CARI BAHAN

Wednesday, January 07, 2026

Nikmat yang tidak disyukuri akan hilang

 Tajuk ini adalah berfokus kepada isu politik. Walau tidak suka kepada rencah politik hari ini, aku tidak dapat lari daripada melirik mata kepadanya. Mutakhir ini adalah isu UMNO keluar daripada kerajaan dan beraksi sebagai pembangkang. Ia bermula bila KP UMNO, Dr. Akmal Saleh membuat gesaan tersebut dalam Konvensyen Pemuda UMNO yang diadakan. Tanpa basa basi, Dr Akmal mendangkan UMNO bergabung dengan PAS untuk membina front pembela Melayu yang tangguh dalam menghadapi ancaman masa kini. 

Lontaran cadangan dan gesaan Akmal itu menarik reaksi pelbagai. 

Sekarang ini UMNO tengah bersedap-sedap di atas kerusi empuk kekuasaan biarpun  tidak sebagai zaman pemerintahannya dulu selama 6 tahun. UMNO terpaksa berbagi kuasa dengan Pakatan Harapan yang dilihat dalamnya ada DAP yang mengancam survival perjuagan Melayu dan asobiyyahnya.

Tarik diri keluar daripada kerajaan ini bermakna UMNO hilang semuanya nikmat kuasa. Hanya kerana ingin jadi bermaruah, mencari maruah yang penuh kejantanan, UMNO perlu rela hilang kuasa. Ini satu dilema yang perlu difikir masak-masak oleh para mala-ul a'la dalam UMNO.Bukan sahaja 8 menteri dan juga beberapa timbalan menteri akan tergelungsur turun daripada kerusi kuasanya, tetapi beberapa negeri juga akan rebah dan UMNO hilang kepimpinannya. Itu belum lagi dilihat peringkat grassroot seperti Ahli Mahlis, JKK dan Ketua kampung. Semua itu akan lenyap dalam tempoh berbaki tak sampai 2 tahun lagi sebelum PRU ke16.

Di tambah pula dengan kesukaran menyelesaikan isu peranan dan pembahagian kerusi antara PAS dengan Bersatu, maka UMNO akan termanggu jauh sebelum keputusan muktamad berani dibuat untuk keluar daripada kerajaan Madani.

Ditelan mati ibu diluah mati bini dikemam mati ayah. Oh...memang sukar. Tapi, politikus sejati ada seribu helah. Yang tidak makan makanan politik memang sukar nak baca riak dan angin. Macam aku dan macam juga Dr. Akmal yang masih mentah. Umur pun belum 40 tahun. Dia tak faham sepak terajang politik lagi. Aku juga tak percaya dengan ulasan para profesor politk yang membebel dari kamar pejabatnya di universiti. Yang benar-benar ahli dalam hal politik adalah para politikus, terlebih lagi yang otai dan telah lama berkecimpung.

Sekadar mencongak, aku mengjangkakan bahawa nikmat yang UMNO sedang nikmati ini akan lenyap ghuyub kalau ia buat keputusan ikut gegabah Dr. Akmal.Hannya didorong emosi yangada masa naik dan ada masa turun, UMNO akan menuai hasil padi yang hampa.

Kata bijak pandai, nikmat yang tidak disyukuri akan menatijahkan hilang dari mata. Apa guna kalau dengar guruh berdetum di langit, air di temapayan dicurahkan. Saf pembangkang dan Saf kerajaan adalah dua barisan soldadu yang siap berperang dan sibuk mengatur strategi siang dan malam. Masing-masing mahu satu tempat yang namanya KUASA.  Pembangkang hari ini juga pernah diberikan Allah kuasa. Allah SWT yang menjadi pemilik kuasa yang tunggal membolak balikkan kuasa di tangan manusia agar kita dapat menilai dan melihat apa yang dilakukan semasa berkuasa. 

Idealisma, ghayah bahkan prinsip dan dasar bukan laksanan gunung everest yang tidak pernah berubah tempatnya sejak jutaan tahun. Manusia sifatnya berubah dan demikian apa yang dijunjung manusia daripada idealisma, ghayah dan prinsip juga boleh berubah. Idealisma reformasi juga ada yang kendur. Ghayah negara Islam dan menegakkan syariat Islam juga bukan simpul mati. Dasar yang berpijak atas Quran dan Sunnah pun tidak kekal di tangan manusia yang berjuang untuknya. Ia bergantung pada naluri dan emosi manusia yang sifatnya bertaqallub sentiasa. 

Maka, saya tidak terpesona dengan seruan apa yang akan dilakukan, tetapi saya mahu lihat dan hanya akan lihat apa yang sedang kau lakukan. 

Andaikan, UMNO berani keluar kerajaan , siapa boleh jamin PAS dan Bersatu akan menanti digerbang perlepasan dengan mendepangkan tangan menyambut kedatangan UMNO. Boleh jadi waktu itu datang hasutan lain. Ada bilik kosang dalam istana kekuasaan. Maka, dari pintu dapur mereka masuk mengisi kekosongan itu. Berdepan denngan kuasaan, ramai yang tersungkur. Kawan setia hanya di bibir. Peluang dan kuasa boleh mengubah persahabatan.

Apakah ini sikap negatif dan penuh syak wasangka? Bukan! Ini adalah pengallaman dan pemerhatian. Ini adalah tafakkur. Ini adalah kefahaman tentang falsafah hidup di dunia. Ini adalah hakikat bahawa dunia bukan syurga. Ulama sehabat Bal'am bin  Ba'ura lagikan terpeleset, apalah sangat dengan orang yang hidup di abad 21 ini. Abad kilauan kebendaan yang menyilau mata.

Perhatikanlah dan hubaya-hubaya. Yang selamat hanya yang diberi rahmat. Allahummarhamna!

Saturday, December 20, 2025

Kalau jadi menteri

Siapa yang pernah jadi menteri patut merasa syukur kerana dapat peluang. Peluang mempelajari dan mendalami satu dunia pentadbiran yang bukan semua orang dapat. Jadi menteri bukan tanda orang itu hebat.Kalau dia tidak jadi menteri, ramai lagi yang mampu menajdi menteri. Mungkin sesetengah menteri itu ada bakat sebelum jadi menteri.Menjadinya dia menteri memberi nilai tambah kepada jawatan itu, bukan sahaja nilai tambah kepada diri sendiri.

Ada orang jadi pernah jadi menteri, bila dia tak lagi jadi menteri dia merajuk. Baginya dia sahaja yang mampu menjulang peranan kementerian ke kemuncak. Tak ada orang mampu lakukan sepertinya. Mungkin pada rasanya kalau dia tiada, kementerian yang pernah dia pegang akan merudum dan tidak menyengat lagi. Namun, realitimnya manusia bersilih ganti dan dunia tidka pernah gersang orang yang berkebolehan. Kerana itu jangan merasa syok sendiri.

Anggap sahaja peluang jadi menteri itu belas ehsan dari pemimpin utama yang memilihnya. Dia berpeluang mengalami satu pengalaman baru yang tidak pernah didapatkannya. Bila sudah habis tempoh, jadikanlah pengalaman itu sebagai kenangan hidup atau perkongsian di belakang hari.

Itu sahaja !


Thursday, December 18, 2025

Melantik pemimpin Juhala

Ada orang selalu mengungkit tentang bidang pengajian semasa di universiti. Seorang mufti diungkit mengenai bidang pengajian yang tidak seharusnya melayakkannya di kerusi mufti. Mufti belajar bahasa masa di univesiti, mana layak jadi mufti!. Kata mereka. Seorang ustaz mengaji di universiti tetapi tak sempat dapat ijazah, sedangkan ustaz itu telah terkenal menajdi penceramah  dan pendakwah. Seorang Perdana Menteri yang sudah menjangkau usia 70 tahun dan ada sejarah pengajian Bahasa Melayu masa umur 21 tahun, selalui diungkit aliran pengajiannya yang dikatakan layak jadi seorang penyair atau ahli bahasa.Tidak layak jadi pemimpin.

Inilah cara berfikir sesetengah orang. Apa yang dia belajar, itulah bidang yang seharusnya dia bekerja. kalau belajar agama, kena jadi ustaz! Kalau belajar medic, jadi doktor. kalau belajar bahasa jadilah semacam ahli bahasa. 

Aliran masa lalu tidak seharusnya mengikat kita. Kita sendiri yang akan memilih untuk mencorak hidup kita. Inilah lambang kehidupan seorang manusia yang Allah ciptakan dengan akal. Dalam dunia ini, ada berbilion manusia dengan perbezaan yang pasti.

Maka berfikir bahawa seorang yang melalui satu aliran pengajian hendaklah bekerja dan bertindak mengikut aliran itu adalah satu pemikiran tempang yang tidak berpijak pada realiti. Ia didorong oleh hasad, apathy dan kalah dalam persaingan.

Kebijakan  seseorang tidak ditentukan dengan sekeping kertas ijazah yang diaperolehi pada usia muda. Berapa ramai yang cemerlang masa di universiti, meniti hidupnya dia tiada apa-apa. Tidak menjadi berkesan dalam masayarakat. Tidak berbakti dan tidak menyumbang. Tenggelam dan ghuyub dalam hidupnya sendiri bersama keluarga dan kehidupannya. Ada orang masa di univeriti tidak dikenali, selepas terjun ke dunia massa dia menjadi terkenal dan dikenali.

Apa nak heran?

Para profesor yang bijak-bijak di universiti itu bukanb bijak semuanya. Bukan bermakna mereka layak jadi pemimpin. Bila nabi kalau tanda akhir zaman adalah melantik pemimpin juhala bukan maksudnya pemimpin yang mengaji tak lulus. Tak ada ijazah dan sebagainya. Kalau dilantik profesor pun jadi pemimpin, kalau dia tak reti tadbir negara, dia juhala. kalau dilantik ulama jaid pemimpin, tapi dia naif dalam politik, pentadbiran dan cara menguruskan negara, dia tetap juhala. Jangan faham juhala itu dari sudut bahasanya sahaja. Fahamilah dari sudut intinya!

Orang yang selalu mengungkit masa lalu seseorang, orang itu tidak boleh move on dengan masa kini. Kalau nak kira masa lalu, suluhlah diri sendiri wahai setiap orang yang berfikir. Masa lalumu dulu apa? Masa lalumu dulu adalah setitik nutfah yang hina. Atau kenang juga masa lalumu dulu kau di sekolah rendah atau Pra yang tak kenal ABC. Toleh masa lalu sampai ke sana kalau mahu hitung masa lalu. Kerana itu masa lalu biarkan. Kita kira masa sekarang. Kepakaran masa sekarang bergerak seiring dengan umur dan pengalaman. Ia tidak cukup digambarkan dengan sekeping kertas sijil atau ijazah. Itu cuma keseronakan zaman belajar. Ada kepingan sijil atau ijazah bukan jawapan  kepada penguasaan kemahiran.


Sunday, December 14, 2025

La-in Syakartum

 Berapa kali dalam sehari kita mengingati nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita lalu kita membisikkan syukur dengan sepenuh hati? Kita ucapkan Alhamdulillah atas segala nikmat. Lalu kita memperbetulkan langkah hidup agar berada atas garisan ilahiyyah sebagai manifestasi rasa syukur itu?

Ketahuilah, jika anda menelaah seharian anda, anda akan menemui 5 nikmat yang akan anda sesalkan jika hilang daripada anda.

Pertamanya nikmat hidup itu sendiri. Terlebih aula hidup sebagai muslim yang dijanjikan dalam akidah sebagai syarat ke syurga di akhirat. Terutama pula mendapat keimanan dan lebih berhargalah jika iman itu m akin mantap dan sempurna. Itu nikmat terbesar yang tiada galang gantinya. Tiada tandingan dengan nikmat apapun! Apakah anda dapat rasakan besarnya nikmat Islam dan iman itu

Yang kedua adalah nikmat sihat. Hidup sihat dan tiada sakit. Kalau sudah sakit baru tahu alangkah besarnya nikmat sihat. Waktu sihat memang tak terasa. Terlantar dan keluar masuk hospital...bayangkan. Waktu itu sangguplah habis duit banyak manapun asalkan sihat.

Yang ketiga nikmat masa muda. Orang yang sudah tua selalu terkenang masa mudanya yang kuat , lawa dan bertenaga. Energatik dan penuh stamina. Nikmat ini hanya sekali lalu sahaja. Pada tahap umur mana yang paling kita bertenaga? In i satu nikmat yang tak akan berulang. Nikmat muda. Bayangkan kalau muda, sihat dan ada pula nikmat keempat dan kelima!

Nikmat keempat adalah kaya dan yang kelima ada masa lapang. 

Bukan semua orang kaya. Tak kaya raya pun tak apa. Ada duit dan harta sudah cukup rasa enaknya hidup, Menjadi kaya dalam keadaan hidup muda dan sihat....nikmat mana l;agi yang mahu kau dustakan???

Sunday, November 23, 2025

Ahli politik bukan untuk diimami

Sekarang musim PRN Sabah. Orang mainkan pelbagai isu. Masing-masing pendokong parti politik cuba memainkan isu yang akan memberi keuntungan kepada partinya. Aku sudah malas mengambil posisi. Aku juga tidak mahu terpancing dengan isu yang diangkat. Isu roti gardina cumanipulasi habis-habis oleh lawan PN. Musuh Parti Warisan pula mainkan isu kenyataan ketua pemudanya mengenai sifat mabuk KDM. Aku cuma mengambil tahu sekilas sahaja dan tak mahu larut.

Pada hematku, itulah hukum politik. Orang lain salah dan yang betul hanya kita. Untuk pamrih politik, sifat insaf tidak sesuai diangkat. Insaf ertinya mengakui kelebihan lawan, memujinya pada tempat yang parut dan mengkritiknya pada tempat yang wajar.  Sejauh yang kau saksikan, bila sesorang terjun ke dalam politik, musuh politiknya akan jadi taik. Angkatannya akan sentiasa tayyib!

Jika demikian, jalan yang suci dalam hidup tidak akan diperolehi denagn wadah politik. 

Tersentak seketika...aku merasakan wadah dalam badan dakwah juga menghadapi cabaran yang sama. Pertubuhan dakwah saling bercakaran. Kelainan aliran juga memancing sengketa. Di bawah rendang pohon mana lagi kita dapat mencari damai?

Satu yang aku pasti...dalam dunia ini memang begitu. Tanpa menyalahkan orang yang memilih wadah politik masing-masing atau berdiri di atas aliran yang dipilih dalam agama dan dakwah, aku akan memuji mereka sebagai orang yang berusaha melakukan sesuatu. Insya Allah...jika nawaitu bersih dan ikhlas, Allah akan menghitungkan pahala buatnya.

Pada zaman sahabat, tatkala berlaku fitnah dahsyat sesama mereka yang berlanjut hingga ke medan perang yang berdarah, ada juga yang menyisih ke tepi dan tidak memihak. Pengamat sejarah Islam yang INSAF akan merumuskan bahawa mereka semua adalah benar atas ijtihad masing-masing. Kenyataan para sahabat yang terlibat, mereka tidak saling menyalahkan. Maka, kita cuba ambil pendekatan mereka untuk diterapkan dalam situasi kita hari ini!

Insya Allah ia lebih mensejahterakan jiwa dan mendamaikan lidah!

Saturday, August 16, 2025

Bagaimana menjadi politikus yang memimpin?

 Ahli politik bergantung kepada keupayaannya menjadikan diri relevan.

Ahli politik perlu berpaut kepada isu. Jika isu itu besar dan gempita, peranannya akan menentukan duduk berdirinya dia dalam politik.

Ahli politik tidak boleh berpeluk tubuh atau mengambil sikap "aku berkecuali". Jika demikian, dia akan tersingkir daripada frontliner politik. Lambat laun akan hilang pengaruh dan ditendang oleh massa.

Begitulah hukum politik.

Maka kita lihat ramai ahli politik mengikut rentak massa dan isu apa yang massa sedang cicipi.

Ini jenis pemimpin yang mengikut kehendak rakyat dan bukan memipin rakyat mengikut kehendaknya. 

Mana satu jenis pemimpin  yang hebat dan berkesan?

Menguruskan isu bendera terbalik

Ada Cina mengaku silap pasang bendera Malaysia terbalik. kalau kita berlapang dada dan terima pengakuan silapnya, habis cerita. Kalau kita tidak puas hati dan mahu panjangkan isu tersebut, akan terpalitlah banyak kesilapan yang sering dilakukan oleh pelbagai orang tanpa mengira bangsa dan agamanya. Setiap yang bernama manusia tentu akan buat silap. Sebaik-baik yang buat silap adalah minta maaf.

Bendera Malaysia dipasang terbalik bukan  sahaja dilakukan oleh individu berbagsa Cina. Dalam beberapa kes Melayu juga ada tersilap. Kita juga lihat ada orang kibarkan bendera Palestin terbalik. Itu biasa. Kesilapan. Tentang nawaitu orang , kita tidak berhak menghukum sebab nawaitu itu ada dalam  hati dan  ia adalah hal yang ghaib!

Kita berhukum dengan hal yang zahir sahaja. Jika orang buat silap dengan nawaitu mennghina Malaysia sekalipun, lalu dia minta maaf, maka yang zahir adalah minta maaf. Nawaitu menghina Malaysia itu hal ghaib yang kita tidak ada wewenang dalam menjustifikasikannya.

Begitulah sepatutnya cara kita menguruskan isu bendera terbalik.


Tuesday, August 12, 2025

Tokok Tambah Cerita

 Perbuatan menokoktambah sesuatu cerita adalah perbuatan keji dalam periwayatan. Seseorang yang berbuat demikian , kalau dalam ilmu hadis, dihukum sebagai pendusta dan terbuang dari arena periwayatan. Sehingga hari kiamatlah namanya terpalit sebagai pendusta.

Dalam dunia media sosial hari ini, perbuatan menokoktambah cerita semakin rancak berlaku. Tatkala ada kejadian tertentu berlaku, ramai orang mencari cerita lengkapnya di media sosial. Ketika itulah muncul watak-watak yang sengaja membuat rekayasa dengan tujuan yang berbagai-bagai. Ada yang hobinya memang begitu. Ada yang mahu melonjak view dan like. Ada yang senngaja mahu mencari keuntungan dan milleage politik. Maca-macam hasrat tersirat yang ada disebalik cerita yang diperpanjangkan dengan tokok tambah.

Apapun, perbuatan tersebut punya pertanggungjawaban di akhirat kelak. 

Tidak selamat daripadanya melainkan mereka yang diselamatkan Allah SWT!