Politik bukan ukiran prasasti
lenggok dan tari tidak pasti
bukan tegak pohon jati
tidak mudah difaham erti.
Ia seperti permainan aci
bagai perlumbaan kekura dan kelinci
sebuah seni mengobar benci
medan pendosa menunjuk suci
Bicara kelmarin jangan dipegang
hari ini jadi temberang
esok bertukar dondang sayang
lusa menjadi sembang sumbang.
Jika turun malaikat di langit
hingga ke arasy berbau hangit
bidadari syurga turut menjerit
kerana malaikat menjadi dedmit.
Banyak tersungkur para wali
sehebat Bal'am mencapai tajalli
kerana politik dia dibeli
buang agama hilang peduli.
Tempoh di dunia kurang sehari
hakikat itu menyedarkan diri
hukum dunia punya negeri
pasti ada kelompok menteri
Dunia politik merekalah ahli
di tangan mereka memegang kandali
sekalipun tampil manusia wali
di bawah mereka dibuat kuli.
Melihat politik wajahnya tercemar
mereka terjun jawatan dikejar
agar disanjung kata didengar
mendapat habuan jadi bergelar.
Ramai juga manusia hebat
kerana politik lupalah taubat
diri disanjung hamba rakyat
merasa diri dalam inayat.
Mulanya Musa menentang Firaun
Akhirnya diri jadi malaun
Mulanya Musa menasihati Qarun
akhirnya harta sendiri bertimbun.
Sungguh politik hutannya angker
ulama menjadi anjing menjeler
para penganggur membina karier
para santri menyimpan selir.
Rebah tersungkur petapa keramat
menjadi taghut raja berdaulat
bertukar domba seluruh rakyat
di bawah mentari gelap zulmat.
CIKGU ANWAR
1 week ago
No comments:
Post a Comment