CARI BAHAN

Saturday, July 03, 2021

BENDERA PUTIH

 Kenapa harus jadikan polemik hangat kempen kibar bendera putih? Bukankah kempen itu mensasarkan golongan yang berdepan dengan masalah berikutan kesan PKP dan Lockdown anjuran kerajaan? Kononnya ada cara lain untuk menzahirkan kesusahan agar dibantu orang, itu bukan alasan memperkecilkan kibaran bendera putih. Cara lain yang ditawarkan itu pula berupa paparan nombor telefon untuk dihubungi. Padahal, pengalaman pelbagai pihak, apabila nombor telefon dihubungi minta bantuan, pelbagai jawapan yang tidka menyenang akan muncul.

Dikatakan juga bendera putih akan membuka ruang ornag menyalahgunakannya. Orang tak susah pun tetapi sengaja angkat bendera putih. Kalau itu alasannya, panggilan telefon pun boleh orang salahguna. Itu lagi mudah. Orang yang tidak ada masalah apa-apa, pun telefon minta bantuan. Akhirnya pihak yang bertanggungjawab akan keliru juga dna kemudiannya buat peraturan sendiri yang menyukarkan saluran bantuan.

Mereka yang pesimis terhadap bendera putih juga berandalkan ayat-ayat muluk menasihatkan rakyat agar tidak berputus asa dan berdoa kepada Allah. Semua itu adalah kata nasihat yang tidak berpijak di bumi nyata dan lahir dari sendawa orang kenyang. Ada juga menuduh bahawa ia adalah sebuah kempen tersirat musuh politik.

Bak kata pepatah, memukul air ke dulang, terpercik ke muka sendiri. kalau niat orang lain dituduh bermotif politik, maka politiklah menjadi ratib orang yang membuat tuduhan. Cubalah pejamkan mata seketika daripada melihat potret politik. Ini semua ilustrasi masyarakat ditafsirkan kepada makna politik. Orang itulah sebenarnya hamba politik. Paku dulang paku serpih. 

Kalau rakyat mahu kibar bendera putih, kerajaan negeri tidak mahu bantu, biarkanlah. Kerajaan negeri bantulah orang yang tidak kibar bendera putih. Biar yang kibar bendera putih itu mendapat bantuan daripada individu yang prihatin atau NGO yang sedar.  Kerajaan duduklah menunggu panggilan telefon rakyat yang membelek -belek telefon yang habis kredit atau bosan mendengar silat tempang jawapan orang yang duduk di pejabat sambil mencecah asam belacan dan buah mempelam.

Biarlah semua ornag susah yang mahu kibar bendera. Biar orang tahu berapa ramai ornag susah atau mengaku susah ada dalam masyarakat. Baru kita dapat faham dan mengerti sejauh mana keberkasana agensi yang selama ini mendakwa membantu rakyat susah. Biar segala pekung dapat dibongkar. Khianat harta awam dan pecah amanah banyak membarah dan yang itu perlu dihukum dengan pembongkaran kedok mereka.

No comments: