Bila berpolitik, politik itu merupakan sesuatu yang hidup dan bersifat anjal. Pada satu masa, sikap politik seseorang berada pada satu tahap, namun, pada satu ketika yang lain ia akan berubah. Sesuatu yang ditentang pada satu masa mungkin akan didokong pada satu masa yang lain.
Ketika MNLF menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Manila, sekumpulan orang dalam MNLF menentangnya lalu mereka keluar dan menubuhkan MILF. Namun, setelah lama berjuang, tahun ini MILF pula mengorak langkah membuat perjanjian damai dengan kerajaan Manila. Mungkin langkah perdamaian berbeza tetapi apa yang nyata sikap MILF juga berubah.
Hari ini, dalam arena politik Malaysia telah tampil satu wadah baru yang dipanggil ISMA. Khabarnya ISMA akan masuk bertanding dalam pilihanraya dan membawa slogan "Undilah Calon Muslim Berwibawa". ISMA membezakan diri daripada PAS bertitik tolak daripada beberapa isu lewat terakhir ini. PAS juga pernah berpendirian semacam ISMA beberapa tahun dahulu. Ketika itu PAS berpolitik dalam kampung sendiri. Dengan cara politik sedemikian, PAS tidka pernah menjadi ancaman kepada UMNO-BN.
Apabila keadaan banyak berubah, PAS mula mengharapkan undi daripada yang bukan Islam. Kerana itu tema "Negara Islam" diubah kepada " Negara Berkebajikan". DHPP pula sudah diwujudkan. Banyak pendekatan politik PAS mengalami pembaharuan. Sebahagian pemerhati melihatnya sebagai penyimpangan. ISMA termasuk yang melihat kelencongan PAS itu.
Melalui tema yang dibawa ISMA itu, perjuangan politiknya hanya berbuah di kalangan orang Islam. Dalam keadaan UMNO-BN meraih banyak mileage politik melalui pluralisma politik, amat rugi kalau pejuang Islam masih ditakuk lama. Keberadaan orang bukan Islam sebagai warga negara berdaulat perlu dihargai. Itulah sebenarnya tuntutan Islam. Perjuangan sebuah gerakan Islam bukanlah hanya semata-mata untuk membela orang Islam. Islam itu, sebagaimana dikonotasikan, adalah Rahmatan Lil 'Alamin.
Maka, Penampilan PAS dengan gaya politik baru ini benar-benar membingungkan musuhnya. Sebab itu, tidak menghairankan kalau puak yang selama ini memandangkan sepi kepada tema negara Islam mula mensesali hilangnya selogan negara ISlam daripada PAS. Mereka juga merintih mencari ke mana perginya perjuangan hudud dalam PAS. Ironinya, yang mengeluh itu adalah para pemimpin UMNO sendiri yang selama berdekad menentang perjuangan hudud yang dilaungkan PAS.
Sebab itu, kalau berpolitik biarlah pandai. ISMA akan belajar banyak perkara. Pada akhirnya (Kalau ISMA boleh bertahan hidup), jejak yang ditempuh MILF akan menyapa ISMA juga. Apa yang PAS hadam hari ini akan ISMA hadam pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment