CARI BAHAN

Saturday, September 26, 2020

Bangkit menyusun telapak dewa

Mengikuti perkembangan keputusan PRN Sabah malam ini, nampaknya UMNO bersama sekutunya akan kembali berkuasa di Sabah. Mojoriti mudah sebanyak 37 kerusi telah diperolehi. UMNO yang disangka orang telah dicabut nyawanya berikutan kekalahan dalam PRU ke-14 yang lalu rupanya belum mati. Ia cuma pengsan sahaja. Kini dia telah sedar daripada pengsannya. Dalam keadaan mamai dan lemah setelah sedar daripada pengsan itu, diberi bantuan pernafasan dan siraman renjisan air, UMNO kembali sedar dirinya. dari duduk bersandar pada dua lengan ke belakang, UMNO sudah boleh duduk bersila. Perlahan-lahan UMNO mula beralih duduk iftirasy.  Dengan gaya dan lagak pendekar Mata Satu dari Gua Hantu, UMNO pun bangkit memasang kuda-kudanya. Dua tiga kali dikelepiaq kaki kanan dan kirinya, disusuli dengan tumbukan jurus percubaan, timbullah keyakinan bahawa dia masih ada wibawa. 

Dengan tawadhuknya, ia duduk bertawarruk bersama orang-orang yang berjasa menyedarkannya daripada pengsannya. Kekuatannya sedang pulih satu persatu. Urat nadinya mula mengalir darah-darah semangat waja sekeras keris daripada besi waja khursani bernama Taming Sari yang selalu dijulangnya.

Selepas menang PRN Sabah, UMNO nampaknya telah benar-benar yakin dengan kepulihannya. Ia siap bertempur lagi. Jika dalam medan tempur di tanah Bawah bayu ia mampu menumpaskan lawan, apalah nak diherankan dengan Tanah Abang.  Dulu, namanya diratib orang, lepas ini akan kembali diratib orang. Dulu ia pernah menepuk dada penuh takabbur, kali ini barangkali akan ditepuknya dada, paha dan punggung sekali.

Roh-roh leluhur yang bersemadi dalam dirinya kali ini akan ditambah. Datanglah roh segala roh yang gagah perkasa, menyatu dalam dirinya. Kalau boleh, akan diserunya roh Firaun dan Haman sekali, biar kekuatannya bertampah sepuluh kali lipat.

Kebingkasannya yang baru ini, bukan seperti dulu lagi. Membujur lalu melintang patah. Semua nama menyatu dalam dirinya. Tiada gundah, tiada gelisah. Tiada budi yang patut dibayar. 


Sesal tiada berguna lagi.

KETUHANAN DAN KEAZAZILAN.

 Pergolakan politik masakini amat sukar diramalkan.Apa yang akan jadi pada keesokan hari menjadi tanda soal yang dinantikan jawapannya oleh semua orang. Mana-mana orang boleh membuat telahan. Namun ia cuma telahan. Kejutan-kejutan demi kejutan telah berlaku dan akan terus berlaku. Episod-episod sekarang ini, menjadi babak-babak singkat. Belum panas punggung, berlaku episod dan babak seterusnya.

Bermula daripada perubahan tampuk pemerintahan kepada PH tahun 2018, bertahan selama 22 bulan, kemudian kerajaan PN bula mengambil alih. Kerajaan yang didirikan dengan senarai SD yang dibentangkan kepada YDPA itu kemudian bergelut dengan kekurangan mojoriti yang ketara. Kerajaan itu seperti berdiri di jrang yang sedang terhakis oleh arus deras. Bila-bila masa sahaja tebing boleh runtuh dan kalau tebing runtuh, ghuyublah bersama runtuhan itu beberpa aktor politik yang bersenandung tanpa dahan tempat bergayut. 

Kemudian, tiba-tiba sahaja DSAI mengumumkan yang beliau cukup mojoriti untuk menumbangkan kerajaan PN pimpinan TS Muhyiddin Mat Yassin. Riuh juga arena politik kerana itu. Penerimaan pelbagai. Antara percaya dan tidak. Namun, masa terus berputar. Dalam putaran masa itu, ada yang tidurnya tidak lena. Ada yang bangkit melenting. Ada yang bersenda menyindir. 

Hukum alam terus berlaku. Sikap saling percaya satu sama lain telah mula terhakis sejak peristiwa paling tadah yang berlaku. Peristiwa paling tadah yang menumbangkan juga kerajaan Syafie Apdal di Sabah, yang berakhir dengan PRN. Hari ini PRN itu diadakan.  Malam ini akan tahulah siapa yang akan mendirikan kerajaan. Siapapun yang tegak bertahta, ada untung ruginya. Tidaklah menang satu pihak maka malaikat datang berbondong-bondong merayakannya. 

Politik itu pelumbaan kuasa. Ia adalah satu perkara yang melibatkan persaingan taktik dan siasat. Pihak-pihak yang bergelut ada lebih dan kurang masing-masing. Tidaklah pementasan politik itu satupertarungan antara Tuhan dengan Azazil. Dua-dua pihak dalam seteru politik ada ketuhanannya dan keazazilannya masing-masing.

Selagi bernama manusia, itulah situasinya.