CARI BAHAN

Saturday, December 24, 2016

Mencerminkan kematangan

Hari ini, dalam usia yang sudah menjangkau lebih 40 tahun, aku tidak tahu apakah aku telah dimatangkan oleh pengalaman atau masih diserkup kedungguan akal.

Wednesday, December 21, 2016

Kesilapan Tokoh ditampung jasanya.

Tokoh mungkin silap. Bahkan pasti ada silap. Semua tokoh sepanjang sejarah telah berbuat sama ada benar atau salah. Tiada yang maksum dalam ertikata bersih dari salah dan silap. Mereka telah dikritik oleh tokoh lain sezamannya dan yang datang sesudah zamannya. Kemudian tokoh yang mengkritiknya juga dikritik oleh orang lain.

Kalangan tokoh, ada yang ulama dan ada yang umara. Masing-masing dengan keragaman sendiri. Namun itu tidak menjadikan mereka jatuh tidak bernilai ke peringkat 'nil'.

Dunia ini memang begitu. Tiada yang sempurna. Tiada yang maksum melainkan yang dimaksumkan oleh Allah pencipta kemaksuman. Itulah para nabi-nabi sepanjang zaman.

Menyelak sejarah, kita akan menemui nama seorang tokoh umara iaitu gabenor di zaman Abdul Malik bin Marwan, penguasa dari dinasti Bani Umayyah. Beliau adalah Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi yang menjadi gabeor di Iraq. Sejarah banyak menceritakan sisi kezalimannya. Dia digambarkan sebagai orang yang berdarah dingin dan mabuk darah. Banyaklah nyawa melayang di tangannya termasuk nyawa ulama Tabi'in yang masyhur iaitu Said bin Jubair.

Kritikan terhadapnya bukan sedikit bahkan melambung sampai ada yang tega melaknatnya di hujung namanya.

Namun, sedarkah kita bahawa sejarah yang sama juga mencatatkan jasanya yang bukan kepalang. Pada zamannya, dia telah menggerakkan pasukan "futuhat" ke Tanah India berawal dari langkah menyelamatkan seorang muslimah yang ditawan oleh raja India yang bernama Dahir. Demikian prihatin dan tegasnya Hajjaj membela wanita tertindas itu.

Dipilihnya panglima pilihan yang telah membuktikan jasa besarnya kepada tertancapnya Islam di tanah Benua Asia Selatan iaitu Muhammad bin Al-Qasim. Di tangan Muhammad Al-Qasim, Allah berikan kemanangan sehingga dengan itu Islam dapat berkerajaan ratusan tahun di tanah India

Kata orang yang mengenang jasa Hajjaj bin Yusuf As Tsaqafi melantik Muhammad bin Al Qasim, tidak ada seorang yang masuk Islam dari Benua India sejak zaman futuhat itu hingga kini, melainkan ada bahagian pahalanya untuk Hajjaj.

Dalam laut jenayahnya, ada mutiara jasanya.

Itu Hajjaj, apatah lagi para ulama yang menjadi pewaris ilmu nabi. Jika mereka khilaf, apa yang mereka taburkan untuk membela agama akan menjadi sebab maghfirah Allah SWT.

Hari ini kita lihat ramai yang memperlecehkan ulama dahulu dengan sebab kekhilafan yang mereka lakukan. Kekadang ia hanya berdasarkan syak wasangka dan terjahan kabur dari tulisan mereka dalam kitab maupun tindak tanduk mereka.Lihatlah dan perhatikanlah sederet ulama pembela ummat yang ditajrihkan dengan gelaran mujassimah, jahmiah bahkan dikafirkan.

Tentang Hajjaj itu, kita serahkan kepada Allah SWT. Kita tidak perlu meniru kelompok Syiah yang meratapi zaman lalu, lalu tega mencela para sahabat dan isteri- isteri Rasulullah SAW. Kita katakan bahawa Allah mungkin mengampunkannya dengan sebab jasanya itu.

Kita tidak rugi apa pun jika dia masuk syurga.

Ruginya adalah kalau kita tidak dapat masuk syurga! Itu paling rugi.

Thursday, December 08, 2016

PEMANDIRAN POLITIK

Aku memilih sikap untuk tidak mempercayai congakan politik pandir yang cuba ditanamkan ke dalam minda orang Melayu. Bahawa, kuasa politik orang Melayu sedang terancam. hal itu dikumandangkan dalam PAU 2016. Kambing hitam yang diangkat adalah parti DAP.  Sebagaimana yang termaklum, logiknya adalah mustahil sebuah parti yang secara rekodnya masuk bertanding sekitar 50 kerusi boleh memerintah Malaysia. Namun, pemandiran pemikiran politik mengharuskannya dengan teori dominasi. 

Hakikatnya pun, di Malaysia ini, dominasi politik bukan di tangan bangsa Melayu. Ia adalah di tangan sekelompok elit Melayu yang menjarah keringat dan air mata marhaen segenap lapisan. Mereka itulah yang berdusta atas nama Melayu.

Sementara, dominasi ekonomi telah pun lama di tangan bangsa lain. Bukan kerana hebatnya bangsa itu tetapi kerana pengkhianatan elit Melayu tersebut terhadap bangsanya sendiri.