CARI BAHAN

Friday, July 23, 2021

Kemelut zaman

 Sana sini berlaku kejadian yang berbulu di mata dan menyakitkan telinga. Ada kes seornag yang menziarahi kubur di saman RM2000. Ada kejadian sekumpulan warga asing di bawa ke lokap dengan pakaian banduan kerana mengerjakan solat Aidil Adha. Ada Masjid di kompaun kerana ahli koryah datang solat lebih daripada koata yang dibenarkan. Jumlah yang datang solat di masjid terbatas sedangkan masjid dijadikan tempat vaksinasi! Solat di masjid hendaklah berjarak tapi dalam masa yang sama aktiviti beli belah di pasaraya dan para pekerja kilang di sana sini tidak pula diperintahkan duduk berjarak sebagaimana solat.

Macam-macam ketempangan yang terjadi dalam fasa ini. Satu yang kelihatan perlecehan kepada hal-hal yang berkait keagamaan berada pada tahap yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Tatkala negara ini diperintah oleh parti sekular, Allah taala tidka menimpakan bala bencana masjid di tutup. Demikian tatkala negara ini dibayangi pemerintahan DAP dalam PH, Allah tidak  menimpakan bala rakyat tidak dibenarkan jumatan. Ini benar-benar memusykilkan. Kenapa dalam fasa pemerintahan satu kerajaan yang diangkat sebagai kerajaan Melayu Islam ini , berlaku hal-hal yang menjatuhkan maruah ini? Kalau hal-hal ini dilakukan oleh pemerintahan komunis di Cina, ia senang dilegitimasikan. Tapi...hemm...

Tidak mampu untuk menyenaraikan begitu banyak kepincangan berkaitan hal-hal kehidupan beragama di saat ini. Mungkin alasan pendemik boleh dijadikan tempat bersandar. Boleh dijadikan kambinghitam. kalau mencari kambing hitam, dalam mana-mana pemerintahan pun boleh berlaku dan telahpun berlaku. Di kala kerajaan BN tidak melaksanakan undang undang hudud, meeka mengkambinghitamkan masyarakat majmuk. Di kala kerajaan PH mahu meluluskan UEC, mereka mengandalkan tuntutan masayarakat Cina. Demikian semua andalan itu tidka diterima dengan senang oleh yang menentang. Apakah andalah sekarang boleh pula diterima?

Allah sedang menguji kalian sebenarnya.

Siapakah yang mampu melaksanakan Islam? Menuturkan bicara mudah semudah mengehek kahak lalu dituis ke longkang. namun melaksanakan kata akan membuktikan siapakah yang benar-benar jujur dalam bicaranya.

Saturday, July 10, 2021

Walhasil balik asal

 Perlantikan DS Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana menteri bukan pelan pemulihan negara terhadap masalah pendemik yang diharapkan. ia tidak menjanjikan harapan negara akan pulih. Sebelum ini, dialah orang yang saban hari mengumumkan sop dan langkah-langkah menangani pendemik. Apa yang boleh dia lakukan untuk berbeza daripada sebelumnya? Bekerja menguruskan negara bukan dibuat oleh seorang. ia dibuat oleh sekumpulan kabinet menteri. Dalam kabinet itu termasuklah DS Ismail Sabri. Kononya, nampak macam perlantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri akan mengorak langkah ke arah keluarnya negaranya dari belenggu dan himpitan Covid19. 

Cara bekerja masih dalam kerangka yang sama. Walhasil balik asal. Langkah perlantikan DS Ismail Sabri itu adalah langkah politik dan bukan langkah pemulihan. Pemulihan kesan wabak  ke atas kesihatan, ekonomi dan sosial. Ia adalah langkah politik yang terdesak di kala ugutan UMNO sebagai paku tiang senget PN mencabutkan dirinya. Afar tidak terus rebah, pelbagai cara dilakukan. Antaranya adalah perlantikan yang kosong daripada harapan itu.

Suara rintihan marahaen sudah di tahap yang kronik. Rintihan kekadang telah menjelma menjadi seranah kemarahan. Dalam banyak keadaan ia telah menjadi marak api kebencian. Namun. para algojo kuasa masih bemain catur dengan gerak-gerak bidak yang tidak memberi faedah kepada rakyat. 

Aku mengamati keadaan ini dan berfikir. Kenapa begitu payah kerajaan ini mahu menangani pandemik ini. Angka kes dikocak dan ditarik untuk turun, tetapi tidak mahu turun-turun. Menjolok buah tak jatuh tetapi anak-anak yang menanti sudah sakarat !

Barangkali boleh dimuhasabahkan. Kerajaan ini dibina dengan langkah-langkah yang ganjil dan di luar norma. Kerana itu susah mencapai berkat dalam pemerintahan. Tanpa berkat yang hanya anugerah Allah buat sesuatu pemerintahan, sebarang agenda tidak membuahkan hasil. Renung-renungkanlah!


Manusia di persada kuasa, jika tiada "ma'iyyatullah" serba tak kena. 

Wednesday, July 07, 2021

Khianat Pemimpin Silam

 Ya Allah...di saat mendengar beratus ekar tanah di Raub menjadi kepunyaan peneroka haram yang menanam durian Musang King, terlintaslah jenayah pengkhianat yang membenarkannya 20 tahun yang lalu.Mereka, para peneroka haram itu, tidak mungkin masuk hutan galas barang kontot berpura-pura cari rotan atau buru pelanduk, lalu tebang hutan buat ladang. Mereka angkut jentera dan lori membongkar tanah dan memunggah isinya sebelum menukarnya jadi ladang. Padahal hutan itu ada penjaganya. Namanya pun hutan simpanan. Renger hutan dibayar gaji menjaganya. Ada Jabatan Perhutanan yang dilantik dan diberi gaji memeulihara hutan pusaka datuk nenek.

Siapa khianat antara mereka, di hari akhirat akan dikumpulkan bersama para pengkhianat.

Tidaklah berbaloi duit rasuah yang diterima walau jutaan ringgit. Tidak membawa bahagia orang yang mengkhinati amanah bangsa dan negara. Di dunia akan dicela oleh orang kemudian, akhirat lagilah dahsyat. Setiap inci tanah yang kalian berikan kepada peneroka haram secara makar, kalian akan tanggung akibatnya.

Orang pejabat tanah, awas kamu. Buat;ah kerja dengan jujur sejujurnya. Jangan terliur dengan habuan lalat dunia ini. Jika ada pemimpin politik yang terlibat camputangan, celakalah kalian dengan celaka yang berganda. kalian pemimpin dan pemimpin wajib menjaga amanah rakyat. Walau sejuta kebaikan yang kalian lakukan, sekeluimit khianat yang terselit akan merosakan kebaikan kalian. Tidak guna haji berkali-kali atau umrah berulang-ulang.

20 tahun yang lalu, kejadian itu berlaku. Kejadian peneroka haram mendapat keizinan memugar tanah hutan simpanan dan menjadikannya ladang musang king. Celakalah ornag 20 tahun yang lalu dan celakalah juga orang tahun-tahun kemudiannya yang merestuinya. Angkara mereka, tahun 2021 ini kita saksikan kemelutnya. Ketika tanah tersebut dipersoalkan statusnyam, para peneroka haram bangkit bertindak lagak bagaikan tanah itu tanah mereka dan leluhur mereka. Akan terus menjadi tanah mereka sampai ke anak cucu mereka.

Jenayahnya adalah 20 tahun lalu, seusia durian musang king yang sedang berbuah lebat dang ditebang kejam oleh para penguatkuasa. Bairkan. Durian itu memang pokok haram. Pokok haram yang ditanam oleh para haram jadah dan mendapat keizinan tanam oleh para haram jadah. 

Mereka yang membuat rumusan peristiwa, jangan terputus dari sejarah. hari ini nampaknya isu ini dikaitkan dengan Cina. Bukan soal bangsa yang menjadi pokok persoalan. Soalnya pengkhianatan para pemimpin bangsa Melayu yang diberikan amanah sejak 20 tahun yang lalu. 

Khianat para pemimpin ini terus berlaku dan akan berlanjutan. Mereka calon-calon yang bakal berbaris-baris di bawah bendera ghadar.


Saturday, July 03, 2021

SENDAWA PERUT KENYANG

 Kala orang miskin terbaring kelaparan

yang hilang kerja gundah gulana memikul beban hutang

perasaan digayuti putus asa mahu bunuh diri

anak-anak  berwajah pucat perut tidak dikenyangkan

tampil dewa kayangan berperut buncit sambil sendawa

katanya: Ingatkan yang maha kuasa dan berdoa kepadanya.


Sendawa-sendawa kekayangan zaman ini

tidak lagi berbunyi "erkkk".

Sedawa menitip bunyi kalimah suci

tazkirah takdir dan tawakal ilahi

nasihat orang kunyang buat orang lapar

agar bangun tahajjud dan munajat di malam hari hingga dini.


Apa diharap sendawa perut kenyang

keroncong perut lapar tidak akan dimengerti.

BENDERA PUTIH

 Kenapa harus jadikan polemik hangat kempen kibar bendera putih? Bukankah kempen itu mensasarkan golongan yang berdepan dengan masalah berikutan kesan PKP dan Lockdown anjuran kerajaan? Kononnya ada cara lain untuk menzahirkan kesusahan agar dibantu orang, itu bukan alasan memperkecilkan kibaran bendera putih. Cara lain yang ditawarkan itu pula berupa paparan nombor telefon untuk dihubungi. Padahal, pengalaman pelbagai pihak, apabila nombor telefon dihubungi minta bantuan, pelbagai jawapan yang tidka menyenang akan muncul.

Dikatakan juga bendera putih akan membuka ruang ornag menyalahgunakannya. Orang tak susah pun tetapi sengaja angkat bendera putih. Kalau itu alasannya, panggilan telefon pun boleh orang salahguna. Itu lagi mudah. Orang yang tidak ada masalah apa-apa, pun telefon minta bantuan. Akhirnya pihak yang bertanggungjawab akan keliru juga dna kemudiannya buat peraturan sendiri yang menyukarkan saluran bantuan.

Mereka yang pesimis terhadap bendera putih juga berandalkan ayat-ayat muluk menasihatkan rakyat agar tidak berputus asa dan berdoa kepada Allah. Semua itu adalah kata nasihat yang tidak berpijak di bumi nyata dan lahir dari sendawa orang kenyang. Ada juga menuduh bahawa ia adalah sebuah kempen tersirat musuh politik.

Bak kata pepatah, memukul air ke dulang, terpercik ke muka sendiri. kalau niat orang lain dituduh bermotif politik, maka politiklah menjadi ratib orang yang membuat tuduhan. Cubalah pejamkan mata seketika daripada melihat potret politik. Ini semua ilustrasi masyarakat ditafsirkan kepada makna politik. Orang itulah sebenarnya hamba politik. Paku dulang paku serpih. 

Kalau rakyat mahu kibar bendera putih, kerajaan negeri tidak mahu bantu, biarkanlah. Kerajaan negeri bantulah orang yang tidak kibar bendera putih. Biar yang kibar bendera putih itu mendapat bantuan daripada individu yang prihatin atau NGO yang sedar.  Kerajaan duduklah menunggu panggilan telefon rakyat yang membelek -belek telefon yang habis kredit atau bosan mendengar silat tempang jawapan orang yang duduk di pejabat sambil mencecah asam belacan dan buah mempelam.

Biarlah semua ornag susah yang mahu kibar bendera. Biar orang tahu berapa ramai ornag susah atau mengaku susah ada dalam masyarakat. Baru kita dapat faham dan mengerti sejauh mana keberkasana agensi yang selama ini mendakwa membantu rakyat susah. Biar segala pekung dapat dibongkar. Khianat harta awam dan pecah amanah banyak membarah dan yang itu perlu dihukum dengan pembongkaran kedok mereka.

KURANG NUTRISI

Nampaknya, sekali cakap, terdedahlah kurangnya nutrisinya dalam menghadam perkembangan. Seperti budak afrika yang dipaparkan gambarnya dalam akhbar. Perut buncit, nampak rangka pada rusuk, kepala besar dan betis halus. 


Kasihan ...

Thursday, July 01, 2021

Catatan Covid19

Cgu Rudy mengkhabarkan melalui whatsapp bahawa dia telah ke bahagian Emergency Hospital Kulim untuk mendapatkar rawatan terhadap sakit kerongkongnya yang berlarutan beberapa hari dalam seminggu ini. Pihal hospital kemudinnya menjalankan ujian Kovid ke atasnya. Cgu Rudy memberitahu hasilnya positif. Berita itu menggegarkan warga sekolah. Kelmarin dia ada datang ke sekolah dengan berpakaian pelitup muka. Ada Petemuan dengan kami guru-guru, khasnya guru lelaki yang otai. Guru lelaki yang banyak menumpahkan keringat membantu guru besar menjalankan misi sekolah.

Seorang warga sekolah bernama Cgu Rudy adalah orang pertama diberitakan positif. Hanya yang agak melegakan, dia telah lengkap 2 dos. Diharapkan dengan pertahanan 2 dos itu, dia lebih kuat mendepani serangan virus tersebut. Kami yang belum ada sebarang dos ini yang perlu dirisaukan. Aku, cgu roslan, cgu Zahidi dan cgu Sobri yang ada pada hari kelmarin, bukan pernah ambil dos vaksin lagi. Satu pun belum. Yele. Guru Besar sudah 2 dos lengkap. Walhasil, para pekerja sekolah seperti abg Mat, abg Zamri dan pekerja perempuan, semuanya belum ada dos vaksin. Kerajaan yang ada ini banyak dikritik kerana kelambatan vaksinasi.

Cgu Zahidui hubungi aku meluahkan kerisauannya selepas khabar cgu Rudy positif pecah berita dalam grup. Aku nasihatkannya agar kekal berfikiran positif. jaga kestabilan emosi dan jangan biarkan perasaan mengalami "downing". Kekuatan Mental dan keyakinan kepada Allah itu lebih penting daripada geluyar fikir yang hanya menambahkan rungsing.

Selepas solat tahajjud dua rakaat yang aku sempati pagi ini, kupanjatkan doa agar cgu Rudy yang kini, sebagaimana dimaklumkan sendiri olehnya semalam, sedang berada di Hospital Sultanah Bahiyyah, agar diberi kekuatan dan sembuh pulih. Agar kami teman-teman yang punya konteks sepintas lalu kelmari itu dipelihara daripada mendapat tempias.

Terlintas dalam fikiranku, apakah tidak mungkin ujian positif yang dibuat ke atas cgu Rudy itu kerana wujudnya vaksin yang telah diambilnya 2 dos. Alhasil, kalau mereka yang telah divaksin dibuat ujian, mereka smeua akan menunjukkan tanda positif. Sebab vaksin itu juga merupakan virus covid yang telah diamankan. Tapi lintasan fikiranku tidka perlu diangkat. Ia tidak laku kerana masakan doktor yang ada di hospital tidak mengambil kiranya. Tak logik pada akal para doktor dan nurse yang buat test tidak mengambil kira soal itu. Tambahan pula, ini teori yang tidka boleh diandalkan lagi.

Wallahu khairun hafiza,,,,wa hua arhamur rahimin....