Aku hilang minat terhadap politik sejak perpecahan berlaku dalam Pakatan Rakyat dan kemudian disusuli dengan krisis dalaman PAS yang membawa kepada tertubuhnya Amanah. Harapan terhadap Pakatan Rakyat yang pernah aku semaikan menjadi hancur dan hagemoni Barisan Nasional tidak terpecahkan juga. Sepertinya umurku tidak akan melihat perubahan pemerintahan dalam negara melalui pertukaran parti pemerintah.
Parti yang aku dokongi pula dihambat permasalahan serius apabila sebahagian besar pemimpin yang aku sanjungi dan jadikan inspirasi lari meninggalkan Pas. Kemudian tampil orang-orang baru memimpin Pas sedangkan mereka itu aku tidak kenali atau aku tidak cukup mengenali mereka. Sementelahan, jasa dan pengorbanan mereka dalam membangunkan Pas adalah minima berbanding pemimpin yang telah meninggalkan Pas dan menubuhkan parti baru.
Aku pun hilang minat dan berkira-kira untuk menyisihkan diri daripada pertengkaran politik dalaman Pas yang aku sifatkan sebagai khilaf antara qabilah politik. Akar kepada khilaf kabilah adalah asobiyyah yang merupakan perasaan bahawa "aku sentiasa benar dan orang lain salah semuanya". Sememangnya itulah watak pemikiran asobiyyah dalam acuan apapun ia berada.
Tiba-tiba kini meletus pula pertengkaran siapa yang akan meletakkan calon di Kuala Kangsar dan Sungai Besar bagi menentang hagemoni BN. Pas menjadikan amalan tradisi sebagai sandarannya untuk meletakkan calon di sana. Sejak dahulu, dua kawasan itu adalah kawasan Pas bertanding, termasuk sewaktu zaman ia berada dalam Pakatan Rakyat. Parti pembangkang lain turut mengintai potensi namun tuduh menuduh berlaku sesama kabilah pembangkang. Meletakkan calon di situ untuk lebih daripada 2 penjuru ditafsirkan sebagai memenangkan UMNO-BN. Mungkin satu hal yang tidak atau kurang diperasan oleh pihak yang berbalah ialah satu hakikat bahawa dua kawasan itu adalah dimenangi oleh UMNO-BN.
Sekadar mengerling sesekali, aku bosan mendengar pertengkaran bodoh kabilah pembangkang. Cakap terlalu banyak dan itu membuatkan khalayak merasa mual. Adalah lebih baik jika mahu bertanding menentang UMNO-BN, bertandinglah sahaja. Pengundi akan menentukan siapa pilihan mereka. Kawasan itu bukan milik sesiapa tetapi adalah milik rakyat. Tujuan meletakkan calon dalam pilihanraya adalah untuk memberi pilihan kepada rakyat memilih dan bukan soal siapa yang akanb menang atau kalah. Meneng atau kalah adalah persoalan kedua. Apa yang utama ialah menawarkan pilihan. Dalam sekian banyak rakyat yang menghuni kawasan itu, pilihan mereka bukan berkisar antara A dan B sahaja. Ada pilihan C dan D. Mungkin juga ada pilihan sampai Z. Berapa banyak pilihan yang boleh ditawarkan, silakan tawar.
Kalaupun sepakat kabilah pembangkang bahawa pilihan yang ditawarkan untuk pengundi hanya dua, ia bukan menjamin kejatuhan UMNO-BN. Tujuan pengundian bukan sekadar hendak menjatuhkan UMNO-BN, tetapi juga melihat sokongan rakyat. Membaca pola pemikiran rakyat. Dalam sebuah negara demokrasi, kecenderungan rakyat hendaklah diberikan jalan melampiaskannya.
No comments:
Post a Comment