam hadis Riwayat Muslim):

كفى بالمرء كذبًا أن يحدِّث بكلِّ ما سمع

" Cukuplah untuk seseorang itu dianggap pendusta apabila dia ceritakan semua yang dia dengar".


Kita perlu didik akal kita jadi penapis. Lagi halus tapisannya lagi baiik. Lagi selamat. Semua yang masuk ke pendengaran kita, kita tapis. Apa yang dipandang mata kita, kita tapis. Apa yang terlintas dalam tafakkur kita, kita tapis. Jika lulus dalam tapisan, barulah kita salurkan kepada khalayak.


Allahumarsyidna....ameen

No comments: